Rabu, 7 Ogos 2013

75. Amalan-Amalan Sunat di Hari Raya Aidilfitri

Subhanallah...

Hari ini hari terakhir puasa bagi tahun ini. Sekejap sahaja rasa melaksanakan ibadah puasa sebulan. Tak macam kecil-kecil dahulu. Terasa lama sangat menunggu hari raya.

Namun, walaupun hari raya ini sungguh dinanti, janganlah dibiarkan raya ini mencacatkan amalan kita sepanjang ramadhan. Bak kata pepatah, akibat nila setitik, rosak susu sebelanga. Jangan kerana raya sehari, habis amalan sebulan.

Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab kita untuk memelihara kesucian ramadhan tersebut. Marilah bersama-sama memeliharanya. Justeru saya gunakan kesempatan ini untuk menyenaraikan seringkas mungkin amalan-amalan sunat sempena hari raya.

Tulisan ini adalah untuk tatapan saya sendiri sebenarnya. Saya ingin berpesan kepada diri sendiri supaya sentiasa mendekatkan  diri kepada Allah. Oleh itu saya senaraikan .... amalan Nabi Muhammad sempena kedatangan hari raya aidilfitri.

1. Memperbanyakkan takbir, tahmid, tahlil, dan membesarkan Allah. Bermula seawal maghrib 1 Syawal, sehingga imam selesai membacakan khutbah hari raya.

2. Mandi sunat hari raya.

3. Makan kurma atau apa sahaja sebelum keluar ke masjid.

4. Memakai pakaian terbaik

5. Mengajak seluruh ahli keluarga ke masjid untuk menunaikan solat sunat hari raya.

6. Mengucapkan selamat, dan kata-kata yang baik apabila bertemu orang lain. Sunnah mengatakan "Taqabalallahu minna wa min kum" dan dijawab dengan jawapan yang sama. Ertinya "Semoga Allah menerima amalan kami, dan amalan kamu'

7. Melalui jalan berbeza untuk pergi dan balik dari masjid. Supaya dengan cara itu kita lebih banyak menemui orang, dan saling doa mendoakan antara satu sama lain.



Di atas adalah amalan yang pernah dilakukan Nabi SAW sempena kedatangan Aidilfitri. Namun ada juga amalan-amalan yang dilakukan oleh kaum Melayu, yang boleh dianggap mendapat pahala sunat di sisi Allah. Syaratnya, kita lakukan bukan kerana HARI RAYA, namun dilakukan kerana Allah, dan disuruh oleh Rasulullah.



1. Bermaaf-maafan. Sememangnya Islam menuntut kita sentiasa menginsafi kesalahan, dan memaafkan kesilapan orang lain.

2. Menjamu makanan. Masyarakat kita kini menyediakan pelbagai juadah raya. Ada juga yang melakukan rumah terbuka. Buat mengikut kemampuan dan ikhlas. Bukan untuk meniru trend, dan menunjuk-nunjuk pada orang.

3. Memberi angpow. Beri dengan niat hadiah atau sedekah. Jangan diungkit dan marah, kalaupun terdapat anak kecil yang membuang sampul angpow depan kita sambil memasukkan duit raya dalam koceknya.

4. Ziarah kubur. Ingat bukan kerana raya. Kita digalakkan sentiasa mengingati mati. Bukan semata-mata mengenangkan simati. Lebih banyak ingat mati, lebih dekat dengan Allah. Hari raya kedua, ketiga, keempat atau bila-bila pun boleh pergi kubur.

5. Ziarah saudara mara dan sahabat handai. Menghubungkan silaturahim adalah sunnah Nabi. Bahkan Nabi pernah berpesan untuk mereka yang mahu murah rezekinya, maka sentiasa menghubungkan silaturahim.

6. Mengirim kad raya. Nabi pernah mengirimkan surat kepada raja negara lain. Surat Nabi mengajak mereka membesarkan Allah. Maka surat atau kad raya kita pun begitu. Kirim kad raya bukan untuk mereka ingat pada kita, tapi mengingat pada Pencipta. Jika mereka tak balas, jangan berkecil hati pula. Terima dengan hati terbuka.



Sementara itu, kita juga sentiasa diperingatkan oleh ustaz dan ustazah supaya memelihara tiga perkara berikut.


1. Jaga solat

2. Jaga batasan pergaulan. Bersalam pada perempuan yang sepatutnya. Berbual tanpa berlebih had.

3. Jaga batasan pakaian.


Dan akhirnya, saya suka berpesan kepada diri sendiri supaya melaksanakan dua perkara berikut


1. Berpuasa enam di dalam bulan Syawal

2. Menyegerakan ganti puasa yang telah tertinggal.


Sehingga di sini dulu..

Selamat menyambut hari Raya Aidil fitri.

Taqabalallahu minna wa minkum

Sabtu, 3 Ogos 2013

74. Sorotan Ramadhan, Perjalanan Mencari Kemenangan



Hari ini 4 Ogos 2013 bersamaan 25 Ramadhan 1434 Hijriah. Alhamdulillah masih ada kesempatan untuk berada dalam bulan Ramadhan.

