Rabu, 19 November 2008

AlFaliheen Management



Sebuah syarikat telah ditubuhkan pada 7 Oktober 2008.Syarikat yang dinamakan AlFaliheen Management ini bertujuan mewarnai N.Sembilan dengan tarbiyah Islamiah.Kerosakkan masyarakat masa kini banyak menyumbang kearah penubuhan syarikat seperti ini.Walaupun sudah banyak syarikat konsultan Islam telah ditubuhkan,tetapi di N.Sembilan ianya masih baru.Belum ada lagi syarikat yang boleh berkhidmat sepenuhnya di N.Sembilan dan kebanyakkannya masyarakat masih lagi menggunakan khidmat nasihat dan rundingan orang luar dalam menyusun agenda pembangunan ummah.

Masyarakat kini seolah-olah berlumba-lumba memenuhi masa anak-anak mereka denagan didikan Islam tambahan melalui program-program yang terancang.

Semoga syarikat ini mampu dikendalikan dengan jayanya dan mampu menyinari N.Sembilan dengan cahaya Islam.

Mohamad bin Mohsin
Pengarah Urusan AlFaliheen Management
http://alfaliheen.blogspot.com/

Selasa, 18 November 2008

1000 pelawat

Dulu semasa cuba menceburkan diri dalam dunia penulisan blog aku mensasarkan 1000 pelawat dalam masa 3 bulan.Sepatutnya target itu perlu dicapai pada 30 September yang lepas.Tetapi aku tidak dapat melepasi target yang aku letakkan sendiri.

Sekarang,pada pertengahan bulan November ini barulah sampai jumlah 1000.Sungguh memalukan apabila aku kelewatan hampir 2 bulan.Mungkin boleh memberi alasan balik Malaysia aku menjadi lebih sibuk.Tetapi alasan tersebut sekadar penyedap hati.

Sebenarnya aku pernah bercita-cita untuk menandingi blog Dr.Mahathir.Anda bayangkan pelawat blognya pernah mencecah 250 orang dalam masa 1 jam.Aku pernah melayari blognya dan memerhatikan jumlah pengunjung.Jika jumlah pelawatnya konsisten dengan 250 orang sejam maka Dr.Mahathir hanya memerlukan 4 jam untuk mencapai seribu pelawat.(1000 dalam 3 bulan dan 1000 dalam 4 jam?)

Pengajaran :
1-Kita mestilah terus bekerja untuk mencapai target.
2-Sibuk bukanlah alasan untuk tidak menulis dan mencurahkan pemikiran
3-Selalulah membaca untuk untuk mencambahkan idea dan pemikiran kita.
4-Populariti mempengaruhi kadar kunjungan pelawat.

Rabu, 22 Oktober 2008

Waktu Lembab

Assalamualaikum,setelah sekian lama tidak menjengah blog ini,akhirnya Tuhan masih lagi memberi masa untuk saya meluahkan pandangan dan pendapat.

Kali terakhir aku meletakkan post dalam blog ini pada 14 September lepas.Ini bermakna sudah lebih sebulan blog ini terbiar tanpa artikel baru.Untuk makluman semua,aku telah kembali ke Malaysia pada 27 September 2008 yang lepas.Bermakna aku sempat berhari raya di Malaysia.Dikesempatan akhir Syawal ini aku mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua.

Kali ini aku cuba berkongsi dengan semua pembaca berkenaan satu tajuk yang cukup mudah iaitu "Waktu Lembab".Mungkin anda pertama kali mendengarnya,tapi saya pasti semua pernah melaluinya.

Waktu lembab adalah masa dimana diri kita tidak mampu menjalankan kegiatan harian yang aktif.Waktu ini menjadikan diri kita tidak produktif.Penggunaan masa yang tidak optimum dan sebagainya.

Semasa berada didalam dunia mahasiswa,pastinya waktu peperiksaan dan waktu cuti menjadikan diri kita selalu pasif.Pelajar mula terlalu memberikan fokus kepada alam peperiksaan.Semasa cuti pula pelajar menghabiskan masa untuk berjalan-jalan,tidur dan sebagainya.

Dahulu semasa menjadi pelajar,aku selalu membayangkan di Malaysia pasti aku akan selalu meng"update" blog.Tetapi akhirnya tidak.Ternyata setelah balik ke Malaysia aku sudah menjadi lembab.Kerana waktu ku banyak dihabiskan untuk kerja.Mengerah tenaga untuk mencari pendapatan.

Dahulu aku rajin mengemaskini blog kerana terlalu banyak masa terluang.Masa terluang banyak digunakan untuk mencari idea baru dalam penulisan.Sekarang ini waktu terluang banyak digunakan untuk kerja.Penggunaan fizikal sudah melebihi penggunaan mental.

Cumanya,apa yang ingin aku sampaikan kepada semua pembaca,mulalah mengesan waktu lembab anda.Kita akan menjadi orang yang sangat-sangat rugi sekiranya membiarkan waktu lembab mennguasai diri kita.Pastikan hari-hari adalah waktu aktif untuk kita.Aktif mental dan juga aktif fizikal.

Ahad, 14 September 2008

Abdullah Bapa Apa?

Setiap warga negara Malaysia semestinya sedang menanti kedatangan tarikh 16 September.Satu tarikh yang telah menjadi bualan dada akhbar.Anwar begitu optimis dengan janjinya iaitu kerajaan pasti akan di tukar pada 16 September ini.

Bahangnya pasti tidak begitu terasa bagi kami warga Malaysia diluar negara.Tetapi angin panasnya tetap menyapa sesekali membuka mana-mana laman web pro Pakatan Rakyat.Keberanian Anwar mencabar satu tarikh yang lebih cepat berbanding peralihan kuasa yang dijanjikan Pak Lah (2010) telah membuatkan rakyat berdebar menanti.Lebih berdebar dari menantinya hari raya.

Cuma apa yang ingin saya kongsi bersama pembaca pada kesempatan ini hanyalah "Abdullah bakal menjadi BAPA apa?"

Sudah menjadi kemestian rakyat Malaysia untuk meletakkan satu "tittle" yang sesuai untuk setiap PM.Tunku Abd Rahman di gelar Bapa Kemerdekaan.Tun Abd Razak digelar Bapa Pembangunan.Tun Hussien Onn sebagai Bapa Perpaduan.Tun Mahathir pula Bapa Pemodenan.Sekarang ini,apakah gelaran untuk Pak Lah?

Satu sumber (wikipedia) menyebut Pak Lah adalah Bapa Pembangunan Modal Insan (PMI).Sungguh terharu aku membacanya.Ada juga yang mahu mengiktiraf Pak Lah dengan gelaran tersebut.Kadang-kadang difikir seperti ada betulnya.Dulu sewaktu beliau baru dilantik menjadi PM beliau menyatakan mahu menyediakan rakyat kelas pertama seperti mana negara kita yang sudah memiliki infrastruktur kelas pertama.Kemudian diteruskan dengan ideologi beliau iaitu Islam Hadhari.Tidak lupa juga dengan gelaran Mr.Clean yang pernah diberikan satu masa dahulu.Semua ini mungkin sudah cukup untuk menilai beliau sebagai Bapa PMI.

Jika mengikut janji Pak Lah,beliau mempunyai masa sekitar 2 tahun dari sekarang untuk membenarkan nilai Bapa PMI.Kerana pada 2010 beliau mahu melepaskan jawatan.Mengikut janji Anwar,beliau mempunyai masa 1 hari sahaja untuk terus bersifat Bapa PMI.Adakah Pak Lah benar-benar bertindak sebagai Bapa PMI sekarang?

Aku pula melihat Pak Lah seperti Bapa Tiri.Anak dan cucu sudah tidak mahu akan beliau.Apatah lagi jiran-jiran beliau di Pakatan Rakyat.Setiap hari Pak Lah berhadapan krisis politik.Krisis yang mahu beliau bersifat profesional terhadap kegawatan negara.Bertanggungjawab terhadap kekalahan.Melepaskan jawatan pada muka baru.Mengakui kelemahan dalam pentadbiran.

Anak-anak menganggap beliau sebagai bapa yang lemah.Nafkah sudah tidak dibayar lagi.Pendapatan negara hanya untuk sebahagian anak sahaja.Itulah sebabnya anak-anak mahukan bapa yang baru.

Apapun,satu nasihat yang ingin aku sampaikan pada Pak Lah..sedarlah mungkin masa anda telah tiba.Anda dahulu diuji kemenangan besar oleh Allah pada 2004 adalah untuk sedar bahawasanya kekuasaan itu adalah milik Allah SWT.Tuhan mampu memberikan kita kuasa selama beberapa tahun yang Dia mahu.Dia juga berkuasa mencabut kuasa dari kita pada bila-bila masa.Mungkin dulu kita berada diatas.Tidak mustahil satu hari nanti kita berada dibawah pula.Bukankah hidup ini umpama roda.

Sedarlah juga mungkin Tuhan mahu menguji mu dengan satu penggal sahaja lagi.Maka sekiranya kerajaan mu tidak ditumbangkan pada September ini,lalu janganlah mendabik dada kesombongan.Dan janganlah pula bersifat seperti Raja Firaun yang berusaha mencari siapakah Nabi Musa,manusia yang akan menjatuhkan kerajaannya.Tetapi berusahalah bersungguh-sungguh memenuhi keperluan agama dan negara.Kemudian teruskanlah misi Bapa PMI supaya gelaran itu benar-benar layak untuk mu.

Jika gemar dengan tittle bapa tiri,maka teruskanlah kegawatan yang ada sekarang tanpa ada sebarang pembaharuan.Wallahualam.

Khamis, 4 September 2008

Formula Asas Mendekati PEMUDA

Ini adalah satu pandangan peribadi saya terhadap siaran akhbar baru-baru ini yang sibuk menyiarkan pihak BN umumnya dan UMNO khususnya sedang mencari formula mendekati pemuda.Muhyiddin Yasin katanya sedang memikirkan secara serius tentang formula baru untuk mendekati pemuda bagi mempertahankan survival BN dan UMNO.Jelasnya sekarang,golongan muda semakin ramai menjauhi kerajaan BN dan parti UMNO.Anda bayangkan,sudah berapa tahun UMNO ketandusan kepimpinan muda.Balik-balik Hishamudin,selepas tu Khairy Jamaludin.Kepimpinan muda UMNO seperti ketandusan orang.Saya boleh bagi contoh yang begitu mudah,Dun Rantau (Mohamad Hasan MBNS) yang berada dalam Parlimen Rembau (Khairy Jamaludin).Mereka tiada golongan muda yang mampu menggerakkan kesedaran masyarakat.Pemuda yang ada dalam Parlimen Rembau hanyalah mereka yang pandai berlumba motor dan pekerja kilang.Oleh itu ini adalah saranan saya kepada UMNO dan BN supaya menilai kembali golongan muda yang berada disekeliling anda.Berikut saya cadangan beberapa formula asas tersebut.

-Dekati Pemuda Dengan Kesedaran
Perkara yang cukup lemah dilakukan oleh jentera UMNO dan BN.Anda perlu menukar method anda.Anda boleh lihat bagaimana pihak lain merekrut ahli baru.Semaikan dengan kesedaran.Semangat cintakan perjuangan.Jiwa yang mahukan perubahan.Jiwa yang bersifat kepimpinan.Keberanian membetulkan kesilapan.Nilai inilah yang perlu ditiup dalam jiwa pemuda jika anda mahu lihat pihak anda masih relevan dimata pemuda.

-Bermulalah dari pengisian rohani
Saya merasa bangga apabila pihak kerajaan bersungguh-sungguh mendekati pemuda dengan cara sukan dan hobi pemuda masa kini.Tetapi apakah yang pemuda perolehi?Anda bukan menghasilkan seorang pejuang di medan masyarakat.Tetapi pejuang di medan yang merugikan tenaga pemuda dan wang negara.Cubalah gunakan pendekatan yang lebih bersifat pengisian dalaman.Berikan rasa kerendahan hati.Tanamkan sifat kebertanggungjawaban.Ikatkan dengan agama.Mulakan dengan pendekatan kerohanian.Hasilnya anda lihat akan lahir seorang pemuda yang bukan sahaja gagah mengangkat besi,tetapi mampu juga mengangkat martabat umat.

-Dekatilah dengan harapan dan aspirasi
Pemuda perlulah sentiasa diberikan harapan dan aspirasi.Tidak kiralah harapan yang bersifat material ataupun spritual.Berikan harapan yang jelas tentang masa depan yang bakal dihadapi oleh mereka.Jangan musnahkan harapan mereka dengan ugutan-ugutan lazim Biro TataNegara.
Berikan mereka peluang membentuk asas dan jatidiri.Dengarkan pendirian mereka.Pandulah mereka pada pegangan yang benar.Bukannya pegangan yang jumud.

