Rabu, 29 Disember 2010

52-Sedar,Pilih,Hijrah

Saya mahu berkongsi pengalaman berharga bersama dengan jurulatih terkenal Tuan Mohd Rizal Hassan. Program NLP anjuran Tamrin selama sehari bersama beliau benar-benar bermakna pada saya. Terdapat dua perkara hebat yang saya pelajari dari beliau selepas mengikuti programnya. Perkara tersebut telah banyak membantu saya dalam melaksanakan tugas harian.

Pertama:Sedar

Manusia yang hebat dan cemerlang, mesti sentiasa berada dalam keadaan SEDAR pada setiap perkara yang dilakukan. Maknanya,setiap tindakan,anda wajib tahu atas sebab anda melakukannya.

Contohnya, pernahkah anda berbual panjang dengan seseorang seperti berjumpa dengan kawan lama. Bayangkan anda berada pada situasi tersebut, pernahkah anda secara sedar mengawal posisi duduk,mimik muka,intonasi dan sebagainya..semuanya dalam suasana dirancang oleh anda sendiri. Atau anda membiarkannya terus pergi tanpa anda peduli apa yang anda lakukan sepanjang perbualan. Apatah lagi untuk menyedari setiap apa yang dilakukan rakan perbualan anda. Jika ditanya kembali apakah isi perbualan anda 5 minit yang lepas, adakah anda mampu mengulangnya dengan bersahaja?

Jika tidak, maknanya kita sering berada dalam keadaan tidak sedar. Itulah saya sebelum ini. Sukar memberi perhatian pada orang. Lebih mementingkan perkenalan jangka pendek. Tidak sedar siapa saya semasa berkata-kata.

Contoh kedua,pernahkah anda cakap begini,

“Minta maaf ya.Saya tidak sengaja.Saya tersalah cakap”

Rupa-rupanya semasa bercakap pun kita selalu tidak sedar.Betul tak? Akhirnya kita selalu beralasan dengan berkata terlepas cakap. Kerana itu prinsip SEDAR ini mengajar kita,tiada istilah tersalah cakap. Bukan tersalah cakap sahaja,malah terbuat,terpandang,dan terdengar juga tak boleh! Apatah lagi terlanjur.

Tiada sebab untuk kita berkata ter,ter dan ter. Sepatutnya semua berada dalam pengawalan dan pengawasan minda kita. Atau lebih mudah kita sebut sebagai sedar. Sebab itu pengawal keselamatan kita gelarkan sebagai Jaga. Seorang Jaga perlu sedar dan sentiasa jaga. Tiada rekod dalam dunia pun mencatatkan ada sebuah syarikat yang sanggup menggajikan seorang Jaga yang tidak sedar (hilang akal). Jika ada, syarikat tersebut yang tidak sedar!

Kedua:Pilih

Sebenarnya kejayaan dan kegagalan hidup adalah pilihan kita sendiri. Maksudnya, sekiranya kita mengalami kegagalan, sila lihat semula pilihan kita sebelum ini. Sebenarnya sebab utama kegagalan adalah berpunca daripada kesalahan kita membuat pilihan pada masa lampau!Salah pilih kerana tidak sedar.Itulah kesilapan besar kita.

Sebab itu Allah sebut dalam Al-Quran, Surah Ar Ra'd ayat 13

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum,melainkan kaum tersebut yang akan mengubah apa yang ada pada dirinya sendiri"


Tidak sedar, maka tersalah pilih, kemudian tiada rasa tanggungjawab. Tiada tanggungjawab, maka kerja dilakukan secara terpaksa dan sambil lewa. Kesannya pula pada prestasi. Maka, keputusan akhir adalah gagal!

Lihat contoh ini.

Seorang remaja tidak sedar siapa dirinya. Maka dia akan memilih untuk tidak belajar. Lalu rasa bertanggungjawab pada pelajaran akan hilang. Dia akan belajar kerana terpaksa bukannya kerelaan hati. Akhirnya? Anda jawab sendiri.

Bukankah saya sudah katakan kesannya begitu besar pada saya! Kini, setiap kali saya ingin melakukan sesuatu perkara, saya akan bertanya pada diri sendiri

"Mohamad,adakah kau sedar apa yang kau lakukan sekarang?"

Bukan itu sahaja,ketika memilih sesuatu saya pasti akan bertanya pada diri sendiri

"Mohamad,adakah kau sedar pilihan ini adalah yang terbaik?"

Saya kini berubah menjadi lebih berhati-hati dan berpandangan jauh. Kesan sedar terhadap kehidupan, maka saya akan membuat pilihan yang terbaik. Saya yakin kunci kejayaan pada masa akan datang terletak pada pilihan hari ini. Bagaimana membuat pilihan tepat bermula pada hari ini?

Jawapannya mudah, semua tokoh hebat bermula dengan satu perkataan iaitu keSEDARan.

Jika kita selalu ambil mudah dan tidak sedar apa yang berlaku dalam perkara-perkara kecil, apatah lagi dalam perkara-perkara besar.

Sebab itu prinsip kejayaan ada menyebut :

‘What you do in something,means what you do in everything’

Salam Hijrah dan Tahun Baru semua pembaca...

Selasa, 12 Oktober 2010

51 - Cepat Berubah,Jangan Berlengah Lagi!

“Fast action,Fast Result” sergah Dr.Azizan Osman kepada semua peserta seminarnya.

“Siapa yang mahukan RM50 dari tangan saya ini?”soalnya pula.

“Saya!!!”jawab peserta beramai-ramai.

Tiba-tiba aku melihat kelibat seseorang berlari meluru ke depan dan terus mencapai duit tersebut.

“Bukankah saya sudah katakan tadi.Fast Action,Fast Result!Itulah rahsia kejayaan.Kalau duduk sahaja dengan hanya menjerit SAYA sahaja,kamu tak akan dapat apa-apa.Itulah kuasa bertindak!”jelas Dr.Azizan Osman kepada kami.

Kempunan.

Kempunan melihat orang dapat RM 50 begitu sahaja.Dah memang aku tak bertindak...

Saya pernah terbaca dalam buku karangan Dr.Irfan Khairi yang bertajuk Nota Jutawan Nota Motivasi.

Katanya dalam buku tersebut,beliau telah menetapkan matlamat untuk berjaya pada usia 18 tahun.Setelah berusaha keras,cita-citanya tercapai pada usia 25 tahun.

Lebih menarik lagi,sedikit perkongsian yang dibuat berkenaan Mr.Colonel Saunders,pengasas KFC.Beliau telah mencapai cita-citanya pada usia 72 tahun.Lambat bukan jika dibandingkan dengan Dr.Irfan Khairi?

Eh,bagaimana Dr.Irfan cepat berjaya manakala Mr.Colonel lambat?

Jawapannya mudah sahaja.Cepat bertindak!

Agaknya pada masa bilakah Mr.Colonel Saunders menetapkan matlamat memiliki francais KFC diseluruh dunia?Sebenarnya dia mula menetapkan matlamat pada umur 65 tahun!

Sekarang mari kita saksikan perkaitan umur dan kejayaan.Pada pandangan anda adakah umur dan kejayaan ada kaitan?

1.Bill Gates terkenal sebagai jutawan perisian komputer.Mula bercita-cita pada usia 14 tahun dengan menubuhkan syarikat perisian data trafik.Dia berjaya mendapat untung bersih berjumlah USD 20 000.

2.Arnold Schwarzenegger pula berjaya mendapat gelaran Mr.Olympia pada usia 22 tahun.Dia mula bercita-cita pada usia 16 tahun!

3.Dr.Irfan Khairi berjaya menjadi jutawan internet pada usia 25 tahun.Mula bercita-cita pada usia 18 tahun.

4.Sultan Muhammad AlFateh berjaya menawan Kota Istanbul pada usia 21 tahun.Mula bercita-cita pada usia 19 tahun.

5.Khalifah Umar Abd Aziz menjadi Gabenor Madinah pada usia 24 tahun.Tetapi cita-citanya bermula bila?Anda agaklah sendiri

6.Mr.Colonel Saunders jutawan makanan Segera KFC berjaya menawan dunia dengan resipi ayam goreng.Kejayaan dicapai pada usia 72.Mula bercita-cita?Pada usia 65 tahun.

Sebenarnya tiada kaitan bukan?Saya baru menyedari teori ini sejak setahun yang lalu.

Maka mulai saat itu,saya telah menetapkan matlamat lima tahun akan datang.

Kesimpulannya mudah,cepat menetapkan cita-cita,cepat bertindak,cepat berjaya.

Lawannya pula,

Lambat menetapkan cita-cita,lambat dan malas bertindak,lambat berjaya!

Tindakan Hari Ini Juga:

Sila luangkan masa 5 minit dan bayangkan keadaan anda 10 tahun akan datang.
Bayangkan betapa hebat anda akan menjadi?

Rabu, 6 Oktober 2010

50-Semua Orang Punya Naluri Berubah

Saya telah mengenali seorang pemuda yang hebat.Dia pernah menceritakan sesuatu kepada rakan-rakannya di dalam facebook.Ceritanya,pada suatu hari dia ke stesen pam minyak.Tiba-tiba ada pekerja pam tersebut melihat buku didalam keretanya.

“Pekerja pam minyak ini berbangsa Pakistan. Terpaku pada buku Ole-ole dari Tanah Suci terbitan Jahabersa di dalam keretaku.Saat kuhulurkan padanya, dia memelukku, ketat. Bercucuran air matanya lantas berkata “Saya mahu ke sana”

Pemuda itu bernama Mazni Al-Irfan bin Jani.Andalah carilah dalam facebook.

Hebat bukan?Tidak sangka hanya dengan meletakkan buku di dalam kereta sahaja,sudah mampu membuatkan orang menangis.Siapa sangka?

Satu lagi kisahnya yang menarik ingin saya kongsikan bersama.Pengalamannya menjaga kedai buku kawannya.Katanya semasa menjaga kedai buku,tiba-tiba datang seorang gadis seksi…

“Buku doa ini berapa?” soal gadis tersebut.

“RM5.Saya rekomen beli juga buku Dahsyatnya Qiamullail. Tambah penghayatan” jawab beliau.

Tiba-tiba gadis itu menangis dan berkata

“Boleh ajar saya?”

Saya tidaklah sangat mengenali beliau.Saya pernah berjumpanya hanya sekali sahaja.Sungguh biasa orangnya.Seorang yang lembut dan berhemah.

Saya tak sangka dia membuatkan orang insaf dan menangis dengan sentuhan yang penuh hikmah.Sungguh malu rasanya.Saya yang mendalami pengajian agama pun tak pernah melalui saat seperti itu.Walaupun belakang kereta aku penuh dengan buku-buku agama.

Tak mengapalah.Itulah kelebihannya.Ternyata sekali mahu bertemu dengan beliau sekali lagi!!!

Kali ini saya mahu merakamkan satu kisah yang saya baca dalam buku RiadhuSolihin karangan Imam Nawawi.Kisah seorang pembunuh bersiri,tetapi berani berubah.Ingatlah berubah menjadi lebih baik itu sebenarnya sifat semulajadi manusia.Tinggal lagi,anda berani atau tidak?

Dalam satu Hadis Nabi Muhammad S.A.W,ceritanya saya mudah begini…

Pada zaman dahulu ada seseorang yang telah membunuh 99 orang.Dia insaf dan mahu mencari orang alim yang boleh membantunya bertaubat.Kemudian dia mencari-cari orang yang paling alim dalam negeri itu.

Setelah puas mencari,akhirnya dapatlah dia berjumpa dengan seorang alim.Lantas dia pun datang berjumpa dengan Si Alim tersebut dan menceritakan perihal dirinya yang telah membunuh 99 orang.

Dia mahu bertanya apakah masih ada ruang baginya untuk diterima taubat oleh Allah?

Si Alim tersebut memberitahunya bahawa taubatnya sudah tidak boleh diterima lagi.Kerana terlalu marah,lantas orang itu membunuh Si Alim tersebut.Lalu genaplah 100 orang mangsa bunuhnya.

Seterusnya dia mencari-cari lagi orang yang paling alim di negeri itu.Maka dia pun ditunjukkan dengan seseorang yang sangat alim.

Sekali lagi dia menceritakan dirinya telah membunuh seratus orang dan apakah masih ada peluang untuknya diterima taubat?

Orang yang sangat alim itu menjawab:

“Ya, taubatmu masih akan diterima oleh Allah,tiada siapa yang akan menghalangmu untuk bertaubat.Pergilah ke daerah sana, kerana penduduk daerah itu semuanya menyembah Allah,oleh itu sembahlah Allah bersama-sama mereka dan janganlah engkau kembali ke kampung halamanmu kerana kampungmu ini adalah daerah hitam” jelas orang alim tersebut.

Kemudian pembunuh itu berangkat menuju ke kampung yang baru.Selepas menempuh kira-kira setengah perjalanan,dia dimatikan oleh Allah.Apabila saat dia akan ditarik nyawanya,bertengkarlah malaikat rahmat dan malaikat siksa.

