Selasa, 21 September 2010

48-Hanya 0.28% Tugas Ibu

Satu petang yang hening...

“Ifw** balik Malaysia hari tu kau buat apa?” soalku kepada seorang sahabat.Sahabat ini baru pulang dari Malaysia.Pulang kerana cuti semester.

“Macam-macam aku buat,aku pergi perpustakaan buat research,pergi ke bank-bank,ambil pamphlet bank untuk kajian,macam-macam lagi”jawabnya bersungguh-sungguh.Sememangnya dia dikenali dengan kesungguhannya.Aku merasakan orang paling banyak energinya semasa di Universiti Mu'tah dahulu adalah beliau.

“Kat rumah buat apa?”aku sengaja menambah soalan.

“Adalah satu pagi tu aku masak nasi lemak.Sahaja nak bagi mak aku rasa masakan aku” jawabnya selamba.

“Owh,rajin kau ye.Semua benda kau buat” aku merasa sedikit teruja.Kagum.

Aku tak hairan kalau setakat buat kerja di luar rumah.Pergi ke sana-sini.Kerana memang itulah yang selalu aku lakukan.InsyaAllah tiada masalah kerana lebih daripada itu pun aku pernah lakukan.

Tapi apabila dia sebut,dia ada melakukan kerja di rumah,aku jadi kagum.Kali ini kagumku begitu luar biasa.

“Sekali sekala,bukannya selalu pun masak untuk keluarga ni”tambahnya lagi seperti mahu merendah diri.

Bermula dari saat itu aku sentiasa fikir mampukah aku buat kerja macam itu.Bukan kerja apa pun.Hanya meluangkan sedikit masa menghadiah masakan untuk keluarga.

Sejak tiga tahun yang lalu,aku sudah mula memikirkan bilakah aku akan memasak untuk keluarga?Untuk emak dan abah khususnya...Hajat itu tak pernah kesampaian.

Bukan apa,kepenatan kerja di luar menjadikan rumah adalah tempat strategik melabuhkan punggung.

Tetapi hari ini aku tekad.Aku juga nak berusaha menyediakan sarapan untuk keluarga.Perkataan yang bermain dalam mindaku hanyalah “Aku boleh buat!”

Lalu aku pun meminta pada adik perempuanku (awah)untuk mencari buku resipi.
Selepas menyemak buku resipi (mencari menu yang paling mudah) aku pun membuat keputusan.Aku nak masak roti pratha.

Selepas semua bahan disediakan,aku dan angah pun memulakan kerja.

Hampir sejam juga aku menguli tepung supaya sebati.Selepas dibulat-bulatkan menjadi bola golf kami pun membiarkannya semalaman.Hari esoknya barulah roti itu dimasak untuk sarapan.

Pagi esoknya...

Alhamdulillah.Semua ahli rumah makan dengan seronoknya.Aku lagilah seronok.Sempat juga roti pratha itu dihantar ke rumah jiran yang juga saudaraku.

Saksikan gambar roti pratha ini.



Bahan-bahannya adalah :

1kg tepung gandum
2 cawan air suam
1 cawan susu segar
1 biji telur
1 sudu besar serbuk penaik
2 sudu besar gula pasir.Kalau nak manis sikit tambah lagi 2 sudu.InsyaAllah tak potong kaki.
1 sudu besar minyak sapi (untuk membakar roti)

Cara-cara membuatnya :

1-Ayak dahulu tepung gandum dan garam dalam satu mangkuk adunan
2-Masukkan air suam,susu,serbuk penaik dan telur.Uli doh sehingga sebati.
3-Bulat-bulatkan doh sebesar bola golf.Dapatlah dalam 45 ketul.Aku cadangkan lagi baik buat dalam 30 ketul.
4-Kemudian biarkan doh naik dua kali ganda selama 30 minit.
5-Panaskan kuali dengan minyak sapi.Canaikan roti dan bakar atas kuali.
6-Enak dimakan panas-panas dengan kari ayam/daging.Kami guna lebih lauk kari semalam saja.Masih sedap lagi.

.....................................................................................

Selepas habis semuanya aku masak,aku terus masuk ke bilik.Penat dan terus tertidur pada jam 10.00 pagi.Bangun sahaja dari tidur lebih kurang jam 12.00 tengah hari aku terus mencapai telefon bimbit dan membuka program calculator.Aku mahu mengira sesuatu...

1 hari per 365 hari,darab 100%.Jawapannya adalah 0.28 % peratus.

Sungguh sedikit.Aku hanya mengambil tugas emak hanya sehari ataupun cuma 0.28 peratus sahaja dalam setahun.Nilainya begitu kecil tetapi tugasnya sungguh berat.