-Jangan dekati dengan wang
Semenjak dari kecil,isu yang paling popular didalam BN dan UMNO adalah krisis wang.Pemuda kampung saya dibayar untuk berarak membawa panji BN.Dibayar untuk menggantung bendera UMNO.Akhirnya anda akan lihat pemuda seperti dibodohkan dengan nilai RM20.Pemuda kampungku berharga RM20???Pemuda kampungku memanglah suka diberikan duit.Sebab mereka sememangnya menganggur.Tetapi aku begitu malu apabila darah pemuda dinilaikan dengan RM20.Pendekatan inilah yang akan menghancurkan pemuda.Pemuda bekerja apabila disogok.Kalau tidak disogok,kerja jadi terbengkalai.Inilah akibatnya apabila pemuda tidak diisi dengan kesedaran,tiada pengisian dalaman,malah harapan yang diberikan lebih kecil dari hujung jarum.Selapas BN menang,pemuda kampungku terus ditinggalkan.Tiada lagi RM20.Tiada lagi perarakan motor.

-Jangan berdendam
Dendam adalah membalas sesuatu dengan kejahatan.Janganlah mengamalkan sikap dendam.Oleh itu,dekatilah pemuda dengan penuh kasih sayang.Bila pemuda mula menyokong pembangkang,maka pinjaman dipotong.Biasiswa ditarik balik.Ini bukanlah caranya yang terbaik.Anda sebenarnya sedang melahirkan lebih ramai musuh politik.Anda memang begitu mudah memotong pinjaman mereka.Tetapi tidak bolehkan menggunakan pendekatan yang lebih harmoni.Bila melihat pemuda mula menentang,cepat-cepatlah adakan perjumpaan 2 hala.Dengarkan isihati mereka secara berdepan.Bukannya dengan membalas dendam.

-Jangan dekati dengan hiburan
Satu perkara lagi yang begitu digemari oleh BN.Menghanyutkan pemuda negara dengan hiburan melampau.AF,One in A Million,My Team,Malaysian Idol dan sebagainya.Setiap tahun kerajaan melahirkan pemuda yang suka berhibur.Saya yakin,generasi pemuda kini pada 20 tahun akan datang akan hancur.Anda bayangkan,setiap tahun negara kita telah menghasilkan lebih dari 100 orang penggiat hiburan.Bagaimanakah keadaannya Malaysia di tahun 2020 nanti.Adakah kita mahu dipimpin oleh seorang penyanyi rock?Ataupun penyanyi dangdut?
Tidakkah anda berasa zalim kepada generasi akan datang?Anda bukannya mencipta masyarakat bertamadun..tetapi menghancurkan tamadun generasi saya.Saya pada usia 34 tahun (Tahun 2020 nanti) akan dikelilingi peminat hiburan.Sedarlah.Siapa lagi yang anda mahu harapkan untuk memajukan negara?Jawapannya adalah pemuda.

-Penutup
Mudah-mudahan idea asas ini mampu diolah kerajaan untuk membentuk beberapa program mendekati pemuda.Mungkin kerajaan juga boleh mencipta program realiti melahirkan seorang pemimpin.Berikan latihan ucapan umum,latihan berdebat,perancangan strategik,dll.

Satu lagi cadangan saya adalah kerajaan boleh juga memecahkan Kementerian Belia dan Sukan kepada 2 portfolio.Maka tubuhkan Kementerian Pembangunan Belia dan Kementerian Sukan.Ini menjadikan kerja kementerian lebih tersusun dan sistematik.Belia perlu diasingkan dari nilai sukan.Walaupun sukan itulah yang memberi nilai pada seorang pemuda.Pemuda perlulah dilihat dari nilai pembangunan minda dan semangat perjuangan.Wallahualam.

Isnin, 1 September 2008

Kelebihan kedatangan Ramadhan...

1)Umat Islam menghargai masa

Bukti pertama adalah mereka sering melihat jam di tangan atau di dinding.Kemudian mula mengira berapakah baki jam untuk berbuka.Kalau tinggal lagi 2 jam,mulalah mencari makanan berbuka.Membuat pelbagai persiapan.

Bukti yang kedua pula adalah mereka boleh menyebutkan waktu maghrib secara tepat.Mereka juga ingat subuh pada pukul berapa.Kebiasaannya hanya bilal dan imam sahaja mampu untuk mengingati waktu solat secara tepat.Tapi bila ramadhan,kaki lepak juga boleh ingat waktu maghrib.

2)Umat Islam mengenali bulan Islam.

Hari ini umat Islam mudah ingat bilangan hari berpuasa.Mereka tahu hari ini hari yang ke berapa berpuasa.Dalam kata lain,mereka sudah mula menggunakan kalendar hijriah.Anda bayangkan pada bulan lain,kita tidak ingat lansung berapa haribulan Muharam contohnya.

Umat Islam pada waktu ini jika ditanya bulan apa,sudah pasti semuanya tahu kita berada di dalam bulan Ramadhan.Selepas Ramadhan sudah tentu raya.Kalau raya,sudah tentu bulan syawal.Tapi selepas itu,bulan Islam dilupakan semula.

Walauapapun,selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak.

Selasa, 12 Ogos 2008

Merancang Kematian


Meraikan kelahiran satu perkara yang cukup menggembirakan manusia.Manusia sering mengadakan majlis-majlis hari jadi.Kemudian disediakan kek hari jadi.Batang lilin menandakan jumlah usia yang sudah dilalui.Jika sudah berumur 20 tahun,maka batang lilin adalah sebanyak 20 batang.


Cuma dikesempatan ini,aku cuba mengajak para pembaca untuk melakukan sesuatu yang begitu dituntut oleh agama Islam.Agama yang mengajar manusia supaya mengingati mati.Sebagai hamba Allah yang sentiasa lupa, kita biasa menyedari hakikat kematian apabila sakit.Apabila saat tua menanti ajal barulah sentiasa mengadu menyebut Allah.Sedangkan jiwa pemuda dibiarkan kosong.Amatlah rugi jika tidak mampu menghayati kematian dimasa muda.Oleh itu sebagai seorang pemuda Islam,saya ingin mengajak anda semua untuk merancang kematian anda.


Menyedari Hakikat Umur Anda Sekarang

Perkara utama yang perlu dilihat oleh kita adalah berapakah usia kita sekarang.Adakah kita golongan kanak-kanak,remaja,pemuda.dewasa ataupun golongan tua.Sedarlah dimana situasi kita sekarang.Supaya mudah merancang kematian.


Meletakkan Jangka Hayat

Anda perlu bijak dalam meletakkan jangka hayat.Manusia sentiasa berdoa supaya dipanjangkan umur.Tapi sedarkah kita,menurut ilmu biologi pun badan kita tidak mampu menampung usia yang terlalu panjang.Buat apa umur banyak,tapi sudah nyanyuk.Bergerak dengan kerusi roda.Makan dengan straw.Jadi,sebagai cadangannya,ambillah umur 60 tahun sebagai cagaran kita.Umur yang selari dengan tempoh hidup Nabi Muhammad.Anda juga bebas untuk meletakkan lebih dari had itu.Kerana ini cumalah jangka hayat.Cuma janganlah terlalu berusia sangat.Pasti orang tidak suka.Akhirnya mahukah anda merempat di rumah orang tua?


Berapa Baki Umur Anda Sekarang

Seterusnya lakukan perbandingan antara kita sekarang dengan jangkaan kematian kita.Boleh jadi anda berbaki 20 tahun,mungkin juga 30 tahun.Saya jika meletakkan usia 60 sebagai usia kematian maknanya saya berbaki 38 tahun lagi untuk meneruskan alam dunia.(60 tahun usia mati - 22 tahun usia kini = 38 tahun)


Apakah Pencapaian Yang Hajatkan

Setelah anda dapat nilai baki umur anda,sekarang ini adalah masanya untuk anda merancang apakah yang perlu anda lakukan dalam tempoh tersebut.Bagi memudahkan pemikiran kita,susun pencapaian tersebut ke dalam beberapa kategori :

1-Pencapaian agama

2-Pencapaian masyarakat

3-Pencapaian untuk keluarga dan peribadi

4-Pencapaian negara


Pastikan pencapaian tersebut berkadaran dengan baki umur anda.Janganlah baki umur tinggal 2 tahun berhajat pula hendak jadi PM.Cukuplah sekadar menyediakan calon PM untuk negara kita.Gunakan baki umur untuk melahirkan pemimpin yang berwibawa.


Dimana Puncak Kehidupan

Setelah menyenaraikan pencapaian anda dengan begitu teliti,sekarang ini susun pencapaian tersebut mengikut tahap kesesuaian umur.Kalau anda baru berumur 18 tahun,janganlah hendak mengharapkan untuk memiliki Phd pada usia 19 tahun.Letakkan pencapaian berdasarkan logik kebolehan kita.Pastikan kita bersifat realistik dalam perancangan.Kemudiannya,pastikan anda kenal dimana puncak kehidupan anda.Anda tahu dimana mahu diletakkan pencapaian terakhir.Adakah dihujung usia,ataupun dipertengahan usia.


Bagaimana Mati Yang Diinginkan

Akhirnya tibalah masanya untuk kita menetapkan jenis-jenis kematian yang diinginkan.Mati dibunuh,kemalangan,sakit tenat,dan sebagainya.Kalau anda hendak mati dalam sakit kencing manis,jadi dari sekarang anda boleh mula menabung gula didalam badan.


Penutup

Penulisan ini adalah satu cara mudah untuk kita memacu perjuangan.Perjuangan yang didasarkan pada usia.Marilah kita meletakkan mati sebagai cita-cita.Seperti matinya sahabat di medan Badar.Ibarat matinya Imam Hassan Albanna kerana ditembak.Seperti matinya Syeikh Ahmad Yassin dibedil peluru helikopter.Hanya kehidupan yang hebat sahaja pasti akan diakhiri dengan kematian hebat.


p/s : Beberapa cadangan penulis.

1-Mulalah membuat pelan kehidupan kita.

2.Utamakanlah matlamat agama berbanding matlamat lainnya.

3.Letakkanlah pencapaian tertinggi dihujung usia anda.Kerana perjuangan tidak boleh berhenti selagi nafas masih berdetap.

4.Jika kita mengharapkan mati ibarat mereka yang syahid sebelum kita,maka lakukanlah lebih baik dari pencapaian mereka.Mungkin anda mampu untuk dibedil oleh 10 kereta kebal Israel kerana kehebatan anda.

5.Utamakan hidup dijalan Allah berbanding mati di jalan Allah.Orang yang mati syahid bukanlah kerana pergi mencari mati.Tetapi kerana kesungguhan mereka untuk hidup di jalan Allah yang menyebabkan mereka perlu dimatikan oleh musuh Islam.

6.Janganlah merosakkan usia kita dengan cita-cita mati di jalan Allah tanpa kita berusaha untuk hidup dijalan Allah.

7.Bersama-samalah berdoa supaya Allah menetapkan hati dalam perjuangan Islam.




Rabu, 6 Ogos 2008

Kenapa Mahasiswa Tidak Boleh Berpolitik

Saya selalu tertanya-tanya kenapa mahasiswa dilarang berpolitik.Ibu-bapa,rakan-rakan,guru-guru,pensyarah dan ramai lagi.Mereka semua sering menasihati mahasiswa supaya jangan terlibat dengan politik.

Sehinggakan ramai rakan-rakan saya yang memerli kerana banyak artikel saya bersifat politik."Politik aje die.."itulah antara suara yang saya dengar.

Jadi disini saya senaraikan beberapa alasan popular yang sering digunakan untuk memastikan mahasiswa tidak berpolitik.

1-Politik itu kotor
Politik itu kotor.Alasan yang cukup menarik.Mahasiswa tidak boleh berpolitik kerana politik itu kotor.Politik akan membuatkan manusia gila pangkat.Kehidupan dipengaruhi dunia.Kita akan menjadi mata duitan.Hasad dengki bercambah-cambah.Ahli politik hanya pandai berjanji kemudian mungkir.Hidup dibayangi rasuah dan fitnah.Dituduh liwat.Cukuplah sekadar itu gambaran kotoran itu.

Jawapan ku : Benarkah politik itu kotor?Kalau benar,ini bermakna anda telah membiarkan kerajaan kita berada dalam kekotoran.Kita telah membiarkan 222 orang parlimen bermandi kotor.Kerana mereka telah menjadikan politik sebagai kerjaya.Jumlah ini belum dicampur lagi dengan DUN.Kalaulah benar ia kotor,kenapa kita tidak rasa bertanggungjawab membuang kotoran tersebut.Kitalah yang telah membiarkan negara ditadbir secara kotor.Cubalah kita merasai kotoran politik itu adalah tanggungjawab kita.