Malaikat rahmat berkata “Sesungguhnya dia ini telah benar-benar ingin bertaubat dan menyerahkan dirinya sepenuh hati kepada Allah”.

Malaikat siksa pula menyanggah “Sesungguhnya dia belum bertaubat walau sedikit pun”

Pertembungan dua malaikat ini berakhir apabila didatangkan malaikat dalam bentuk manusia dan kedua-dua malaikat tadi melantiknya sebagai hakim.

Malaikat yang berupa manusia itu berkata

“Kamu ukurlah antara dua kampung itu.Nasib pembunuh itu bergantung pada kampung yang terhampir”

Kedua-dua malaikat pun mengukurnya dan mendapati daerah yang dituju itu lebih dekat dengan si mati.Alhamdulillah,orang itu dicabut nyawanya oleh malaikat rahmat.

Cerita ini saya petik dalam Riadhusolihin.

Penutupnya,satu ayat sahaja yang ingin saya katakan
“Beranilah berubah sekarang!Tiada siapa yang akan tahu bagaimana kesudahan kita”

Untuk berubah kita tak perlu membelanjakan duit,hanya perlu berani!!!

Ahad, 3 Oktober 2010

49-Tips Mudah Repostioning Minda

Saya pasti anda semua pernah merasai saat-saat minda anda terbang melayang seperti hilang arah tuju.

Apakah perasaan itu?Ia adalah anda merasa sudah tidak punya apa-apa lagi dalam kehidupan.Hidup sudah tidak punya erti.Seperti mahu membunuh diri.Kawan saya Zharif menterjemahkan situasi ini dengan nama "Rasa Bangang!".

Antara contoh apabila berlaku kecelaruan fikiran adalah
1-Kehilangan atau kematian orang tersayang
2-Gagal dalam peperiksaan
3-Barang yang disayangi hilang / dicuri
4-Dirompak
5-Kebakaran
6-Kegagalan dalam pelaburan atau perniagaan
7-Kecurian duit berpuluh ribu ringgit
8-dan lain-lain lagi.

Semalam,saya begitu tertarik membaca buku motivasi Dare To Fail karangan Billy Lim.Buku ini saya telah baca tiga tahun lepas.Cuma semalam saya membacanya sekali lagi kerana sedang mencari idea untuk menulis buku.

Saya ingin berkongsi dengan anda satu tajuk dalam buku tersebut (Bab 8 : Kegagalan dalam Hubungan)Saya percaya ramai orang pernah terlibat dalam situasi ini.Sama ada putus cinta,putus tunang,putus ikatan perkahwinan dan sebagainya.Ceritanya tetap sama iaitu gagal dalam hubungan.

Saya juga pernah merasai saat itu.Kesannya cukup hebat kerana hubungan sebenarnya melibatkan emosi.Emosi yang tidak stabil akan memberi kesan lansung pada kualiti kerja.Saya hampir tidak bekerja selama lebih sepuluh hari.Begitu juga Billy Lim..selepas gagal selama 6 bulan dalam perniagaan,beliau gagal pula dalam percintaan.

Para pembaca sekalian,saya ingin berkongsi sedikit tentang kisah kewafatan Nabi Muhammad yang sepatutnya menjadi pengajaran yang begitu besar.

Selepas kewafatan Nabi Muhammad S.A.W. para sahabat mula berbelah bahagi.Ada yang percaya dan ada juga yang tidak percaya.Fikiran mereka bercelaru kerana berita yang diterima ini teramatlah berat untuk ditelan.Lalu berkata Umar R.A kepada semua

"Rasulullah belum wafat.Dia cuma tidak sedarkan diri seperti Nabi Musa,tatkala Allah menjelmakan diriNya di hadapan Nabi Musa.Rasulullah akan kembali,dan aku akan memancung kepala sesiapa yang mengatakan Rasulullah sudah wafat!"

Sedang Umar R.A terus berucap di hadapan khalayak ramai,lalu datanglah Abu Bakar R.A untuk mententeramkan keadaan.Saksikan ucapan Abu Bakar ini yang benar-benar memposisikan semula minda umat Islam ketika itu.

"Sesiapa yang menyembah Muhammad,Muhammad sudah mati.Sesiapa yang menyembah Allah,sesungguhnya Allah itu hidup dan tidak akan mati"

Kemudian Abu Bakar membacakan surah Ali Imran ayat 144 yang bermaksud :

Dan Muhammad itu hanyalah seorang Rasul yang sudah didahului dengan beberapa orang rasul yang mati ataupun terbunuh.Jika demikian,kalau ia pula mati ataupun terbunuh,patutkah kamu berbalik berpaling tadah menjadi kafir?Dan ingatlah,sesiapa yang berbalik menjadi kafir,maka ia tidak mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun,dan sebaliknya Allah akan memberi balasan pahala kepada orang yang bersyukur akan nikmat Islam yang tiada bandingannya.


Lalu jatuh terduduklah Umar R.A kerana baru tersedar dari 'mimpinya'.

Bayangkan keadaan para sahabat ketika itu.Mereka mengasihi Nabi lebih daripada keluarga mereka sendiri.Inilah ujian terhebat mereka.Anak perempuan Nabi yang kesedihan dikatakan menangis begitu kuat sehingga didengari di luar rumah.

Kesimpulannya mudah...

Ketika kita merasai saat kejatuhan atau kecelaruan itu,hanya sebutkan

"Semuanya datang dari pada Allah.Dialah yang Maha Memberi.Dia juga Maha Mengambil.Hanya Allah sahaja yang kekal abadi"

Kalau sudah menjadi kaya,ingat kaya itu tiada jaminan kekal.
Kalau sudah popular,popular itu tiada jaminan kekal.
Kalau sudah sihat,sihat itu tiada jaminan kekal.
Kalau sudah bertunang,ingat tunang itu tiada jaminan kekal.
Kalau sudah berkahwin,ingat kahwin itu tiada jaminan kekal.
Kalau sidia itu cantik,ingat cantik itu tiada jaminan kekal.
Kalau cintakan bunga,ingat bunga juga tiada jaminan kekal.

Semua tak kekal.

Hanya Allah yang kekal abadi.

P/s : Saya tidak bermaksud anda yang sudah mendirikan rumah tangga/bertunang untuk merasa sangsi dengan pasangan anda.Cuma mengajak kita semua sentiasa memposisikan minda dari awal lagi.Kalaupun tidak berpisah,ingatlah perpisahan yang BENAR tetap terjadi iaitu mati.

Selasa, 21 September 2010

48-Hanya 0.28% Tugas Ibu

Satu petang yang hening...

“Ifw** balik Malaysia hari tu kau buat apa?” soalku kepada seorang sahabat.Sahabat ini baru pulang dari Malaysia.Pulang kerana cuti semester.

“Macam-macam aku buat,aku pergi perpustakaan buat research,pergi ke bank-bank,ambil pamphlet bank untuk kajian,macam-macam lagi”jawabnya bersungguh-sungguh.Sememangnya dia dikenali dengan kesungguhannya.Aku merasakan orang paling banyak energinya semasa di Universiti Mu'tah dahulu adalah beliau.

“Kat rumah buat apa?”aku sengaja menambah soalan.

“Adalah satu pagi tu aku masak nasi lemak.Sahaja nak bagi mak aku rasa masakan aku” jawabnya selamba.

“Owh,rajin kau ye.Semua benda kau buat” aku merasa sedikit teruja.Kagum.

Aku tak hairan kalau setakat buat kerja di luar rumah.Pergi ke sana-sini.Kerana memang itulah yang selalu aku lakukan.InsyaAllah tiada masalah kerana lebih daripada itu pun aku pernah lakukan.

Tapi apabila dia sebut,dia ada melakukan kerja di rumah,aku jadi kagum.Kali ini kagumku begitu luar biasa.

“Sekali sekala,bukannya selalu pun masak untuk keluarga ni”tambahnya lagi seperti mahu merendah diri.

Bermula dari saat itu aku sentiasa fikir mampukah aku buat kerja macam itu.Bukan kerja apa pun.Hanya meluangkan sedikit masa menghadiah masakan untuk keluarga.

Sejak tiga tahun yang lalu,aku sudah mula memikirkan bilakah aku akan memasak untuk keluarga?Untuk emak dan abah khususnya...Hajat itu tak pernah kesampaian.

Bukan apa,kepenatan kerja di luar menjadikan rumah adalah tempat strategik melabuhkan punggung.

Tetapi hari ini aku tekad.Aku juga nak berusaha menyediakan sarapan untuk keluarga.Perkataan yang bermain dalam mindaku hanyalah “Aku boleh buat!”

Lalu aku pun meminta pada adik perempuanku (awah)untuk mencari buku resipi.
Selepas menyemak buku resipi (mencari menu yang paling mudah) aku pun membuat keputusan.Aku nak masak roti pratha.

Selepas semua bahan disediakan,aku dan angah pun memulakan kerja.

Hampir sejam juga aku menguli tepung supaya sebati.Selepas dibulat-bulatkan menjadi bola golf kami pun membiarkannya semalaman.Hari esoknya barulah roti itu dimasak untuk sarapan.

Pagi esoknya...

Alhamdulillah.Semua ahli rumah makan dengan seronoknya.Aku lagilah seronok.Sempat juga roti pratha itu dihantar ke rumah jiran yang juga saudaraku.

Saksikan gambar roti pratha ini.



Bahan-bahannya adalah :

1kg tepung gandum
2 cawan air suam
1 cawan susu segar
1 biji telur
1 sudu besar serbuk penaik
2 sudu besar gula pasir.Kalau nak manis sikit tambah lagi 2 sudu.InsyaAllah tak potong kaki.
1 sudu besar minyak sapi (untuk membakar roti)

Cara-cara membuatnya :

1-Ayak dahulu tepung gandum dan garam dalam satu mangkuk adunan
2-Masukkan air suam,susu,serbuk penaik dan telur.Uli doh sehingga sebati.
3-Bulat-bulatkan doh sebesar bola golf.Dapatlah dalam 45 ketul.Aku cadangkan lagi baik buat dalam 30 ketul.
4-Kemudian biarkan doh naik dua kali ganda selama 30 minit.
5-Panaskan kuali dengan minyak sapi.Canaikan roti dan bakar atas kuali.
6-Enak dimakan panas-panas dengan kari ayam/daging.Kami guna lebih lauk kari semalam saja.Masih sedap lagi.

.....................................................................................

Selepas habis semuanya aku masak,aku terus masuk ke bilik.Penat dan terus tertidur pada jam 10.00 pagi.Bangun sahaja dari tidur lebih kurang jam 12.00 tengah hari aku terus mencapai telefon bimbit dan membuka program calculator.Aku mahu mengira sesuatu...

1 hari per 365 hari,darab 100%.Jawapannya adalah 0.28 % peratus.

Sungguh sedikit.Aku hanya mengambil tugas emak hanya sehari ataupun cuma 0.28 peratus sahaja dalam setahun.Nilainya begitu kecil tetapi tugasnya sungguh berat.

Sepanjang tahun emak menyediakan sarapan tanpa penat lelah dan keluhan.Selepas menyediakan sarapan,sediakan makanan tengah hari pula,dan seterusnya.Tiada rehat.

Aku cuba mencari apakah “kuasa” yang ada pada seorang perempuan yang lemah,tanpa ada otot yang kuat dan berketul-ketul,tapi kuat menyediakan makanan untuk keluarga.

Saat itu barulah aku memahami erti perempuan dilahirkan dengan 9 nafsu (emosi).Emosilah yang menjadikan mereka bekerja dengan penuh kasih sayang.Tanpa otot dan fizikal yang kuat mereka tetap bersemangat kerana perempuan bekerja dengan kecerdasan emosi.

Lelaki yang di kurniakan 9 logik.

“Emm,balik rumah makanan mesti dah tersedia.Aku penat bekerja kat luar” fikiran logik lelaki mengharapkan makanan sudah tersedia.Sebab baginya itulah logik.Bunyi sahaja macam logik.

Kerana logik juga aku terus terlelap.Tetapi kerana 9 emosilah emak tak sanggup tidur walaupun sudah penat menyediakan sarapan.

Terima kasih emak.

Motivasi bagiku yang begitu bermakna dalam cerita kali ini,

1-Jangan berkata jangan

Fahamkan ayat ini : Anda tidak akan tahu apa yang anda tak boleh buat sehingga anda membuatnya.

2-Kalaupun anda tidak mampu bekerja sepenuh tenaga dan masa,bekerjalah sepenuh hati

Terima kasih Ifw** kerana pengalaman engkau menggerakkan aku untuk berbakti pada keluarga.Sekarang kau masak lagi tak? =)

Ahad, 19 September 2010

47-Janji Anak Muda



Ku berjanji,
Menyerah diri,
Ku berjanji,
Bina pertiwi,

Ku sedia menjadi pengganti,
Ku sedia menabur budi,
Ku siapkan akal yang peduli,
Ku tingkatkan potensi diri,

Malaysiaku kan kembali aman,
Yang atas dan bawah seperti kawan,
Islam kan kembali menjadi jalan,
Inilah dimataku
bukannya angan-angan

Ku korbankan masa muda,
Ku korbankan masa gembira,
Ku tanamkan cita-cita,
Untuk melihat dunia sejahtera,

Lirik : Mohamad bin Mohsin
Lagu : Mohamad bin Mohsin

.....................................................................................

