Selasa, 30 Oktober 2012

62. Bagaimana Menjaga Niat

Pada satu hari saya telah dihubungi oleh sebuah sekolah untuk menjalankan sebuah program motivasi. Saya diminta datang untuk membentangkan modul, dan Alhamdulillah, pada pagi proposal saya syarikat saya telah diterima.

Syarikat kami ditawarkan menjalankan program motivasi tersebut selama 2 hari 1 malam, dan lebih bermakna lagi, program tersebut kami dibayar dengan harga yang cukup tinggi. Bayaran yang kami terima pada program tersebut adalah rm7200, satu jumlah yang cukup besar bagi saya yang berusia 22 tahun ketika itu.

Harga tersebut pula bukan saya yang tentukan, tetapi pihak sekolah tersebut yang sanggup bayar sebanyak itu. Saya menjadi sungguh gembira dan saya dapat merasakan pada masa itu, saya seperti menjadi seorang yang mata duitan. Matlamat saya ketika itu adalah duit semata-mata. Saya berkata pada diri sendiri, saya akan buat program ini bersungguh-sungguh kerana saya mendapat bayaran yang tinggi. Timbul juga perasaan untuk meletakkan harga yang tinggi kepada semua pelanggan saya selepas ini. 

Maka, pada hari yang dijanjikan untuk melansungkan program, program yang sepatutnya berjalan lancar tiba-tiba menjadi sebaliknya. Ketika itu saya rasa sungguh susah untuk mengendalikan program tersebut. Anda semua bayangkan, saya ketinggalan alat pemancar LCD dan program kami mengalami kelewatan selama 2 jam lebih. Tambahan pula, pihak sekolah pada waktu itu juga tidak membawa alat pemancar LCD.

Selain itu, saya merasakan saya sungguh sukar mengendalikan keseluruhan program tersebut, walaupun saya sungguh mengetahui tahap sebenar kebolehan saya. Saya tidak seperti kebiasaan mengendalikan program, saya merasa cukup susah. Peserta pula terlalu aktif pada pemerhatian saya. Mereka bercakap-cakap di belakang, berbual-bual sambil membuat bulatan ketika saya sedang mengendalikan slot. Mereka banyak menjawab dan mengajuk semula kata-kata saya. Program tersebut sepatutnya dihabiskan pada jam 3 petang keesokan harinya, namun saya menghabiskannya pada jam 1 tengah hari. Saya mengakui saya sudah putus asa, saya merasakan saya sudah tiada apa-apa yang mahu saya kongsikan ketika itu. Oleh itu saya menghabiskan program tersebut dengan cepat. Guru penyelaras pula seperti tidak berpuas hati dengan saya.

Walaupun hari tersebut saya pulang dengan bayaran sebanyak RM7200, namun jauh di lubuk hati saya, saya merasa sungguh kekosongan. Saya dapat wang tersebut, tetapi hati saya tidak meras puas. Saya merasa serba salah, dan sungguh kecewa. Sewaktu itulah saya mula melakukan koreksi diri, dan saya mencari di manakah kesilapan saya sebenarnya. Saya seperti putus asa untuk meneruskan kerjaya sebagai seorang perunding latihan dan motivasi.

Setelah beberapa lama, saya akhirnya mengakui, bahawasanya kesilapan utama saya ketika itu adalah kerana tidak menjaga dan memperbaharui niat. Saya tidak menyertakan nama Allah di dalam kursus latihan yang saya berikan. Tetapi saya lakukan kerana duit, harta, dan dorongan untuk menjadi hebat. Saya bukan  melakukannya kerana tugas dakwah, namun kerana dorongan yang rendah nilainya pada sisi Allah.

DUA JENIS NIAT MANUSIA 

Saya mengakui ketika itu saya hanya mengejar duit, dan alangkah ruginya saya. Memang benarlah hadis Nabi Muhammad S.A.W ada mengatakan "Sesungguhnya setiap perkara itu, bermula dengan niat. Barangsiapa yang berhijrah kerana Allah dan kerana Rasul, maka hijrahnya dikira kerana Allah dan Rasul. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia, atau perempuan yang bakal dikahwininya, maka hijrahnya adalah kerana dunia dan perempuan tersebut"

Berdasarkan hadis ini, kita dapat memahami niat manusia terbahagi kepada dua golongan iaitu:

1. Melakukan sesuatu kerana Allah (Al-Khaliq)
2. Melakukan sesuatu kerana selain Allah ataupun Al-Makhluq.

Manusia bila melakukan sesuatu kerana Allah dan Rasul, maka Allah dan Rasul akan bersamanya. Allah pasti akan membantunya, dan berita gembiranya mereka bukan sahaja mendapat Allah dan Rasul, bahkan mereka juga mendapat habuan dunia sekaligus. Oleh kerana itu, manusia yang ikhlas sentiasa diburu harta dunia. Ada sahaja orang ingin memberikan kebaikan kepadanya. Bahkan mereka ini lebih dipercayai untuk diberikan amanah samada amanah berupa duit, pangkat, projek yang besar, dan sebagainya. Sehingga ada juga yang sanggup menawarkan anak gadisnya untuk dikahwini.

Bagaimana pula manusia yang melakukan sesuatu bukan kerana Allah? Manusia ini melakukan sesuatu kerana siapa? Mereka melakukan sesuatu kerana makhluk (yang diciptakan) bukan kerana Al-khaliq iaitu pencipta makhluk. Bagaimana keadaan mereka ini? Mereka ini melakukan sesuatu mengharapkan redha makhluk seperti, mengharapkan mendapat duit yang banyak, dinaikkan pangkat, menjadi popular, mendapat isteri yang cantik dan kaya, dipandang hebat oleh orang lain, dan sebagainya. Inilah yang dikatakan niat kerana makhluk.

Adakah mereka mendapat 'makhluk' tersebut seperti yang diminta? Ya, mereka pasti dapat kerana Nabi Muhammad S.A.W telah mengatakan, sesiapa yang berhijrah kerana dunia, atau perempuan yang bakal dikahwininya, maka mereka akan mendapat apa yang mereka niatkan. Jika mereka melakukan sesuatu kerana harta, Allah boleh berikan harta. Tiada masalah bagi Allah untuk memberikan apa sahaja kepada hambanya. Cumanya, mereka ini tidak mendapat Allah dan Rasul. Hati dan jiwa mereka kosong walaupun poket mereka penuh. Mata mereka menjadi sempit, walaupun rumah mereka lapang.

Saya teringat pada Cat Steven, dahulunya seorang penyanyi rock, akhirnya memeluk agama Islam. Kerana apa? Kerana hati dan jiwa menjadi kosong walaupun dia berada di puncak kejayaan, apabila mempunyai peminat yang terlalu ramai di seluruh dunia, harta yang banyak, gadis-gadis yang sanggup bersama-samanya pada bila-bila masa. Namun, kerana hati dan jiwa merasa kosong, akhirnya manusia akan kembali semula mencari siapa pencipta hati dan jiwa.