2-Kita masih belajar
Mahasiswa tidak boleh berpolitik.Pengajian perlu diutamakan.Kita dihantar ke universiti bukan untuk berpolitik.Kita mahu menimba ilmu.Jangan campurkan politik dengan pengajian anda.

Jawapan ku : Memang benar kita masih belajar.Tapi kenapa mahu memisahkan politik itu adalah satu juzuk dari pembelajaran.Kita mahu belajar bagaimana negara ditadbir urus.Bagaimana memajukan ekonomi rakyat.Kita belajar bermasyarakat.Mahasiswa perlu diberi kebebasan untuk menceburi dunia politik.Hari ini aku merasa cukup risau kerana begitu ramai sekali mahasiswa yang tidak minat politik.Kalau anda tidak minat,siapakah yang akan terus memikirkan pembangunan agama dan negara.

3-Kita penerima biasiswa,pinjaman dan bantuan zakat.
Mahasiswa janganlah hendak berpolitik.Duit pengajian pun kerajaan yang tanggung.Kerajaan bagi PTPTN,pinjaman,biasiswa dan bantuan zakat.Tidak logik lansung seorang yang ditanggung oleh kerajaan mahu melawan kerajaan.Seperti kacang lupakan kulit.Tidak sedar diri lansung.

Jawapan ku : Bantuan kewangan yang diberikan kerajaan bukanlah alasan utama untuk menghalang penglibatan mahasiswa dalam arena politik.Kewangan yang diberikan adalah sememangnya tanggungjawab kerajaan.Tambahan pula kita sebagai anak Melayu yang benar-benar dijamin hak biasiswa oleh Perlembagaan.Perlembagaan tidak pernah membezakan Melayu berdasarkan fahaman politik mereka.Perlaksanaannya adalah tanggungjawab kerajaan.Biar siapapun menjadi kerajaan,hak biasiswa perlu ditunaikan.

4-Kita masih budak lagi.
Politik bukan benda yang remeh-temeh.Bukan calang-calang orang boleh berpolitik.Anda masih muda lagi.Masih budak lagi.Banyak kerja lain yang boleh dibuat.Jangan buang masa muda anda dengan berpolitik.

Jawapan ku : Kalau benarlah politik bukan untuk golongan muda,habistu siapa pula yang kata politik itu untuk orang tua?Orang akan marah bila pemuda terlibat dalam arus politik.Tapi bila pemuda terlibat dalam dadah,mat rempit,hiburan melampau tiada siapa yang ambil peduli.Kita sepatutnya berbangga apabila ada pemuda yang sanggup berganding bahu dalam agenda pembangunan negara.Bukannya terus membiarkan pemuda berada dalam dunia fantasi.Negara yang paling teruk dan lemah adalah negara yang tidak mampu menguruskan tenaga pemuda,dan menghalang kekuatan idealisma mahasiswa.

5-Jangan jadi pembangkang,jangan tunjuk hero
Akhirnya alasan yang paling digemari,jangan nak tunjuk hero dalam masyarakat,nak jadi pembangkang.Penglibatan mahasiswa didalam politik pastinya akan melahirkan pembangkang.Gerakan mahasiswa tidak pernah sealiran dengan jiwa kerajaan.Seluruh dunia menghadapi fenomena yang sama.Idealisama pemuda dan mahasiswa selalunya melawan arus kerajaan.

Jawapan ku : Mahasiswa bukannya mahu menjadi hero tetapi kerana idealismalah yang mengherokan mahasiswa.Cubalah pandangan mahasiswa itu dilihat dari sudut yang positif,tentu istilah pembangkang itu tidak wujud.Gunakan istilah pengkritik atau cadangan.Tentunya ia lebih mulia.Undang-undang apakah yang kita guna sehingga untuk memberi pandangan pun tidak boleh.Contohnya apabila mahasiswa ribut menuntut supaya AUKU di mansuhkan,cas perkhidmatan PTPTN dikurangkan.Ini bukannya penentangan.Ini cadangan.Kerana dua benda ini pun dulu tiada.Sudah tentu bila ada cadangan ianya dipersetujui.Kemudian jadilah undang-undang.

Kesimpulannya : Sekiranya andalah yang menjadi kerajaan,sudah tentu anda mahu melihat pemuda-pemuda negara senantiasa bersama dengan pihak kerajaan membangunkan negara.Oleh itu,janganlah memusuhi mahasiswa dengan membina sebarang tembok dan garis sempadan.Mahasiswa tiada sebarang kekuatan untuk menentang kerajaan.Cuma fahamilah mahasiswa yang akan mewakili genarasi akan datang.Genarasi yang akan makan manisnya buah perjuangan masakini.

P/S : Pastikan generasi anda tidak merasai kepahitan buah yang anda tanam.

Rabu, 30 Julai 2008

UMNO + PAS = NoPAS?



Berita yang cukup menarik untuk diulas.Tajol Rosli mencadangkan supaya UMNO dan PAS bergabung untuk membentuk satu kerajaan negeri di Perak.Khir Toyo juga pernah mencadangkan supaya dilakukan begitu di Selangor.UMNO dan PAS perlu membentuk satu kesefahaman dalam memperjuangkan agenda Melayu dan Islam.

Mereka mengganggap Pakatan Rakyat begitu lemah.Pakatan UMNO dan PAS mampu membentuk pakatan yang lebih berkesan.Mereka juga merasakan bangsa Melayu kian terpinggir lalu menggagaskan satu idea yang begitu kontroversi sekarang.

Cuba kita perhatikan perkara-perkara berikut :

1.Kedua-dua tokoh yang membuat penawaran tersebut adalah dari negeri yang ditewaskan oleh Pakatan Rakyat.
2.Mereka berdua adalah bekas MB negeri Perak dan Selangor.
3.Penggabungan yang dicadangkan tidak jelas.Adakah mereka minta bergabung dengan UMNO ataupun BN?
4.Tawaran tersebut lebih menjurus kepada PAS semata-mata.Tanpa mengaitkan DAP dan PKR iaitu 2 lagi parti besar selain UMNO dan PAS.

Sekarang ini ramai pemimpin tertinggi UMNO mempersoalkan isu ketuanan Melayu.Sebelum ini lansung tidak diendahkan.Selepas kekalahan yang teruk barulah mereka beria-ia dalam isu ini.Tidak ingatkah saudara-saudara semua tentang rekod BN dan UMNO terhadap Islam dan Melayu?

Siapakah yang menghina janggut Nabi?Siapakah yang memperlekehkan ayat Al-Quran?Siapakah yang merendahkan martabat bahasa Melayu?dan banyak lagi...

Cukuplah rekod setakat itu,dengan sejarah tersebut jelas menunjukkan UMNO tidak bersungguh-sungguh memperjuangkan agama dan bangsa.

Tapi hari ni mereka seperti mula insaf dan bertaubat.Mereka mencadangkan satu idea yang cukup menggelikan.UMNO dan PAS bergabung membentuk kerajaan negeri di Perak dan Selangor.

Saya begitu optimis untuk mencadangkan satu idea juga.Jika benarlah UMNO begitu ikhlas mahu memperjuangkan agama dan bangsa maka perhatikanlah cadangan tersebut :

1-Membuat rombakan disemua kerajaan negeri yang diperintah oleh BN.BN ada negeri Pahang,Terengganu,Perlis,N.S,Melaka,Johor,Sabah dan Sarawak.Buat perkongsian kuasa dengan PAS.Disitu barulah jelas yang UMNO tidak mementingkan jawatan seperti yang diucapkan oleh Tajol Rosli dan Khir Toyo.Bina satu dasar kerjasama antara PAS dan UMNO di negeri anda dahulu.Jika berkesan,barulah dipraktikkan di negeri PR.

2-Membuat rombakan dalam jemaah Menteri dengan menyerahkan beberapa jawatan penting kepada PAS.Antaranya Timbalan Perdana Menteri,Kementerian Pelajaran,Kementerian Pengajian Tinggi,dan sebagainya.

3-Cadangan ini mungkin kelihatan gila kuasa.Tapi inilah peluang UMNO untuk membersihkan niat dan menunjukkan keikhlasan dalam perjuangan agama Islam dan bangsa Melayu.Perjuangan tanpa mementingkan nama dan jawatan.Adakah UMNO akan terus bekerja menegakkan Islam dan Melayu tanpa jawatan dan pangkat.

4-Cadangan ini juga adalah satu cabaran dan percubaan untuk PAS membuktikan kebolehan mereka.Kalau dulu PAS hanya terkenal dengan sifat pembangkang,kali ini berikan mereka kerja pula.Berikan mereka peluang membentuk hala tuju agama dan bangsa.

Sebelum menghabiskan bicara,saya amat bersungguh mencadangkan kepada Pak Lah,Tajol Rosli,Khir Toyo,semua Menteri Besar BN supaya menimbangkan perkara ini.Sedarlah,keyakinan Melayu kepada UMNO semakin pudar.Inilah peluang anda untuk membetulkan kesilapan dahulu.Semaikan sikap bantu-membantu,berlapang dada,dan sentiasa berusaha melakukan pembaharuan demi kebaikan Islam dan Melayu.

Kepada PAS bermulalah dengan mencari titik persefahaman dengan UMNO.Walaupun UMNO bersifat nasionalis,tetapi dalam memperjuangkan nilai-nilai kebenaran dan kebaikan pastinya ada ruang untuk bekerjasama.Lakukanlah kerja yang menguntungkan agama,bangsa dan negara.Pastikan penggabungan UMNO dan PAS tidak menatijahkan No PAS.

Isnin, 28 Julai 2008

Strategi Pemerkasaan MPPMJ



Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPMJ) adalah sebuah badan tertinggi pelajar Malaysia di Jordan dan merupakan badan induk yang menaungi semua persatuan pelajar Malaysia di negara Jordan.

MPPMJ telah diasaskan pada Februari 2000 dengan dirasmikan penubuhannya oleh Dato’ Hishamudin Tun Hussein selaku Menteri Belia dan Sukan Malaysia pada bulan Oktober 2000.Maka pada tahun ini MPPMJ telah pun mencecah usia 8 tahun sejak ditubuhkan.Pentadbiran MPPMJ telah pun bersilih ganti setiap tahun dan pastinya ada pasang surut di dalam pencapainnya.Pada 8 Ogos 2008 ini MPPMJ sekali lagi akan melaksanakan Mesyurat Agung Tahunan (MAT) bagi menukar pentadbiran.Sehubungan dengan itu,artikel ini dihasilkan bagi menyatakan hasrat penulis untuk melihat MPPMJ agar terus mengecap kejayaan dalam membawa mahasiswa Jordan ke dunia perjuangan.Antara strategi tersebut adalah :-

Strategi Pemerkasaan MPPMJ

1.MPPMJ adalah organisasi yang pertama dibubarkan.

Seperti lazimnya setiap tahun,MPPMJ adalah badan terakhir yang dibubarkan selepas pembubaran Persatuan Zon (PZ) dan Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN).Mengikut perlembagaan MPPMJ pada tahun ini,semua presiden PZ dan BKAN tidak layak untuk bertanding jawatan presiden MPPMJ.Dalam masa yang sama semua PZ dan BKAN perlu melaksanakan MAT sebelum MAT MPPMJ.Ini bermakna semua ahli yang mempunyai kepimpinan yang tinggi telah pun disaring di peringkat PZ dan BKAN.Maka yang tinggal untuk menjadi calon presiden MPPMJ sudah tentu mereka yang kalah diperingkat PZ,BKAN dan individu yang tidak menjawat jawatan presiden.Akibatnya badan induk ini
akan diisi oleh orang yang berkepimpinan kelas kedua.

Dengan melaksanakan cadangan ini,iaitu menjadi organisasi pertama yang dibubarkan maka MPPMJ akan mampu diisi oleh mereka yang berkepimpinan tinggi.

2.Meningkatkan Keahlian Mesyuarat Agong Tahunan

Menurut Perlembagaan MPPMJ penggubalan 2007,keahlian MAT adalah 3 golongan
1.Ahli Majlis Mesyuarat MPPMJ
2.Ahli Majlis Tertinggi PZ dan BKAN
3.Mantan YDP (siswa) dan TYDP (siswi)

Seperti yang diketahui oleh semua,MAT adalah satu medan untuk ahli dan pimpinan mengkoreksi pelaksaaan dasar dan program sepanjang tahun.Adalah wajar bagi ahli biasa diberikan ruang untuk mengikuti perjalanan MAT.Mereka juga memiliki hak dalam perbincangan dan pembentukkan dasar baru.