Selamat hari Malaysia semua.Lagu ini aku cipta semasa 16 September 2010.
Inilah lambang cinta dan sayangku pada agama dan tanah air.

Aku merasa sedih melihat anak muda merayakan hari Malaysia dan Kemerdekaan dengan di “tipu” orang yang berkepentingan.

Anak muda itu tidak bersalah.Anak muda yang merempit,memekik,dan meraung-raung keseronokan adalah mangsa.Mereka bukan penjenayah.Mereka mangsa merdeka.Selamatkanlah mereka....

Orang yang berkepentingan ini mengajar laungan dan semangat merdeka yang palsu.Kita diminta mengibar jalur gemilang dengan semangat palsu.

Kita disuruh menanam semangat patriotisme,sedang mereka berterusan merompak dan menindas.Jenayah bangsawan merdeka.

Orang yang punya semangat cintakan agama dan tanah air tidak akan punya masa mengadakan majlis hiburan dan melalaikan.

Aku lebih rela jenayah ini dibuat oleh orang kulit putih.Aku tak redha jenayah ini dibuat oleh orang aku sendiri.

Memang benarlah Yahudi sedang berehat sekarang...
Kerana kerja-kerja Yahudi dilakukan oleh orang Melayu

Cukuplah...Cukuplah...
Selamat Hari Malaysia

Rabu, 15 September 2010

46-Perginya Ramadhan Dengan Sejuta Erti

Jam pukul 6.40 petang,27 Ramadhan,6 September 2010

“Ehh,alang dah boleh bangun ke?”emak terperanjat melihat aku sudah boleh duduk diatas kerusi.Jelas terpancar di wajah emak seribu kegembiraan.Mungkin itu yang emak harapkan selama ini.

“Mm,baru boleh duduk je mak”balas aku.Aku juga gembira apabila melihat emak tersenyum.Seronok apabila dapat melihat emak sendiri gembira.

Hari ini genaplah lapan hari lapan malam aku hanya terbaring sahaja di rumah.Satu pengalaman yang memberi seribu erti dalam kamus hidup aku.

Terima kasih Allah diatas peluang ini.

Hampir setiap malam aku menangis menahan kesakitan.Kesakitan kali ini sungguh luar biasa.

Tiga Tahun Lepas

Teringat juga masa lutut aku ‘caples’ dulu.Akibat bermain bola,lutut aku terseliuh dan lari dari landasan yang sepatutnya.Hampir dua minggu aku terlantar di Bayt Cempaka.Tempat lepak ustaz-ustaz gila sukan.

Kesakitan itu mengajar aku betapa masih ramai kawan yang mahu membantu.Sungguh berharga kenangan ketika itu.Masing-masing menunggu saat aku boleh berdiri dan berjalan.

Ahli rumah Bayt Cempaka yang ikhlas.Terima kasih semua.Mutazam,Amin,Nawawi (Gbum,Topek,Amir,Ayem-mereka ni ahli sekutu dapur)

Ahli rumah aku sendiri iaitu Bayt JIM yang haruk pikuk.Terima kasih kerana hampir setiap hari datang melawat aku.Adam,Hamim,Jogi dan Nain.

Ahli rumah Bayt Sebolah Abd Kadir,Along(abang sulung aku) dan Ajep.Terima kasih juga.

Paling penting ketika itu,Tukang Urut yang mengeluarkan ‘jin’ dari kaki aku.Abg Fadhli Turino.Terasa ingin sekali berjumpa kalian semua.Aku tak akan lupa jasa kalian membantu aku ketika sakit.

Pengalaman sakit lutut itu berakhir dengan perkara yang lebih tragis iaitu rasib imtihan.Satu-satunya mata pelajaran yang aku gagal ketika di Universiti Mu’tah adalah Hadis Ahkam.

Antara Lutut,Rakan dan Imtihan.

“Assalamualaikum ya duktur”aku memulakan bicara dengan Dr.Muhammad Hawa.Anak seorang ulama besar dalam perjuangan Ikhwan Muslimin.

“Wa’alaikumusalam,tafadhol ya Malizi” jawab Dr.Muhammad bila melihat wajah orang Malaysia masuk ke dalam biliknya.

Aku tidak dikenalinya.Maklumlah aku bukannya pelajar cemerlang.Tambahan pula aku sudah ‘ponteng’ dua minggu kelasnya kerana sakit lutut.Lebih teruk lagi aku juga tidak mengambil imtihan thani.

Jadi aku datang berjumpa beliau untuk menjelaskan keadaan dan mengharapkan sedikit ehsan beliau untuk memberikan aku peluang kedua mengambil imtihan thani sebelum tiba imtihan nihaie.

Selepas aku mengadukan masalah...

“Tawakkal ala Allah” Dr.Muhammad terus menutup ruang.Aku tak dibenarkan mengambil imtihan ulangan.Sifir yang bermain di minda aku adalah mengambil imtihan nihaie tanpa imtihan thani adalah menempah maut.

Peratus untuk gagal memang tinggi.Tapi Dr.Muhammad Hawa sudah pesan.Tawakkal ala Allah.

Walaupun aku sudah cuba sedaya upaya namun aku tetap gagal juga subjek tersebut.

Tetapi tidak mengapa.Walaupun sakit lutut dan gagal dalam Hadis Ahkam,Allah telah menemukan aku sekumpulan rakan yang tidak pernah merungut membantu.Terima kasih anda semua.

Itulah Kuasa DIA

Alhamdulillah Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang.Dia berhak memberi dan mengambil.
Semata-mata untuk mengajar manusia segala yang ada di atas muka bumi adalah milikNya semata-mata.

Selepas beberapa lama,lututku sudah kembali berkhidmat seperti biasa.Mata pelajaran Hadis Ahkam yang aku terpaksa repeat pun sudah lulus.Markahnya tak banyak sangat pun.

Tetapi kini sedikit kekosongan yang melanda hati.Keseronokan ukhwah bersama mereka sudah ditarik pula.Dahulu ketika nikmat lutut dan lulus imtihan ditarik,nikmat ukhwah yang Dia disorongkan.Kini sebaliknya yang berlaku...lama sungguh tidak bertemu mereka semua.

Jam 1.00 pagi , 28 Ramadhan , 8 September 2010

Saat aku baru mula berjalan hari ini setelah terbaring 10 hari 10 malam mengembalikan nostalgia aku semasa di Jordan dahulu.Semua tersenyum dan gembira melihat aku sudah boleh berjalan.

“Lepas alang dah bangun dan boleh jalan,lega sikit hati abah tengok.Bila alang terbaring saja,risau abah dibuatnya”tegur abah melihat aku yang sedang berlatih berjalan.Mulia sungguh hati abah,walaupun abah juga terbaring kesakitan,tetapi abah masih punya ruang untuk simpati pada aku.

“Alang bangunlah berjalan,makcik nak tengok alang berjalan”pinta seorang mak cik ahli jemaah surau Kg.Pasir.Malam itu aku ke surau disambut dengan senyuman semua ahli jemaah.Mereka juga seronok melihat aku sudah baik walaupun aku hanya berjalan setapak demi setapak menggunakan tongkat.

Alhamdulillah,Ramadhan kali ini banyak mempertemukan sejuta kebaikan kepada diriku.Aku wajib merasa yakin setiap apa yang diberikan Allah adalah yang terbaik.

Walaupun kita melihatnya sebagai tidak baik,yakinlah disisi Allah itulah yang terbaik.Tidak baik itu hanyalah pandangan kita sebagai manusia.

Akhirnya dikesempatan ini,aku ingin mengucapkan Selamat Hari Raya buat semua.


Dari kiri : Along,Aku,Adik,Awi,Abah dan Emak
Duduk atas Lantai : Awah,Kak Chik,Munirah,Kak Ngah & Angah



Juga buat Ahmad Sidqan bin Ahmad Jalauluddin.Anak buah aku yang pertama.Dilahirkan pada 2 Ramadhan baru-baru ini

Juga kepada rakan-rakan Jordan,rakan-rakan bekas pelajar SKDRM,SMKA Pedas,SMKA Shams,guru-guru,ahli pemuda,warga AFM dan seluruh pembaca sekalian.Juga untuk yang teristimewa...

Isnin, 13 September 2010

Cara Allah Mengajar Nikmat Hidup


Tanggal 1 September 2010 :

Hari ini genaplah 4 hari 5 malam aku hanya terbaring diatas tilam.Subhanallah memang memeritkan.Perasaan ini hanya Allah sahaja yang tahu.Aku menderita akibat kandungan asid urik yang terlalu banyak dalam darah.Hendak menyebut penyakit sendiri pun malu.Aku yakin pembaca pasti tahu sakit apakah yang aku maksudkan.

Aku menjadi manusia yang paling lemah.Aku merasa malu pada diri sendiri membiarkan keadaan terus sakit begini.

Mungkin inilah yang abah rasa selama ini bila didatangi gout.(kan dah tersebut)

Alhamdulillah pagi ini bermula agak ceria.Aku sudah mula boleh menapak tanpa tongkat.

“Owh alang dah boleh buang tongkat ye?”sapa emak di waktu sahur.Gembira mungkin melihat anaknya sudah boleh menapak.Baru menapak belum lagi berjalan!

“Tapi abah pula yang bertongkat.Abah lepas sihat beberapa hari mesti kena semula” sambung emak sambil mata menunjuk ke arah tongkat abah.

Asalnya aku yang guna tongkat itu.Tapi pagi itu ‘servis’ bertukar tangan.Abah memang begitu.Mungkin darahnya sudah terlalu banyak asid urik menyebabkan abah begitu mudah didatangi gout.

“Alang,malam ini ganti abah jadi imam terawih ya” suara abah perlahan meminta aku menjadi imam.Kali ini kedua-dua sendi lutut abah bengkak.Lansung tak boleh berjalan.

Selama empat malam aku terbaring,tugas imam terawih diganti oleh abah dan along.

“Baik bah,insyaallah”aku juga membalas perlahan.Aku tahu aku masih belum sembuh.Baru sahaja boleh menapak.Tetapi aku mesti tunaikan juga.Sudah empat malam aku tidak ke surau.Hanya terawih seorang diri diatas tilam.

Banyak Sungguh Pahala Aku Tertinggal

Sepanjang beberapa hari yang penuh penderitaan ini,aku cuba senaraikan semua program yang patut menjadi lubuk pahala buat aku dibulan Ramadhan ini.Malangnya semua program tersebut terpaksa dibiarkan begitu sahaja.Antaranya...

1- 28 Ogos : Menjadi Imam terawih di Surau Kg.Tengah Lenggeng.Aku hanya mampu menyampaikan tazkirah 10 minit sahaja.

2- 29 Ogos : Menyampaikan Kuliah Subuh di Surau Kg.Jiboi Baru.Aku sudah tidak boleh memandu dan berjalan.Alhamdulillah Us.Said sudi menyambung amanah ini.

3- 29 Ogos : Pukul 4 petang Program Mengedar Bubur Lambok di Kg.Bagan Pinang anjuran DACS Teluk Kemang

4- 29 Ogos : Majlis Berbuka Puasa Semua Pemuda Teluk Kemang di Pasti Kg.Sawah.

5- 31 Ogos : Program Grand Sharpen The Saw anjuran TAMRIN.Program yang dibarisi oleh panel yang begitu hebat dalam industri latihan.Panelnya adalah Tuan Zuhairi Nopiah,Tuan Rizal Hasan,dan Us.Hasrizal Abd Jamil.

6- 31 Ogos : Gotong Royong Jabatan Amal Malaysia membaiki rumah mangsa kebakaran.Mangsa adalah OKU dan hanya tinggal sehelai sepinggang.Aku hanya doakan sahaja untuknya...

7- 31 Ogos : Majlis Berbuka Puasa di Maahad Tahfiz At-Tohiriah Port Dickson

8- 01 September : Mesyuarat Lanjutan AFM selepas Bengkel Halatuju 2015.

9- 02 September : Ceramah Kecemerlangan Pelajar di Sekolah SK.Sega Hilir.Alhamdulillah ceramah ini juga Us.Said yang cover.

10- Menjadi imam terawih selama 4 malam di Surau Riadhul Falihin Kg.Pasir.Surau depan rumah aku sendiri.Alhamdulillah,abah dan along yang ganti.

11- 03 September : Ceramah Ramadhan Mubarak di Kem Batu Komentan Jalan Ipoh Kuala Lumpur.Alhamdulillah Us.Farid Hamlud sudi menyambung amanah.

12- 03 September : Usrah bersama Alumni Pelajar Jordan dan yang balik bercuti di Bangi.