Tahun ini pada pandangan saya, bulan Ramadhan diwarnai dengan pelbagai warna suka dan duka. Baik di peringkat global, mahupun di peringkat paling kecil iaitu saya sendiri.

Sebelum masuknya Ramadhan, Presiden Mesir Dr. Morsi telah pun digulingkan oleh tenteranya sendiri. Peristiwa ini pastinya memberi kesan kepada para pencinta gerakan dakwah.

Rampasan kuasa di Mesir telah memberi kesan buruk kepada saudara Muslim kita di Palestin, apabila kerajaan haram Mesir mengenakan sekatan, meruntuhkan terowong bantuan, dan melakukan pelbagai macam kezaliman. Bahkan mereka juga sanggup membunuh rakyat mereka sendiri. Sehingga artikel ini ditulis, sudah lebih 100 nyawa saudara Muslim kita melayang begitu sahaja yang dibantai oleh tentera Mesir.

Bagaimana Malaysia?

Alhamdulillah, ramai orang kata kita aman. Kita harus bersyukur. Kita boleh beribadah dengan tenang dan aman.

Namun mereka lupa, dalam bulan Ramadhan ini sahaja sudah lebih 5 kes bunuh berlaku menggunakan senjata api. Kejadian bunuh menggunakan tembakan boleh berlaku di mana-mana. Kedai kopi, kawasan parkir kereta, ketika kesesakan lalu lintas, dan sebutkan sahaja.

Saya merasa sungguh takut. Bagaimanakah masa depan negara ini 10 tahun akan datang?

Selain kisah di atas, Ramadhan ini juga berlakunya pilihan raya kecil DUN Kuala Besut. Pilihan raya kecil pertama ini di menangi oleh calon Barisan Nasional Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman. Biasanya sebelum-sebelum ini, saya pasti akan turun berkempen membantu parti pilihan saya. Namun tahun ini tiada peluang.

Walauapapun, tahniah bagi yang berjaya. Bagi yang kalah, teruskan berjuang dan istiqamah.

Saya kira paling menarik tahun ini kisah di Malaysia berkenaan dua kisah kontroversi. Pertama gambar Alvin dan Vivian mengucapkan selamat berbuka puasa sambil memakan babi. Kedua pula adalah video Maznah Mohd Yusof mengucapkan selamat hari raya bersama 3 ekor anjingnya.

Semua peristiwa ini memberi seribu makna kepada umat Islam sepatutnya.

Meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah.

Meningkatkan syukur kepada Allah.

Meningkatkan amal ibadah kepada Allah.

Meningkatkan kemahuan mencari ilmu.

Menambah kesabaran dalam menempuh ujian mendatang.

Tetap terus istiqamah walaupun ujian datang kiri kanan, depan dan belakang.



Peristiwa ini juga mengajar kita supaya mendahulukan akal.

Belajarlah mengawal emosi.

Menuruti nafsu hanya membawa kepada dunia yang buntu.

Membelakangkan Al-quran, akan terus menjerumus manusia ke lembah kebinasaan.


Firman Allah SWT

" Barangsiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah diterima daripadanya (agama itu), dan dia di akhirat termasuk di kalangan orang-orang yang rugi " Ali Imran : 85


Saya pula bagaimana?


Saya sendiri 2 minggu sakit terbaring di atas tilam sahaja. Saya terkena serangan gout yang sungguh kuat. Dua minggu sebelum Ramadhan saya hanya mampu terbaring. Tidak dapat bergerak kemana-mana.

Dalam pada itu, dua minggu saya berpuasa hanya di rumah sahaja. Saya boleh bergerak sedikit demi sedikit. Namun Allah masih tidak izinkan saya bergerak jauh.


Saya kira ini serangam gout paling kuat saya kena. Sudah hampir 1 bulan. Namun masih tidak sembuh.

Paling 'best' saat saya tidak boleh berjalan, anak saya sudah mula belajar berjalan. Bukan main rancak dia bangun, jalan, jatuh, jalan lagi. Semakin laju jalannya.

Subhanallah..

Sungguh besar nikmat Allah.

Walaupun kali ini kenikmatan melaksana ibadah sungguh terhad, saya tidak dapat banyak ke masjid, saya terpaksa ponteng puasa 3 hari kerana sakit, dan tidak dapat membantu abah menjadi Imam terawih.

Namun saya gembira.



Teruskanlah perjalanan mencari kemenangan.

Kemenangan manusia bila semakin menjadi hamba Allah.

Kemenangan khalifah, bila semakin banyak berbakti kepada yang lain.


Isnin, 29 Julai 2013

73. Lailatul Qadar, Tanda Dan Kelebihannya



Alhamdulillah..kita sudah sampai ke 10 malam terakhir Ramadhan tahun ini.  Sudah pasti 10 malam terakhir ini menjadi buruan untuk hamba Allah yang soleh.