3.Pengundian Terbuka di dalam Pilihan Raya MPPMJ

Satu keunikkan yang terdapat didalam perlembagaan MPPMJ adalah hak pengundian.Ahli biasa tidak mempunyai hak dalam menyatakan pendirian melalui kertas undi siapakah pemimpin yang dikehendaki.Hanya 3 golongan sahaja yang memiliki hak mengundi.Iaitu mereka yang layak ke MAT.Sekiranya ahli diberikan ruang untuk membuang undi,sudah tentu kualiti kepimpinan mampu ditingkatkan.Tidak semestinya orang yang diundi oleh 3 golongan tadi mempunyai pengaruh yang besar dikalangan ahli.

4.Pelaksanaan Projek bersifat global.

MPPMJ perlu terus mengorak langkah dalam mengecapi kejayaan diperingkat antarabangsa dan tempatan.Pembahagian program perlu dilihat dari sudut penglibatan kumpulan sasaran.Dalam usia yang bakal mencecah 10 tahun MPPMJ sepatutnya sudah memiliki satu projek yang bersifat antarabangsa.Program yang mampu membuktikan kemahasiswaan pelajar Jordan.Program yang mampu menghimpunkan pelajar Timur Tengah seperti Mesir,Syria,Arab Saudi,dan sebagainya.Kita tidak memerlukan banyak projek antarabangsa.Cukuplah sekadar satu sahaja untuk ianya diteruskan pada setiap sesi.

Program MPPMJ yang bersifat tempatan pula perlu ditingkatkan.Pada sesi hadapan MPPMJ perlu melaksanakan program bersifat kemasyarakatan yang mampu menjalinkan hubungan pelajar Malaysia dengan pertubuhan pelajar negara lain seperti persatuan pelajar Indonesia,Thailand,dan Filipina yang terdapat di Jordan.

5.Pendaftran Keahlian Melalui MPPMJ

Pendaftaran keahlian MPPMJ seperti lazimnya tahun-tahun sebelum ini adalah melalui PZ dan BKAN.Mereka yang berdaftar dengan PZ dan BKAN automatik menjadi ahli MPPMJ.Kesannya,mereka hanya aktif dalam PZ dan BKAN dengan tidak mengendahkan sebarang perkembangan MPPMJ.Oleh itu saya mencadangkan sistem ini ditukar sepenuhnya.Semua pelajar perlu berdaftar sebagai ahli MPPMJ melalui satu borang khas.Pendaftran ini mampu membuatkan MPPMJ lebih peka terhadap ahli.Ahli MPPMJ juga pasti akan lebih peka terhadap kewujudan MPPMJ.Peranan Setiausaha Agung MPPMJ juga mampu ditingkatkan apabila perkara ini dilaksanakan.

Pelaksanaan sistem ini menunjukkan MPPMJ mengambil berat tentang kewujudan pelajar di Jordan.Pelajar yang tidak mendaftar sebagai ahli MPPMJ pula tidak layak untuk menjadi ahli mana-mana PZ dan BKAN.Kesannya nanti,pelajar Malaysia di Jordan akan menjadi lebih matang dalam melibatkan diri dengan MPPMJ kerana tiada lagi pendaftran secara automatik melalui PZ dan BKAN.

6.Pengutipan Yuran Keahlian

MPPMJ adalah organisasi yang paling lemah dalam pemilikkan kewangan.MPPMJ tidak mampu memiliki nilai wang masuk yang tetap setiap tahun.Anggaran wang masuk sentiasa turun dan naik saban tahun.MPPMJ tidak boleh terus bergantung dengan peruntukkan Jabatan Penuntut Malaysia Jordan (JPMJ).Peruntukkan yang disalurkan oleh JPMJ tidak mempunyai nilai yang tetap.Ketidakstabilan nilai wang masuk ini akan menyukarkan organisasi untuk membuat perancangan tahunan.Semua orang mampu untuk merancang program,tapi tidak semua orang mampu merancang program berdasarkan realiti kewangan dan kemampuan.Contohnya pada bulan Mac tahun 2007 Jabatan Penuntut Malaysia Jordan telah menyumbang sebanyak JD 5750 sebagai peruntukkan tahunan pentadbiran sesi tersebut.Tetapi pada tahun 2004 pula MPPMJ hanya diberikan JD250 sahaja untuk peruntukkan tahunan.Manakala pada sesi 2008 pula MPPMJ telah diberikan peruntukkan sebanyak JD1000.

Oleh itu,pengutipan yuran adalah jalan paling efisyen bagi memperolehi kewangan tetap setiap tahun.Bayangkan jumlah ahli MPPMJ tahun ini adalah sekitar 600 orang.Sekiranya setiap ahli dikutip yuran JD2 ini bermakna MPPMJ sudah mampu untuk mengumpulkan dana sebanyak JD1200.

Penutup

Kesimpulannya,artikel ini sekadar satu pandangan saya terhadap kewujudan MPPMJ semenjak saya berada di Jordan.MPPMJ sepatutnya sudah mencapai kejayaan yang lebih besar jika semua ahli sedar akan hakikat ini.MPPMJ sudah pun berusia 8 tahun,tetapi kita masih tiada sebarang kejayaan yang mampu menaikkan nama pelajar Jordan di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Harapan saya semoga pelajar Jordan tidak terus lena dibuai mimpi tanpa memahami erti kesedaran berpersatuan.Kesedaran yang mampu menggerakkan persatuan pelajar di Jordan benar-benar menjadi medan perjuangan ideologi mahasiswa.

Sabtu, 26 Julai 2008

Sejarah Perpecahan Dalam Islam-Siri 2


Bagaimanakah Bermulanya Perbezaan dan Perpecahan dikalangan Muslimin?

Pada zaman Nabi Muhammad SAW didapati tidak berlaku sebarang perbezaan pendapat atau pandangan.Sebarang masalah yang berlaku pasti akan dapat diselesaikan apabila mereka merujuk pada Nabi SAW.Namun perbezaan yang pertama berlaku menurut sejarah adalah pada hari kewafatan Nabi SAW.

1)Benarkah Nabi Muhammad sudah wafat?
Masyarakat Islam ketika itu ada yang tidak mempercayaai bahawa Nabi SAW sudah wafat.Sebahagian daripada mereka lansung tidak dapat menerima kewafatan tersebut sehinggakan Saidina Umar juga pernah berkata “Barangsiapa yang mengatakan Nabi Muhammad telah mati akan aku bunuh dengan pedangku ini”

Akhirnya peristiwa ini telah diredakan oleh Saidina Abu Bakar.Beliau sendiri telah mengisytiharkan bahawa Nabi Muhammad SAW telah wafat.Maka umat Islam pun dapat menerima khabar sedih ini dengan hati yang terbuka.Walaubagaimanapun ini bukanlah satu contoh perbezaan yang sebenar-benarnya kerana umat Islam ketika itu sedang berada dalam keadaan kecemasan.Mereka sedang berhadapan dengan situasi yang melibatkan manusia kesayangan semua,maka mungkin mereka lemah dalam mengawal emosi hingga lahirlah rasa tidak percaya pada kewafatan Nabi SAW.

2)Dimanakah Nabi Muhammad SAW perlu dikebumikan?
Pendapat pertama mengatakan Nabi SAW perlu disemadikan di Makkah.Pendapat kedua pula mengatakan di Madinah.Manakala kumpulan yang ketiga pula mengatakan di Baitul Muqaddis.Mereka semua mempunyai dalil dan hujjah masing-masing.Sekiranya tidak mampu diatasi akan berlaku perpecahan yang besar kerana semuanya tetap dengan pendirian masing-masing.

Sekali lagi Saidina Abu Bakar membuat keputusan bijak dengan menyemadikan Nabi Muhammad SAW di Madinah.Semua umat Islam mengakui dan menghomati keputusan tersebut.

3)Siapakah yang sepatutnya menjadi Khalifah?
Perbezaan pandangan terus berlaku.Adakah Khalifah perlu diserahkan pada kaum Quraisy ataupun kaum Ansar?Kemudiannya perbezaan ini dapat diatasi apabila mereka bersetuju berbai’ah dengan Saidina Abu Bakar Assidiq.

4)Apakah hukuman orang yang tidak membayar zakat?
Seterusnya berlaku juga perbezaan pendapat,apakah hukuman pada orang yang tidak mahu menjelaskan bayaran zakat?Adakah perlu dibunuh seperti orang yang murtad kerana mereka ini sudah tergolong dalam golongan yang melanggar rukun Islam.Ataupun mereka tidak patut di bunuh selagi mana mereka mengucap 2 kalimah syahadah dan menunaikan solat fardhu?Perbezaan ini kemudiannya diselesaikan dengan mengambil pendapat Abu Bakar Assiddiq iaitu membunuh golongan yang tidak membayar zakat.


Sebab-Sebab berlakunya Perpecahan di kalangan Umat Islam :

Terdapat dua faktor yang mendorong berlakunya perpecahan dikalangan umat Islam ketika dahulu.Dua faktor tersebut adalah Faktor Umum dan juga Faktor Luaran.

Faktor Umum :
Ini adalah faktor asas yang menyebabkan berlakunya perpecahan pada setiap zaman dan tempat.Faktor ini banyak menyebabkan umat Islam semakin lari dan mula meninggalkan amalan Islam yang sebenar.

1-Wujudnya ulama’ yang menyelewengkan aqidah.Setiap perpecahan yang berlaku pasti akan ada ulama’ yang memimpin mereka.Ulama’ inilah yang memainkan peranan dalam memberi fatwa dan membentuk halatuju setiap kumpulan.

2-Kejahilan yang semakin berleluasa.Umat Islam mudah terikut ajaran yang tidak benar kerana kecetekkan ilmu dan pengetahuan mereka terhadap ajaran Islam.

3-Tidak mampu memahami nas Al-Quran dan Al-Hadis dengan betul dan tepat.

4-Perpecahan dan perbezaan pandangan didorongi oleh hawa nafsu.Bukannya perbezaan itu dileraikan dengan mencari persefahaman tetapi dengan membentuk kelompok-kelompok tertentu.

5-Campur tangan pemerintah negara yang bersikap assobiyah(perkauman)

6-Sifat hasad dengki yang semakin menebal.

7-Suka dan minat dalam membuat perkara-perkara bid’ah dan khurafat.

8-Mengagungkan peranan akal dengan mendahulukannya daripada nas-nas syara’.

9-Kesungguhan dalam menyebarkan dakyah-dakyah palsu.

10-Terkesan dengan pengaruh budaya dan pemikiran luar.

Oleh itu semua umat Islam perlulah mengambil perhatian yang kuat kerana 10 sebab inilah yang berlaku sepanjang zaman dan menyebabkan perpecahan sentiasa berlaku.

Faktor Luaran:
1-Percampuran dikalangan umat Islam dengan masyarakat bukan Islam.Hubungan sosial ini akhirnya menyebabkan umat Islam terpengaruh dengan fahaman luar.

2-Terdapatnya gerakan kebudayaan dengan terhasilnya pelbagai buku-buku terjemahan.Buku-buku yang diterjemahkan pula adalah perkara baru yang mampu mengubah minat umat Islam.

3-Umat Islam pada zaman itu terkesan dengan agama-agama mereka sebelum ini.

4-Kemasukkan beramai-beramai masyarakat Arab kedalam Islam.Ada juga yang berniat untuk memecah-belahkan pegangan umat Islam.Kebanyakkan mereka ini tergolong dari kalangan orang Nasrani dan Yahudi.

Khamis, 17 Julai 2008

Artikel untuk Bacaan Bawah 25 Tahun


Kehidupan kita semakin hari semakin meningkat tua.Kita sudah pasti akan melalui zaman bayi,kanak-kanak,remaja,dewasa,bujang,berumah tangga,sehinggalah menjadi warga emas.Semua kitaran ini kita akan lalui satu persatu.

Menurut Kamus Dewan,kanak-kanak adalah golongan yang berumur kurang dari 8 tahun.Remaja pula adalah golongan yang sudah akil baligh.Manakala dewasa pula adalah golongan yang sudah berumah 21 tahun dan keatas.

Kehidupan dari bayi sehingga remaja (sekitar 18 tahun ke bawah) kebanyakan dari kita tidak mempunyai peluang untuk membentuk kehidupan sendiri.Tempoh ini banyak dibentuk oleh autoriti yang dimiliki oleh ibu dan bapa.Ibu bapa berhak untuk menentukan sistem apakah yang diperlukan untuk memberi didikan kepada anak-anak mereka.