13- 03 September : Majlis Ifthar Surau Riadhul Falihin.Aku tak berpuasa hari ini.Aku dinasihatkan untuk minum air 2 liter setiap hari.

14- 04 September : Program Simulasi Pendaftaran Pemilih Baru Anak Muda N.Sembilan di Dun Johol

15- 04 September : Majlis Ifthar Keluarga.Sekali lagi aku tak berpuasa hari ini.

16- 05 September : Usrah dan Majlis Ifthar Alumni SMKA Pedas.Sekali lagi aku tak berpuasa.

Selepas aku menyenaraikan semua ini dalam telefon bimbit,aku hanya mampu termenung.Subhanallah..banyak sungguh lubuk pahala yang aku tak kutip dalam bulan Ramadhan ini.

Aku merasa sungguh rugi.Allah hanya menarik nikmat kaki ku selama empat hari sahaja.Tetapi nilai pahalanya cukup besar disisi Allah jika aku mampu manfaatkannya.

Aku merasa begitu sedih.Aku hanya mampu mencari hikmah yang tersirat disebalik penderitaan ini.Pasti akan jumpa hikmah.Aku yakin!

Allah Mengajar Aku Nikmat Hidup!

“Sudah berapa lama alang kena gout ni”soal Pak Cik Abd.Aziz.Beliau merupakan setiausaha surau RiadhulFalihin.Aku baru sahaja selesai menjadi imam terawih.Imam yang duduk diatas kerusi.Penduduk Kg.Pasir memang tidak mahu menjadi imam selagi aku dan abah ada.

Malam itu aku gagahkan juga ke surau sebab abah pula yang tak boleh berjalan.Abah baru sahaja sihat tiga atau empat hari terus terkena gout semula.

“Sudah lama pak cik.Sudah empat hari empat malam”aku memberikan jawapan.

“Baguslah sakit tu kan?Kalau tak,tak merasa pulak nikmat hidup.Betul tak?”balas Pak Cik Abd.Aziz dengan selamba.

Aku tergamam memikirkan apakah maksud sebenar Pak Cik Abd.Aziz.Aku sedang sakit,dia dengan selamba kata bagus!Perasan aku menjadi sedikit geram.

“Iyalah...kalau sihat sahaja,tak merasalah nikmat kehidupan.Bila dah sakit,barulah tahu betapa nikmatnya hidup!”segera Pak Cik Abd.Aziz menjelaskan maksudnya apabila melihat aku terpinga-pinga dengan gurauan selambanya.

Ha...Ha...Ha...

Kami berdua ketawa.Aku ketawa kerana merasa sungguh seronok dengan ilmu itu tadi.Betul-betul menyerap masuk ke hati.

Hati aku sudah mula terbuka dengan ujian ini.Allah benar-benar menjanjikan hikmahnya.Sungguh tinggi nilai ilmu ini.Memahaminya memakan masa lebih empat hari lima malam.Sungguh berbaloi!

Aku berharap kebaikan dari ilmu ini lebih utama dari 16 program yang aku tertinggal itu.Amin.

Teringat aku satu Firman Allah SWT,tentang keadaan orang kafir apabila dicabut nyawanya : Surah mukminun ayat 99-100

(Demikianlah keadaan orang kafir itu),apabila datang kematian kepada salah seorang dari mereka,dia berkata "Ya Tuhanku,kembalikanlah aku (ke dunia).Agar aku dapat berbuat kebajikan yang telah aku tinggalkan" Sesekali tidak!Sesungguhnya itu adalah dalih yang diucapkannya sahaja.Dan dihadapan mereka ada barzakh (tempat/keadaan orang setelah mati sehingga dibangkitkan pada hari kiamat) sampai pada hari mereka dibangkitkan.

Itulah kita..Saat ditarik nikmat barulah mahu meminta belas dari Allah S.W.T.

Eloklah kita tersedar awal..

Janganlah sampai saat kematian menjemput,kita pula meminta hidup walaupun hanya sesaat semata-mata mahu melakukan ibadah.

Rabu, 8 September 2010

Inilah Kerja Kita

“Mohamad,syarikat kamu ada kerja kosong tak?”pinta salah seorang sahabat kepadaku.

“Ha ha ha,kerja banyak sangat.Cuma gaji sahaja tak ada” sambil ketawa kecil aku menjawab bila ada dikalangan sahabat-sahabat bertanya kerja kosong di syarikat AlFaliheen Management (AFM).

Syarikat kami bukanlah besar sangat.Kami daftarkan pun atas nama enterprise.Bukannya SDN.BHD.

Walaupun badan kami kecil,kami mempunyai cita-cita yang besar.Cita-cita untuk hidup dengan hasil tangan sendiri.Kami juga mahu mengecapi kejayaan di dunia (kejayaan akhirat sudah pasti menjadi idaman) seperti manusia lain.

Jawapan itu menunjukkan AFM masih tak mampu menawarkan kalian gaji.Tapi AFM hanya mampu menawarkan kalian kerja.Itulah yang dilakukan AFM selama ini.Aku bukan ingin berbangga dengan apa yang telah kami semua lakukan,tetapi aku merasa sedih apabila kawan-kawan bertanya kerja kosong.

Kerana pasukan kami sentiasa merasakan kerja terlalu banyak.Kami pelik apabila ada yang bertanya kerja kosong.Kerana kami terbina bukan atas dasar kerja kosong.

Alhamdulillah..berkat kesungguhan pasukan AFM bertungkus-lumus selama 2 tahun,akhirnya kami telah pun berjaya memiliki sebuah pejabat termasuk dewan seminar.Walaupun sekadar menyewa.

AFM dan Sindrom Usahawan Baru

Kami sedar kami masih lagi terikat dengan sindrom usahawan baru.Apakah sindrom itu?Tidak berani meletakkan harga.Sebenarnya dalam diam inilah kelemahan kami.Kami bukan tidak berani meletakkan harga.Tetapi perasaan belas kasihan itu mengatasi segalanya.Kami merasa sedih dengan generasi hari ini.Sanggup berbelanja besar untuk hiburan tetapi berbelanja besar untuk pendidikan terutama didikan agama,ianya merupakan satu bebanan.

Ada orang sanggup melanggan Astro dengan bayaran semurah RM 38 sebulan.Tetapi susah untuk menghantar anak kekelas mengaji Al-Quran dengan yuran RM 30 sebulan.Menghantar pun susah,membayar apatah lagi.Jadi,apa perlu ditanya lagi kerja kita?Kerja kita adalah berhadapan dengan generasi begini.

Inilah rungutan yang selalu aku dengar apabila ada ustaz dan ustazah membuka kelas Al-Quran kecil-kecilan.Kami juga ada membuka kelas Al-Quran.Alhamdulillah..Allah mengurniakan kami penjaga yang masih bertanggungjawab.

Lebih kasihan lagi ada juga kes...

“Ustaz,terima kasih mengajar anak saya bulan ini.Berapa harga yurannya ustaz?” tanya seorang penjaga kepada ustaz yang mengajar anaknya Al-Quran.

“Owh,saya mengajar ikhlas sahaja tuan” jawab ustaz tersebut dengan penuh tawadhuk.Sindrom malu meletakkan harga.

“Baiklah kalau macam tu ustaz.Alhamdulillah.Terima kasih ya” penjaga tersebut terus pergi dengan ‘seikhlas hati’ meninggalkan ustaz yang ikhlas itu terpinga-pinga.


Inilah Kerja Kita


Rakan-rakan yang telah pun memilih jalan dakwah,berjanjilah bahawa kita sedikit pun tidak akan mahu berundur dari medan dakwah ini.Kami tidak akan berehat selagi matlamat belum tercapai.

Bukankah kita sudah berbaiah,marilah kita mengotakannya.Jalan ini tidak pernah mengira apakah latar belakang kita.Sama ada kita lulusan agama,kedoktoran,kejuruteraan,peguam dan sebagainya,yakinlah dakwah adalah kerja kita.

Kenapa tak mohon kerja tetap?


“Terima kasih ustaz datang berceramah disini.Sebenarnya ustaz bertugas dimana ya?” soal seorang ahli jemaah surau apabila aku selesai menyampaikan tazkirah.

“Sama-sama tuan.Owh,sebenarnya saya bekerja sendiri.Saya buka syarikat latihan dan motivasi”jawab aku ringkas.

“Kenapa ustaz tak mohon kerja tetap” satu lagi persoalan dilontarkan.

“Kerja saya tetap,cuma masa dan gajinya sahaja tak tetap” jawapan standart ini selalu aku berikan apabila ada orang bertanya soal kerja tetap.Pastinya akan berakhir dengan ketawa kecil.Hajatku memberi erti pada kalimah ‘kerja tetap’.

Jadilah terhebat pada tempat anda sekarang

Itulah tugas kita dari mula kita dilahirkan.Kerja tetap kita adalah mengajak manusia kepada Allah.Tidak kisah kita berada di mana-mana posisi,pastikan kerja kita adalah mengajak manusia mengenal Allah.

Mungkin kita sebagai pemimpin atau rakyat,pekerja atau majikan,bos ataupun kuli,kerajaan mahupun pembangkang,ajaklah manusia mengenal Tuhan.Itulah kerja terhebat.

Firman Allah SWT dalam Surah Fussilat:33

(Dan siapakah yang lebih hebat ucapannya daripada orang yang berseru kepada Allah, dan membuat kerja-kerja kebaikan, dan berkata, "Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang muslim"?)


Pada pandangan aku,itulah kekuatan AFM.Kesanggupan pasukan kami melakukan “kerja tetap” ini tanpa dibayar upah sepatutnya.Terima kasih pasukan AFM.Aku merasa bangga bekerja bersama kalian.Mereka yang akan menjadikan bumi ini terus bersinar dengan dakwah.

Usrah Mengajarku Erti Kerja

“Alang,dah lama alang tak kerja kan?”tiba-tiba adik datang berbaring disebelah aku dan bertanyakan soalan.

“Eh yeke?Dah berapa lama alang tak kerja dik?”aku sengaja bertanya soalan.Memang benar sudah tiga hari aku terperuk di rumah.Tidak keluar kemana-mana.Maknanya aku tak bekerja!

“Dah tiga hari alang tak kerja,alang kan sakit kaki”jawab adik.


Entry kali ini aku tulis pada 20 Ramadhan/30 Ogos 2010.Semasa ini aku sedang terbaring kerana kaki aku sedang sakit.Aku sudah terbaring selama 2 hari 2 malam tanpa pergi kemana-mana.Aku hanya mampu berbaring,bangun berwudhuk atau berhadas,duduk untuk berbuka dan sahur.Tetapi didikan usrah mengajar aku jangan dibiarkan hari berlalu tanpa kerja Islam.Aku cuba memahami kewajipan itu tetapi setakat inilah kemampuanku...

Rabu, 1 September 2010

Tak Habis-Habis Usrah

Alhamdulillah kami warga AFM telah berjaya mengadakan Bengkel Halatuju 5 Tahun Alfaliheen Management.Kesempatan bulan Ramadhan yang sedikit lengang dari kesibukkan program,maka kami gunakan untuk berkampung di Hotel Mesra,Teluk Kemang pada 24 & 25 Ogos 2010 baru-baru ini.



Teringat aku suatu masa dahulu..

“Saya mencadangkan supaya usrah di sekolah dibubarkan.Aktiviti ini lansung tidak menyeronokkan.Tiada pelajar yang berminat mengikuti usrah” cadang seorang pelajar semasa aku menjadi pimpinan di sekolah menengah dahulu.

“Bosanlah,tak habis-habis usrah.Dari sekolah sampai ke universiti.Asik-asik program usrah” bentak seorang mahasiswa yang memprotes aktiviti usrah.Bosan dan memuakkan.Suasana yang sama juga berlaku semasa aku menyambung pengajian di Jordan.

“Baiklah saya cadangkan supaya nama usrah ditukarkan kepada Tour De Ilmi.Tentu ianya lebih menarik” seorang pimpinan mahasiswa cuba menawarkan solusi kerana melihat ahli persatuan benar-benar tidak berminat dengan usrah.

Selepas setahun Usrah ditukar kepada nama Tour De Ilmi,namun aktivitinya tetap suram.Dimanakah silapnya?Adakah kerana usrah dipenuhi aktiviti yang tidak berfaedah?Kenapa golongan agamawan sendiri yang menolak aktiviti usrah?Sungguh sukar persoalan ini untuk dijawab.

Adakah salah ini terletak pada nama usrah tersebut?Atau kesalahan ini terletak pada silibus usrah yang sentiasa tidak pernah selesai digubal.Atau kesalahan ini berpunca dari naqib yang membosankan?

Seminggu sebelum itu...

Pada hari sabtu 21 Ogos yang lalu,aku menghadiri satu seminar yang dianjurkan oleh TAMRIN.Seminar ini dinamakan sebagai Sharpen The Saw. Program yang bagus untuk semua yang menceburi industri latihan dan motivasi.Program ini bertujuan untuk menajamkan “mata gergaji” semua trainer muslim tanahair.