Siapa pemberi harta berlipat kali ganda? Saudara pembaca yang budiman, itulah yang terjadi kepada saya semasa mengendalikan program tersebut. Sehingga sekarang saya merasa bersalah kepada 120 orang peserta saya itu. Saya berdoa supaya Allah ampunkan dosa saya itu, dan Allah jadikan ilmu yang saya kongsikan itu bermanfaat buat mereka pada masa akan datang dalam kehidupan mereka.

TIGA JENIS DORONGAN ATAU MOTIVASI


Manusia diciptakan Allah cukup sempurna dengan 3 dimensi. Pertamanya dimensi fizikal, iaitu tubuh badan dan anggota zahir kita. Keduanya Allah memberikan kita dimensi spiritual, iaitu hati nurani kita yang sentiasa bergetar dengan nama Allah, dan sentiasa mengakui kebesaranNya. Dimensi ketiga adalah emosional iaitu perasaan manusia seperti gembira, sedih, suka, kecewa, bangga dan sebagainya. 

Sepertimana manusia itu diciptakan, maka itulah juga yang menjadikan sumber kekuatan baginya. Inilah yang dinamakan tiga jenis dorongan iaitu :

1. Dorongan fizikal
2. Dorongan spiritual
3. Dorongan emosional

Kita akan berkongsi tentang apakah itu dorongan fizikal, spiritual dan emosional, pada entry akan datang.

Ahad, 18 Mac 2012

61- Teknik Menguruskan Masa Dalam Perjumpaan Usrah


Sepanjang kajian & pemerhatian Che'Mat dalam seni pengendalian Usrah, Che'Mat dapati 80% naqib atau naqibah kurang bijak menguruskan masa dalam perjumpaan usrah.

Akibatnya, jadilah ahli-ahli usrah anda bosan dan mengantuk. Maka hari ini, Che'Mat akan berkongsi bagaimanakah kita boleh memanfaatkan masa perjumpaan Usrah supaya ahli Usrah sentiasa segar dan mengikuti perjalanan usrah dengan baik.

Bahagikan Masa Kepada 3 Bahagian

Perkara utama yang perlu dilakukan oleh naqib & naqibah adalah, menentukan berapa lamakah perjumpaan usrah tersebut.

Contohnya,ada usrah yang dilaksanakan selama 2 jam. Ada juga 1jam 30 min. Ok, tidak kisahlah berapa lama perjumpaan usrah anda, bahagikan jumlah masa tersebut kepada tiga bahagian iaitu, pendahuluan, isi, dan penutup.

Contohnya, perjumpaan usrah adalah 1jam 30min, maka apabila dibahagi kepada 3 bahagian jadilah seperti sedemikian :

Bahagian 1 : Pendahuluan : 30 minit
Bahagian 2 : Isi : 45 minit
Bahagian 3 : Penutup : 15 minit

Che'Mat rasa anda pasti merasa lebih mudah sekarang, kerana dengan adanya pembahagian masa seperti ini, anda tidak perlu risau lagi selepas ini.

"Eh, apa aku nk buat selepas ini" resah hati seorang Naqib kerana buntu. Mula usrah sahaja terus masuk kepada point atau isi penting. Apabila cukup 30 minit, sudah buntu mahu buat apa.

Oleh itu, langkah pertama adalah dengan membahagikan masa usrah anda kepada tiga bahagian seperti di atas.

Sekarang persoalannya adalah, apa pula pengisiannya untuk setiap bahagian tersebut?

Bahagian 1 : Pendahuluan selama 30 minit

Jangan mulakan usrah sebelum anda melakukan tiga perkara dibawah
1.1 Mulakan dengan Salam,ucapan selamat, berdoa dan saling bersalam-salaman
1.2 Membaca Surah Al-Fatihah
1.3 Membaca apa sahaja surah sebagai rutin usrah

Adalah sangat digalakkan supaya Naqib sentiasa memeriksa bacaan Al-Fatihah semua ahli usrahnya. Oleh itu, ambillah sedikit masa yang panjang dengan mempelajari beberapa hukum tajwid dan tafsir tentang surah Al-Fatihah. Tak perlu banyak, mungkin setiap kali usrah hanya satu sahaja hukum tajwid, dan satu sahaja ayat yang ditafsirkan.

Kemudiannya, gunakan waktu permulaan usrah untuk membaca apa sahaja surah dalam Al-Quran. Che'Mat cadangkan supaya meletakkan matlamat seperti ini, Usrah tahun ini kita mesti menghabiskan bacaan sebanyak 3 juzuk. Sebenarnya, dengan cara ini, kita lebih mudah melenturkan hati dan jiwa ahli usrah kerana Al-Quran adalah kalamullah. Kalam tuhan yang Maha Lembut. Saidina Umar pun masuk Islam setelah mendengar bacaan Surah Thoha oleh adiknya sendiri.

Bahagian 2 : Pengisian selama 45 minit.

Che'Mat yakin anda pasti suka bila melihat ahli usrah anda beriya-iya mahu mendengar pengisian anda. Tentu ada rahsianya. Jadi Che'Mat akan kongsikan bagaimanakah caranya untuk menarik perhatian mereka supaya mengikuti setiap slot dalam usrah. Mulakan slot pengisian dengan perkara-perkara berikut:

2.1- Set Induksi
2.2- Pengisian / Mengikut bahan silibus
2.3- Isu semasa
2.4- Soal Jawab

Baiklah kita akan perhalusi satu persatu.

2.1- Set Induksi

Set induksi adalah satu aktiviti yang kita lakukan untuk menjelaskan idea yang ingin disampaikan. Contohnya anda membuat satu permainan teka silang kata berkaitan dengan 13 Rukun Solat.

Selepas ahli usrah menjawabnya, anda terus membuat kesimpulan,

"Baiklah adik-adik, inilah yang akan kita pelajari pada usrah kali ini iaitu, 13 Rukun Solat" kata anda sebagai seorang naqib.

Aktiviti ini akan berjaya bila anda mampu memenuhi EMPAT syarat di bawah.

2.1.1 Pastikan aktiviti ini dilakukan dengan sekejap sahaja. Antara 5 ke 10 minit.
2.1.2 Melibatkan semua ahli kumpulan usrah.
2.1.3 Mempunyai kaitan dengan tajuk perbincangan. Bukan sekadar aktiviti kosong dan saja-saja.
2.1.4 Set induksi ini boleh dilakukan dengan kreatif. Seperti membawa jigsaw puzzle, teka-teki, menonton video pendek, dan apa sahaja yang difikirkan perlu.

Selepas anda melakukan aktiviti ini, Che'Mat yakin, semua ahli usrah anda akan mengubah cara duduknya daripada tunduk dan tidak mahu melihat naqib kepada posture badan yang menghadap naqib. Anak matanya pasti sudah bulat untuk menerima seberapa banyak idea dalam usrah. Tangannya pula sudah bersedia dengan kertas dan buku nota. Itu tandanya, mereka sudah terpukau!