Menjelang perubahan dari alam persekolahan ke alam menara gading,ibu-bapa selalunya bersifat lebih terbuka dengan memberikan sepenuhnya autoriti kepada anak mereka dalam menentukan hala tuju kerjaya dan masa depan mereka.

Sekarang ini cuba kita renungkan dimanakah diri kita sekarang?

Imam Hassan Al-Banna telah menubuhkan jemaah Ikhwan Al-Muslimin pada usia 22 tahun.Khalifah Umar Abd.Aziz telah dilantik menjadi Gabenor Madinah pada usia 24 tahun..Anwar Ibrahim telah menubuhkan ABIM pada usia 24 tahun.Nabi Muhammad menggunakan masa kurang dari 25 tahun sejak kerasulan untuk mengubah gaya hidup dunia.Adnan Okhtar pada usia sekitar 22 tahun telah memiliki lebih kurang 12 orang pengikut setia dalam memperjuangkan kritikan terhadap Teori Evolusi.Azlan Zainal pada usia 23 tahun telah menubuhkan Parti Mahasiswa Negara.

Mereka semua adalah individu yang telah mengorban masa mudanya untuk memperjuangkan agama dan nilai kebenaran.Akhirnya kesan dari usaha gigih keremajaan mereka banyak kesedaran dan kejahilan mampu dikejutkan.Kenapa kita masih mahu membiarkan mereka sahaja yang memilik kualiti keremajaan?

Sebagai pengajarannya,lihatlah berapa umur kita sekarang?Anda yang berumur 20 tahun sekarang mempunyai baki hanya 5 tahun untuk meletupkan perjuangan.Anda yang berumur 21 tahun berbaki hanya 4 tahun sahaja untuk mencipta keajaiban.Anda yang berumur 22 tahun berbaki hanya 3 tahun sahaja dan begitulah seterusnya.Marilah sama-sama kita meningkatkan kualiti masa muda kita bagi menjamin kesejahteraan masyarakat.Gegarkanlah dunia dengan amalanmu.Wassalam.

Sabtu, 12 Julai 2008

Teori R.A.H.M.A.N


Satu Malaysia baru-baru ini dikejutkan dengan pengumuman terbuka Pak Lah untuk mengundurkan diri pada pertengahan 2010.Sudah tentu ini adalah berita gembira untuk semua pejuang pengunduran Pak Lah.Cuma saya berminat hendak mengaitkan pengumuman ini dengan beberapa perkara.

Sejak membaca berita pengumuman tersebut saya seperti merasa sesuatu dengan Pak Lah.Saya berpendapat Pak Lah sekarang sedang melakukan agenda tersembunyi.Antaranya :

1)Meraih Undi:

Pak Lah sedang meraih undi untuk melayakkan beliau terus memimpin UMNO akan datang.Walaupun beliau sendiri yang meletakkan tempohnya,saya menganggap sudah tentu pasukan Najib sudah memperlahankan proses memancing perwakilan.Apa yang perlu diberi perhatian adalah Ku Li.Dia pastinya tidak mempedulikan pelan peralihan kuasa tersebut.
2)Takut Kalah

Sudah tentunya Pak Lah takut kalah pada pemilihan UMNO akan datang disember ini.Sebab itulah beliau cepat-cepat mengumumkan pelan ini.Pak Lah sendiri mengakui beliau tidak mahu peralihan kuasa berlaku secara pemilihan dalam parti.Kalau beliau berani beliau tidak akan mengumumkan pelan ini.Beliau akan terus menghadapi UMNO dengan segala kekuatan yang ada padanya.Pak Lah sendiri ibarat sudah menjamin kedudukannya dalam UMNO untuk tempoh 2 tahun.

3)Benarkah Akan Berlaku Peralihan Kuasa?

Satu lagi persoalan yang timbul dalam benak pemikiran saya.Benarkah akan berlaku peralihan kuasa dalam tempoh 2 tahun dari sekarang?Saya sentiasa meragui perjuangan Pak Lah.Dulu dia sibuk memperjuangkan Islam Hadhari.Sekarang macam berkubur.Dulu sebelum pilihan raya kata tak nak naik harga minyak.Sekarang dah naik.Isu minyak belum sampai setahun dah mungkir janji.Inikan pula isu jawatan dan kuasa?Anda pun mungkin akan bersifat prejudis seperti saya.

4)Benarkah Najib Pengganti Beliau?

Satu lagi yang mungkin boleh dipersoalkan.Dua tahun macam-macam boleh terjadi.Najib namanya begitu kontroversi sekarang.Dalam masa 2 tahun Pak Lah berpotensi mencari pengganti baru beliau.Pengganti yang lebih suci dari Najib.Pak Lah baru memiliki seorang TPM.Tetapi Mahathir sendiri sudah memiliki 4 orang TPM.Pak Lah juga layak dan berpotensi untuk melakukan perkara yang sama macam Mahathir iaitu memiliki TPM lebih dari seorang.

Disin saya juga berminat nak mengaitkan situasi Najib ini dengan teori R.A.H.M.A.N.Teori ini saya belajar masa sekolah rendah dulu.Cara-cara hendak menghafal nama PM Malaysia mengikut turutan.R untuk Tunku Abd.Rahman.A untuk Abd Razak.H untuk Hussien Onn.M untuk Mahathir.A untuk Abdullah.N untuk siapa?

Saya mempelajari teori ini semasa Abdullah belum dilantik lagi sebagai PM.Sewaktu itu saya menjangkakan Anwar Ibrahim yang akan menggantikan Mahathir.Tetapi bertukar kepada Pak Lah.Dan cukup mengejutkan saya Pak Lah benar-benar menepati teori RAHMAN tersebut kerana nama beliau bermula dengan huruf A.Sekarang hanya tinggal Najib sahaja yang perlu menggenapkan teori RAHMAN ini.Ataupun akan lahir satu wira dalam UMNO dalam tempoh 2 tahun ini yang namanya bermula dengan huruf N.

Itupun kalau UMNO yang masih diperlukan rakyat dalam mentadbir negara.Mungkin juga "N" itu datangnya dari luar UMNO.

P/s : Tidak mustahil juga teori RAHMAN bertukar kepada RAHMAT?Siapa T?mungkin Tengku Razaleigh Hamzah.Saya tak berminat dengan dia.



Berani Bercakap atau Bercakap Berani?

Saya berminat untuk membincangkan tajuk ini kerana saya memandang fenomena mahasiswa masakini yang tidak berani bercakap malahan bercakap dengan tidak berani.

Sebelum itu lebih elok sekiranya kita fahami maksud cakap dan berani.Menurut kamus Dewan Bahasa Edisi ke-3 dan Kamus Pelajar,istilah cakap bermaksud bicara,kata,ujar,dan sebut.Manakala berani pula bermaksud gagah,perkasa,tabah,cekal,garang dan tidak takut bahaya.

Secara keseluruhannya istilah “Berani bercakap” boleh disifatkan sebagai keupayaan dan kemampuan yang dimiliki oleh seseorang untuk bercakap.Ianya adalah kekuatan yang dimiliki oleh individu untuk mempertuturkan kehendak atau pandangan peribadi.

“Bercakap berani” pula bermaksud keupayaan dan kemampuan yang dimiliki seseorang untuk menyampaikan kata-kata dengan berani.Berani adalah sifat yang hadir selepas istilah bercakap.Sifat adalah sesuatu yang boleh berubah.Boleh jadi bercakap kuat.Mungkin juga bercakap perlahan.Mungkin juga bercakap kasar dan sebagainya.

Kesimpulannya dua pernyataan tersebut adalah berbeza.Sesetengah orang berani bercakap tetapi percakapannya terketar-ketar dan takut.Ada pula orang yang mempunyai kebolehan bercakap dengan penuh tegas,berani dan garang tetapi tidak berani untuk meluahkannya.Jadi apakah yang perlu ditekan pada mahasiswa?Mahasiswa berani bercakap atau mahasiswa bercakap berani?Apakah cukup kita hanya memiliki mahasiswa yang berani tanpa ada keupayaan bercakap?Apakah cukup kita hanya memiliki mahasiswa yang mampu bersuara tetapi tidak berani dan takut?

Sesetengah pihak berpendapat mahasiswa perlu dididik dengan kemahiran menyampaikan ucapan dan pendapat dengan penuh berani dan memikat.Maka perlulah diadakan program debat,pidato dan syarahan.Mahasiswa yang berkebolehan ini kemudiannya diletakkan ditengah-tengah masyarakat untuk memberi satu kesan tujahan yang baru.

Ada juga yang berpendapat mahasiswa perlu diberi penekanan tentang keberanian yang jitu sehingga tidak gentar untuk berhadapan dengan sesiapa sahaja.Maka perlulah mahasiswa mengikuti program jatidiri,pembinaan jiwa,memasuki hutan belantara dan sebagainya.Mahasiswa ini yang penuh dengan nilai keberanian dan jatidiri yang kuat akhirnya juga akan diletakkan didalam masyarakat untuk memberi nilai baru berdasarkan keberanian dan jatidirinya yang kuat.

Walaubagaimanapun bukanlah diruangan ini untuk kita bahaskan tentang permasalahan tadi.Dikesempatan ini apa yang lebih penting adalah menyatakan teori apa yang boleh digunakan untuk melahirkan mahasiswa yang berani bercakap dan bercakap berani?

Saya berpendapat untuk membentuk keberanian bercakap seseorang itu perlulah :

1-Membuang atau mengurangkan pergantungan
Biasanya seseorang itu merasa takut untuk bercakap kerana sentiasa bergantung dengan pihak yang lain.Pergantungan ini termasuklah jawatan,pangkat,gaji,pinjaman dan sebagainya.Pekerja takut menegur majikannya kerana bimbang dibuang kerja.Sekiranya kita adalah majikan,sudah tentu kita mempunyai keberanian untuk menegur.Tak mungkin majikan dibuang kerja oleh pekerjanya.

2-Mengenali pendengar
Orang yang bercakap perlulah mengenali pendengar dengan tepat.Siapakah pendengar kita?Apakah tugasnya?Apakah bidang kuasanya?Dimanakah dia berkuasa?Banyak lagi yang perlu dikenali supaya kita tahu tahap keupayaan dan kekuatan pendengar.

3-Menilai risiko
Setelah kita mengenali pendengar kita perlulah menilai risiko yang akan kita hadapi sekiranya kita bercakap untuk menyatakan pendapat atau idea.Adakah risiko itu mesti dielakkan?Adakah risiko itu boleh diatasi?Adakah risiko itu betul-betul nyata atau acahan sahaja?

4-Membina sokongan
Seterusnya seseorang itu seharusnya membina sokongan.Sokongan inilah yang mendorong kita untuk meneruskan keberanian.Biasanya seseorang itu merasa takut kerana tiada sokongan.Akhirnya keberanian itu terkubur kerana malu tiada sokongan.

5-Melalui saluran yang betul
Akhirnya perkara yang paling penting adalah menggunakan saluran yang betul.Orang yang berani tetapi menggunakan saluran yang tidak tepat sebenarnya menunjukkan kebodohannya.Berani bersuara dibelakang tetapi bila disediakan pentas dan ruang merekalah yang paling senyap menikus.

Disini juga saya senaraikan beberapa ciri-ciri yang boleh kita klasifikasikan sebagai bercakap berani.Saya meanalogikan sifat berani itu dengan seorang pahlawan.Pahlawan yang berani mestilah sentiasa kehadapan,bijak,betul,menyerang,bertahan,peka dan memikat.Oleh itu dapat disimpulkan seseorang yang bercakap dengan berani mestilah memiliki ciri-ciri berikut:
1-Kehadapan
Orang yang bercakap dengan penuh berani mestilah berhadapan dengan pendengar.Apabila bercakap memperkenalkan diri dan sentiasa memastikan pendengar mampu melihat siapa dirinya.Orang yang penakut sahaja selalu bercakap dibelakang.

2-Betul dan Bijak
Setiap kata-kata yang disampaikan mestilah betul dan bijak.Percakapan yang betul mestilah berdasarkan bukti dan dalil yang kuat.Setiap isi pula perlu disampaikan dengan tersusun bijak.Mengikut langkah dan keutamaan.

3-Menyerang dan bertahan.
Pahlawan yang berani tahu keadaan yang perlu diserang dan keadaan yang tak perlu serang.Oleh itu kita juga perlu memahami situasi kita.Adakah semua permasalahan perlu “diserang”?Kita juga perlu bijak bertahan apabila diserang.

4-Peka
Mahasiswa yang berani perlu peka dengan keadaan sekeliling seperti pahlawan yang sentiasa sensitif dengan gerakan musuhnya.Kerana kepekaan itu yang menggerakkan sesuatu.