Biasanya sewaktu saya kecil-kecil dahulu, 10 malam terakhir ini digunakan untuk menghitung bilakah hari raya sambil bermain mercun dan meriam kebait. Pernah baju raya saya terkoyak kerana bermain mercun.

Biasalahkan..masa budak-budak dulu main mercun memang seronok. Bakar sumbu, kemudian baling kepada kawan.

Tapi itu dulu punya cerita. Jadi sekarang kita cerita perkara sekarang. Alhamdulillah tahun 2013 ini saya ada diamanahkan untuk menyampaikan pengisian berkenaan 10 malam terakhir, dan lailatul qadar.


10 Malam Terakhir, Lailatul Qadar, dan Nuzul Al-Quran


Tiga perkara ini tidak boleh dipisahkan. Apabila menceritakan 10 malam terakhir, pasti ianya ada kaitan dengan lailatul qadar. Apabila menceritakan lailatul qadar, pasti ianya adakaitan dengan nuzul Al-Quran. Jika sebelum ini saya ada berkongsi tentang Nuzul Al-Quran, maka kesempatan kali ini saya ingin berkongsi berkaitan lailatul qadar.

Mudah-mudahan ia dapat membantu saudara untuk mendapatkan sedikit input. Boleh juga digunakan sebagai modal untuk menyampaikan kuliah atau untuk kegunaan para naqib menyampaikan pengisian di dalam usrahnya.


Apa itu Lailatul Qadar?


Lailatul Qadar bermaksud malam Al-Qadar. Malam yang sungguh berkat yang dikurniakan Allah kepada ummat Muhammad S.A.W. Malam ini hanya diturunkan dalam bulan Ramadhan sahaja, iaitu sekali setahun.


Bilakah berlakunya Lailatul Qadar?


Secara spesifiknya tiada siapa pun mampu meramalkan bilakah tarikh jatuhnya lailatul qadar. Itulah rahsia Allah yang tersimpan sampai bila-bila. Hikmahnya adalah untuk mencari siapakah hambaNya yang benar-benar tekun beribadah.

Namun berdasarkan hadis Nabi SAW kita dapat menjangkakan bahawa lailatul qadar diturunkan pada 10 Ramadhan yang terakhir.

Dari Aisyah R.A katanya :

"Biasanya Rasulullah SAW berusaha bersungguh-sungguh memperbanyakkan amal pada sepuluh malam terakhir (dalam bulan Ramadhan) tidak seperti malam-malam yang lain"

Riwayat Muslim.


Dalam hadis yang kedua, yang diriwayatkan oleh Aisyah R.A juga. Bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda :

"Bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui lailatul qadar, pada malam-malam yang ganjil pada sepuluh malam yang terakhir dalam bulan Ramadhan"

Riwayat Al-Bukhari.


Apakah tanda-tanda berlakunya malam Lailatul Qadar?

Malam lailatul qadar berlaku, berdasarkan pengalaman orang-orang soleh, boleh berlaku dengan tanda-tanda berikut :

1. Melihat cahaya yang terang benderang hingga ke seluruh pelusuk bumi

2. Mendengar ucapan salam dari Malaikat

3. Melihat segala benda semuanya sujud

3. Ada juga mengatakan apabila doa permohonannya dimakbulkan.

Menurut Imam Annawawi malam lailatul qadar dapat disaksikan oleh orang-orang yang dikehendaki Allah. Bermakna tidak semua orang berpeluang menyaksikan keajaiban lailatul qadar.

Imam Attobari pula memilih pandangan yang menegaskan bahawa : Tidak semestinya menyaksikan atau mendengar tanda-tanda tertentu untuk menentukan malam lailatul qadar. Ianya bukan syarat utama.

Apa yang penting adalah terus berusaha, meningkatkan amal, dan sentiasa berdoa dikurniakan malam al-qadar.


Apakah kelebihan lailatul qadar?

1. Lailatul Qadar adalah malam diturunkan Al-quran

Ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah Al-Qadar ayat 1.

"Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran pada lailatul qadar"


2. Malamnya lebih baik daripada 1000 bulan

Ganjaran melaksanakan ibadah di malam Al-qadar dilipat gandakan menyamai melakukannya 1000 bulan, atau bersamaan 83 tahun. Ini bertepatan seperti yang disebutkan Allah SWT di dalam surah Al-Qadar ayat 3.

"Lailatul Qadar lebih baik dari seribu bulan"


3. Malaikat dan jibril turun

Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Al-Qadar ayat 4.

"Pada malam itu, malaikat dan Jibril turun dengan izin tuhan mereka membawa segala perkara yang ditaqdirkan berlaku pada tahun berikutnya"


4. Kesejahteraan sehingga ke pagi

Dalam surah Al-Qadar ayat 5, Allah menjelaskan kebaikan malam Al-Qadar berterusan sehingga ke pagi. Justeru pada malam tersebut sangat-sangat dimakbulkan sepanjang malam.

"Sejahteralah malam itu hingga terbit fajar" Al-Qadar ayat 5.