2.2 Pengisian / Bahan Silibus

Anda boleh masuk kepada silibus dengan tenang kerana ahli usrah sudah pun bersedia

2.3 Isu Semasa
Naqib haruslah bijak dalam mencari isu semasa. Syaratnya adalah isu semasa juga mestilah berkaitan dengan tajuk yang dibincang. Contohnya, jika tadi sudah berbincang berkaitan rukun solat, maka naqib mesti mengemukakan beberapa isu semasa berkaitan solat seperti kes-kes buang anak, zina, mencuri, rogol, minum arak dan sebagainya. Kaitkan dengan peranan solat mampu mencegah perbuatan-perbuatan mungkar tersebut. Jika silibus hari tersebut berkaitan puasa, isu semasanya boleh dikaitkan dengan pembaziran dalam bulan ramadhan.

2.4 Soal Jawab

Benarkan ahli usrah bertanya apa sahaja soalan walaupun keluar daripada topik perbincangan. Jika naqib tidak tahu jawapannya jawablah dengan jujur.

" Oh, terima kasih di atas soalan yang baik itu. Abang minta maaf kerana tidak pasti jawapannya dengan tepat. Abang rasa abang akan jawab soalan ini pada perjumpaan akan datang ye. Sambil-sambil tu, kamu juga bebas bertanya kepada mana-mana ustaz atau ustazah ye. Nanti kita kongsi minggu hadapan"

Bahagian 3 : Penutup selama 15 minit

Jangan tutup usrah anda sebelum anda melakukan EMPAT perkara berikut :

3.1 Membuat kesimpulan
3.2 Merancang agenda bertindak
3.3 Menyelaraskan perjumpaan akan datang
3.4 Tutup majlis dengan bacaan tasbih kaffarah, Surah Al-Asr, saling bersalam-salaman

Che'Mat akan perhalusi satu persatu supaya kita mudah faham.

3.1 Membuat kesimpulan

Che'Mat cadangkan kesimpulan ini dibuat sendiri oleh ahli kumpulan. Caranya mudah sahaja, naqib meminta mereka menyenaraikan 5 perkara yang mereka pelajari dalam sesi usrah kali ini. Kemudian minta 2 atau 3 orang berkongsi kesimpulannya kepada ahli yang lain. Waktu ini naqib harus menjadi pendengar sahaja, biarkan apa sahaja kesimpulan yang dibuat oleh mereka kerana waktu inilah naqib boleh menilai adakah penyampaiannya mencapai maksud ataupun tidak.

Sesi kesimpulan boleh juga dilakukan dengan mengadakan kuiz. Naqib bertanya soalan-soalan ringkas berkaitan tajuk yang dibentang. Siapa yang dapat menjawab, berikan hadiah. Cloud9 pun ok!

3.2 Agenda Bertindak

Agenda bertindak adalah satu resolusi bersama dalam bentuk tindakan sebagai bukti memahami pengisian yang disampaikan oleh naqib. Contohnya tadi kita berbicara tentang solat, maka agenda bertindaknya semua ahli usrah wajib datang awal ke surau untuk mendirikan solat berjemaah dan merebut saf pertama. Ahli usrah wajib memerhatikan cara solat rakan-rakan yang lain, jika didapati berbeza dengan apa yang dipelajari, maka mereka wajib menegur. Itu contoh agenda bertindak untuk pengisian solat. Jika pengisiannya adalah berkaitan puasa, agenda bertindaknya adalah berpuasa sunat dan berbuka puasa bersama-sama. Mudah bukan!

3.3 Menyelaraskan Perjumpaan Usrah Akan Datang

Naqib wajib menyelaraskan perjumpaan akan datang. Perkara yang perlu diselaraskan adalah

3.3.1 Tarikh dan masa perjumpaan
3.3.2 Tempat perjumpaan
3.3.3 Tajuk usrah akan datang
3.3.4 Bahan yang perlu dibaca dan dibawa untuk sesi usrah akan datang

3.4 Tutup majlis dengan bacaan tasbih kaffarah, Surah Al-Asr, saling bersalam-salaman

Che'Mat yakin jika semua teknik yang telah dikongsikan ini mampu dipraktikkan pasti usrah anda akan menjadi usrah yang berkesan. Semakin anda guna teknik ini, semakin mudah anda menjalankan usrah.

Sekian dulu, sebelum tamat, Che'Mat ulang semula semua maklumat diatas menggunakan point ringkas. Mengurus masa dalam perjumpaan usrah amat penting. Gunakan teknik yang telah dikongsikan ini iaitu :

1. Pendahuluan
1.1 Mulakan dengan Salam,ucapan selamat, berdoa dan bersalaman
1.2 Membaca Surah Al-Fatihah
1.3 Membaca apa sahaja surah sebagai rutin usrah

2. Pengisian
2.1 Set Induksi
2.2 Pengisian / Mengikut bahan silibus
2.3 Isu semasa
2.4 Soal Jawab

Penutup
3.1 Membuat kesimpulan
3.2 Merancang agenda bertindak
3.3 Menyelaraskan perjumpaan akan datang
3.4 Tutup majlis dengan bacaan tasbih kaffarah, Surah Al-Asr, dan bersalaman

Khamis, 8 Mac 2012

60- 3 Teknik Mudah Membina Pengaruh



Tanggal 24-28 Januari 2012 adalah tarikh keramat dalam hidup saya. Saya telah mengikuti satu kursus yang mahal (pertama kali dalam hidup bayar sendiri) namun sungguh berbaloi. Yurannya berharga RM1500. Kursus tersebut adalah untuk mendapat sijil Certified Competence Trainer oleh Kementerian Pembangunan Sumber Manusia. Selain kursus ini, saya juga pernah mengikuti latihan yang mahal seperti ESQ, namun dibayar oleh Majlis Agama Islam N.Sembilan. Jadi, tidaklah merasa sangat kepayahannya melainkan mengambil sedikit masa untuk menulis surat sahaja.

Kursus yang mahal ini berlansung selama 5 hari dan pada hari terakhir, seperti yang telah termaktub dalam jadual, semua peserta diminta untuk menyampaikan presentation yang sungguh interaktif dan masa yang diberikan pula hanya 15 minit sahaja.

Inilah ceramah atau presentation yang paling menggerunkan dalam sejarah 3 tahun saya bergiat dalam industri training.

Jadi hari ini saya kongsikan apakah yang saya persembahkan pada hari terakhir tersebut. Saya memilih tajuk yang ringkas tetapi padat iaitu 3 Teknik Mudah Membina Pengaruh.

Sepanjang pengetahuan saya, sesi training adalah sungguh berbeza berbanding sesi kuliah atau ceramah. Dalam training maklumat yang banyak harus dimudahkan. Biasa kita memanggilnya Simplify. Teknik ini akan menjadikan peserta lebih faham dan mudah ingat bahkan mengetahui apakah isi penting yang perlu dibawa balik. Kuliah atau ceramah pula adalah medan memberi sebanyak-banyaknya, dan kadang kala pendengar sendiri yang melakukan simplify.