5-Memikat
Pahlawan yang berani sentiasa berperibadi memikat.Gerak langkahnya sentiasa diperhatikan kawan dan lawan.Oleh itu setiap percakapan yang berani perlu dilafazkan dengan gaya yang memikat pendengar.

Kesimpulannya saya mengharapkan semua pembaca mampu memahami idea tersebut.Kita perlu sedar bahawa mahasiswa sekarang ketandusan orang yang berani bercakap dan juga orang yang bercakap dengan berani.Semua teori dan ciri-ciri tersebut perlu digarapkan sekali.Semua sumber yang ada perlu digerakkan untuk membentuk mahasiswa yang BERANI BERCAKAP BERANI.

Ahad, 6 Julai 2008

Badawisme vs Badwisme

Fahaman Badawisme Malaysia adalah satu aliran pemikiran yang agak-agak baru.Fahaman ini tidak disedari pada bilakah ianya mula diasaskan.Kemungkinan pada 2003 iaitu tahun Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi dilantik menjadi Perdana Menteri.Walaubagaimanapun penulis menganggap fahaman ini tidak diasaskan oleh beliau sendiri secara lansung.Ianya kemungkinan diada-adakan oleh pengkritik-pengkritik beliau.Jadi saya cuma mengolah kritikan yang diterima oleh beliau supaya membentuk karangan bersifat ini.


Berikut adalah ciri-ciri fahaman Badawisme Malaysia:


1-Saya tidak tahu.
Ini adalah kritikan pertama terhadap beliau.Ramai pengkritik menganggap beliau sering menjawab "Saya tidak tahu".Beliau selalu menjawab demikian ketika ditanya soalan oleh wartawan.Parti pembangkang pernah menganggap beliau sebagai serba tidak tahu.Tapi mungkin ini strategi beliau supaya wartawan tak tanya lebih-lebih.Cubalah anda berkelakuan seperti ini.Insyaallah orang pun malas nak bercakap dengan anda.


2-Katakan Ya
Beliau seperti seorang bapa yang memiliki anak berumur 2 tahun.Anak yang tidak mumayyiz,tidak baligh,tidak mengerti apa-apa.Semua tindak-tanduk bapa mesti dipersetujui.Harga minyak dah naik,lepas tuh baru bawak masuk bincang dalam parlimen.Siap mintak semua wakil rakyat setuju.Kelakar pulak.Sepanjang saya belajar persatuan mana boleh orang buat macam nih.Mahukan orang lain mengakui keputusan.Kalau bapak kata B mesti jawab B.Jangan jawab C.Mana tak nye..Sanusi Junid pun dah kena pecat dari Presiden UIA sebab isytihar keluar UMNO.
Tengok http://amierwan.multiply.com/journal/item/17/TIADA_LAGI_SANUSI_DI_UIA

3-Sayang Menantu
Pengkritik selalu mengkaitkan beliau dengan menantunya Khairy Jamaluddin.Menantunya seperti menjadi pemain remote.Bayang-bayang bagi setiap keputusan kerajaan.


4-Tidur
Beliau selalu kantoi tidur semasa menjalankan tugas.Sama ada semasa jadi PM ataupun Presiden UMNO.Mungkin kekurangan tidur yang memaksa beliau tidur diwaktu menjalankan tugas.Kemungkinan juga beliau tidak tidur kerana menjalankan tugas menyebabkan beliau tidur semasa menjalankan tugas.


Itulah serba sedikit bentuk fahaman Badawisme di Malaysia.Pastikan anda bukan pengikut aliran ini.Orang tanya jangan jawab tak tau je.Pastu jangan paksa-paksa orang ikut cakap kita.Sudah ada menantu esok..jangan sayang sangat,waktu kerja pulak jangan tidur.

Badwisme di Jordan

Badwi adalah satu kelompok masyarakat asli di Jordan.Mereka bolehlah disifatkan seperti demikian :-

1-Hidup berpindah-randah

Masyarakat Badwi tidak pandai hidup secara kekal.Mereka akan berpindah dari satu kawasan ke satu kawasan yang lain.Perpindahan mereka berdasarkan faktor cuaca.Maklumlah di Jordan ni 4 musim.Jadi lain musim lainlah rumahnya.Masyarakat Malaysia kat Jordan pun terkesan dengan Badwisme ini.Tapi perpindahan mereka disebabkan oleh Tuan Rumah yang berlagak nak naikkan sewa rumah.Ada jugak sebab kena halau.Ada jugak sebab anak tuan rumah nak kahwin.Ada jugak sebab bekalan air yang selalu putus.Cubalah tanya pelajar Malaysia di Jordan berapa kali pindah?paling sikit 2.Paling banyak setahun sekali.Cukup belajar 4 tahun 4 kali berpindah.Saya sendiri 3 tahun belajar sudah 2 kali pindah rumah.

2-Tidak Mandi

Masyarakat Badwi sukakan kehidupan yang kotor.Pakaian lusuh,makanan dikutip tepi jalan,badan busuk sebab tak mandi.Macam tu jugaklah budak Malaysia kat Jordan.Bukannya mandi pun.Sebab tidak ade benda yang mewajibkan mandi.Lagipun air kat Jordan bukanlah melimpah-limpah macam kat Malaysia.Kalau dah wajib mandi baru mandi.(paham2 jela).Lagipun bukan Badwi je tak mandi,Arab moden pun tak mandi.Gosok gigi pun tak inikan pulak mandi.Jadi faktor sekeliling yang membuatkan ramai pelajar mengambil inisiatif tak payah mandi.

3-Meminta-minta Sedekah

Kebiasaan peminta sedekah di Jordan ni adalah masyarakat Badwi.Mereka akan ikut kita sampai dapat duit.Baju ditarik,tangan dipegang,sampai lah dapat duit.(subsidi).Samalah kita...minta duit sana,mintak duit sini,mintak zakat lah,mintak pinjaman lah,mintak biasiswa lah,macam-macam.Saya pun baru je meminta Majlis Agama Islam N.S (MAINS) supaya meluluskan bantuan kewangan saya untuk tahun ke-3.

Kelakar jugak kan..Badawisme Malaysia saya rasa pelajar Malaysia kat Jordan nih takde pulak yang nak ikut.Tapi Badwisme Jordan boleh kata semua ikut dan terpengarauh.Kesimpulannya,bukanlah niat penulis nak membezakan Badawisme dan Badwisme.Cuma hendak meningkatkan daya tajam kritikan.he2.Seronok mengkritik.Tulisan tanpa kritikan ibarat lauk tanpa garam.

Sejarah Perpecahan Dalam Islam - Siri Satu

Dunia Islam semakin hari semakin jauh dengan erti persaudaraan dan perpaduan.Umat Islam sudah mula melupakan saudara seagama masing-masing.Mereka cuma hidup dalam kelompok sendiri tanpa mempedulikan nasib umat Islam didunia luar.Keutamaan peribadi mendahului kepentingan agama.Mereka yang cuba mengembalikan kegemilangan Islam digelar pelampau.Percubaan meletakkan Islam ditempatnya yang asal juga dianggap kerja yang tidak berfaedah.Malah pejuang kebenaran dan keadilan dianggap pengkhianat dan pengancam keselamatan negara.

Inilah kesan yang dirasai oleh kita sekarang sejak bermulanya perpecahan dalam Islam.Sifat kejiranan meluntur.Bantu-membantu menjadi asing.Individualistik menjadi ikutan.Mungkin inilah pendahuluan yang boleh saya berikan sebelum kita masuk ke tajuk sebenar Sejarah Perpecahan dalam Islam.Artikel ini adalah ringkasan penulis daripada kelas pengajian di Universiti Mu'tah yang menggunakan buku bertajuk Al-Firaq Fi Tarikh Al Muslimin.

Allah Melarang Umat Islam Berpecah

Firman Allah SWT : Surah Al-An’am : Ayat 153 yang bermaksud :

“Dan sesungguhnya ini adalah jalanKu yang lurus,maka ikutilah jalan tersebut.Dan janganlah kamu mengikut jalan-jalan yang lain (agama/kepercayaan selain Islam,segala macam bid’ah dan jalan-jalan yang tidak benar) kerana jalan itulah yang akan memecah-belahkan kamu dari jalanNya.Itulah yang diperintahkan kepadamu agar kamu bertaqwa.”

Firman Allah SWT : Surah Al-An’am : Ayat 159 yang bermaksud :

“Sesungguhnya orang-orang yang memecah-belahkan agamanya,dan mereka tidaklah engkau bertanggungjawab ke atas mereka.Sesungguhnya urusan mereka terserah kepada Allah SWT.Kemudian Allah SWT akan memberitahukan kepada mereka apa yang telah mereka lakukan”

Firman Allah SWT : Surah Ali’Imran : Ayat 103 yang bermaksud :

“Dan berpegang teguhlah pada tali (agama) Allah,dan janganlah kamu bercerai-berai/berpecahbelah.”

Nabi Muhammad SAW Melarang Umatnya Berpecah-Belah

Menurut hadis riwayat Abdullah Ibnu Mas’ud :
Suatu hari Nabi Muhammad SAW telah melukiskan satu garisan pada kami seraya bersabda (Inilah jalan Allah).Kemudiannya Nabi SAW melukiskan pula beberapa garisan disebelah kanan dan kiri garisan tadi seraya bersabda pula (Inilah jalan-jalan yang terdapatnya syaitan yang sentiasa mengajak padanya)Setelah itu Nabi SAW terus membacakan ayat Al-Quran (Surah Al-An’am:153)

Hadis yang kedua daripada Muawiyah bin Abu Sufyan berkata :

Nabi SAW berada bersama-sama kami dan bersabda:(Ketahuilah sesungguhnya Ahli Kitab sebelum kamu telah bercerai kepada 72 pecahan.Sesungguhnya agama ini akan bercerai kepada 73 pecahan.72 pecahan daripadanya akan berada di neraka.Dan 1 pecahan sahaja akan berada didalam syurga.Mereka itu adalah jamaah.)

Ulama menggelarkan hadis ini sebagai Hadis Iftiraq (Perpecahan).Terdapat pelbagai perbahasan yang diperbincangkan berkaitan hadis ini iaitu hadis yang kedua sebentar tadi.

1)Apakah yang dimaksudkan dengan bilangan (72 pecahan) tersebut?

Ulama menyifatkan bilangan tersebut bukanlah bermaksud 73 yang sebenarnya.Sebabnya kita sendiri tidak mampu membilang jumlah pecahan yang berlaku dari zaman kewafatan Nabi SAW sehingga kini.Perpecahan berlaku bukan pada satu-satu zaman sahaja.Malahan setiap zaman berlaku perpecahan.Jika kita menghitung bilangan pecahan maka sukar untuk kita mendapatkan bilangan tersebut secara tepat.Boleh jadi pecahan tersebut terlebih dan juga terkurang.Oleh itu ulama menyifatkan bilangan tersebut adalah satu amaran keras dari Nabi SAW kepada umatnya.Perhatian serius perlu diberikan pada kejadian perpecahan tersebut bukannya bilangan pecahan yang berlaku.

2)Siapakah satu pecahan yang menuju ke syurga?Siapakah Jamaah tersebut?

Sebagai orang Islam yang sentiasa berharap,maka ulama tidak membenarkan kita menentukan siapakah Jamaah tersebut.Pecahan yang satu ini adalah satu kelompok yang tidak diketahui siapakah mereka,bilangannya,dimanakah asalnya dan tidak juga ditentukan Nabi SAW cirri-ciri mereka.Semua pecahan atau kumpulan berpotensi menjadi Jamaah.Cuma kita perlu sentiasa berdoa tergolong dalam kelompok yang satu ini.

3)Apakah maksud Nabi SAW (Semuanya -72 pecahan- ke neraka kecuali satu sahaja)

Menurut AsSyatibi kata-kata Nabi SAW ini adalah satu janji pembalasan di akhirat kelak dan bukannya satu gurauan atau keraguan.Mereka adalah orang yang berada dalam dosa besar (Ahli Kabair) kerana telah melakukan perpecahan.Apa yang lebih utama kita dilarang menentukan siapakah kelompok yang ke neraka.Kerana amaran Nabi SAW bersifat umum (ijmali) bukanya berbentuk khusus.

Adapun terdapat kelompok yang sudah jelas lari dari Rukun Islam dan Iman kita wajar menghukum mereka dengan gelaran kafir sebagai satu peringatan kepada masyarakat.Ada juga ulama’ yang melarang menghukum dengan gelaran kafir tetapi cukup dengan menggelar mereka sebagi Ahli Bid’ah,Ahli Ma’siah,atau Ahli Kabair…wassalam.bersambung.