5. Diampunkan dosa oleh Allah

Dalam satu hadis Nabi SAW ada menyatakan, mereka yang menghidupkan malam Al-qadar akan diampun dosa oleh Allah SWT.

Dari Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW bersabda :

"...Barangsiapa membangunkan (melaksanakan pelbagai jenis ibadah) lailatul qadar, dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada Allah, nescaya ia akan diampunkan dosanya yang telah lalu"



Kesimpulan 


Kesimpulannya, malam Al-Qadar malam yang sungguh berkat. Sebab itu Allah menyebutnya di dalam Al-Quran, surah Ad-Dukhan, ayat 3.

" Sesungguhnya kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yanb berkat.."

Tarikh jatuhnya malam Al-Qadar adalah menjadi rahsia Allah. Walaupun pada zaman Nabi SAW pernah berlaku pada malam 21, 23 dan 27. Ini berdasarkan hadis yang sohih. Namun terus mencarinya tanpa mengira malam apa adalah lebih utama.

Melaksanakan amalan pada 10 malam terakhir adalah sangat-sangat dituntut, tanpa perlu menunggu, melihat, atau mendengar tanda.


Selamat menyambut 10 malam terakhir.

Selasa, 23 Julai 2013

72. Peristiwa Nuzul Al-quran Dan Kelebihan Al-quran



Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT kerana masih memberi peluang untuk kita terus bernafas. Terima kasih kepada saudara dan saudari kerana sudi mengunjungi blog tulisan saya ini.


Tahun 2013 ini, banyak juga amanah yang saya terima untuk berkongsi berkenaan peristiwa Nuzul Al-Quran. Jika tahun sebelum-sebelum ini saya cuma membaca kitab, danberkongsi dengan pendengar secara lansung sahaja, iaitu melalui ceramah sahaja, jadi tahun ini saya cuba mencari ruang untuk berkongsi sesuatu di dalam blog ini. Mudah-mudahan ada manfaat terutama buat diri saya ini, termasuk para pembaca sekalian.


Apa itu Nuzul Al-Quran?

Apabila menyebut sahaja Nuzul Al-Quran, terdetik dalam benak fikiran saya, apakah itu Nuzul Al-Quran? Apakah maksudnya?


Nuzul ertinya adalah turun. Manakala Al-Quran pula merupakan kitab Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad. Justeru, Nuzul Al-quran adalah satu peristiwa yang berkaitan penurunan Al-Quran daripada Allab kepada Nabi Muhammad.


Turun membawa erti datangnya sesuatu daripada atas ke bawah. Maka perkataan Nuzul itu sahaja sudah melambangkan ketinggian Kalamullah yakni Al-Quran.


Bilakah terjadi peristiwa tersebut?

Terdapat pelbagai pandangan ulama' berkenaan bilakah peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku. Mari kita dekati pandangan ini satu persatu.

Pandangan pertama : Ada ulama' yang mengatakan Al-Quran diturunkan pada malam 24 Ramadhan. Mereka bersandarkan kepada sebuah hadis riwayat Imam Ahmad

"...Allah turunkan Al-Quran pada 24 Ramadhan..."


Pandangan kedua : Ada juga ulama' yang mengatakan Al-Quran diturunkan pada 21 Ramadhan. Antaranya yang berpegang sedemikian adalah As-Sheikh Safiyy Ar-Rahman Al-Mubarakfuri di dalam kitabnya Rahiq Al-Makhtum.


Pandangan ketiga : Ini merupakan pandangan yang popular di kalangan masyarakat kita iaitu 17 Ramadhan. Walaupun ini adalah pandangan yang masyhur dikalangan kita, namunianya mendapat kritikan para ulama'.

Berdasarkan firman Allah SWT di dalam Surah Al-Qadar, ayat 1.

"Sesungguhnya kami telah turunkannya pada malam Al-Qadar"

Sedangkan jika diperhatikan kebanyakan hadis Nabi, malam Al-Qadar berlaku pada 10 malam terakhir.


Walaubagaimanapun, para ulama' sepakat bahawa Al-Quran telah diturunkan pada bulan Ramadhan. Cuma tarikhnya sahaja yang berbeza. Namun tarikh itu bukanlah pokok perbincangan, kerana membaca, memahami, menghayati, dan mempraktikkannya adalah lebih utama.


Oleh itu, di dalam perkongsian saya kepada para pendengar topik ini hanya disebut sebagai pengetahuan sahaja.


Bagaimakah Al-Quran diturunkan?


Al-quran diturunkan dengan dua peringkat. Pertama dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah secara sekali gus.


Keduanya Al-Quran diturunkan secara berperingkat-peringkat dari Baitul Izzah kepada Nabi Muhammad selama 23 tahun. Ia diturunkan bersesuaian mengikut peristiwa-peristiwa tertentu. Antara hikmahnya diturunkan berperingkat-peringkat adalah untuk mengelakkan kejutan budaya, memudahkan orang memahami Islam, dan memudahkan para sahabat menghafaz ayat Al-quran.