Sepanjang tahun emak menyediakan sarapan tanpa penat lelah dan keluhan.Selepas menyediakan sarapan,sediakan makanan tengah hari pula,dan seterusnya.Tiada rehat.

Aku cuba mencari apakah “kuasa” yang ada pada seorang perempuan yang lemah,tanpa ada otot yang kuat dan berketul-ketul,tapi kuat menyediakan makanan untuk keluarga.

Saat itu barulah aku memahami erti perempuan dilahirkan dengan 9 nafsu (emosi).Emosilah yang menjadikan mereka bekerja dengan penuh kasih sayang.Tanpa otot dan fizikal yang kuat mereka tetap bersemangat kerana perempuan bekerja dengan kecerdasan emosi.

Lelaki yang di kurniakan 9 logik.

“Emm,balik rumah makanan mesti dah tersedia.Aku penat bekerja kat luar” fikiran logik lelaki mengharapkan makanan sudah tersedia.Sebab baginya itulah logik.Bunyi sahaja macam logik.

Kerana logik juga aku terus terlelap.Tetapi kerana 9 emosilah emak tak sanggup tidur walaupun sudah penat menyediakan sarapan.

Terima kasih emak.

Motivasi bagiku yang begitu bermakna dalam cerita kali ini,

1-Jangan berkata jangan

Fahamkan ayat ini : Anda tidak akan tahu apa yang anda tak boleh buat sehingga anda membuatnya.

2-Kalaupun anda tidak mampu bekerja sepenuh tenaga dan masa,bekerjalah sepenuh hati

Terima kasih Ifw** kerana pengalaman engkau menggerakkan aku untuk berbakti pada keluarga.Sekarang kau masak lagi tak? =)

Ahad, 19 September 2010

47-Janji Anak Muda



Ku berjanji,
Menyerah diri,
Ku berjanji,
Bina pertiwi,

Ku sedia menjadi pengganti,
Ku sedia menabur budi,
Ku siapkan akal yang peduli,
Ku tingkatkan potensi diri,

Malaysiaku kan kembali aman,
Yang atas dan bawah seperti kawan,
Islam kan kembali menjadi jalan,
Inilah dimataku
bukannya angan-angan

Ku korbankan masa muda,
Ku korbankan masa gembira,
Ku tanamkan cita-cita,
Untuk melihat dunia sejahtera,

Lirik : Mohamad bin Mohsin
Lagu : Mohamad bin Mohsin

.....................................................................................

Selamat hari Malaysia semua.Lagu ini aku cipta semasa 16 September 2010.
Inilah lambang cinta dan sayangku pada agama dan tanah air.

Aku merasa sedih melihat anak muda merayakan hari Malaysia dan Kemerdekaan dengan di “tipu” orang yang berkepentingan.

Anak muda itu tidak bersalah.Anak muda yang merempit,memekik,dan meraung-raung keseronokan adalah mangsa.Mereka bukan penjenayah.Mereka mangsa merdeka.Selamatkanlah mereka....

Orang yang berkepentingan ini mengajar laungan dan semangat merdeka yang palsu.Kita diminta mengibar jalur gemilang dengan semangat palsu.

Kita disuruh menanam semangat patriotisme,sedang mereka berterusan merompak dan menindas.Jenayah bangsawan merdeka.

Orang yang punya semangat cintakan agama dan tanah air tidak akan punya masa mengadakan majlis hiburan dan melalaikan.

Aku lebih rela jenayah ini dibuat oleh orang kulit putih.Aku tak redha jenayah ini dibuat oleh orang aku sendiri.

Memang benarlah Yahudi sedang berehat sekarang...
Kerana kerja-kerja Yahudi dilakukan oleh orang Melayu

Cukuplah...Cukuplah...
Selamat Hari Malaysia

Rabu, 15 September 2010

46-Perginya Ramadhan Dengan Sejuta Erti

Jam pukul 6.40 petang,27 Ramadhan,6 September 2010

“Ehh,alang dah boleh bangun ke?”emak terperanjat melihat aku sudah boleh duduk diatas kerusi.Jelas terpancar di wajah emak seribu kegembiraan.Mungkin itu yang emak harapkan selama ini.

“Mm,baru boleh duduk je mak”balas aku.Aku juga gembira apabila melihat emak tersenyum.Seronok apabila dapat melihat emak sendiri gembira.

Hari ini genaplah lapan hari lapan malam aku hanya terbaring sahaja di rumah.Satu pengalaman yang memberi seribu erti dalam kamus hidup aku.

Terima kasih Allah diatas peluang ini.

Hampir setiap malam aku menangis menahan kesakitan.Kesakitan kali ini sungguh luar biasa.