“Yang paling penting kamu mesti menjadi epal merah dikalangan epal hijau.Jangan menjadi epal hijau dikalangan epal hijau.Kamu tidak akan dikenali.Kamu mesti mempunyai Unique Selling Point (USP). Macam saya,Motivasi Alihan Pelajar adalah USP bagi Dr.Tengku Asmadi!” begitu bersemangat ceramah yang disampaikan oleh Dr.Tengku Asmadi.Penceramah motivasi yang cukup terkenal di Malaysia juga merangkap Presiden TAMRIN.

“Terima kasih doktor.Saya akan gunakan semua nasihat doktor sebentar tadi untuk Bengkel Halatuju AlFaliheen Management minggu depan.Terutama nasihat doktor tadi iaitu USP.Terima kasih!” perbualan ringkas aku dengan Dr.Tengku Asmadi selepas habis sesi ceramah.

Proses Mencari Unique Selling Point (USP)

Semenjak dari awal AlFaliheen Management ditubuhkan kami masih tidak mampu menentukan apakah keunikan kami.Apakah perbezaan yang ditawarkan oleh syarikat kami?

Semasa bengkel halatuju AFM,kami telah menjalani beberapa modul brainstorming yang agak memenatkan antaranya :

Modul 1 : Membuat kajian dan Analisa SWOT untuk Alfaliheen Management
Modul 2 : Menganalisa Rakan-Rakan Niaga Industri Latihan (lebih 15 syarikat telah dianalisa)
Modul 3 : Menetapkan Unique Selling Point bagi AlFaliheen Management
Modul 4 : Membina Matlamat dan Halatuju 5 Tahun (2011-2015)
Modul 5 : Merangka Pelan Gerak Kerja Jangka Pendek (2011)

Setelah penat berhempas pulas dengan bengkel tersebut,maka satu kesimpulan yang agak memeranjatkan aku,USP kami adalah Kursus Latihan Nuqaba’.Dengan kata mudah,AFM akan menjadi sebuah syarikat latihan dan motivasi yang menawarkan methodologi usrah dan pembinaan nuqaba’ sebagai satu solusi terbaik kepada segenap lapisan masyarakat.

Kami membuat sedikit semakan pelanggan kami,sepanjang dua tahun ini,kami telah pun berjaya menjalankan latihan nuqaba kepada beberapa sekolah menengah.Antaranya SMKA Pedas (2 kali),SMKA SHAMS,Maahad Ahmadi,MRSM Muadzam Shah (2 kali),dan yang terbaru SMKA Sik.

Program inilah yang membawa AFM keluar dari tempurung N.Sembilan hingga singgah di Pahang dan Kedah.

Selepas ini Usrah dan Nuqaba' merupakan trademark kami!

Oleh itu,AFM meletakkan harapan dan cita-cita yang tinggi pada latihan Nuqaba'.Menjelang 2015,AFM berhasrat methodologi Usrah akan diterima oleh segenap lapisan masyarakat sehingga ianya turut diamalkan oleh kakitangan jabatan kerajaan dan swasta.



Usrah Dahulu,kini dan selamanya

“Tak bosan ke usrah?” tanya seorang rakan mahawasiswa kepadaku semasa di Jordan dahulu.

“Ntah”jawapan aku seperti orang tak tau hujung pangkal.Aku memang tak pandai menjawab masa tu.

Tetapi kini,aku mesti menyedari persoalan yang akan timbul dari segenap lapisan masyarakat pasti lebih mencabar.

Usrah dan nuqaba’ bukan hanya aktiviti persatuan.Bukan hanya mengisi masa lapang maghrib dan isyak.Selepas ini aku akan hidup dalam dunia usrah dan nuqaba’ yang sebenar.Usrah dan nuqaba’ adalah kerjaya dan kehidupanaku.Sentiasa meluangkan masa memikirkan tips-tips meningkatkan kualiti usrah.Menjadikan usrah relevan sehingga ke peringkat tertinggi dalam masyarakat.Sehinggakan kami bercita-cita melihat pejabat Jabatan Perdana Menteri mengadakan usrah dan memanggil kami menjalankan kursus latihan naqib.

Mengembalikan manusia kepada matlamatnya melalui pendekatan usrah.Itulah Alfaliheen Management.Tak habis-habis usrah.

Rabu, 25 Ogos 2010

Hadiah Itu Untuk Emak




“Emak,cepatlah dah berbuka ni.Emak dah sampai mana tu?aku menelefon emak.Malam itu malam yang cukup istimewa bagi aku kerana aku akan belanja emak berbuka puasa di Hotel Mesra Teluk Kemang.Aku mahu memberi sesuatu penghargaan yang akan membuatkan emak teringat sampai bila-bila.

“Tak pelah,alang berbukalah dahulu.Mak baru sampai Air Kuning.Sekejap lagi emak sampai”jawab emak.Jarak antara Air kuning dan Teluk Kemang hanya sekitar 15 minit.

Tanggal 26 Ogos adalah tarikh keramat kerana tarikh itu jatuhnya hari lahir emak.Apa yang menariknya,tanggal 26 Ogos 2010 tahun ini adalah tarikh emak bersara dari jawatan guru secara rasmi.Selepas ini emak akan digelar sebagai guru pencen.

Memberi Yang Sepatutnya Bukan Memberi Semuanya

Menjelang hari jadi emak,aku banyak berfikir apakah hadiah yang sepatutnya aku beri pada emak?

Satu pengajaran bermakna yang aku pelajari dalam dunia latihan dan motivasi adalah memberikan latihan yang sepatutnya dan bukannya memberi segala-galanya.Kata kuncinya kenal pasti masalah dahulu,kemudian berikan latihan yang sepatutnya.Trainer terhebat bukannya memberi segala-galanya kepada pelanggan tetapi memberi latihan yang sepatutnya sahaja.

Kalaulah perkara ini aku praktikkan dalam industri latihan,maka perkara yang sama mesti aku lakukan pada emak.Memberi emak hadiah yang sepatutnya.

Apakah masalah yang selalu berlaku pada golongan pesara?Sepanjang pemerhatian aku terdapat beberapa isu besar yang melanda golongan bersara.Biasanya isu yang hangat adalah bagaimana menguruskan perbelanjaan setelah pendapatan tetap dipotong sebanyak 40%.

Golongan pesara mungkin ramai yang akan terjerat ke dalam isu ini.Kerana tanggungan seperti kereta,rumah,anak-anak masih lagi berjalan seperti biasa.Kekurangan pendapatan bulanan pasti menjejaskan sedikit ekonomi rumahtangga.Sudah pasti aku tidak mahu emak terjerat dalam lubang tersebut.

Dua hari sebelum itu aku ke tiga buah kedai buku semata-mata mencari apakah hadiah terbaik untuk emak.Niat asalnya aku nak memberikan hadiah buku Celik Wang keluaran AKPK.Harganya teramatlah murah.Hanya RM5 tetapi impaknya aku jangkakan amat besar.Itulah yang sepatutnya emak dapat pada pandanganku.

“Maaflah encik buku Celik wang dah habis”itulah jawapan yang aku dapat dari 3 buah kedai yang aku pergi.Aku pun tak pasti sebenarnya buku tersebut dijual atau pun tidak dalam pasaran terbuka.Akhirnya aku belikanlah emak buku Travelog Haji karangan Profesor Mohd Kamil.Mungkin ada hikmahnya dari Allah.Mungkin itu yang lebih emak perlukan.

“Ini mak,hadiah hari jadi emak.Terima kasih emak”aku menyerahkan hadiah tersebut selepas sahaja berbuka dan solat maghrib.

Sebulan Yang Lepas

Pada tarikh 28 Julai 2010 yang lalu merupakan hari istimewa buat adik.Tahun ini adik sudahpun berusia 15 tahun.

“Alang bulan depan hari jadi adik”pesan adik sebulan lebih awal kepada aku.Macam nak hadiah saja.

Pada tarikh tersebut aku membawa pulang sate ayam 30 cucuk.Tiada hadiah istimewa yang aku belikan untuk adik.Cuma makan sate bersama-sama sahaja.Itupun di rumah.

Tiba-tiba..

“Alang beli sate hadiah untuk siapa?Untuk emak atau adik?” emak bertanya soalan yang pelik.Sudah tentu hari ini hari jadi adik.Mestilah sate untuk adik kenapa emak bertanya pula?

“Mestilah untuk adik,tak kan untuk emak pulak?Birthday emak kan bulan depan?”jawab aku bersahaja.Sedikit pun aku tak perasan apakah mesej yang cuba emak lontarkan.

“Kalau hari jadi anak,hadiah kena bagi pada emak.Sebab emak penat melahirkan anak”jawab emak ringkas dengan nada berseloroh.

“Ha..ha..ha..”aku,adik,emak,abah dan kak cik ketawa.Faham agaknya mesej tersirat itu.

Betul sungguh apa yang emak cakapkan.Sungguh menyentuh hati bila aku fikirkan.Mungkin selama ini kita gembira menyambut hari lahir sendiri,tapi kita terlupa disaat itulah ibu sedang menahan sakit melahirkan kita.Kesimpulannya,hari jadi anak hadiahnya adalah untuk emak!

Bulan depan tanggal 20 september adalah hari lahir aku maka sudah pastinya aku akan membelikan emak dan abah hadiah.Tanda terima kasih melahirkan,membesarkan dan mendidik aku selama ini.

Kembali semula ke Hotel Mesra

Pada malam itu,bukan emak sahaja yang mendapat hadiah hari lahir.Adik juga mendapat hadiah hari lahir.Ganti hadiah sate yang tak mampu “mengenyangkan” minda adik.Hadiah itu bukanlah untuk adik,tetapi hadiah untuk emak sebenarnya.



Aku belikan adik buku Motivasi Pelajar Super karangan Fadzly Yusof.Seorang tokoh motivasi terkenal.

Walaupun adik yang menerima hadiah tersebut,tetapi secara tersiratnya emaklah yang menerima hadiah itu.Sebabnya aku yakin perubahan pada adik adalah hadiah terbesar buat emak.

Selesai segalanya...

Aku masuk ke bilik untuk tidur.Tapi kenapa malam itu aku tidur dengan rasa penuh kekurangan.Sambil mata memandang ke syiling,fikiranku masih melayang mencari apakah yang aku belum lakukan hari ini.

“Owh..kalau hari jadi anak,hadiahnya untuk ibu dan abah.Maknanya hari lahir ibu sudah tentu hadiahnya untuk nenek dan datuk!”

Terima kasih Al-Marhum Tok Ayoh dan Al Marhumah Wo.Merekalah yang melahirkan,membesarkan dan mendidik emak.Aku hadiahkan Al Fatihah buat mereka berdua.Alfatihah..

Ahad, 22 Ogos 2010

Rumah bukannya lagi tempat berehat


Gambar abah dan emak pada tahun 2008 di Port Dickson.Pada masa ni abah masih sihat

“Alang,alang...tolong abah sekejap.abah nak berak ni” abah memanggil-manggil aku.Sudah lebih tiga hari abah terbaring sahaja di atas katil.Abah dihinggapi dua penyakit yang agak kronik.Pertama adalah penyakit gout iaitu akibat ketinggian kandungan asid urik didalam badan.Kedua adalah ulser dalam usus.Akibat kekerapan mengambil ubat gout,akhirnya ubat tersebut menghakis dinding usus dan terjadilah ulser.Begitulah penjelasan doktor kepada emak dan aku bila kami mendapatkan penjelasan dari hospital.

Dahulu abah memang seorang yang sihat,ceria dan aktif.Abah selalu buat kelakar.Pernah satu hari semasa kecil-kecil dahulu,aku menjerit kerana terlihat ulat gonggok datang kepada aku.Dengan bersahaja abah mengambil ulat gonggok tersebut dan terus mencampak ke dalam mulutnya.

“Waa..abah makan ulat la”aku terkejut dan seolah-olah kagum.Biasalah budak kecil.Sebenarnya abah buang kebelakang.Bukan ke dalam mulut pun.Bila dah besar baru tau.

“Adus..abah ni.kenapa waktu ni pulak”hati kecil aku membentak.Aku baru sahaja nak berehat.Lalu aku pun datang dalam keadaan yang agak malas menyahut panggilan abah yang mahu membuang air besar.

“Abah nak berak macam mana ni?Mari alang angkatkan ke tandas”aku cuba menawarkan khidmat.Aku mesti selesaikan masalah ini sesegera mungkin.

“Abah mana boleh bangun.Alang carikanlah besen.Lepas tu bagi abah air sebaldi.Biar abah buang air besar dekat sini aje”cadang abah kerana mengerti dirinya memang tidak boleh bergerak.

Detikan Hati Untuk Berubah

Penyakit gout abah sudah semakin kritikal.Bila penyakit ini menyerang,habis semua sendi abah rasa sakit.Abah lansung tidak boleh bergerak.Bayangkan macam mana abah nak bergerak?Aku rasa semua orang tahu pergerakan kita mesti menggunakan sendi.Siku,lutut,pergelangan tangan,jari jemari,pergelangan kaki...semuanya sendi!.Mana boleh nak bergerak kalau sendi sakit.