Maka saya pun mudahkan tiga teknik tersebut dengan cara berikut.

Tiga Teknik Mudah Membina Pengaruh

Tiga teknik mudah membina pengaruh adalah :

Teknik Satu : Menggunakan Wajah
Tenik Dua : Menggunakan Suara
Teknik Tiga : Menggunakan Tangan

Baiklah saya akan perincikan satu persatu seperti di bawah.

Teknik 1 : Menggunakan Wajah (Berikan Senyuman Yang Ikhlas)



Apakah perasaan anda apabila dilemparkan senyuman yang begitu ikhlas? Sudah tentu anda membalasnya dengan senyuman, betul? Sedarilah anda sebenarnya sedang membina lebih ramai kawan atau lawan hanya dengan mimik muka. Wajah yang suram sebenarnya akan menjadikan orang semakin menjauhi kita. Baiklah, cuba bayangkan di kampung anda terdapat dua buah kedai runcit. Kedai pertama, tokeynya mudah tersenyum sedang tokey kedai kedua amat sukar tersenyum, soalnya kedai manakah pasti anda kunjung selalu?

Saya sendiri sanggup membeli barang yang mahal sedikit berbanding harga pasaran hanya kerana senyuman dan layanan yang baik, sedangkan bukan saya tak tahu kedai runcit di sebelah lebih murah.

Sebab itulah, ada sebuah syarikat di Amerika Syarikat mewajibkan pekerjanya menjawab panggilan telefon dengan muka yang tersenyum. Sebenarnya, orang lain sudah dapat merasakan senyuman kita walaupun tidak bersua dengan kita. Saya sendiri apabila menelefon ibu saya, saya pasti akan tersenyum dahulu sebelum mendail supaya ibu dapat merasakan keceriaan saya semasa bercakap. Setiap kali saya menggunakan teknik ini, saya dapat rasakan ibu juga sedang tersenyum apabila mengangkat panggilan saya.

Pada satu hari jumaat, saya bertekad untuk memberikan senyuman kepada sesiapa sahaja yang saya temui di masjid ketika menunaikan solat jumaat. Kepada sesiapa sahaja! Anda tahu apakah respon yang saya dapat? Semuanya membalas senyuman kepada saya. Sungguh seronok. Saya salam dan senyum kepada orang yang duduk sebelah kiri dan kanan saya. Apabila keluar daripada masjid, saya berebut mengambil selipar sambil tersenyum, keluar daripada pagar masjid pun tersenyum. Wah... sungguh nikmat rasanya membuatkan orang tersenyum. Puas.

Apa saya dapat? Saya memang tak dapat apa-apa. Saya dah kata syaratnya ikhlas sahaja. Tetapi anda akan dapat merasakan kuasanya. Kata-kata anda lebih mudah didengari. Anda lebih dihormati. Anda lebih disayangi dan dipercayai. Rezeki anda pasti lebih murah. Bukankah senyum itu sunnah Nabi S.A.W?

Teknik 2 : Menggunakan Suara (Berikan Pujian Yang Ikhlas)



" Kak Ita, cantik kereta! Macam orang muda!" Saya memuji seorang ibu yang sudah punya anak 8 orang. Beliau menggunakan kereta Toyota Vios edisi Sporty. Sungguh garang dan bergaya. Beliau tersenyum mendengar pujian saya.

Esoknya tidak kurang daripada 24 jam saya memuji beliau, beliau datang kepada saya menceritakan segala-galanya tentang kereta tersebut. Kenapa, bagaimana, dan siapa yang mencadangkan kepadanya untuk membeli kereta tersebut. Saya yakin beliau pasti terngiang-ngiang mendengar pujian saya semalam. Lihat kuasa PENGARUH memberikan pujian dengan ikhlas. Tanpa disuruh, Kak Ita telah datang kepada saya dan menceritakan perihal keretanya.

Semakin kerap anda memberikan pujian dengan ikhlas, maka semakin ramai manusia datang kepada anda menyerahkan apa sahaja!

Seorang lelaki di Amerika Syarikat pernah dihadiahkan sebuah kereta antik yang mahal daripada seorang nenek. Kereta tersebut adalah tinggalan mendiang suaminya. Apakah puncanya? Lelaki tersebut telah memuji rumah nenek tersebut dengan penuh ikhlas. Nenek tersebut sungguh terharu kerana katanya semua warisnya sedang menunggu saat kematian beliau semata-mata ingin mewarisi harta pusaka. Warisnya lansung tidak pernah menghargai dan memuji-muji semua harta, yang ada hanyalah perasaan tamak haloba. Mereka saling berebut sesama sendiri. Oleh kerana sungguh terharu dengan keikhlasan seorang lelaki memberikan pujian pada binaan rumahnya, kurang daripada 24jam beliau telah sanggup memberikan hadiah sebuah kereta. Lebih menarik, lelaki itu lansung tiada pertalian darah dengan nenek!

" Bagus dan tahniah! Saya sungguh bangga kerana kamu berjaya menjawab soalan saya dengan baik walaupun kamu baru sahaja darjah tiga. Tentu guru-guru dan ibu bapa kamu gembira dengan kamu. Ini tandanya kamu memberikan perhatian semasa saya berceramah. Allah dan Nabi pasti sayang kamu!" saya memuji seorang murid tahun 3 semasa menyampaikan ceramah Maulidurasul di sebuah sekolah.

Senyap sunyi. 300 pelajar daripada pra sekolah sehingga tahun 5 senyap.

Semuanya terkedu dan terpegun. Saya terus menyambung ceramah dengan lancar dan ceramah berjaya disampaikan dengan baik.

Pujian bukan hanya berkesan pada orang tua, malah kanak-kanak juga boleh dipengaruhi!

Syaratnya, pujian harus ikhlas.

Teknik 3 : Menggunakan tangan ( Berikan Hadiah Yang Ikhlas)



"Saya sungguh mengagumi tuan kerana tuan merupakan peserta tertua dalam kursus Train The Trainers (TTT) kali ini. Saya sudah mengganggap tuan seperti ayah saya sendiri. Walaupun tuan sudah pencen, tetapi tuan masih gigih menimba ilmu di penghujung usia" ini antara pujian saya kepada seorang pak cik yang merupakan peserta tertua dalam program termahal saya pernah pergi ini. Pujian kali ini bukan hanya cakap, tetapi saya tuliskan di atas sekeping kertas kecil sebesar bussines card dan saya berikan sekali beserta dua keping coklat.

Anda sudah tentu boleh bayangkan bagaimana perasaan pak cik tersebut bukan? Beliau tersenyum dan terharu menerima pujian dan hadiah daripada saya. Kesemua 17 orang peserta program TTT mendapat pemberian yang sama, iaitu sekeping kad berisi pujian ikhlas daripada saya secara peribadi, kepada mereka, dan dua keping coklat tanda terima kasih dan lambang persahabatan 5 hari duduk dalam program yang sama. Saya sedar, ada yang mengalirkan air mata ketika saya memberikan hadiah dan kad pujian tersebut seorang demi seorang.