Tiga Tahun Lepas

Teringat juga masa lutut aku ‘caples’ dulu.Akibat bermain bola,lutut aku terseliuh dan lari dari landasan yang sepatutnya.Hampir dua minggu aku terlantar di Bayt Cempaka.Tempat lepak ustaz-ustaz gila sukan.

Kesakitan itu mengajar aku betapa masih ramai kawan yang mahu membantu.Sungguh berharga kenangan ketika itu.Masing-masing menunggu saat aku boleh berdiri dan berjalan.

Ahli rumah Bayt Cempaka yang ikhlas.Terima kasih semua.Mutazam,Amin,Nawawi (Gbum,Topek,Amir,Ayem-mereka ni ahli sekutu dapur)

Ahli rumah aku sendiri iaitu Bayt JIM yang haruk pikuk.Terima kasih kerana hampir setiap hari datang melawat aku.Adam,Hamim,Jogi dan Nain.

Ahli rumah Bayt Sebolah Abd Kadir,Along(abang sulung aku) dan Ajep.Terima kasih juga.

Paling penting ketika itu,Tukang Urut yang mengeluarkan ‘jin’ dari kaki aku.Abg Fadhli Turino.Terasa ingin sekali berjumpa kalian semua.Aku tak akan lupa jasa kalian membantu aku ketika sakit.

Pengalaman sakit lutut itu berakhir dengan perkara yang lebih tragis iaitu rasib imtihan.Satu-satunya mata pelajaran yang aku gagal ketika di Universiti Mu’tah adalah Hadis Ahkam.

Antara Lutut,Rakan dan Imtihan.

“Assalamualaikum ya duktur”aku memulakan bicara dengan Dr.Muhammad Hawa.Anak seorang ulama besar dalam perjuangan Ikhwan Muslimin.

“Wa’alaikumusalam,tafadhol ya Malizi” jawab Dr.Muhammad bila melihat wajah orang Malaysia masuk ke dalam biliknya.

Aku tidak dikenalinya.Maklumlah aku bukannya pelajar cemerlang.Tambahan pula aku sudah ‘ponteng’ dua minggu kelasnya kerana sakit lutut.Lebih teruk lagi aku juga tidak mengambil imtihan thani.

Jadi aku datang berjumpa beliau untuk menjelaskan keadaan dan mengharapkan sedikit ehsan beliau untuk memberikan aku peluang kedua mengambil imtihan thani sebelum tiba imtihan nihaie.

Selepas aku mengadukan masalah...

“Tawakkal ala Allah” Dr.Muhammad terus menutup ruang.Aku tak dibenarkan mengambil imtihan ulangan.Sifir yang bermain di minda aku adalah mengambil imtihan nihaie tanpa imtihan thani adalah menempah maut.

Peratus untuk gagal memang tinggi.Tapi Dr.Muhammad Hawa sudah pesan.Tawakkal ala Allah.

Walaupun aku sudah cuba sedaya upaya namun aku tetap gagal juga subjek tersebut.

Tetapi tidak mengapa.Walaupun sakit lutut dan gagal dalam Hadis Ahkam,Allah telah menemukan aku sekumpulan rakan yang tidak pernah merungut membantu.Terima kasih anda semua.

Itulah Kuasa DIA

Alhamdulillah Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang.Dia berhak memberi dan mengambil.
Semata-mata untuk mengajar manusia segala yang ada di atas muka bumi adalah milikNya semata-mata.

Selepas beberapa lama,lututku sudah kembali berkhidmat seperti biasa.Mata pelajaran Hadis Ahkam yang aku terpaksa repeat pun sudah lulus.Markahnya tak banyak sangat pun.

Tetapi kini sedikit kekosongan yang melanda hati.Keseronokan ukhwah bersama mereka sudah ditarik pula.Dahulu ketika nikmat lutut dan lulus imtihan ditarik,nikmat ukhwah yang Dia disorongkan.Kini sebaliknya yang berlaku...lama sungguh tidak bertemu mereka semua.

Jam 1.00 pagi , 28 Ramadhan , 8 September 2010

Saat aku baru mula berjalan hari ini setelah terbaring 10 hari 10 malam mengembalikan nostalgia aku semasa di Jordan dahulu.Semua tersenyum dan gembira melihat aku sudah boleh berjalan.

“Lepas alang dah bangun dan boleh jalan,lega sikit hati abah tengok.Bila alang terbaring saja,risau abah dibuatnya”tegur abah melihat aku yang sedang berlatih berjalan.Mulia sungguh hati abah,walaupun abah juga terbaring kesakitan,tetapi abah masih punya ruang untuk simpati pada aku.