Sabtu, 5 Julai 2008

PROTES


Rasailah kehangatan PROTES.Berpakaian warna merah ke Universiti.Memang melucukan tapi andalah bakal pengguna minyak di Malaysia kelak.Kita bukan menentang kerajaan kita cuma menunjuk perasaan.Ibu-bapa kami bukannya pengeluar minyak.Dengarlah suara rakyat...

Anda boleh menghentam individu…

Artikel ini adalah satu pemerhatian saya terhadap banyak bahan penulisan.Saya seperti sedang mencari beberapa formula untuk menawan hati pembaca.Proses penawanan hati pembaca merupakan satu kerja yang paling sukar.Ramai orang suka menulis.Tapi bolehkah penulisannya menawan pembaca.Kemungkinan pembaca hanya membaca tajuk sahaja.Kemudian terus ditinggalkan.

Kerap juga saya membaca artikel kawan-kawan tapi sukar sungguh untuk menawan hati saya.Dahulu kita pernah diajar kaedah untuk membuat karangan yang bagus.Saya masih ingat lagi kaedah tersebut.Karangan mestilah mengandungi 6 perenggan.2 perenggan untuk pendahuluan dan penutup.4 perenggan lagi adalah untuk isi penting.

Setelah terlibat dalam dunia blog ni,persoalan yang selalu bermain dalam fikiran saya adalah adakah orang akan membaca semua tulisan kita?Kalau orang tak baca,buat apa kita menulis.Sudah pastilah erti sebuah penulisan pada yang membaca.Kalaulah hajat kita menulis supaya orang tidak membaca lebih baik tulis dalam buku je.Sudah siap menulis tutup terus.Tak payah pening-pening nak fikir orang baca ke tidak.

Untuk itu saya ingin berkongsi dengan kawan-kawan beberapa teori untuk menawan pembaca.Teori ini adalah kesimpulan awal pemerhatian saya,dan bukanlah suatu yang muktamad tetapi harapnya boleh membantu anda.Saya banyak merujuk artikel pemberita hiburan kerana saya yakin penulisan mereka pasti ramai pembaca.

1-Gunakan tajuk yang -indah khabar dari rupa-

Cuba teliti penulisan yang dibuat wartawan hiburan.Selalu mereka menggunakan tajuk yang boleh di ertikan sebagai indah khabar dari rupa.Contohnya “Fasha Sanda dilamar…”tetapi sebenarnya bukan dilamar untuk kahwin tapi dilamar untuk berlakon.

2-Menulis isu semasa/perkembangan terkini

Ini pula teori cadangan.Anda mungkin boleh menjadi seperti Harakahdaily,Utusan Malaysia,Berita Harian,Malaysia Kini dan lain-lain.Anda bayangkan sekiranya semua web diatas tidak menceritakan perkembangan terkini/isu semasa siapa yang akan melawat web tersebut.Jadi pengajarannya adalah carilah isu semasa atau apa-apa permasalahan semasa.

3-Menghentam kelompok/individu tertentu/gossip liar

Teori ini paling bahaya tetapi mungkin paling berjaya.Mudah sahaja cari individu tertentu,kemudian hentamlah dia.Buatlah gossip liar.Memang penulisan anda akan popular.Nak lagi cepat popular hentamlah orang yang popular.Hentam Pak Lah,Khairy Jamaludin,Lim Kit Siang,Nik Aziz,Anwar Ibrahim,Us.Asri Zainal Abidin,atau sesiapa sahaja.Hentam artis pun boleh.Erra Fazira,Fasha Sandha,Piere Andre,Mas Idayu dan lain-lain.Wartawan selalu guna teori ini untuk melariskan jualan akhbar terbitan mereka.Oleh itu anda boleh menghentam individu kalau betul-betul nak jadi popular.

4-Menulis perkara yang menyonsang atau melawan arus.

Teori ni pun bahaya jugak.Kalau tadi hentam orang,kali ni anda buat pula perkara yang berlawanan arus.Kalau kerajaan nak naik harga minyak anda cakap nak turunkan.Bab agama pun orang selalu guna strategi ini.Contoh yang paling mudah adalah artikel Astora Jabat tentang tiada azab kubur.Buku tulisan Shahnon Ahmad pun popular jugak bertajuk SHIT.Cari idea yang menyonsang kemudian tulis.

Kesimpulan

Walaubagaimanapun ini adalah teori ringkas untuk menawan pembaca.Tetapi saya merasakan ini cuma teori untuk menjadi popular ataupun cara-cara mudah untuk terus melonjakkan nama blog anda.Bukannya teori untuk menawan hati pembaca.Seperti yang saya katakan tadi,ini cuma kesimpulan awal terhadap pemerhatian saya.Saya juga tidak pernah mempraktikkan teori ini sebab banyak sangat bahayanya.

P/s : Ilmu ini boleh diamalkan oleh orang yang memahami erti ilmu yang tidak boleh diamalkan.

Mu'tah Dilema

Setiap tempat diserata dunia pasti mempunyai budaya dan adat yang tertentu.Masyarakat Asia dikenali dengan budaya lemah lembut dan sopan santun.Kelembutan masyarakat Asia sememangnya diakui oleh kaum Arab sendiri.Buktinya jelas apabila mereka banyak menggunakan khidmat tenaga pekerja Indonesia dan Filipina untuk menjadi pembantu rumah dan baby sitter.

Namun,saya merasakan semua pembaca sudah pun maklum akan hal ini.Cuma apa yang ingin saya utarakan dalam artikel ini adalah tentang budaya dan adat pelajar-pelajar Melayu yang sedang menuntut di Universiti Mu’tah.

Kritikan ini bukanlah satu rekaan tetapi inilah realiti yang sedang berlaku di perkampungan Mu’tah.Mu’tah adalah sebuah perkampungan yang berada dalam Muhafazah Karak,Jordan.

Secara lebih jelas lagi budaya pelajar Universiti Mu’tah ini bolehlah dinamakan sebagai budaya “M”.Mu’tah dilema ini sebenarnya sudah lama menular dikalangan pelajar Melayu cuma mereka sahaja yang tidak perasan.Budaya M ini juga sebenarnya bertepatan dengan huruf pertama daripada perkataan Mu’tah.Berikut saya senaraikan beberapa budaya M yang sepatutnya menjadi iktibar kepada semua pembaca.

1-Main
Pelajar Mu’tah memang terkenal dengan budaya kuat main.Tidak kiralah apa sahaja,sama ada bola sepak,sepak takraw,futsal,play station dan sebagainya.Minat bersukan adalah perkara yang positif dan wajar diamalkan semua orang.Walaubagaimanapun sekiranya terlalu kerap sangat bermain ia adalah satu satu perkara yang tidak baik.Persatuan pula terpaksa meraikan sikap ahli yang terlampau suka bermain.Akibatnya lahirlah pelbagai bentuk program yang santai dan bersahaja.Program yang berbentuk pembentukkan minda dan mentaliti pastinya mendapat sambutan yang hambar.

2-Makan
Satu lagi budaya M adalah makan.Semua program mesti disediakan makanan.Sekiranya makanan tidak disediakan maka sedikit sahaja yang akan hadir.Kadang-kadang program yang menyediakan makanan yang kurang enak juga dikomen.Pihak penganjur terpaksa menyediakan peruntukkan yang cukup besar bagi memenuhi kehendak pemakanan ahli.Iklan pasti akan menyebut “makanan yang lazat dari chef terkemuka akan disediakan.”Walauapapun makanan tetap penting untuk menjamin kelansungan hidup.

3-Manja
Sikap ini memang satu perkara yang cukup sensatif disentuh.Semestinya sebagai seorang yang sudah besar dan dewasa kita merasa sukar untuk menerima teguran dan kritikan.Teguran dipandang satu penghinaan yang teruk.Lalu timbullah sikap prejudis terhadap seseorang.Orang itu syadid.Orang ini tak syadid.Saya pun tak tahu betul ke tak istilah tersebut ,yang penting sampai sekarang saya masih menganggap pelajar Mu’tah manja.Manja yang tidak kena pada tempatnya.Kalau bermanja pada tempat yang betul apa salahnya.

4-Melenting
Satu lagi budaya M yang saya nak kupas iaitu melenting.Sifat keanak-anakan ini memang berkait rapat dengan sifat manja.Mereka yang bersifat manja akan menunjukkan sifat tak berpuas hati.Seperti merajuknya seorang anak terhadap ibu bapanya atau isteri kepada suaminya.Anak-anak akan jalan menghentak-hentak kaki , menutup pintu dengan kuat ataupun menangis bila dimarahi.Melenting atau melantunnya pelajar Mu’tah ini ditunjukkan melalui mimik muka,tidak hadir dalam program,surat layang,membuat-buat cerita dan sebagainya.Saya sebenarnya suka melihat orang melenting atau melantun.Lucu dan menghiburkan.Mana tidaknya disitulah terserlah peribadi keanak-anakan walaupun sudah berada di luar negara.

5-Malas
Malas ni macam-macam boleh disebutkan.Malas pergi kelas,malas basuh baju,malas mandi,malas study ,malas pergi Mesyuarat Agong dan malas yang bermacam-macam.So,no comment lah..

Penutup
Mungkin pandangan saya ini menimbulkan kemarahan sesetengah pihak.Mungkin juga membuatkan seseorang merasa gelihati dengan gelagat pelajar Mu’tah.Saya merasakan budaya M ini bukanlah kerana mereka pelajar Mu’tah.Kemungkinan ini adalah Malay Dilema? atau pun Mahasiswa Dilema?Dimana puncanya sama-samalah kita cari.Budaya dan adat adalah satu perkara yang boleh diubah.Cuma ianya memerlukan pengorbanan dan kesungguhan dalam membuang sikap dan budaya yang buruk.

Rabu, 2 Julai 2008

Mari miliki KUASA


"Kuasa adalah satu kebolehan untuk menggerakkan sesuatu perkara.Kuasa juga adalah kebolehan untuk menghentikan sesuatu perkara"

Lampu isyarat mempunyai kuasa untuk menghentikan kenderaan yang sedang bergerak.Ia juga mampu menggerakkan kenderaan yang sedang berhenti.Andai kata suatu hari nanti lampu isyarat ini sudah tidak mampu untuk melaksanakan tugasnya maka bolehlah dianggap lampu ini sudah tidak mempunyai kuasa.Maka pada saat itulah kita perlu menggantikannya supaya tugas tersebut masih boleh dijalankan.

Tidak mustahillah jika kita perhatikan ketika berlaku kesesakkan lalu lintas yang melampau,polis trafik pasti akan mengambil alih tugas lampu isyarat.

Sekiranya seseorang itu sudah tidak mampu untuk menjalankan yang hak dan menghentikan yang bathil adakah kita masih mahu mengharapkan padanya?Apakah kita masih menganggap mereka sebagai pihak berkuasa?Apakah tiada detik didalam hati kita untuk menukar mereka?