Dikala itu aku teringat slot Us.Hasrizal didalam TV3.

“Yang paling baik antara kamu adalah yang paling baik pada ahli keluarga.Dan akulah orang yang paling baik pada keluarga”sebut Us.Hasrizal memulakan bicaranya dengan hadis Nabi Muhammad S.A.W tadi.

Jujur aku katakan aku telah mendengar hadis ini sejak dari sekolah menengah lagi.Aku lansung tak faham kehendak hadis ini.Maklumlah,zaman remaja hadis-hadis bukannya kita nak ambil perhatian sangat.Kalau faham pun,hanya faham maksud sahaja.Lansung tak membekas pada hati.Tak terkesan pada tindakan.

“...sebab itu satu ketika Mother Teresa pernah di tanya oleh seseorang apakah formula terbaik untuk melihat dunia ini kembali aman?Dengan jawapan yang ringkas Mother Teresa menjawab Go back to your home,and love your family” jelas Us.Hazrizal sebagai menutup sesi bual bicaranya pada slot tersebut.

Kefahaman Yang Berbekas

Berdetap jantungku mendengar kesimpulan tersebut.Bagaimana seorang yang bukan muslim (Mother Teresa) mampu memberi solusi yang begitu baik.Jawapan yang ringkas dan padat.Seiring dengan apa yang dikehendaki Nabi Muhammad.Kehendak Nabi,kita perlu menjadi yang terbaik pada ahli keluarga.Apakah yang terbaik itu?Menjadi orang yang penuh kasih sayang dan tanggungjawab pada ahli keluarga.Mudah atau tidak?Sudah tentu amat sukar untuk melakukannya sebab Nabi Muhammad adalah yang paling baik terhadap ahli keluarga walaupun Baginda adalah yang paling sibuk.Kali ini kefahamannya tidak kosong,tetapi begitu berbekas pada hati.Jika aku menyelesaikan sedikit masalah keluarga,aku sedang menyelesaikan masalah dunia!

“Abah ni besennya dan kayu tempat abah mencangkung.Perlahan-lahan turun katil.Jangan gelojoh sangat.Dah sudah nanti panggil alang semula.Nanti alang buangkan najisnya”pesanku kepada abah yang sudah mula mengensot turun dari katil untuk membuang air besar.

“Ya Allah,beratnya untuk menjadi yang terbaik pada ahli keluarga”hati aku sudah mula merasakan keperitan itu.Aku baru sahaja nak berbaring merehatkan badan.

Aku cuba merasionalkan diri.Mencari sebab kenapa aku mesti tolong abah.Teringat dahulu emak dan abahlah yang mencuci najis kita.Merekalah yang tidak bermalam kerana kita.Merekalah yang tidak cukup tidur kerana tangisan kita.Abahlah yang bekerja siang dan malam membesarkan kita.Mencari nafkah untuk melihat kita terus tersenyum.Waktu kecil abah dan emaklah yang akan bertanya hari ini dah buang air besar ke belum?Kenapa kita mesti membentak mereka pula?

Aku bersyukur Allah kurniakan ayah yang sedang sakit.Aku sedar disaat inilah kecerdasan emosi seorang anak sedang diuji.Saat ini kecerdasan intelektual anak lansung tiada nilainya.Apa gunanya menjadi anak yang pandai,sedang emosi tidak memahami abah sedang perlukan perhatian.

Aku bangga masih punya abah kerana aku punya ruang untuk mendapat pahala sebagai anak yang soleh.Pahala aku bukan hanya pada doa.Tapi pada setiap detik kerja yang aku lakukan.Setiap saat keikhlasan aku Allah sedang gantikannya dengan pahala.

Allah juga kurniakan aku seorang adik yang mengalami disleksia untuk menguji ketajaman akalku sebagai seorang abang.Adik sentiasa perlukan bimbingan dan dorongan.Apalah gunaku menjadi seorang trainer jika masalah didepan mata tidak dipedulikan.Tapi sibuk dengan menyelesaikan masalah orang lain.Mulai hari ini aku mesti bersungguh-sungguh memahami rumah bukanlah lagi tempat berehat.Tapi tempat menumpahkan kasih sayang dan melaksanakan tanggungjawab.

Kerana Lahir Untuk Hebat

Bukankah Allah sudah berpesan dalam surah Almulk ayat 2:
(Allah yang menciptakan kematian dan kehidupan untuk menilai siapakah diantara kamu yang paling hebat amalannya)

Menyayangi ibu bapa disaat mereka sihat adalah kerja yang paling mudah.Tetapi menyayangi mereka dikala sakit adalah kerja yang paling sukar.Itulah bukti anak yang hebat,mencintai ibu bapa tanpa syarat.Aku sedang berusaha menjadi anak yang hebat.Usahalah wahai semua yang bernama anak...

Rabu, 18 Ogos 2010

Hebat sangatkah dapat 3A dalam PMR?

“Ye..ye..alang dah balik!”jerit adik bila dengar kereta aku mula memasuki garaj rumah.

Walaupun adik telah berumur 15 tahun,tapi girangnya menyambut aku balik dari pejabat masih tidak menunjukkan kematangan umurnya.

“Alang beli air kotak adik tak?”tanya adik meminta janji yang masih belum tertunai.
“Alaa..alang lupa la adik.Esok alang belikan ye.Sori ye”aku menjawab serius.Aku memang terlupa nak belikan air kotak untuk adik.Sudah dua hari berturut-turut aku terlupa.Adik tetap menolongku mengangkat barang-barang walaupun aku tahu hatinya kecewa.

“Ok esok alang belikan ye.Tapi adik tolong ingatkan alang.Pukul 4.30 petang message alang guna telefon emak.Ok?”aku cuba mengembalikan keceriaannya.
“Ok!”jawab adik mudah.Terus ceria dan lupa akan kelupaanku membelikannya air kotak.Nampak mudah bukan.Tapi itulah adik.Cukup istimewa untuk menjaganya.Perlu kreatif dan tak boleh dimarahi.Pasti adik akan panik.Terus tak boleh buat kerja.

Aku tak pasti apa yang menyebabkan adik jadi begitu.Mungkin anda mengatakan aku membuka aib keluarga sendiri.Tidak.Aku cuma menceritakan sesuatu untuk mencari solusi.Aku percaya diluar sana anda pasti pernah berjumpa dengan kanak-kanak seperti ini.Mungkin juga anda mempunyai adik seperti ini.Mungkin juga anak anda sama seperti adik.Disleksia.Setakat ini itulah kesimpulan awal keluarga kami terhadap adik.

Adik masih tak pandai mengikat tali kasutnya.Adik betul-betul tak mahu emak belikannya kasut bertali.

“Mak,adik nak kasut lekap.Tak nak beli kasut tali!!!”adik merungut bila kakak dan emak mahu belikannya kasut tali.Tapi emak tetap belikannya kasut tali.Adik mesti belajar jadi dewasa.Pakai kasut tali macam kawan adik-adik pakai.

Akhirnya adik pakai kasut tali juga.Tapi talinya digulung dan dimasukkan ke dalam kasut.Tak diikat kemas seperti ikatan bunga yang biasa kita lakukan.

Sampai hari ini adik masih lagi dibuli.Maklumlah fizikalnya masih seperti kanak-kanak tahun enam.Pernah satu hari songkok adik hilang.Kami semua marahkan adik.Tapi sebenarnya songkok adik diambil oleh kawan.Adik tak berani melawan kawan yang membulinya.Apa yang mampu dilakukan oleh adik hanyalah mengikut kehendak kawannya.Adik memang tidak pandai membezakan antara gurau dan buli.

Apakah tanda-tanda disleksia ini?

1-Pembacaan yang lambat dan mempunyai tulisan tangan yang buruk.

2-Kebiasaannya berlaku dikalangan kanak-kanak lelaki berbanding perempuan.

3-Perhatian dan tumpuan mudah terganggu serta gagal menghabiskan sesuatu kerja sehingga selesai.

4-Kesukaran dalam komunikasi dan kelihatan seperti tidak mendengar atau mempedulikan dengan siapa dia bertutur.

“Adik,PMR nanti nak dapat berapa A?”soalku supaya fikirannya sentiasa memikirkan peperiksaan PMR yang semakin dekat.

“Ntah la”jawab adik bersahaja.Aku menjadi geram seketika.

“Percubaan PMR adik dah habiskan?”soalanku yang subjektif sebentar tadi ditukar pada soalan objektif.Jawapan hanya dua.Sudah atau belum.Aku berharap perbualan jadi serius.

“Sudah”jawab adik mudah.

“Agak-agak nanti keputusan percubaan dapat berapa A?”aku kembali semula kepada soalan subjektif.Adik terus diam tak menjawab.Mungkin dia malas nak melayan soalan itu.

Selepas dua hari,aku terperanjat.Adik melakukan satu keajaiban.

Adik menulis sesuatu pada whiteboardnya “percubaan dah habis menjawab.tinggal lagi nak PMR je.5/10/2010.(hari selasa)insyaallah adik boleh dapat 3A cukup.selamat menjawab.”



Saksikan tulisannya.Cantik bukan.

Soalnya sekarang,hebat sangatkah dapat 3A untuk peperiksaan PMR yang ada sembilan subjek.Cuma dapat 3A daripada sembilan mata pelajaran?

Bagi aku bukan berapa A yang adik akan dapat.Kehebatannya terletak pada BERCITA-CITA.Kemahuannya memiliki matlamat.Tugasku kini adalah menggilap wawasannya.

It’s not how good you are, it’s how good you want to be

Adik hebat kerana bercita-cita!

Isnin, 16 Ogos 2010

Wawasan itu Wajib!

“Dalam seratus peserta seminar saya,hanya ada 3-5 orang sahaja yang mempunyai matlamat untuk jangka masa 5-10 tahun”kata Prof.Dato' Dr.Ibrahim Ahmad dalam majalah Jutawan edisi Ogos 2010.

Mengeluarkan Wawasan Adik


“Adik besar nanti nak jadi apa?”tanya saya kepada adik.Kami dalam perjalanan pulang dari Surau Kg.Jiboi Baru.Saya baru sahaja selesai menyampaikan kuliah subuh disitu.

“Ntah”jawab adik sambil tersengih-sengih.Dia adalah adik yang paling manja dengan saya walaupun usianya sudah mencecah 15 tahun.Memiliki adik penghidap penyakit ganjil disleksia merupakan cabaran yang hebat sebagai seorang abang.Betul ke disleksia?Kami sekeluarga pun tak tahu.Cuma baru-baru ini bila along membawa balik satu cerita Hindustan bertajuk Taare Zameen Par,simptom disleksia itu semakin menepati apa yang ada pada adik bongsu kami.Setelah 15 tahun,barulah kami sedar.Sungguh malang bila tidak diketahui dari awal.Selepas ini aku mesti berjanji tidak akan mensia-siakan usianya.Umurnya mesti dilatih dengan kematangan dan kedewasaan.Skil dan kemahiran aku sebagai abang perlu ditingkatkan.Pasti semua abang dan kakak didunia ini mahu melihat adiknya lebih berjaya dari dirinya.

“Mmm..ok..adik dah besar nanti nak pakai kereta apa?”saya cuba memudahkan soalan.Kereta adalah manifestasi kehebatan kerjaya.Dia mesti luahkan hasratnya.Hasratnya untuk berjaya dalam dunia yang penuh persaingan.Saya yakin semua orang akan bersetuju dengan inferens ini.
-Semakin besar kejayaan,semakin hebat kenderaan-.Mungkin ada yang tak setuju.Tapi saya cuma mahu adik faham kepentingan soalan itu.

“Ntah”jawapan yang sama diluahkan oleh adik kesayanganku.
“Adik kena fikir dari sekarang tau.Tak kan dah besar nanti nak pakai kereta along,angah,alang dan kakcik” nasihat aku supaya adik boleh keluar dari kepompong dunia kanak-kanaknya.Dia terus terdiam,kemudian memandangku dengan senyuman.Harapnya senyum itu adalah tanda faham bahawa berwawasan adalah WAJIB!

Antara Usia dan Cita-Cita

Dua bulan lepas saya dijemput berceramah di NSSDC Mantin.Tajuknya Membina Matlamat.Hampir 40 orang pelajar lepasan SPM yang melanjutkan pengajian disini.Aku cukup teruja bersama dengan mereka.Walaupun mereka ini memilih landasan NSSDC sebagai pilihan terakhir,namun saya mengharapkan ceramah mesti dikunci dengan kefahaman It’s not how good you are, it’s how good you want to be.

“Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua.Nama saya Mohamad bin Mohsin.Saya dilahirkan di Kelantan dan membesar di Negeri Sembilan.Saya sentiasa tidak dapat apa yang saya inginkan” saya memulakan bicara dengan sedikit tanda tanya untuk menarik fokus mereka.

“Tak dapat apa yang di inginkan?Macam mana tu ustaz?” ada yang sudah mula memberikan fokus.Bagus!