“Alang bangunlah berjalan,makcik nak tengok alang berjalan”pinta seorang mak cik ahli jemaah surau Kg.Pasir.Malam itu aku ke surau disambut dengan senyuman semua ahli jemaah.Mereka juga seronok melihat aku sudah baik walaupun aku hanya berjalan setapak demi setapak menggunakan tongkat.

Alhamdulillah,Ramadhan kali ini banyak mempertemukan sejuta kebaikan kepada diriku.Aku wajib merasa yakin setiap apa yang diberikan Allah adalah yang terbaik.

Walaupun kita melihatnya sebagai tidak baik,yakinlah disisi Allah itulah yang terbaik.Tidak baik itu hanyalah pandangan kita sebagai manusia.

Akhirnya dikesempatan ini,aku ingin mengucapkan Selamat Hari Raya buat semua.


Dari kiri : Along,Aku,Adik,Awi,Abah dan Emak
Duduk atas Lantai : Awah,Kak Chik,Munirah,Kak Ngah & Angah



Juga buat Ahmad Sidqan bin Ahmad Jalauluddin.Anak buah aku yang pertama.Dilahirkan pada 2 Ramadhan baru-baru ini

Juga kepada rakan-rakan Jordan,rakan-rakan bekas pelajar SKDRM,SMKA Pedas,SMKA Shams,guru-guru,ahli pemuda,warga AFM dan seluruh pembaca sekalian.Juga untuk yang teristimewa...

Isnin, 13 September 2010

Cara Allah Mengajar Nikmat Hidup


Tanggal 1 September 2010 :

Hari ini genaplah 4 hari 5 malam aku hanya terbaring diatas tilam.Subhanallah memang memeritkan.Perasaan ini hanya Allah sahaja yang tahu.Aku menderita akibat kandungan asid urik yang terlalu banyak dalam darah.Hendak menyebut penyakit sendiri pun malu.Aku yakin pembaca pasti tahu sakit apakah yang aku maksudkan.

Aku menjadi manusia yang paling lemah.Aku merasa malu pada diri sendiri membiarkan keadaan terus sakit begini.

Mungkin inilah yang abah rasa selama ini bila didatangi gout.(kan dah tersebut)

Alhamdulillah pagi ini bermula agak ceria.Aku sudah mula boleh menapak tanpa tongkat.

“Owh alang dah boleh buang tongkat ye?”sapa emak di waktu sahur.Gembira mungkin melihat anaknya sudah boleh menapak.Baru menapak belum lagi berjalan!

“Tapi abah pula yang bertongkat.Abah lepas sihat beberapa hari mesti kena semula” sambung emak sambil mata menunjuk ke arah tongkat abah.

Asalnya aku yang guna tongkat itu.Tapi pagi itu ‘servis’ bertukar tangan.Abah memang begitu.Mungkin darahnya sudah terlalu banyak asid urik menyebabkan abah begitu mudah didatangi gout.

“Alang,malam ini ganti abah jadi imam terawih ya” suara abah perlahan meminta aku menjadi imam.Kali ini kedua-dua sendi lutut abah bengkak.Lansung tak boleh berjalan.

Selama empat malam aku terbaring,tugas imam terawih diganti oleh abah dan along.

“Baik bah,insyaallah”aku juga membalas perlahan.Aku tahu aku masih belum sembuh.Baru sahaja boleh menapak.Tetapi aku mesti tunaikan juga.Sudah empat malam aku tidak ke surau.Hanya terawih seorang diri diatas tilam.

Banyak Sungguh Pahala Aku Tertinggal

Sepanjang beberapa hari yang penuh penderitaan ini,aku cuba senaraikan semua program yang patut menjadi lubuk pahala buat aku dibulan Ramadhan ini.Malangnya semua program tersebut terpaksa dibiarkan begitu sahaja.Antaranya...

1- 28 Ogos : Menjadi Imam terawih di Surau Kg.Tengah Lenggeng.Aku hanya mampu menyampaikan tazkirah 10 minit sahaja.

2- 29 Ogos : Menyampaikan Kuliah Subuh di Surau Kg.Jiboi Baru.Aku sudah tidak boleh memandu dan berjalan.Alhamdulillah Us.Said sudi menyambung amanah ini.

3- 29 Ogos : Pukul 4 petang Program Mengedar Bubur Lambok di Kg.Bagan Pinang anjuran DACS Teluk Kemang

4- 29 Ogos : Majlis Berbuka Puasa Semua Pemuda Teluk Kemang di Pasti Kg.Sawah.

5- 31 Ogos : Program Grand Sharpen The Saw anjuran TAMRIN.Program yang dibarisi oleh panel yang begitu hebat dalam industri latihan.Panelnya adalah Tuan Zuhairi Nopiah,Tuan Rizal Hasan,dan Us.Hasrizal Abd Jamil.