Apakah kelebihan membaca Al-Quran?


1. Mendapat syafaat di akhirat

Sabda Rasulullah SAW " Bacalah Al-Quran, kerana sesungguhnya pada hari kiamat Al-quran datang memberi syafaat kepada yang membacanya"

Riwayat Muslim


2. Ditinggikan darjat oleh Allah


Hadis Nabi SAW "Sesungguhnya Allah akan mengangkat darjat sesuatu kaum dengan Al-Kitab (Al-Quran), dan merendahkan kaum yang lain dengannya (Al-Quran)

Riwayat Bukhari dan Muslim


3. Mendapat kedudukan sebaik-baik manusia


Hadis Nabi SAW ada menyebut "Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar, dan mengajarkan Al-quran"

Riwayat Muslim


4. Bersama para Malaikat


Dari Aisyah RA berkata, bahawa Rasulullah bersabda "Orang yang membaca Al-Quran, dandia mahir maka nanti akan bersama-sama para malaikat yang mulia dan taat. Sedang orang yang membaca Al-Quran dan ia merasa susah di dalam membacanya tetapi ia selalu berusaha maka ia mendapat dua pahala"

Riwayat Bukhari dan Muslim


5. Diizinkan Iri Hati Kepada Pembacanya


"Tidak ada iri hati yang dibenarkan kecuali dalam dua perkara. Iaitu orang yang diberi kemampuan Al-Quran, kemudian dia membacanya dan mengamalkannya baik malam mahupun siang. Dan seorang yang dikurniakan harta oleh Allah, kemudian menafkahkannya baik malam mahupun siang"


Riwayat Bukhari dan Muslim


6. Dikurniakan pahala berlipat kali ganda

Dalam satu hadis, dari Ibnu Mas'ud berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda "Barangsiapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah, maka ia mendapat satu kebaikan. Setiap kebaikan itu nilainya bersamaan sepuluh kebaikan. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf, dan mim satu huruf"

Hadis Hasan Sahih. Riwayat At-Tarmizi


7. Diberikan ketenangan dan rahmat


"Dan tidak berkumpul sesuatu kaum di mana-mana rumah Allah untuk membaca dan mempelajari Al-Quran, melainkan diturunkan ketenangan, diliputi rahmat, dikerumuni malaikat, dan disebut-sebut Allah di depan malaikat yang berada di sisinya"

Riwayat Muslim


Penutup dan Kesimpulan


Bulan Ramadhan adalah bulan diturunkan Al-Quran. Itulah kesepakatan ulama' bersandarkan kepada firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah ayat 185.


"Bulan Ramadhan diturunkan di dalamnya Al-Quran,menjadi petunjuk kepada manusia..."

 Maka membaca Al-Quran di dalam bulan Ramadhan merupakan amalan yang sangat dituntut di dalam Islam.

Setiap malam di dalam bulan Ramadhan, Jibril akan turun ke bumi untuk bertadarus Al-Quran bersama Nabi Muhammad SAW.

Mudah-mudahan sedikit perkongsian ini memberi sedikit suntikan motivasi untuk kita meningkatkan amal di bulan Ramadhan ini.


Wassalam.


Nota : Perbincangan tarikh Nuzul Al-Quran dipetik melalui tulisan Dr.Maza melalui blognya Minda Tajdid.

Manakala Hadis kelebihan  membaca Al-Quran dipetik melalui kitab Riadusolihin susunan Imam Annawawi.






Khamis, 18 Julai 2013

71. Lapan Amalan Sunat Di Bulan Ramadhan

Assalamualaikum para pembaca sekalian. Sempena bulan ramadhan kali ini saya ada diamanahkan untuk menyampaikan tazkirah Ramadhan. Maka kesempatan ini saya gunakan untuk membaca beberapa kitab hadis.


Berdasarkan pembacaan tersebut, saya menyenaraikan lapan amalan sunat, yang boleh diamalkan oleh kita bersama. Ianya bukanlah semata-mata lapan, bahkan lebih banyak lagi. Cuma mungkin setakat ini sahaja yang mampu saya kumpulkan. Jika saudara ada tambahannya, ia sungguh dialu-alukan.


Pada kali ini saya tidak meletakkan sumber hadisnya, kerana ini cuma nota ringkas saya untuk persiapan menyampaikan tazkirah. Walaubagaimanapun, Insyallah semua amalan ini merupakan amalan nabi, dan bersumberkan kepada hadis-hadis yang sohih.


Apakah lapan amalan tersebut?


1. Melambatkan sahur

2. Menyegerakan Berbuka

3. Berbuka dengan tamar atau air kosong

4. Bersedeqah

5. Tadarus Al-quran

6. Solat Terawih

7. Iktikaf di masjid

8. Menghidupkan 10 akhir Ramadhan terutama malam ganjil




Isnin, 15 Julai 2013

70. Tujuh Kelebihan Bulan Ramadhan



Selamat berpuasa, dan menjalani ibadah dalam bulan Ramadhan ini. Insyallah hari ini saya akan berkongsi Tujuh Kelebihan Bulan Ramadhan seperti yang telah diterangkan oleh Al-Quran dan hadis Nabi Muhammad S.A.W.