Kawan saya saudara Osman Affan, menghadiahkan salah seorang pekerjanya dengan sebuah Iphone 4. Saya pasti pekerjanya itu akan menjadi lebih bersemangat dan bersungguh melaksanakan kerja. Saya pula tidaklah mampu menghadiahkan pekerja saya hadiah semahal itu, cuma apa yang saya selalu amalkan adalah selalu membelanja makan pekerja saya. Saya dapat perasan, kualiti kerja mereka pasti akan meningkat sedikit selepas menerima beberapa imbuhan secara fizikal seperti belanja makan ini.

Syaratnya ikhlas. Hargai perkembangan positif orang-orang disekeliling kita. Fokus pada kebaikan yang mereka lakukan. Berikan ganjaran yang setimpal, dan pujilah walau kebaikan yang dilakukan oleh mereka sungguh kecil.

Kesimpulan

Syarat utama supaya ketiga-tiga teknik ini berkesan adalah ikhlas. Sesungguhnya kita sendiri sahaja yang tahu tahap ikhlas hati kita. Perbuatan yang ikhlas akan membekas pada hati dan jiwa seseorang.

Kita sebagai pemberi akan bersyukur dapat memberi dengan ikhlas dan penerima pasti lebih lagi akan bersyukur. Hati akan menjadi tenang dan lapang kerana setiap pemberian tidak didasari dengan keduniaan yang murah. Perbuatan yang ikhlas juga akan membekas pada perasaan, contohnya pemberi dan penerima pasti akan tersenyum. Saling redha meredhai. Saling mengucapkan rasa syukur bahkan menjadi semakin rendah diri bila dipuji dan diberi hadiah. Inilah kesan ikhlas.

Sedang perbuatan yang belum sempurna ikhlas hanya membekas pada perasaan dan fizikal semata-semata. Bila terima bonus, muka senyum, hati gembira, kerja meningkat, namun prestasi tidak kekal lama. Habis ganjaran, habislah kualiti kerja. Jika sang pemberi sebelum memberi sudah mengharapkan balasan, pasti sang penerima berat hati dan sangsi menerima hadiah. Senyuman pun terasa kelat. Pujian pun dikatakan sindiran atau perli. Hadiah dianggap mengampu. Inilah yang berlaku di kebanyakan organisasi.

Ingatlah, lakukan ketiga-tiga teknik ini dengan ikhlas. Lakukannya kerana Allah, dan sebagai mengikuti sunnah nabi Muhammad S.A.W. Pastinya ia berkesan. Buangkan niat daripada perasaan ingin membina pengaruh walaupun tajuknya 3 Teknik Mudah Membina Pengaruh!

59- Melanggar Anak Lembu

Pada satu hari yang damai, hujan sedang turun renyai-renyai, aku keluar daripada rumah untuk menuju ke satu tempat.

Aku tak ingat ke mana aku mahu pergi ketika itu. Sama ada ke pejabat atau ke sebuah surau untuk menyampaikan kuliah maghrib. Tak kisah kemana hala tujuku, yang penting aku yakin saat itu hujan sedang turun membasahi jalan. Semakin lama semakin lebat.

Aku memandu 'jentera' abah ketika itu. Van Ford Econovan. Usianya 15 tahun. Kepulangan ku dari Jordan masih belum genap setahun lagi. Jadi, van inilah menjadi warisan kami adik beradik sebelum membeli kereta sendiri.

Abah dahulu membeli van kerana adik beradik kami ramai. 8 orang semuanya. Abah memandu, angah duduk di sebelah abah sebagai co-pilot, emak duduk di sebelah pintu belakang sebagai pramugari. =)

Abangku juga pernah menggunakan van ini sebelum dia membeli kereta barunya. Samalah situasinya seperti aku saat ini.

Van ini panas sebab aircondnya rosak. Kalau hujan, perlu dibukakan sedikit tingkap untuk membenarkan angin masuk supaya cerminnya tidak berkabus.

"Hujan... tentu susah nak nampak jalan. Aircond rosak pulak tuh" rungutku seorang diri. Walaubagaimanapun, aku harus meneruskan perjalanan. Aku ada urusan yang perlu diselesaikan.

Hari itu aku perlu melalui satu jalan yang gelap. Kiri dan kanan ladang kelapa sawit. Lampu jalan jaraknya jauh-jauh pula tu.

Seingat aku, aku memandu pada kelajuan 70km sejam. Ok lah, tidaklah laju sangat, dan tidaklah perlahan sangat.

Setibanya aku di satu selekoh, aku melihat seperti ada kelibat seekor 'anjing' sedang melintas jalan. 'Anjing' tersebut berlari dengan pantas cuba melepasi van yang aku pandu. Malangnya tidak sempat.

Gup!

Bunyi pelanggaran yang kecil. Aku hanya mampu menekan brek sedikit sahaja. Aku bimbang van akan berpusing jika menekan brek secara mengejut kerana jalan sedang basah. Ketika itu lansung tidak sempat untuk berhenti melihat apakah yang dilanggar olehku.

"Ah sedikit sahaja tu, dia sempat mengelak kot, tulah siapa suruh lintas sewaktu kereta tengah lalu" aku cuba memujuk diriku sendiri. Seperti mengampunkan kesalahan diri sendiri.

Aku terus melupakan peristiwa itu, malam itu juga. Namun keesokannya...

Aku melalui jalan yang sama menggunakan 'jentera' abah.

Pagi yang indah, damai, bumi yang masih basah kesan hujan semalam. Melalui jalan yang sama, tidaklah membuatkan aku merasa kelainan saat itu. Sehinggalah tiba-tiba aku melihat di depan...

Aku terkejut melihat bangkai seekor anak lembu terkujur di tepi jalan, selekoh yang aku lalui malam semalam. Aku yakin inilah selekoh yang aku lalui semalam. Inilah tempat berlakunya perlanggaran tersebut. Rupa-rupanya 'anjing' yang ku sangka itu adalah seekor anak lembu.

Kakinya sudah ternaik ke atas. Badannya sudah pun mengembung. Matanya pula sudah terbeliak.

Aku terdiam, menarik nafas. Beristighfar. Aku mintak ampun pada Allah kerana seekor lembu amat besar nilainya pada orang kampung.

Orang kampung menjual lembu untuk memasukkan anak ke universiti. Orang kampung menjual lembu untuk mengadakan majlis perkahwinan anak kesayangannya...

Namun ada yang lebih menginsafkanku saat itu. Seekor lembu betina (ibunya mungkin) sedang duduk di sisi bangkai anak lembu tersebut. Sungguh jelas kesedihan terpancar pada wajah ibu lembu tersebut. Kaki depannya membongkok ke bumi seperti sedang sujud, sedang kepalanya rendah hampir ke tanah. Seperti mengharapkan anaknya hidup kembali. Mustahil.