6- 31 Ogos : Gotong Royong Jabatan Amal Malaysia membaiki rumah mangsa kebakaran.Mangsa adalah OKU dan hanya tinggal sehelai sepinggang.Aku hanya doakan sahaja untuknya...

7- 31 Ogos : Majlis Berbuka Puasa di Maahad Tahfiz At-Tohiriah Port Dickson

8- 01 September : Mesyuarat Lanjutan AFM selepas Bengkel Halatuju 2015.

9- 02 September : Ceramah Kecemerlangan Pelajar di Sekolah SK.Sega Hilir.Alhamdulillah ceramah ini juga Us.Said yang cover.

10- Menjadi imam terawih selama 4 malam di Surau Riadhul Falihin Kg.Pasir.Surau depan rumah aku sendiri.Alhamdulillah,abah dan along yang ganti.

11- 03 September : Ceramah Ramadhan Mubarak di Kem Batu Komentan Jalan Ipoh Kuala Lumpur.Alhamdulillah Us.Farid Hamlud sudi menyambung amanah.

12- 03 September : Usrah bersama Alumni Pelajar Jordan dan yang balik bercuti di Bangi.

13- 03 September : Majlis Ifthar Surau Riadhul Falihin.Aku tak berpuasa hari ini.Aku dinasihatkan untuk minum air 2 liter setiap hari.

14- 04 September : Program Simulasi Pendaftaran Pemilih Baru Anak Muda N.Sembilan di Dun Johol

15- 04 September : Majlis Ifthar Keluarga.Sekali lagi aku tak berpuasa hari ini.

16- 05 September : Usrah dan Majlis Ifthar Alumni SMKA Pedas.Sekali lagi aku tak berpuasa.

Selepas aku menyenaraikan semua ini dalam telefon bimbit,aku hanya mampu termenung.Subhanallah..banyak sungguh lubuk pahala yang aku tak kutip dalam bulan Ramadhan ini.

Aku merasa sungguh rugi.Allah hanya menarik nikmat kaki ku selama empat hari sahaja.Tetapi nilai pahalanya cukup besar disisi Allah jika aku mampu manfaatkannya.

Aku merasa begitu sedih.Aku hanya mampu mencari hikmah yang tersirat disebalik penderitaan ini.Pasti akan jumpa hikmah.Aku yakin!

Allah Mengajar Aku Nikmat Hidup!

“Sudah berapa lama alang kena gout ni”soal Pak Cik Abd.Aziz.Beliau merupakan setiausaha surau RiadhulFalihin.Aku baru sahaja selesai menjadi imam terawih.Imam yang duduk diatas kerusi.Penduduk Kg.Pasir memang tidak mahu menjadi imam selagi aku dan abah ada.

Malam itu aku gagahkan juga ke surau sebab abah pula yang tak boleh berjalan.Abah baru sahaja sihat tiga atau empat hari terus terkena gout semula.

“Sudah lama pak cik.Sudah empat hari empat malam”aku memberikan jawapan.

“Baguslah sakit tu kan?Kalau tak,tak merasa pulak nikmat hidup.Betul tak?”balas Pak Cik Abd.Aziz dengan selamba.

Aku tergamam memikirkan apakah maksud sebenar Pak Cik Abd.Aziz.Aku sedang sakit,dia dengan selamba kata bagus!Perasan aku menjadi sedikit geram.

“Iyalah...kalau sihat sahaja,tak merasalah nikmat kehidupan.Bila dah sakit,barulah tahu betapa nikmatnya hidup!”segera Pak Cik Abd.Aziz menjelaskan maksudnya apabila melihat aku terpinga-pinga dengan gurauan selambanya.

Ha...Ha...Ha...

Kami berdua ketawa.Aku ketawa kerana merasa sungguh seronok dengan ilmu itu tadi.Betul-betul menyerap masuk ke hati.

Hati aku sudah mula terbuka dengan ujian ini.Allah benar-benar menjanjikan hikmahnya.Sungguh tinggi nilai ilmu ini.Memahaminya memakan masa lebih empat hari lima malam.Sungguh berbaloi!

Aku berharap kebaikan dari ilmu ini lebih utama dari 16 program yang aku tertinggal itu.Amin.

Teringat aku satu Firman Allah SWT,tentang keadaan orang kafir apabila dicabut nyawanya : Surah mukminun ayat 99-100

(Demikianlah keadaan orang kafir itu),apabila datang kematian kepada salah seorang dari mereka,dia berkata "Ya Tuhanku,kembalikanlah aku (ke dunia).Agar aku dapat berbuat kebajikan yang telah aku tinggalkan" Sesekali tidak!Sesungguhnya itu adalah dalih yang diucapkannya sahaja.Dan dihadapan mereka ada barzakh (tempat/keadaan orang setelah mati sehingga dibangkitkan pada hari kiamat) sampai pada hari mereka dibangkitkan.