Nantikan buku bertajuk "KUASA"...buku yang akan ditulis oleh saya sendiri insyaallah.Sebenarnya cita-cita untuk menulis buku ini lebih lama daripada menulis dalam blog.Apalah ade dalam blog nih (dalam nada sindiran)

Buat adik-adik kesayangan

"Alangkah baiknya menjadi orang yang penting,tetapi lebih penting untuk menjadi orang yang baik"

Selasa, 1 Julai 2008

Rakyat Berjiwa Pemimpin


Sejarah telah membuktikan rakyat sebenarnya menyintai pemimpin yang berjiwa rakyat.Sesiapa yang menjadi pemimpin dan menunjukkan lagak seperti rakyat akan terus disokong dan disayangi oleh rakyat.Buktinya rakyat Malaysia sering melaung-melaungkan slogan pemimpin berjiwa rakyat.Mereka menuntut pemimpin mereka sentiasa mendampingi rakyat.Mereka mahukan pemimpin yang boleh tidur sebantal,makan sedulang,sendawa kenyang seirama dan sebagainya.Mereka juga pastinya kecewa apabila pemimpin yang mereka harap-harapkan menghilang setelah memenangi pilihanraya.Isu ini seringkali timbul apabila menjelang pilihanraya.Ketika pilihanrayalah wajah pemimpin kesayangan turun padang memancing undi.Ketika itulah mangsa banjir ditolong,majlis gotong royong diadakan,anak kecil didokong calon bertanding dan bermacam-macam ragam dapat disaksikan.Maka saat itulah semua janji ditaburkan untuk memastikan kemenangan dapat dicapai.Persoalannya sampai bilakah rakyat mahu menuntut pemimpin sebegitu?Dan sampai bilakah rakyat hendak dipermainkan dengan taktik yang tidak adil seperti ini?
Rakyat Ditipu,Pemimpin Berjiwa Rakyat Sudah Tiada

Hakikatnya rakyat Malaysia seperti tidak sedar akan fenomena ini.Mudah sahaja terpedaya dengan pujuk rayu dan pancingan bakal “YB” yang menunjukkan sikap berjiwa rakyat.Sekarang ini bukanlah masanya untuk kita menuntut seorang pemimpin yang berjiwa rakyat.Apa yang lebih penting adalah usaha untuk menerapkan slogan baru iaitu “Rakyat Berjiwa Pemimpin”.Kita perlu mengejar dunia realiti.Mengharapkan seorang pemimpin berjiwa rakyat sekarang ini adalah dunia fantasi dan igauan sahaja.Mampukah pemimpin negara sekarang berjiwa seperti rakyat?Tahukah apa yang rasai oleh rakyat sekarang?Apakah yang rakyat makan?Lenakah tidur si petani dan nelayan?Majukah penjualan goreng pisang?
Abang saya yang baru sahaja membeli kereta (Myvi-nak sahut seruan kerajaan kononnya)hanya sebulan sahaja menggunakan kereta dan tanpa disangka-sangka harga minyak melambung tinggi.Bagaimana nasib hidup anak muda yang baru hendak memulakan dunia baru?Pemimpin mudahlah bercakap rakyat mesti berjimat cermat.Mereka minyak kereta ditanggung,rumah ditanggung,anak bini ditanggung.Kalau benarlah pemimpin mahu berjimat mengapa tidak dipotong semua sahaja elaun yang ada.Itu abang saya yang baru beli kereta,saya ni kereta pun tiada.Macam mana nak memikirkan untuk memiliki kereta?
Ubahlah mentaliti Masyarakat

Perkara utama untuk menjiwai kepimpinan adalah melakukan usaha-usaha yang berterusan untuk meningkatkan tahap pemikiran rakyat.Rakyat jangan mudah selesa dengan kedudukan yang dimiliki sekarang.Syarat makan,pakaian dan tempat tidur terjamin adalah keperluan masyarakat zaman pra-merdeka.Rakyat perlu diransang mentalitinya supaya memperjuangkan kesedaran.Keperluan zaman sekarang bukan sahaja rumah,pakaian dan makanan bahkan bertambah lagi.Kenderaan,telefon mudah alih,jaringan internet,kemudahan pendidikan dan sebagainya.Oleh itu kita memerlukan rakyat yang berjiwa pemimpin untuk menggerakkan kesedaran rakyat.Dr.Mahathir ketika menjadi ahli UMNO menunjukkan sikap rakyat berjiwa pemimpin apabila pada pilihan raya tahun 1959 beliau mencadangkan beberapa kriteria calon yang layak bertanding untuk pilihanraya walaupun beliau mendapat kritikan yang cukup hebat berkaitan cadangan itu.

Khairy Jamaluddin juga sebelum menjadi "YB" seperti membuktikan dirinya sebagai rakyat yang berjiwa pemimpin dengan kesungguhannya memperjuangkan maruah bola sepak negara melalui program reality MyTeam.Mereka semua telah membuktikan pada kita bahawasanya rakyat yang berjiwa pemimpin mampu menggerakkan kesedaran dan membentuk perubahan.

Rakyat Perlu Menjadi Kelompok Pemberi Arahan dan Membentuk Perancangan

Rakyat berjiwa pemimpin adalah satu konsep untuk membentuk golongan rakyat supaya memiliki daya kepimpinan.Semua manusia mempunyai daya kepimpinan seperti yang dijelaskan oleh hadis Nabi SAW “Kamu semua adalah pemimpin”.Permasalahannya adakah cahaya kepimpinan itu bersinar atau tidak?Rakyat tidak boleh dipandang sekadar golongan bawahan,kelompok penerima arahan,dan juga kumpulan pelaksana rancangan.Mentaliti ini perlulah dipecahkan.Rakyat mestilah dijana pemikirannya untuk keluar dari zon "seksa".Rakyat juga berhak untuk menjadi golongan pemberi arahan,dan kelompok membentuk perancangan.Oleh itu semangat inkuiri yang tinggi perlulah ditanam dalam diri rakyat.Rakyat seharusnya mempunyai kehendak untuk mengetahui setiap perkara yang terjadi.Kebiasaannya apabila berlaku sebarang masalah pemimpin akan menggesa orang bawahannya untuk menyediakan laporan lengkap.Tetapi sedarkah rakyat bahawa mereka juga berhak berbuat demikan dengan meminta laporan dari pemimpin.Mintalah penjelasan dengan lengkap.Sebarang keputusan kabinet perlulah diberi penjelasan dengan tepat dan relevan.

Kebolehan dan Keberanian Menyuarakan Pandangan

Antara sikap lain yang perlu ditekankan adalah kebolehan menyuarakan pandangan dengan bijak dan berani.Kita selalu mengharapkan pemimpin negara bijak menyuarakan pandangan.Sepatutnya kita juga perlu mengharapkan golongan rakyat yang mampu bersuara dengan bijak dan berani.Setiap pandangan yang bijak sepatutnya didasari dengan hujah yang kuat.Contohnya dalam isu menurunkan harga minyak.Pihak Barisan Alternatif (BA) bersungguh-sungguh mengatakan harga minyak boleh diturunkan.Kekayaan negara masih mampu untuk menanggung subsidi minyak.Manakala Barisan Nasional pula mengatakan negara akan bankrap sekiranya harga minyak diturunkan.Kedua-dua meraka hanya memberi pendapat tanpa mendatangkan bukti yang kuat.Bagi pihak BA sekiranya negara mampu menanggung subsidi minyak nyatakan dalam perangkaan.Berapakah keuntungan tahunan negara?Berapakah wang yang akan dibelanjakan semata-mata untuk subsidi minyak?Sampai bila kerajaan boleh menanggung subsidi?Apakah langkah-langkah yang wajar diambil bagi menampung keperluan itu?Bagi pihak BN pula nyatakan sebab-sebab mengapa negara boleh bankrap dengan menurunkan harga minyak?Adakah keuntungan yang diperolehi oleh PETRONAS setiap kali kenaikan harga minyak tidak mampu menanggung kos subsidi?Adakah negara sudah tiada hasil lain sekiranya harga minyak diturunkan?Semua itu melambangkan kebijakan pemimpin menyuarakan pandangan kerana sampai sekarang tiada satupun pemimpin dari BN ataupun BA memberikan penjelasan dengan bijak dan tepat.

Suka Mempengaruh Tetapi Sukar Dipengaruh

Jiwa kepimpinan yang seterusnya adalah sikap suka mempengaruhi tetapi sukar dipengaruhi.Pemimpin yang berwibawa akan mencipta pengaruh.Rakyat juga perlu bersikap demikian.Tuntutan rakyat perlu disuarakan dengan penuh berpengaruh sehingga pemimpin kita dengar dan terpengaruh untuk melaksanakan permintaan tersebut.Rakyat juga janganlah mudah terpengaruh dengan setiap bicara pemimpin.Kata-kata pemimpin kebiasaannya manis didengar.Kita perlu mengambil sikap tidak mudah terpengaruh dalam erti kata menerima pendapat pemimpin setelah dilakukan penelitian dan analisis.Rakyat perlulah bijak dalam menerima berita dan maklumat.Semua berita perlulah dikumpul sebanyak mungkin dari semua pihak.Kemudiannya rakyat sendirilah yang menilai baik buruk pandangan tersebut.Jangan biarkan pemimpin kita membayangi setiap keputusan yang kita buat.Sedarlah sebenarnya rakyat juga mampu berfikir seperti yang difikirkan oleh pemimpin kita bahkan kadang-kadang pemikiran rakyat sebenarnya lebih tajam dari pemimpin.

Sebagai penutupnya,marilah kita bersama meningkatkan kualiti kita sebagai seorang rakyat.Kita sebenarnya sedang membina negara sekiranya menjadi seorang rakyat berjiwa pemimpin.Kebiasaannya manusia mempersoalkan kualiti kepimpinan.Tetapi mengapakah tiada orang yang mempersoalkan kualiti kerakyatan.Sikap kita menunjukkan kita sedang meletakkan masa depan negara hanya ditangan pemimpin semata-mata.Kehancuran negara juga adalah tanggungjawab kita.Kita juga berhak membentuk acuan negara.Slogan rakyat berjiwa pemimpin perlulah diterapkan secara berperingkat dan berterusan untuk menjamin masa depan negara.Negara akan terus maju sekiranya kualiti kerakyatan mampu ditingkatkan.

Diubah suai dari artikel asal penulis didalam Majalah Assoff terbitan Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Mu'tah (PERMATA)

Ahad, 29 Jun 2008

"Orang tak pedulik pun aku dah cipta sejarah ke tak"

Assalamualaikum..aku harini telah mencatat sejarah apabila telah memiliki blog sendiri..mula-mula mendengar perkataan blog nih aku tetanye2 pe bende la blog nih?tak paham la.."Blog tu ape?" persoalan pertama yang bermain.So..aku pun bukak la blog-blog yg ade atas muka bumi nih..mmm..bosan.Aku lansung tak berminat.tak mengalih lansung jiwaku..Aku mula dengar istilah blog nih mybe 2006 kot.masalah nye bole kate hampir 2 tahun gak aku tak dapat ape2 "hidayah" ttg memiliki blog.tp ntah tibe2 harini aku dapat satu pencahayaan agung (wahyu klu dlm istilah Islam,Minda klu dlm istilah Rufaqa',dan pencahayaan agung tuh istilah budha,tp aku bkn budha)untuk buat blog.

Maka pada malam nih aku seperti mendapat "hidayah" untuk memiliki blog..aku mula mencari identiti untuk di publish kan?mmm...aku mempercayaai blog nih adalah ruang untuk menunjukkan "Who you are?".

Aku penah tanye orang buat ape ade blog?die jwab la tmpat untuk menulis.die guna blog die untuk simpan semua tulisan die dlm blog.die buat mcm2 atikel pastu simpan kt blog.blog nih mcm hard disk die la..mm menarik.

Ade gak org gune blog utk biznes..jual baju,kitab,makanan,tiket kapal terbang,buat travel,..mm menarik gak..

Ade orang gune blog untuk luahkan pndapat dan idea..buat atikel macam-macam..hantam sane..hantam sini..gaduh saner..gaduh sini..wow..seronok gak..bole cari "musuh"...

*perenggan nih baca bernafsu sikit yer
Ade gak org gune blog untuk buat diary..haaaaa..ni satu pekara yang aku menyampah dengan manusia nih..yelaa..diri dah xpopular pastu nak cari populariti murahan pulak.(mencapap = mencari populariti)..pastu cerita la mcm2 ttg diri sendiri.aku blog mcm nih mmg takkkkkkan jengah..tak membentuk minda aku lansung.Ni nk bgtau nih..org yang popular pun tak suke dirinye jadi bahan cerita..Mawi tuh..die dah byak kali "sound" paparazi supaya tak buat cerita pasal die lagi.aaaaa so knape kite nih sibuk buat cerite pasal kite sendiri?Ko sape?anak raja?artis?ratu cantik?idola masyarakat?jutawan?Orang xkan pedulik laa cerite kite.Aku pegang satu je..orang yang hebat dia tak akan menceritakan diri sendiri.Tp orang lain yang akan ceritakan tentang diri die..mmm orang jahat pun camtuh gak.Abu Lahab tak kate die jahat..tapi Nabi Muhammad SAW yang jahat.

Tapi tu pandangan aku masa sebelum ade blog la..tp bile dipikir-pkir kan balik..idea tu telampau keras la..so aku memilih jalan tengah..kalau nk cerite ttg diri tu..sila lah..silakan cerita.Tp jgn la over.Kena ade teladan la..kalau cerita kosong baik xpayah la.2 sebab aku mula membaca "diaryblogger" nih.Bukan pe..walaupun hati nih terguris pedih (sebab ceritanya menjatuhkan minda) tapi aku tetap bace untuk mencari teladan.Tq la pada sume diaryblogger.Hehehehe..Aku seperti mula mencipta persengketaan.

Kesimpulannya..aku pun mula lah membuat blog sendiri..tp dalam erti kata menunggu penurunan pencahayaan agong ke-2.Sebab aku yakin die akan turun berperingkat-peringkat untuk memastikan tindakan aku sentiasa sesuai dengan zaman dan masyarakat setempat.

p/s : orang tak pedulik pun aku dah cipta sejarah ke tak.sape heran aku ade blog.