Aku menitiskan air mata saat itu melihat wajah ibu lembu tersebut.

Aku biarkan sahaja drama itu. Aku lansung tak berhentikan van. Aku tak sanggup dan aku memang tak tahu nak buat apa kalau aku berhenti pun...

Esoknya, aku melalui jalan yang sama, dan hari ini bangkai anak lembu sudah pun tiada. Namun, aku tetap sedih kerana ibu lembu masih ada. Aksinya sama seperti semalam. Bezanya hari ini anaknya sudah tiada. Mungking sudah dibakar oleh tuan lembu tersebut untuk mengelakkan bau bangkai yang busuk.

Aku rasa selama 5 hari berturut-turut aku melalui jalan tersebut, aku pasti melihat ibu lembu yang sedang meratapi kehilangannya anaknya. Aku sedih dan rasa bersalah pada ibu lembu tersebut.

Demi Allah, aku belajar kasih ibu daripada seekor lembu. Tiada ibu yang sanggup melihat anaknya sakit, demam apatah lagi mati sebelumnya. Tiada ibu yang sanggup melihat anaknya gagal dalam kehidupan. Ibu pasti menitiskan air mata. Bangunlah, balaslah jasa ibumu walaupun jasa ibumu takkan pernah dapat dibalas.

Rabu, 7 Mac 2012

58- 5 Teknik Menjadikan Usrah Anda Menarik

"Balik-balik usrah, bosanlah, daripada sekolah menengah sampai universiti usrah aja" bentak seorang pelajar universiti di Jordan.

Pengalaman saya berhadapan dengan mereka semasa di universiti dahulu membuatkan saya sentiasa terus berfikir bagaimanakan caranya untuk menjadikan usrah sentiasa menarik minat kaum remaja.

Orang-orang diluar sana sebenarnya sentiasa mendahagakan kebaikan dan usrah adalah salah satu daripada kebaikan. Tetapi kenapa usrah amat sukar diikuti.

Oleh itu saya cuba berkongsi beberapa idea bagaimana kita mampu menjadikan kumpulan usrah sentiasa menarik dan membuatkan ahli usrah sentiasa terus melekat.

1- Memberi nama kepada kumpulan usrah

Teknik ini sungguh memberi kesan jika anda meletakkan nama kumpulan anda bersempena dengan nama tokoh-tokoh agung. Contohnya Usrah Sultan Muhammad AlFateh, Usrah Salahuddin Al-Ayubi, Usrah Imam Hasan Albanna, Usrah Abu Bakar As-siddiq, Usrah Siti Khadijah, Usrah Zainab Al-Ghazali. Maka dengan cara ini, ianya akan mendorong naqib untuk terus bersemangat kerana nama usrahnya adalah nama para pejuang. Ahlinya juga sentiasa terdorong kerana tokoh itu telah menjadi idolanya. Setiap kali selepas sesi perjumpaan usrah, naqib boleh membuat kesimpulan seperti ini :

"Apa yang kita pelajari hari ini, sudah tentu ada kaitan dengan tokoh kumpulan usrah kita. Dialah idola kita dan inilah jalannya. Kita pasti akan sentiasa mengikut jejak langkahnya"

Selain daripada nama tokoh-tokoh agong, boleh juga diletakkan nama kumpulan usrah berdasarkan nama-nama yang baik. Seperti Al-Ghuraba', Jundullah, Hizbullah, Al-Ikhwan, Al-Ansar, Al-Muhajirin, dan sebagainya. Lebih baik jika nama-nama ini mampu dikaitkan dengan ayat Al-quran, hadis nabi, sirah nabawiyah, kumpulan-kumpulan pejuang Islam.

Contohnya seperti Usrah Al-Ansar. Naqib mestilah sentiasa dengan berjayanya mampu mengaitkan setiap isi perbincangan usrah dengan Al-Ansar tersebut iaitu kumpulan yang menyambut kehadiran Nabi Muhammad S.A.W di kota Madinah Munawwarah.

2- Mencipta Logo Kumpulan

Selepas anda memberi nama kumpulan anda boleh mencipta logo kumpulan. Aktiviti ini menjadi lebih menarik sekiranya dipertandingkan antara kumpulan.

Sekiranya anda hanya mengendalikan satu kumpulan usrah sahaja, maka buatlah pertandingan mencipta logo kumpulan usrah di kalangan ahli sahaja. Jika ada 5 ahli kumpulan, maka biarkan mereka bertanding sesama sendiri. Kemudian, berikanlah hadiah kepada pemenangnya!

3- Memilih nilai-nilai teras pasukan

Usrah adalah satu pasukan. Ertinya perlu ada kelainan dengan kumpulan usrah yang lain. Kelainan itu penting untuk menjadikan ahli usrah sentiasa merasa istimewa.

Oleh itu antara cara untuk mencipta kelainan adalah dengan menetapkan nilai-nilai teras pasukan. Kekuatan gerakan Islam Ikhwan Muslimin adalah terletak pada 10 Rukun Bai'ahnya. Itulah nilai teras mereka. Setiap anggota Ikhwan Muslimin perlu bersifat dengan 10 rukun tersebut. 10 rukun bai'ah ini telah menjadikan anggota Ikhwan Muslimin benar-benar berbeza dengan jemaah Islam yang lain. Inilah yang menjadikan mereka istimewa.

Maka anda bila lagi? Contoh nilai teras yang mudah dan praktikal. BENAR, AMANAH, MENGAMBIL BERAT. Tak perlu banyak, cukup 3 hingga 5 nilai teras.

Lebih hebat lagi jika nilai teras itu mampu dikaitkan dengan nama kumpulan usrah. Ertinya ahli kumpulan anda bukan hanya menjadikan tokoh sebagai idola bahkan bersifat sepertimana nilai teras tersebut. InsyaAllah...

Anda juga boleh memuatkan nilai-nilai teras ini ke dalam logo kumpulan.

4- Mencetak cenderahati kumpulan

Salah satu cara untuk mencipta semangat kekitaan dalam kumpulan usrah adalah dengan mencetak bahan-bahan cenderahati. Biasanya t-shirt. Oleh itu anda boleh letakkan juga logo kumpulan pada t-shirt tersebut.

Boleh juga mencetak gelas, pen, topi, badges dan sebagainya.

5- Membina laman maya

Anda boleh membina laman maya sesama ahli usrah. Mudah sahaja. Anda boleh memilih sama ada facebookgroup atau laman web/blog. Ataupun boleh juga menggunakan mana-mana medium di internet.