Itulah kita..Saat ditarik nikmat barulah mahu meminta belas dari Allah S.W.T.

Eloklah kita tersedar awal..

Janganlah sampai saat kematian menjemput,kita pula meminta hidup walaupun hanya sesaat semata-mata mahu melakukan ibadah.

Rabu, 8 September 2010

Inilah Kerja Kita

“Mohamad,syarikat kamu ada kerja kosong tak?”pinta salah seorang sahabat kepadaku.

“Ha ha ha,kerja banyak sangat.Cuma gaji sahaja tak ada” sambil ketawa kecil aku menjawab bila ada dikalangan sahabat-sahabat bertanya kerja kosong di syarikat AlFaliheen Management (AFM).

Syarikat kami bukanlah besar sangat.Kami daftarkan pun atas nama enterprise.Bukannya SDN.BHD.

Walaupun badan kami kecil,kami mempunyai cita-cita yang besar.Cita-cita untuk hidup dengan hasil tangan sendiri.Kami juga mahu mengecapi kejayaan di dunia (kejayaan akhirat sudah pasti menjadi idaman) seperti manusia lain.

Jawapan itu menunjukkan AFM masih tak mampu menawarkan kalian gaji.Tapi AFM hanya mampu menawarkan kalian kerja.Itulah yang dilakukan AFM selama ini.Aku bukan ingin berbangga dengan apa yang telah kami semua lakukan,tetapi aku merasa sedih apabila kawan-kawan bertanya kerja kosong.

Kerana pasukan kami sentiasa merasakan kerja terlalu banyak.Kami pelik apabila ada yang bertanya kerja kosong.Kerana kami terbina bukan atas dasar kerja kosong.

Alhamdulillah..berkat kesungguhan pasukan AFM bertungkus-lumus selama 2 tahun,akhirnya kami telah pun berjaya memiliki sebuah pejabat termasuk dewan seminar.Walaupun sekadar menyewa.

AFM dan Sindrom Usahawan Baru

Kami sedar kami masih lagi terikat dengan sindrom usahawan baru.Apakah sindrom itu?Tidak berani meletakkan harga.Sebenarnya dalam diam inilah kelemahan kami.Kami bukan tidak berani meletakkan harga.Tetapi perasaan belas kasihan itu mengatasi segalanya.Kami merasa sedih dengan generasi hari ini.Sanggup berbelanja besar untuk hiburan tetapi berbelanja besar untuk pendidikan terutama didikan agama,ianya merupakan satu bebanan.

Ada orang sanggup melanggan Astro dengan bayaran semurah RM 38 sebulan.Tetapi susah untuk menghantar anak kekelas mengaji Al-Quran dengan yuran RM 30 sebulan.Menghantar pun susah,membayar apatah lagi.Jadi,apa perlu ditanya lagi kerja kita?Kerja kita adalah berhadapan dengan generasi begini.

Inilah rungutan yang selalu aku dengar apabila ada ustaz dan ustazah membuka kelas Al-Quran kecil-kecilan.Kami juga ada membuka kelas Al-Quran.Alhamdulillah..Allah mengurniakan kami penjaga yang masih bertanggungjawab.

Lebih kasihan lagi ada juga kes...

“Ustaz,terima kasih mengajar anak saya bulan ini.Berapa harga yurannya ustaz?” tanya seorang penjaga kepada ustaz yang mengajar anaknya Al-Quran.

“Owh,saya mengajar ikhlas sahaja tuan” jawab ustaz tersebut dengan penuh tawadhuk.Sindrom malu meletakkan harga.

“Baiklah kalau macam tu ustaz.Alhamdulillah.Terima kasih ya” penjaga tersebut terus pergi dengan ‘seikhlas hati’ meninggalkan ustaz yang ikhlas itu terpinga-pinga.


Inilah Kerja Kita


Rakan-rakan yang telah pun memilih jalan dakwah,berjanjilah bahawa kita sedikit pun tidak akan mahu berundur dari medan dakwah ini.Kami tidak akan berehat selagi matlamat belum tercapai.

Bukankah kita sudah berbaiah,marilah kita mengotakannya.Jalan ini tidak pernah mengira apakah latar belakang kita.Sama ada kita lulusan agama,kedoktoran,kejuruteraan,peguam dan sebagainya,yakinlah dakwah adalah kerja kita.

Kenapa tak mohon kerja tetap?


“Terima kasih ustaz datang berceramah disini.Sebenarnya ustaz bertugas dimana ya?” soal seorang ahli jemaah surau apabila aku selesai menyampaikan tazkirah.