“Saya bermula dengan cita-cita ingin menjadi seorang guru.Saya banyak dipengaruhi kerjaya ibu bapa.Abah dan emak saya kedua-duanya guru.Seronok jadi cikgu.Mana tidaknya.Setiap bulan tidak kurang lapan hari bercuti.Belum tambah cuti raya.Cuti sekolah.Paling seronok sambil bercuti dapat gaji.Guru.Guru.Guru.Zaman sekolah rendah.Mentaliti kanak-kanak yang sukakan keseronokan.”

“Apabila masuk alam sekolah menengah cita-cita saya sudah berubah.Saya memang minat melukis.Seronok dengan kesenian,reka bentuk,khayal melihat sesuatu bangunan.Saya mahu menjadi arkitek” minat dan perhatian peserta semakin meningkat.Saya memang minat seni.Keputusan pertama yang saya buat kerana minat adalah mengambil mata pelajaran seni dalam SPM.Bukan kerana nak dapat lebih A.Tapi kerana minat!

“Apabila masuk alam universiti cita-cita saya berubah lagi.Pada tahun tiga,pihak Malaysian Student Department Of Jordan menganjurkan kursus keusahawanan selama 3 hari.Saya tidak melepaskan peluang untuk mengikuti kursus tersebut.Bermula dari saat itu nilai keusahawanan saya berjaya dicungkil keluar.Saya bercita-cita menjadi usahawan.Tapi nak berniaga apa ya?Saya mahu jadi usahawan perniagaan makanan segera seperti KFC dan Mc Donald.Pengusaha makanan segera muslim.”reaksi mata dan cara duduk pelajar semakin positif.Saya semakin gembira.Memulakan ceramah dengan cerita adalah skil yang terbaik mengikat pendengar.

“Sekembalinya dari Jordan pada tahun 2008,minat saya menjadi pengusaha makanan segera mula meluntur.Ntah kenapa pun tak tahu.Namun nilai usahawan saya masih belum luntur.Saya dan rakan pun mengambil keputusan drastik.Mendaftarkan sebuah syarikat yang bernama Alfaliheen Management.Sebuah syarikat latihan dan motivasi.Ia banyak dipengaruhi oleh sikap saya yang suka bercakap dikhalayak ramai.Tambahan pula rakan niaga mempunyai pengalaman yang banyak dalam menguruskan syarikat latihan seperti ini”

“Rakan-rakan sekalian...”saya membahasakan diri mereka dengan istilah rakan-rakan.Istilah itu nampak lebih mudah mesra.

“Bila dilihat kembali,barulah saya tersedar.Cita-cita saya tiada pun yang tertunai.Adakah Tuhan zalim.Sudah tentu tidak.Rupa-rupanya Tuhan telah menggabungkan 3 cita-cita saya dalam satu kerjaya iaitu Trainer.Sifat guru,arkitek dan usahawan semuanya ada dalam kerjaya Trainer.Sayalah guru.Saya juga adalah arkitek.Tapi bukan membina bangunan.Tetapi sedang belajar seni membina manusia.Disamping itu saya juga adalah usahawan.Kerana itu Allah kurniakan saya adik yang menghidapi disleksia (agaknya).Saya perlu menajamkan bakat dan kebolehan saya.Kebolehan menghargai sebuah kehidupan dengan menghargai manusia yang ada bersama saya.

“Baik,sekarang saya nak tahu apakah cita-cita dan matlamat kamu?”saya menamatkan cerita dengan soalan pantas dan tegas.Teknik menarik semula perhatian pada tajuk asal iaitu Membina Matlamat.Masing-masing terdiam.Mungkin baru mula terfikir apakah cita-cita mereka.

Dare to dream


Selepas dua tahun menjalankan perniagaan latihan dan motivasi ini,kini saya mula bertanya.Apakah wawasanku dengan AlFaliheen Management?Apakah yang di inginkan AFM dalam tempoh 5-10 tahun akan datang?Adakah AFM sudah berada pada zon selesa?

Maka tanggal 24 dan 25 Ogos ini kami pasukan AFM akan mengadakan bengkel pemurnian hala tuju di Hotel Mesra Port Dickson.Kami faham berwawasan itu adalah wajib.Berwawasan bukanlah hanya mahu memiliki kerjaya apa.Tetapi lebih pada menetapkan pencapaian terhebat pada diri anda.Kerana kita dilahirkan untuk hebat!

Jumaat, 13 Ogos 2010

Siapa Anak Yang Hebat?

Dialog 1 :

"Wah...cantiknya kereta Mercedes tu”puji Ahmad.
"Oh itu pak cik aku.Dia ada syarikat besar di Kuala lumpur"jelas Kamal dengan penuh rasa bangganya menumpang kehebatan bapa saudaranya.
"Sebenarnya dulu syarikat itu kepunyaan ayah aku.Kemudian beri pada pak cik kerana ayah aku buat bisnes lagi besar" tambah Kamal membangga diri dengan kejayaan ayah dan pakcik nya.
"Iye?"balas Ahmad meluat.

Dialog 2:

"Bagus sungguh wakil rakyat itu.Pandai bercakap.Ada ketrampilan"kata Pak Abu kagum dengan kehebatan seorang wakil rakyat.
"Ellehh..dia tu sama sekolah dengan aku dulu tu..Budak kampung aku je" balas Pak Ali seperti cuba menonjolkan dirinya lebih hebat.

Antara dia dan kita?

Mari kita melihat situasi ini dalam dua sudut pandangan.Pandangan pertama dari orang yang berkata.Mungkin kita pernah berjumpa dengan orang seperti ini.Dia merasakan dirinya turut hebat.Ini namanya sindrom (parapular –parasit tumpang popular).Sengaja menyangkutkan kehebatan orang pada dirinya.Sedangkan orang yang hebat itu tetap berdiri dengan dirinya tanpa pujian orang.Sedang kita?Terpaksa berdiri dengan populariti orang lain.Boleh jadi juga manusia seperti ini sebenarnya cuba meletakkan dirinya lebih hebat dari orang lain.

Saya masih teringat di zaman kanak-kanak,sekolah menengah,asrama,di universiti,di dalam alam kerjaya..saya PASTI akan berjumpa dengan manusia seperti ini.Malangnya,mereka yang dijangkiti sindrom parapulor ini pasti sentiasa menjadi bahan umpatan.Apa tidaknya,tak boleh kalah!

Pandangan yang kedua dari sudut orang yang mendengar.Saya tak pasti apakah perasaan anda apabila berjumpa manusia parapular ini?Mungkin...
1.Anda merasa kagum dengannya kerana dia memang hebat.
2.Anda merasa meluat dan 'geli' dengan kenyataan yang dikeluarkan.
3.Anda mahu menjadikannya sebagai idola.

Apapun saya pasti,ramai yang meluat.Yakinlah semua manusia tak suka berkawan dengan manusia yang tinggi diri dan hidung tinggi.

Kerana itu Islam datang memberitahu,kita semua asalnya sama.Air mani yang hina.Kotor.Adakah kita yang merasa "hebat" itu dilahirkan dari cecair yang lebih mulia?Mulia macam sirap?Air kelapa?Teh tarik?Tak sama sekali,kerana semuanya berasal dari air mani yang hina.

Itulah fitrah.Kita semua dilahirkan putih.Bersih dan suci.Kerana sikap angkuh kita,kita kembali kepada kehinaan.

Pengajaran dari Muhammad Alfateh..

Sianak muda duduk di benteng selat Bosphorus.Menjerit setiap hari menghadap ke kota Constantinople.

"Akulah Raja Itu!Akulah Raja Itu!"

Berjiwa besar.Yakin dengan diri sendiri.Tidak menyandarkan kehebatan pada orang lain.Sentiasa merendah diri.Ghairah dan berkeyakinan mengotakan janji Nabi S.A.W

"Pada suatu hari Kota Istanbul akan ditawan.Raja yang terhebat adalah raja yang menawan kota itu.Askar yang terhebat adalah askar yang menawan kota itu"

Saya tertarik dengan pepatah arab yang begitu hebat ertinya.

"Bukanlah anak muda yang hebat bila mengatakan -Inilah ayah aku!- tetapi anak muda yang hebat akan berkata -Inilah Aku!"

Anak muda yang hebat akan berkata “Inilah aku”
Anda tidak hebat jika kaya kerana ayahmu pak menteri.
Anda tidak hebat jika berjaya masuk sekolah SBP sebab saudaramu pegawai di kementerian.
Anda tidak hebat jika hartamu datang dari titik peluh orang lain.

Anak yang hebat memilih untuk berpuasa zahir dan batin.Anak yang hebat tidak perlu dipaksa oleh ibu bapanya.Anak yang hebat boleh memilih antara baik dan buruk.

Salam ramadhan.Bulan yang penuh kehebatan.Bukannya bulan keletihan.Bulan perjuangan untuk anak-anak yang hebat.

Selasa, 4 Mei 2010

Soalan untuk seorang motivator...


Seorang motivator begitu bersemangat menyampaikan ceramah dan input berguna untuk pendengar..

Lagaknya ibarat seperti singa yang sentiasa bersedia untuk bergaduh dengan pihak lawan..

Setiap soalan yang di ajukan kepada beliau pasti akan dijawab.Setiap saat bersama dengan pendengar begitu mengujakan.Setiap hari rasa bersemangat untuk berjumpa dengan pendengar yang baru..


Pernah kita bertanya,apakah yang menjadikan seseorang motivator terus bermotivasi untuk menyampaikan motivasi?

Siapakah pendorong kepada seseorang motivator?
Pernahkah terjadi kepada seseorang motivator rasa tidak bermotivasi?
Adakah motivator ini satu kerjaya atau bakat semulajadi?

Ujian Yang Hebat Untuk Siapa?


Allah telah menjanjikan pelbagai jenis ujian untuk hambanya.Hanya untuk melihat sama ada akan terus tersenyum dan bersyukur.

Ujian hebat sudah tentu untuk melahirkan hamba yang hebat.Bukan untuk melihat hambanya berterusan kecewa.

Yakinlah,laut yang bergelora disertai ribut taufan yang dahsyat,sebenarnya untuk melahirkan pelayar yang hebat.Pelayar yang hebat tidak hanya melayari lautan tenang,bahkan juga berjaya mengharungi ombak yang dahsyat...

Sabtu, 3 April 2010

Bilakah nak jadi HEBAT?

“Allah SWT yang menjadikan kehidupan dan kematian untuk menilai kamu siapakah yang paling hebat amalannya”Surah Al Mulk ayat 2.

Adakah kita perasan sekarang ini Tuhan sedang menguji kita.Benarkah kita ini hamba yang hebat amalannya?Siapakah kita disaat ini?

PERSEPSI YANG SALAH

Tuhan bukan memberi ujian di saat susah sahaja.

“Sabarlah dengan ujian ini.Mungkin Allah lebih menyayanginya dan menjemputnya pergi dahulu”

“Sabarlah dengan kekalahan ini.Lain kali kita cuba lagi.Inikan ujian”

Kenapakah kita mengatakan kematian itu ujian?Bukankah kelahiran juga satu ujian?
Begitu juga kekalahan.Bukankah kemenangan itu juga ujian?

Mungkin ada dikalangan kita ini guru,polis,pelajar,tentera,pensyarah,ahli perniagaan,apa-apa sahaja?Ketika inilah ujian itu sedang berlaku.

Ujian buat guru baru bukan disaat tiga bulan pertamanya tiada gaji.Ketika tibanya gaji setiap bulan juga adalah ujian.

Ujian buat pelajar bukan hanya disaat semester pengajian sedang berlansung.Disaat cutinya juga adalah ujian.

Ujian buat ahli perniagaan bukanlah disaat ruginya.Bahkan disaat untungnya juga ujian.

Begitulah seterusnya..

UJIAN?

Apa itu ujian?Ujian itu ada yang senang ada yang susah.Kaya lawannya miskin.Sihat lawannya sakit.Ramai lawannya sedikit.Tingg lawannya rendah.Berjaya dengan gagal.Untung dengan rugi.

Apa pula itu kehidupan?Kehidupan itu senang dan susah.Kaya dan miskin.Sihat dan sakit..dan seterusnya.

Jadi apa beza kehidupan dan ujian?Sudah tentu tiada bezanya.Kehidupan itulah ujian.Ujian itulah kehidupan.


Jadi masa bila kita sedang dipilih Tuhan untuk jadi hebat?

Saat inilah Tuhan sedang memilih kita.Saat kehidupan itu bersama kita.Saat ujian itu bersama kita.Saat susah itu.Saat senang itu.Saat bujang.Saat dipinang.Saat bertunang.Ya,disaat sudah berkeluarga juga.

Satu lagi,saat anda sedang membaca artikel ini pun Tuhan sedang menguji anda.Menguji apa ya?

Bilakah nak Jadi HEBAT
Sudah tentu jawapannya sekarang.Sekaranglah masanya untuk jadi HEBAT.Apa lagi yang perlu ditunggu?