Baiklah, itulah dia lima idea yang boleh saya kongsi untuk menjadikan usrah anda lebih menarik. Biasanya aktiviti ini dilakukan pada perjumpaan usrah yang pertama dan kedua. Sekiranya anda sudah lama menjalankan usrah dengan ahli kumpulan anda (ertinya sudah lebih dari 5 kali perjumpaan), ambillah masa untuk bersantai dengan aktiviti yang berfaedah seperti ini. =)

Perhatian

Sepanjang pengalaman saya, dan pengalaman orang-orang sebelum saya, usrah anda PASTI tidak menarik jika hanya menukar istilah usrah. Ada tempat yang saya pergi menukar istilah usrah kepada Study Circle, Teen Circle, Study Group, Smart Group, dan sebagainya.

Apabila saya bertanya kepada ahli-ahli usrah secara rawak, mereka tetap berkata,

"Ahhh...bosanlah. Sama je macam usrah. Tukar nama sahaja. Ingat orang tak tahu ke!"

Pengajarannya, tukar cara pendekatan, penyampaian dan aktivti yang dilakukan.

Bukan hanya tukar istilah usrah kepada satu istilah yang catchy semata-mata.

Sekian sahaja untuk kali ini. Fikir-fikirkan dan terus bertindak!

Isnin, 5 Mac 2012

57- Binatang Yang Mengajarku-Siri 1

Katak Menyelamatkan Diri

Tandas di pejabatku yang terletak di Senawang pernah dimasuki oleh seekor katak. Kisah ini berlaku setahun yang lalu. Pejabat lama ku terletak di tingkat tiga. Sungguh penat jika mahu memunggah naik dan turun barang-barang untuk ke program. Ini juga merupakan salah satu sebab utama kami berpindah ke pejabat baru (rumah sewa).

Kisah katak bermula apabila tandas pejabatku yang tinggi ini dilawati oleh seekor katak. Aku lansung tidak peduli tentang kehadiran katak tersebut walaupun aku sentiasa keluar masuk bilik air. Aku menyangka katak tersebut mungkin singgah sebentar dan akan beredar selepas itu. Pandai masuk, pandailah keluar. Bisik hatiku.

Namun, selepas beberapa hari (mungkin lima ke tujuh hari agaknya) aku mula merasakan sesuatu yang ganjil. Katak tersebut masih lagi ada dalam tandas pejabatku.

"Eh, tak keluar lagi katak ni? Macamanalah kau boleh sampai kat tingkat tiga ni. Takkan tak tau jalan keluar?" hatiku berbicara.

Pelik.

Sedang saat itu mataku melihat kearah katak tersebut. Memerhatikan gelagatnya. Ia sedang terlompat-lompat ke dinding tandas. Seperti sedang memanjat dinding untuk melepaskan diri. Namun langkahnya hari ini seperti sudah semakin lemah. Dahulunya gemuk juga. Hari ini aku lihat ia sudah sedikit kurus. Apabila badannya melompat ke dinding, tangannya dengan penuh harapan cuba menekap dinding.

Sayangnya, badannya meluncur ke bawah dan jatuh semula ke lantai. Kemudian ia cuba lagi, jatuh semula.

Cuba lagi, dan jatuh semula. Kemudian ia rehat sebentar, dan terus mencuba lagi memanjat dinding. Aduh, sungguh sayu aku melihatnya. Aku tunduk sedar. Aku memasukkan diriku dalam katak tersebut. Aku dapat rasakan katak tersebut sedang menjerit-jerit meminta pertolongan. Melompat-lompat supaya dirinya mampu melepasi dinding tandas, walaupun menyedari usaha tersebut pasti sia-sia. Tapi, ia tiada pilihan. Duduk menunggu ajal, atau terus mencuba untuk keluar.

Lantas dengan penuh rendah hatinya aku keluar mencari plastik. Aku bawakan ke katak tersebut. Aku masukkannya ke dalam plastik. Sungguh, aku rasa geli memegangnya, walaupun berbungkus dalam plastik.

Aku berlari keluar daripada pejabat. Menuruni tangga (3 tingkat) dengan pantas. Hampir sahaja kakiku tersilap anak tangga. Sampai sahaja di muka pintu, aku lihat cahaya matahari petang begitu indah. Tentu ini yang dimahukan katak tersebut.

Aku letakkannya di atas lantai dan bukakan bungkusan tersebut. Belumpun sempat bungkusan itu habis dibuka, katak tersebut terus melompat keluar daripada plastik dengan pantas. Aku dapat lihat betapa tingginya lompatan tersebut. Tidak seperti lompatannya ketika memanjat dinding sebentar tadi. Oh, gembiranya aku. Puas sungguh!

Aku sangkakan katak tersebut terus pergi meninggalkanku. Jadi aku tunggulah sebentar sehingga katak itu hilang daripada pandanganku. Namun, sangkaan ku sememangnya tidak tepat. Selepas melompat keluar daripada plastik tersebut, katak itu terus pusing menghadapku.

Kini, mata bertentang mata. Aku merenung matanya. Dia juga merenung mataku. Aku dapat lihat air matanya. Bergenang. Mukanya mengatakan terima kasih. Anak matanya jelas mengatakan dia sungguh berterima kasih. Aku merasa sungguh sedih dan sebak. Namun hatiku benar-benar gembira melihatnya kembali bebas.

"Tidak mengapalah, kamu sekarang dah bebas. Kamu pergilah kemana kamu suka. Satu sahaja pintaku, tolong doakan aku sentiasa supaya Allah sentiasa membantuku jika aku menghadapi belenggu" kataku padanya.

Seperti mendengar kata-kataku, dia terus pusing dan pergi meninggalkanku.

Katak, sungguh kau telah mengajar erti kehidupan kepadaku.

Kau ajarku untuk teruskan berusaha selagi termampu. Usah mengaku kalah selagi nyawa dikandung badan.

Kau ajarku untuk ucapkan terima kasih walau siapa sahaja yang membantu kita, walaupun kita tidak mengenalinya.

Kau memberikanku semangat untuk terus melakukan kebaikan, kerana aku yakin setiap kebaikan pasti ada ganjaran di sisi Tuhan.


Cerita seterusnya akan datang...

Mengikat Kaki Ayam

Melambung Anak Kucing

Menyelamatkan Anak Burung

Telinga Dimasuki Nyamuk/Ulat berkepak

Punggung Ditanduk Kambing

Melanggar anak lembu

Khamis, 2 Februari 2012

56- Ini kerja siapa?

"Fuh memang penat buat kerja ni" keluh aku seorang diri.

"Kau tak penat ke buat kerja ni, bayaran dah lah tak seberapa" tegur seseorang kepada aku.

Setelah tiga tahun pulang daripada Jordan (Sept 2008 - now), banyak sungguh perkara yang aku pelajari tentang kerja dakwah. Sungguh hebat pengalaman tersebut jika nak dibandingkan dengan wang ringgit.

Aku sebenarnya belajar erti dakwah semenjak dari kecil lagi. Dulu aku selalu mengikut abah pergi menyampaikan kuliah atau ceramah. Ada kuliah subuh, kuliah maghrib, ceramah hari kebesaran, program motivasi dan sebagainya. Abah juga pernah menganjurkan program motivasi di surau depan rumah kami. Pernah juga dulu aku menyertai persembahan membacakan selawat bersama-sama dengan rakan sebaya. Aku juga pernah memasuki pertandingan nasyid dan macam-macam lagi. Sungguh seronok masa itu.