1. Terbuka pintu-pintu syurga

Dari Abu Hurairah bahawasanya Rasulullah S.A.W pernah bersabda 

"Apabila datang Ramadhan, terbukalah pintu-pintu syurga" 

Hadis sohih riwayat Al-Bukhari.


2. Terbuka pintu-pintu rahmat

3. Tertutupnya pintu-pintu neraka

4. Syaitan-syaitan dibelenggu

Dari Abu Hurairah katanya, Rasulullah S.A.W pernah bersabda 

" Apabila datangnya Ramadhan, terbukalah pintu-pintu rahmat, dan tertutuplah pintu-pintu neraka, serta terbelenggulah syaitan-syaitan"

Hadis sahih riwayat Muslim.


5. Diampunkan dosa-dosa yang telah lalu

Hadis Nabi S.A.W ada menyatakan

"Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, dengan penuh keimanan, dan pengharapan, akan diampunkan Allah S.W.T dosa-dosanya yang telah lalu.

Imam Nawawi menyebut, dosa yang akan diampunkan Allah adalah dosa-dosa kecil yang pernah kita lakukan dahulu. Manakala dosa besar tetap tidak akan terampun selagi tidak melalukan taubat nasuha.

Jika tiada dosa kecil, maka puasanya itu akan meringankan bebanan dosa besarnya.

Jika tiada dosa besar, maka puasanya itu akan meninggikan darjatnya pada akhirat kelak.


6. Bulan Ramadhan diturunkan Al-Quran

Ianya seperti yang diterangkan Allah S.W.T di dalam Al-Quran, dalam Surah Al-Baqarah ayat 185

"Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran"


7. Terdapatnya Lailatulqadar

Pada malam yang istimewa ini, manusia yang melaksanakan ibadah akan diberikan ganjaran oleh Allah S.W.T dengan ganjaran yang sungguh banyak. Bahkan kebaikan malam tersebut mengatasi 1000 bulan ataupun bersamaan 83 tahun.

Kita diseru untuk meningkatkan amalan pada 10 akhir ramadhan, kerana boleh jadi lailatulqadar jatuh pada salah satu malam-malam tersebut. 

Ianya seperti yang disebut oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran di dalam Al-Qadar ayat 1-4.


Penutup

Mudah-mudahan sedikit perkongsian ini akan meningkatkan motivasi kita untuk beramal pada bulan Ramadhan. Insyallah.




Khamis, 4 Julai 2013

69. Lima Petua Mengajar Anak Kecil Berpuasa

Hari ini saya berminat untuk berkongsi petua sempena nak masuk Ramadhan. Petua ini bukanlah petua saya, cuma ini hasil pembacaan, dan pemerhatian saya. Tambahan pula baru-baru ini saya sempat menonton rancangan Wanita Hari Ini TV3 ada membincangkan tajuk ini.

Berikut saya senaraikan lima petua. Mudah-mudahan petua ini boleh saya gunakan apabila anak saya sudah mula mencapai usia yang sepatutnya. Semoga bermanfaat untuk pembaca juga :


1. Mengajarnya Puasa Sedikit Demi Sedikit.

Mungkin bermula dengan berpuasa sehingga pukul 10 pagi sahaja. Esoknya meningkat pula ke jam 12 tengahari. Sehinggalah ke waktu maghrib. Tidak kisah berapa hari yang diperlukan untuk si kecil mencapai tahap puasa sempurna satu hari, yang penting bermula dari bawah.


2. Menyediakan Makanan Sahur Yang Berkhasiat

Sahur merupakan sunnah Nabi Muhammad. Sahur juga membezakan antara puasa muslim dengan puasa yahudi. Si kecil yang makan makanan berkhasiat pada waktu sahur akan bertahan lebih lama pada waktu siangnya. Ini akan memudahkan proses belajar puasa. Berbanding anak kecil yang tidak bersahur, mereka lebih mudah lapar.


3. Menyediakan Makanan Kegemarannya Sebagai Juadah Berbuka

Saya masih ingat lagi sewaktu kecil dahulu, abah saya akan membelikan saya tembikai susu sebelum berbuka puasa. Dahulu, saya sangat suka tembikai susu.

Sehingga pada suatu hari, abah terlupa membeli tembikai susu. Maka saya pun menangis-nangis dan mengugut untuk berbuka puasa. Ketika itu ada 30 minit sahaja lagi waktu berbuka, namun saya tetap berkeras mahu berbuka puasa jika tak dapat tembikai susu. Abah terpaksa mengalah, lalu terpaksa juga keluar ke pekan untuk memenuhi kehendak saya.


4. Memuji Dan Bangga Akan Kejayaannya

Anak kecil memang suka pujian. Pujian akan meningkatkan estim dirinya. Walaupun anak kecil kita berjaya puasa sehingga jam 12 tengahari, kita sebagai ibu bapa tetap terus memberikan pujian. Itu bukti sokongan kita pada setiap usahanya.