Khamis, 25 Mac 2010

Hebat itu mula dimana?


“Ephi mari kita berjalan-jalan didalam hutan”ajak Epha seekor anak gajah jantan kepada Ephi seekor anak gajah betina

“Boleh,kita jalan-jalan ditepi sungai ye”

Bunyi angin bertiup cukup mendamaikan.Deruan air terus melekakan Ephi dan Epha.Kicauan burung yang menyanyi turut menemani setiap langkah mereka berdua.

Kraappp!!!

“Aduh!Kaki aku!”jerit Ephy.Kakinya termasuk perangkap pemburu gajah.

.....

Akhirnya Ephy pun dibawa masuk kedalam sangkar untuk dibawa ke zoo.Sampai di zoo,kaki Ephy terus digari.

“Aku mesti melarikan diri.Ishhhh!!!”jerit ephy cuba melepaskan kakinya daripada gari.Sekali cuba,tak lepas.Dua kali pun tak lepas.Tiga kali...sepuluh kali.Berpuluh-puluh kali sudah dicuba namun Ephy masih belum melepaskan diri.

“Kalau macam ini memang tak akan lepas”bisik hati Ephy.

....

Kini,sudah lima tahun Ephy tergari di dalam zoo.Badan Ephy semakin besar.Tenaganya juga sudah tentu semakin kuat.Tapi Ephy masih lagi tidak mampu melepaskan diri walaupun gari yang digunakan pihak zoo adalah gari yang sama.

Pada pendapat anda apakah kegagalan paling besar dalam hidup ephy?

Sudah tentu kegagalan yang paling besar dalam hidup ephy adalah apabila mindanya sudah mengatakan “Kalau macam ini memang tak akan lepas”

Kurungan yang paling hebat bukanlah kurungan kakinya pada gari itu,tetapi kurungan yang hebat adalah pada mindanya.

Apakah kesan pada tindakannya?Maka si ephy akan putus asa dan malas mencuba.Siapakah manusia yang malang dan bersikap seperti Ephy itu?

“Sudahlah,tak payah lah buat program lagi.Orang bukan nak datang pun”

“Cukuplah ni,kau nak apa lagi.Api dah ada.Air dah ada.Rumah dah ada.Semua cukup.Astro pun ada”

“Belajar jauh sampai oversea pun belum tentu boleh dapat kerja sekarang ini”

“Kalau setakat balik luar Negara untuk jadi cikgu baik tak payah”

“Tak usahlah bagi derma banyak sangat.Orang sekarang ni bukannya reti nak berterima kasih”

“Nampaknya susah Islam nak menang macam ni”

“Boleh ke terlibat politik ni?Tak takut kena apa-apa ke?”

“Boleh hidup ke kerja sendiri ni,kenapa tak mintak kerja kerajaan”

Oh ya,bukankah hebat itu bermula di minda?

*Kisah epha dan ephy diubah suai dari temuramah Saifulislam di TV3

Ahad, 21 Mac 2010

Boleh Arab ke?Boleh Harap ke?


“Kenapa belajar di timur tengah?Balik jangan hanya boleh cakap Arab je,tapi mesti boleh harap”

Tersentap juga bila mendengar nasihat-nasihat panas macam itu.Apa maksud boleh arab?Apa maksud boleh harap?

“Orang yang belajar kat negara Arab ni ramai yang tak boleh harap.Pakai biasiswa kerajaan tapi lawan kerajaan.”kata satu kelompok.

Yelah,berapa ramai pelajar di timur tengah.Majoriti tidak sokong kerajaan.Pak Menteri datang melawat,ramai pelajar akan menghadiri program.Tapi bukan untuk dapat input kerajaan pun.Datang untuk makan sahaja.

“Orang yang belajar kat negara Arab bukan boleh harap.Belajar tinggi-tinggi,kemudian sokong kerajaan.Memang tak boleh harap.”kata satu lagi kelompok.

Kalau sudah tau kerajaan ini zalim,kenapa masih membiarkan kezaliman terus berleluasa?Kenapa masih membiarkan rakyat terus tertekan?Kalau ustaz dan ustazah tidak mahu sokong Islam,siapa lagi akan sokong Islam?

"Tak pelah,biarlah kita tunggu Ah Chong dan Mutusamy yang sokong Islam..."

Ada pulak belajar di negara Arab,tapi balik hanya lepas beban sendiri sahaja.Asalkan ada kereta,rumah,keluarga,ada kerjaya yang tetap.

”Ok la tu,hang nak apa lagi?”kata mereka.

Aduhai..boleh arab ke boleh harap?

Kita semua macam mana?(Untuk yang belajar timur tengah sahaja dan mereka yang belajar berasaskan bahasa Arab)

Janganlah jadi “Tak boleh Arab dan lansung tak boleh harap”

Bukankah kita ini lahir untuk hebat?Maka boleh Arab,boleh harap.

Tapi “Apa dia boleh harap tu?”

Khamis, 18 Mac 2010

Tuhan Satu Jadi Hebat


"Saya nak mengadu masalah lah ustaz" tanya seorang jawatankuasa masjid kepada ayah saya.

"Masjid kita sudah berpecah dua kumpulan.Team A dan Team B.Macam mana ni ustaz" sambungnya lagi.

"Mmm..." ayah saya cuba memahami masalah.Ayah saya bekas nazir di sebuah masjid.Beliau sering menjadi rujukan untuk masalah sekitar.Belum pun sempat ayah menyatakan pandangan..

"Saya rasa masalah utama masjid kita ni,jawatankuasa kita banyak tuhan.Tuhan mereka bukan sahaja Allah.Tapi banyak!"jelasnya dengan nada yang lebih tinggi.

"Macam mana tu?"saya cuba mencelah setelah melihat perbincangan seperti hangat.

"Mana taknya,seorang tuhannya duit.Maka elaunlah yang digilanya.Seorang lagi tuhannya pangkat.Maka jawatan-jawatanlah yang digilanya.Seorang lagi tuhannya pengaruh dan populariti maka nama pula yang digilanya"sambil menggeleng kepala dia menceritakan masalahnya.

Saya dan ayah sudah mula mengangguk seperti mengiyakan kata-katanya.

Ada juga betulnya.Jika di lihat pada zaman jahiliyyah pun begitu.Apabila tuhan manusia ini lain daripada Allah,akan binasalah umat manusia.Bergaduh.Perebutan yang tidak berkesudahan.Penindasan.Kerana bertuhankan pangkat,nama,harta dan pengaruh menjadikan Abu Jahal dan Abu Lahab tetap berat menerima keindahan Islam.

Islam datang tanpa menawarkan pangkat padanya.Tiada wang.Tiada apa-apa kemewahan.

Jika manusia bertuhankan dunia,maka berlakulah kerosakan.Masing-masing mengejar dunia yang sempit pintunya.

Tetapi jika manusia mengejar Allah,maka berlakulah keamanan.Tuhan yang mempunyai pintu Maha Luas.Sentiasa terbuka.Tidak bergaduh merebutNya.

Bagaimana kita hendak hebat jika tuhan kita banyak?
Bagaimana masjid boleh hebat jika jawatankuasa banyak tuhannya?
Bagaimana negeri dan negara boleh hebat jika pemimpin banyak tuhannya?

Bukankah kita akan mengatakan Tuhan Satu,maka kita jadi Hebat.

Isnin, 15 Mac 2010

Hebat Kerana Mereka


Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarnya,sabda Nabi Muhammad S.A.W.

Hadis Nabi Muhammad yang bermaksud "Sebaik-baik kamu ialah orang yang baik kepada ahli keluarganya dan akulah sebaik-baik di antara kamu kepada ahli keluargaku."
(Riwayat at-Tirmizi)

"Kekayaan ini tuhan beri kepada saya untuk saya menolong orang lain
pula. Saya percaya kepada keberkatan rezeki. Hari ini kita tolong orang,
esok lusa orang akan tolong kita pula dengan cara yang lain."jelas Syed Mokhtar Al-Bukhari ketika ditanya tentang kekayaannya.

"Hidup untuk memberi" Ustaz Hazrizal (Saifulislam)

Hebatnya ayah terlihat pada anaknya

Hebatnya guru pada kejayaan anak muridnya

Dimanakah kehebatan kita?Betapa hinalah manusia yang mengaku hebat kerana diri sendiri.Hebatnya kita kerana mereka.

Hebatnya ibu apabila dia mampu melahirkan dan membesarkan anaknya.Jika lahirnya anak untuk dibuang?Hebatkah ibu bapa itu?Berbaktinya kita pada yang dibawah menjadikan kita hebat.

Tidaklah kaya jika anda hanya kaya seorang diri.Tidaklah pandai jika hanya bijak seorang diri.

Dan yang paling jelas dan nyata,kehebatan kita kurnian Allah.Tuhan yang pinjamkan.Dia berhak mengambilnya.Berapa ramai yang punya jawatan yang tinggi,akhirnya jatuh di hina manusia.Berapa ramai yang pandai akhirnya hina menjadi gila.

Semalam saya mendaki Gunung Datuk di Rembau.Selepas setengah jam pendakian saya menghadapi kesukaran.Muntah-muntah.Akhirnya saya terpaksa ditinggalkan.Ekspidisi tetap diteruskan.Puncak gunung datuk menjadi idaman.

Selepas sepuluh minit berehat dari pening dan muntah,tiba-tiba rakan saya yang baru sampai terus menyapa."Buat apa mendaki kalau setakat hendak berhenti disini!"

Kata-katanya membakar semangat saya untuk teruskan pendakian.Saya diajar teknik pendakian.Teknik penafasan yang betul.Sambil mendaki sambil berbual.Membuang kepenatan pada kaki.

"Allahuakbar!!!Aku dah sampai."Puas sungguh hati ini.Tapi yang paling menggembirakan apabila saya melihat wajah rakan yang menyapa pada awal-awal tadi.Betapa gembiranya dia.Gembira membawaku ke puncak bersama.Mencapai puncak bukan berseorangan.Tapi berkumpulan.

Barulah daku tersedar 'Hebatnya kita kerana mereka...'

Rabu, 10 Mac 2010

Orang Hebat Mengikut Peraturan


Ismail (bukan nama sebenar) sedang memandu kenderaan menuju ke bank.Dia sebenarnya sudah kelewatan.Akhirnya Ismail terpaksa "melanggar" lampu merah ketika berada di sebuah simpang.

Setibanya di bank tersebut,di sebuah pekan yang sibuk..Aduhh,petak meletak kenderaan pula penuh.Lalu Ismail meletakkan kenderaannya di bahu jalan dengan alasan urusan di bank hanya sebentar sahaja.

Selepas Ismail mengeluarkan wangnya di mesin ATM,dia terus bergegas untuk mendapatkan kenderaannya.Malangnya,kenderaannya sudah disaman.

Salah "parking".

Kemudiannya,dia meneruskan perjalannya menuju ke sekolah anaknya.Sebelum sempat tiba di sekolah anaknya,terdapat pula sekatan jalan raya.

Saman lagi."Langgar" lampu merah.

Pada pandangan anda,adakah Ismail pemandu kereta yang hebat?

Ruqayya pelari pecut dari Bahrain,mendapat pingat emas dalam acara 200 meter sukan Sea.

Seandainya Ruqayya memakai pakaian yang membuka aurat,dan menjuarai pertandingan.Adakah kita akan mengatakan dia hebat?

Ya,Ruqayya hebat kerana mengikut peraturanNYA.

Selasa, 9 Mac 2010

Nombor 1


Sememangnya tidak semua orang boleh mendapat nombor satu.Bukan semua orang boleh jadi terkaya.Tak semua boleh masuk universiti.Bukan semua boleh jadi terhebat.

Tetapi,adakah kita sedar,semua orang punya PELUANG untuk dapat nombor satu.Apakah anda akan lakukan jika anda tahu anda punya PELUANG untuk berjaya?

Isnin, 8 Mac 2010

Pesaing maju,anda kena maju lagi,anda maju pesaing akan maju lagi.Mereka maju lagi,anda?


Walaupun anda sudah berada dijalan yang betul..anda akan terus dipijak dan ditinggalkan jika hanya duduk berdiam sahaja.

Pada suatu hari,sang kura-kura berjalan-jalan didalam hutan bersama seekor arnab.Oleh kerana arnab terlalu pantas maka sang kura-kura pun di tinggalkan.Sang Arnab pun mengejek kura-kura kerana kelambatannya.Sang Arnab turut mencabar kura-kura untuk berlumba.

Sang kura-kura menyahut cabaran tersebut.Maka perlumbaan pun dirancang...Akhirnya,anda pun tahu apakah kesudahannya.Sudah tentu sang kura-kura yang menang.

Itulah pengajarannya.

Walaupun kita sudah berada di laluan yang betul,kita tetap akan ditinggalkan jika nilai ingin bersaing tiada dalam kamus hidup kita.

Biarkan lambat asalkan selamat.

Semangat ingin bersaing menjadikan kita terus maju dan tidak ditinggalkan.