“Sama-sama tuan.Owh,sebenarnya saya bekerja sendiri.Saya buka syarikat latihan dan motivasi”jawab aku ringkas.

“Kenapa ustaz tak mohon kerja tetap” satu lagi persoalan dilontarkan.

“Kerja saya tetap,cuma masa dan gajinya sahaja tak tetap” jawapan standart ini selalu aku berikan apabila ada orang bertanya soal kerja tetap.Pastinya akan berakhir dengan ketawa kecil.Hajatku memberi erti pada kalimah ‘kerja tetap’.

Jadilah terhebat pada tempat anda sekarang

Itulah tugas kita dari mula kita dilahirkan.Kerja tetap kita adalah mengajak manusia kepada Allah.Tidak kisah kita berada di mana-mana posisi,pastikan kerja kita adalah mengajak manusia mengenal Allah.

Mungkin kita sebagai pemimpin atau rakyat,pekerja atau majikan,bos ataupun kuli,kerajaan mahupun pembangkang,ajaklah manusia mengenal Tuhan.Itulah kerja terhebat.

Firman Allah SWT dalam Surah Fussilat:33

(Dan siapakah yang lebih hebat ucapannya daripada orang yang berseru kepada Allah, dan membuat kerja-kerja kebaikan, dan berkata, "Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang muslim"?)


Pada pandangan aku,itulah kekuatan AFM.Kesanggupan pasukan kami melakukan “kerja tetap” ini tanpa dibayar upah sepatutnya.Terima kasih pasukan AFM.Aku merasa bangga bekerja bersama kalian.Mereka yang akan menjadikan bumi ini terus bersinar dengan dakwah.

Usrah Mengajarku Erti Kerja

“Alang,dah lama alang tak kerja kan?”tiba-tiba adik datang berbaring disebelah aku dan bertanyakan soalan.

“Eh yeke?Dah berapa lama alang tak kerja dik?”aku sengaja bertanya soalan.Memang benar sudah tiga hari aku terperuk di rumah.Tidak keluar kemana-mana.Maknanya aku tak bekerja!

“Dah tiga hari alang tak kerja,alang kan sakit kaki”jawab adik.


Entry kali ini aku tulis pada 20 Ramadhan/30 Ogos 2010.Semasa ini aku sedang terbaring kerana kaki aku sedang sakit.Aku sudah terbaring selama 2 hari 2 malam tanpa pergi kemana-mana.Aku hanya mampu berbaring,bangun berwudhuk atau berhadas,duduk untuk berbuka dan sahur.Tetapi didikan usrah mengajar aku jangan dibiarkan hari berlalu tanpa kerja Islam.Aku cuba memahami kewajipan itu tetapi setakat inilah kemampuanku...

Rabu, 1 September 2010

Tak Habis-Habis Usrah

Alhamdulillah kami warga AFM telah berjaya mengadakan Bengkel Halatuju 5 Tahun Alfaliheen Management.Kesempatan bulan Ramadhan yang sedikit lengang dari kesibukkan program,maka kami gunakan untuk berkampung di Hotel Mesra,Teluk Kemang pada 24 & 25 Ogos 2010 baru-baru ini.



Teringat aku suatu masa dahulu..

“Saya mencadangkan supaya usrah di sekolah dibubarkan.Aktiviti ini lansung tidak menyeronokkan.Tiada pelajar yang berminat mengikuti usrah” cadang seorang pelajar semasa aku menjadi pimpinan di sekolah menengah dahulu.

“Bosanlah,tak habis-habis usrah.Dari sekolah sampai ke universiti.Asik-asik program usrah” bentak seorang mahasiswa yang memprotes aktiviti usrah.Bosan dan memuakkan.Suasana yang sama juga berlaku semasa aku menyambung pengajian di Jordan.

“Baiklah saya cadangkan supaya nama usrah ditukarkan kepada Tour De Ilmi.Tentu ianya lebih menarik” seorang pimpinan mahasiswa cuba menawarkan solusi kerana melihat ahli persatuan benar-benar tidak berminat dengan usrah.

Selepas setahun Usrah ditukar kepada nama Tour De Ilmi,namun aktivitinya tetap suram.Dimanakah silapnya?Adakah kerana usrah dipenuhi aktiviti yang tidak berfaedah?Kenapa golongan agamawan sendiri yang menolak aktiviti usrah?Sungguh sukar persoalan ini untuk dijawab.

Adakah salah ini terletak pada nama usrah tersebut?Atau kesalahan ini terletak pada silibus usrah yang sentiasa tidak pernah selesai digubal.Atau kesalahan ini berpunca dari naqib yang membosankan?