5. Memberikan Hadiah

Dahulu sewaktu kecil, kami adik beradik pernah mendapat hadiah jam tangan kerana berpuasa penuh. Seronok sangat. Sampai sekarang masih terasa keseronokan itu jika dikenang kembali. Ada ibu bapa menjanjikan wang tunai, hadiah, dan sebagainya. Terpulang kepada cara masing-masing.


Sekian...




 

Rabu, 26 Jun 2013

68. 5 Petua Sebelum Bercakap Di Khalayak

Pengalaman saya sendiri banyak mengajar bagaimana berkomunikasi dengan baik di hadapan khalayak ramai. Ramai peserta-peserta program kami selalu bertanya kaedah terbaik bercakap di hadapan khalayak.

"Che'Mat, saya ni selalu guguplah, ada petua tak nak hilang gugup?"

"Che'Mat, boleh kongsi tak idea-idea nak menjadikan pendengar memberi perhatian pada cakap kita"

"Che'Mat apa persiapan yang perlu kita buat sebelum bercakap di hadapan khalayak?"

Itu antara soalan-soalan yang biasa kami dengar sepanjang mengendalikan kursus-kursus kepimpinan dan nuqaba'.

Maka, di sini, saya ingin kongsikan 5 Disiplin yang perlu kita berikan perhatian sebelum menyampaikan apa-apa idea dan pengisian.



1. Mesti tahu siapakah golongan pendengar

Mengetahui golongan pendengar adalah perkara utama untuk berjaya bercakap di hadapan khalayak. Berlainan kumpulan pendengar, maka lainlah teknik dan isi penyampaian.

Sebab itu Nabi S.A.W menyuruh kita bercakap selaras dengan tahap akal pendengar. Ada beberapa jenis golongan pendengar iaitu :

1- Mengikut julat umur (kanak-kanak, remaja, dewasa, warga emas)
2- Mengikut geografi ( kampung, pinggir bandar, bandar)
3- Mengikut tahap pendidikan ( sekolah rendah, menengah, universiti, dan bekerjaya)
4- Mengikut jantina ( lelaki, perempuan, ibu tunggal, dsb)

Ingat, kejayaan kita mengenali kumpulan pendengar akan membantu kita dalam mengatur isi dan menyusun strategi penyampaian.



2. Apakah objektif pengisian

Semua sedia maklum, tiada matlamat ibarat bermain bola tanpa gol. Boleh juga diibaratkan mendaki gunung tanpa tahu di mana puncaknya. Begitulah dalam menyampaikan ucapan. Ucapan tanpa objektif ibarat meleter, menghamburkan perasaan dan pasti tidak memberi kesan.

Pengucapan yang baik harus ada objektif yang jelas. Pembicara akan menjadi lebih jujur, dan berdisiplin. Bercakap apa yang perlu. Idea menjadi kemas, tepat dan padat. Ucapan menjadi teratur dan tidak meleret. Pentingnya pada pendengar, mereka mampu merakam di dalam minda mereka dengan dengan baik. Isi penting boleh disusun. Mereka mudah mengingati. Merakam lebih banyak isi penting berbanding lawak jenaka sang penceramah.

Objektif pengisian boleh ditentukan melalui TAJUK ucapan. Ertinya, TAJUK sudah menunjukkan objektif ceramah. Pembicara harus sentiasa mengulangi isi penting sebelum berpindah kepada isi penting yang lain.

" Baiklah sebelum kita membicarakan rukun Islam ke-3, kita harus faham bahawa rukun Islam yang pertama adalah mengucap dua kalimah syahadah dan kedua adalah menunaikan solat"

Ini antara contoh ayat mengulang isi penting. Pendengar hanya akan merakam perkataan apakah yang selalu disebut oleh pembicara.



3. Berapa lama masa yang diperuntukkan

Masa yang diperuntukkan akan menentukan berapa panjang isi yang perlu dihurai. Membahagikan masa dengan baik adalah rahsia kejayaan menyampaikan ucapan.

Bahagikan masa kepada 3 bahagian utama. Pertama untuk pendahuluan, kedua untuk isi penting dan ketiga untuk penutup ataupun kesimpulan.



4. Mesti tahu dimanakah tempat dilansungkan program

Tempat program memang pelbagai. Boleh jadi dewan, padang, surau, masjid, balairaya, hotel, auditorium, dan sebagainya. Pengalaman saya pernah bercakap di semua tempat ini mengajar saya sentiasa kreatif dan bersedia.

Contohnya padang. Tempatnya lapang, luas, suara mudah terbang keluar sebelum masuk ke dalam halwa telinga pendengar.

Berbanding dewan, lebih kecil, tertutup, ada penghawa dingin, suara tidak mudah keluar kerana dewan lebih kedap.



5. Apakah alat bantu yang disediakan?

Alat bantu yang disediakan banyak memudahkan sesi pengucapan awam. Contohnya LCD Projektor, Whiteboard, Microphone, dan sebagainya.