Ketika tingkatan empat, aku mula belajar merancang kerja-kerja dakwah pula. Jika sekolah rendah dahulu, aku hanya terlibat sebagai watak sampingan, kini apabila dilantik menjadi Pengerusi Badan Dakwah Akhlak Dan Rohani, aku menjadi watak utama. Aku dan rakan-rakan merancang pelbagai aktiviti dakwah. Setiap malam ketika waktu senggang antara maghrib dan isyak kami telah menyediakan jadual yang perlu diikuti oleh semua pelajar. Antaranya adalah tazkirah guru, zikir munajat, tanyangan video, hafazan, usrah, Kultim (kuliah tiga minit), simulasi bacaan khutbah dan sebagainya.

Apabila tiba musim hujung tahun, iaitu semua pelajar sudah selesai menjalani peperiksaan akhir tahun, ketika itu hari persekolahan berbaki sekitar 2 minggu. Kami telah mengadakan bermacam aktiviti dakwah. Kami telah menganjurkan pertandingan hafazan, pertandingan azan, nasyid, pertandingan menyampaikan khutbah, termasuk juga perlawanan sukan seperti futsal, tarik tali dan sebagainya.

Selepas belajar di sekolah menengah, aku menyambung pengajian dalam bidang Syariah di Universiti Mu'tah Jordan. Di Jordan, kelompok mahasiswi akan memanggil mahasiswa dengan gelaran USTAZ, dan begitulah sebaliknya. Walaupun ramai yang tidak menggemari gelaran tersebut, sebenarnya aku mula menyedari aku bakal menjadi USTAZ.

Jika dahulu di sekolah menengah, aku hanya mengikut rutin aktiviti tahun-tahun lepas. Apa yang AJK BADAR tahun lepas buat, maka itulah yang aku buat. Setiap aktiviti semua pelajar MESTI ikut sama ada suka atau tidak. Sungguh senang kerja dakwah ketika itu. Namun bila di universiti, aku mula belajar apakah ertinya kreatif dalam berdakwah.

Ketika di unversiti tak semua pelajar akan mengikut aktiviti persatuan. Aku telah dilantik menjadi Yang Dipertua Badan Kebajikan Mahasiswa N.Sembilan (BKMNS) dan Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Mu'tah (PERMATA). Ketika itu keupayaan berfikir AJK persatuan memang terasa dicabar.

Alhamdulillah, aku dikurniakan barisan AJK Persatuan yang mantap, kreatif, ikhlas dan bersungguh-sungguh. Mereka semuanya hebat-hebat belaka. Mereka berjaya menganjurkan program yang mampu menarik lebih dari 80% kehadiran ahli persatuan.

Antaranya, Biro Kebudayaan & Sukan (BKDS) yang diketuai oleh Kapten Abdul Kadir berjaya menganjurkan Sukan Explorace. Biro Akademik (BA) yang diketuai oleh Ustaz Shahrul Ifwat berjaya menganjur Konvenseyen Mahasiswa Islam (KOMIS). Biro Penerbitan ang diketuai oleh Ustaz Baihaqi (BP) berjaya mengeluarkan majalah atau buletin bulanan dengan nama majalahnya Assof. Biro Ekonomi yang diketuai oleh Ustaz Faiz(BE)pula berjaya mencapai target jualan dan memperoleh keuntungan yang banyak. Semuanya melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Walaupun ada biro lain yang aku tidak nyatakan, namun aku tak menafikan sumbangan mereka membangunkan persatuan ketika itu.

Setelah pulang ke tanah air Malaysia negaraku yang tercinta pada September 2008, aku menyedari aku tidak ada semua itu lagi. Abah sudah mula beransur-ansur tidak menyampaikan kuliah atau ceramah akibat keuzuran. Maka aku tak dapat ikut abah lagi. Aku sudah tiada BADAR. Aku sudah tiada PERMATA dan BKMNS.

Timbul persoalan dalam diri ini, setelah ketiadan semua itu, apa yang harus aku lakukan? Apakah aku harus meninggalkan kerja-kerja dakwah yang selama ini aku jalankan? Atas prinsip apakah aku terlibat dalam kerja dakwah selama ini?

Dahulu sekolah rendah, sekadar ikut-ikutan.
Dahulu sekolah menengah, sekadar menjalankan rutin & jadual.
Dahulu di universiti, sekadar seronok dan kreatif.

Kini, semuanya tiada. Maka adakah harus berhenti kerja dakwahku...

Timbul pula persoalan selama ini kerja apakah yang aku lakukan?
Sekadar menasyidkan alunan selawat, menyertai pertandingan, menganjurkan program?

Perintah siapakah yang aku junjung selama ini? Adakah perintah abah yang menyuruhku mengekorinya ketika kuliah. Adakah perintah cikgu yang menyuruhku menganjurkan program. Adakah perintah ahli persatuan yang mahukan program yang kreatif dan lain daripada yang lain?

Dalam mencari jawapan ini, seorang rakan menunjukkan kepadaku satu ayat Allah. Sudahku hafal ayat ini semenjak tingkatan 2 lagi. Dia mengajarkan aku erti ayat ini.

Sungguhku sedar saat ini. Dalam surah Al-Jumuah ayat 2 firman Allah,



"Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata."

Oh, rupa-rupanya kerja yang aku lakukan selama ini adalah perintah Allah.
Rupa-rupanya kerja yang aku lakukan selama ini adalah kerja manusia agung Nabi Muhammad S.A.W. Ini adalah kerja Nabi-Nabi sebelum Nabi Muhammad lagi. Inilah kerja manusia sebenarnya.

Maka mengapakah harus ada rasa penat dan mengeluh? Sesungguhnya Nabi Muhammad lagi penat dan susah dalam mengerjakan dakwah kepada Allah.

Maka yakinlah aku selama ini kerja yang aku lakukan adalah perintah Tuhan dan sunnah Nabi S.A.W.

Biar apa pun posisiku sekarang. Aku kini di dalam dunia latihan dan motivasi. Ada rakan-rakanku dalam sektor pendidikan samada sebagai guru JQAF, KPLI, mahupun pensyarah. Ada juga dalam bidang pelancongan. Ada juga dalam bidang ketenteraan. Ada juga dalam bidang keusahawanan. Ada juga dalam sektor pentadbiran awam. Mereka semuanya, aku yakin sedang melakukan kerja Nabi S.A.W.

Mereka sedang berusaha bersungguh-sungguh memandaikan ummat. Aku doakan semuanya terus kekal dan istiqamah dalam jalan dakwah.

Pesan untuk diriku dan kalian jua, lakukanlah sehabis baik kerana syurga hanya untuk mereka yang melakukan yang terbaik.

Selamat menyambut kelahiran agung Nabi Muhammad S.A.W.