Seminggu sebelum itu...

Pada hari sabtu 21 Ogos yang lalu,aku menghadiri satu seminar yang dianjurkan oleh TAMRIN.Seminar ini dinamakan sebagai Sharpen The Saw. Program yang bagus untuk semua yang menceburi industri latihan dan motivasi.Program ini bertujuan untuk menajamkan “mata gergaji” semua trainer muslim tanahair.

“Yang paling penting kamu mesti menjadi epal merah dikalangan epal hijau.Jangan menjadi epal hijau dikalangan epal hijau.Kamu tidak akan dikenali.Kamu mesti mempunyai Unique Selling Point (USP). Macam saya,Motivasi Alihan Pelajar adalah USP bagi Dr.Tengku Asmadi!” begitu bersemangat ceramah yang disampaikan oleh Dr.Tengku Asmadi.Penceramah motivasi yang cukup terkenal di Malaysia juga merangkap Presiden TAMRIN.

“Terima kasih doktor.Saya akan gunakan semua nasihat doktor sebentar tadi untuk Bengkel Halatuju AlFaliheen Management minggu depan.Terutama nasihat doktor tadi iaitu USP.Terima kasih!” perbualan ringkas aku dengan Dr.Tengku Asmadi selepas habis sesi ceramah.

Proses Mencari Unique Selling Point (USP)

Semenjak dari awal AlFaliheen Management ditubuhkan kami masih tidak mampu menentukan apakah keunikan kami.Apakah perbezaan yang ditawarkan oleh syarikat kami?

Semasa bengkel halatuju AFM,kami telah menjalani beberapa modul brainstorming yang agak memenatkan antaranya :

Modul 1 : Membuat kajian dan Analisa SWOT untuk Alfaliheen Management
Modul 2 : Menganalisa Rakan-Rakan Niaga Industri Latihan (lebih 15 syarikat telah dianalisa)
Modul 3 : Menetapkan Unique Selling Point bagi AlFaliheen Management
Modul 4 : Membina Matlamat dan Halatuju 5 Tahun (2011-2015)
Modul 5 : Merangka Pelan Gerak Kerja Jangka Pendek (2011)

Setelah penat berhempas pulas dengan bengkel tersebut,maka satu kesimpulan yang agak memeranjatkan aku,USP kami adalah Kursus Latihan Nuqaba’.Dengan kata mudah,AFM akan menjadi sebuah syarikat latihan dan motivasi yang menawarkan methodologi usrah dan pembinaan nuqaba’ sebagai satu solusi terbaik kepada segenap lapisan masyarakat.

Kami membuat sedikit semakan pelanggan kami,sepanjang dua tahun ini,kami telah pun berjaya menjalankan latihan nuqaba kepada beberapa sekolah menengah.Antaranya SMKA Pedas (2 kali),SMKA SHAMS,Maahad Ahmadi,MRSM Muadzam Shah (2 kali),dan yang terbaru SMKA Sik.

Program inilah yang membawa AFM keluar dari tempurung N.Sembilan hingga singgah di Pahang dan Kedah.

Selepas ini Usrah dan Nuqaba' merupakan trademark kami!

Oleh itu,AFM meletakkan harapan dan cita-cita yang tinggi pada latihan Nuqaba'.Menjelang 2015,AFM berhasrat methodologi Usrah akan diterima oleh segenap lapisan masyarakat sehingga ianya turut diamalkan oleh kakitangan jabatan kerajaan dan swasta.



Usrah Dahulu,kini dan selamanya

“Tak bosan ke usrah?” tanya seorang rakan mahawasiswa kepadaku semasa di Jordan dahulu.

“Ntah”jawapan aku seperti orang tak tau hujung pangkal.Aku memang tak pandai menjawab masa tu.

Tetapi kini,aku mesti menyedari persoalan yang akan timbul dari segenap lapisan masyarakat pasti lebih mencabar.

Usrah dan nuqaba’ bukan hanya aktiviti persatuan.Bukan hanya mengisi masa lapang maghrib dan isyak.Selepas ini aku akan hidup dalam dunia usrah dan nuqaba’ yang sebenar.Usrah dan nuqaba’ adalah kerjaya dan kehidupanaku.Sentiasa meluangkan masa memikirkan tips-tips meningkatkan kualiti usrah.Menjadikan usrah relevan sehingga ke peringkat tertinggi dalam masyarakat.Sehinggakan kami bercita-cita melihat pejabat Jabatan Perdana Menteri mengadakan usrah dan memanggil kami menjalankan kursus latihan naqib.

Mengembalikan manusia kepada matlamatnya melalui pendekatan usrah.Itulah Alfaliheen Management.Tak habis-habis usrah.