Contohnya, saya pernah menyampaikan sebuah ceramah di sebuah sekolah. Program itu dibuat di tapak perhimpunan. Saya meminta pihak sekolah menyediakan LCD Projektor, dan layar skrin. Namun rupa-rupanya alat itu tidak banyak membantu, kerana program tersebut pada siang hari, dan layar lansung tidak mengeluarkan sebarang gambar.

Maka selepas itu, saya hanya meminta mereka menyediakan  whiteboard sahaja. Dan saya pula hanya berceramah menggunakan giant marker.

Ahad, 9 Jun 2013

67. Anak kecil & Akuisme

Pemerhatian saya kepada anak saya berusia 8 bulan. Anak saya seorang yang aktif, kuat bermain, dan paling menarik kuat menangis. Namun situasi ini amat menyeronokkan, kerana saya banyak mempelajari sesuatu. 

Terdapat satu sifat yang menarik untuk dikongsi. Anak saya memiliki sifat yang saya namakan sebagai Akuisme.

Apakah sifat itu?

Ia adalah kecenderungan untuk menyatakan semua barang adalah hak 'aku'. Kita tidak boleh merampasnya sesuka hati, kerana ia akan mengundang kemarahannya secara semula jadi.

Cara mengatasi :

-Meminta dengan lembut. Beritahu siapakah pemilik sebenar barang tersebut.

-Memberi ganti barang yang boleh digunakannya untuk bermain.

-Memujinya jika si manja memberikan kerjasama yang baik

-Tidak memarahinya atas semua tindakan dan sikapnya, kerana anak kecil sedang membesar dengan fitrahnya. Dia masih tiada kuasa memilih tindakan yang betul

Jumaat, 12 April 2013

66. Pengalaman Kecil Berdakwah

Tanggal 3 April 2013 : 

Pengalaman yang menarik hari ini. Ketika mahu membayar duit parking di mesin.
Mesin parking tidak menerima not RM50. Lalu saya pun mundar mandir mencari sesiapa yang sudi memberi duit pecah kepada saya.

Ternampak seorang perempuan dewasa sedang merokok. Lalu saya pun bertanya kepada dia.

"Minta maaf kakak, ada duit pecah tak? Saya nak bayar parking, tapi mesin tidak terima RM50" tanya saya kepadanya.

"Oh.. tak ada lah dik. Adik masuk je dalam pub tu. Terus je sampai ke cashier" jawabnya selamba menyuruh saya masuk ke dalam pub.

Mata saya terus mencari-cari pub yang dimaksudkan. Perkataan 'BEER' bercahaya di signboard depan kedai tersebut. Saya pun apa lagi, memberanikan dirilah. Masuk sahaja ke dalam pub itu, semua mata melihat saya. Perghh.. Hati merasa sedikit cemas. Namun kerana saya tahu niat saya baik, saya hanya mahukan duit pecah sahaja, saya tetap terus 'macho' berjalan macam dah selalu masuk pub. Ha ha.

Orang minum air syaitan depan mata. Pekerja melayu, siap cakap kedah lagi. Pelanggan pun melayu juga.

Walaupun cashier tersebut tidak mempunyai duit pecah, namun saya telah dibantu oleh seorang pelanggan di situ berbangsa Cina.

Lantas saya terus berdoa "Saya doakan kamu semua bahagia, terima kasih"

Saya dapat rasakan reaksi terkejut beberapa orang Melayu di situ. Mungkin kerana saya berdoa dalam Pub itu.

Saya terus berlalu dengan senang hati, sambil terus berdoa supaya mereka diberikan hidayah.

Oleh itu, saya menyeru kepada diri saya,

"Wahai Mohamad janganlah hanya pilih tempat selesa untuk berdakwah. Ruang dakwah sungguh luas. Sungguh ramai orang diluar sana dahagakan hidayah Allah. Teruskan bekerja menyebarkan keindahan Islam. Sehingga kau dipanggil Allah"



Isnin, 14 Januari 2013

65. Aktiviti-Aktiviti Usrah Yang Menarik

Saya berkecimpung dalam dunia usrah sudah hampir 12 tahun. Banyak perkara yang saya perhatikan. Saya memerhati dan membuat kesimpulan.

Hari ini kita boleh berbangga. Usrah adalah satu nama yang sudah sinonim dengan masyarakat Malaysia. Artis pun ikut usrah juga. Usrah Fitrah namanya. Saya juga kalau boleh mahu mengikuti, dan melihat sendiri bagaimana mereka menjalankan usrah.

Baiklah saudara yang dikasihi sekalian, dalam menjalankan aktiviti usrah yang menarik, terdapat satu prinsip penting yang harus dipegang oleh semua naqib. Prinsip ini saya sentiasa kongsi bersama peserta kursus Usrah Profesional yang kami anjurkan. Maklumat kursus boleh dapatkan di sini.

Prinsip Usrah : Usrah Bukan Majlis Ilmu Semata-mata.

Ini yang biasa saya tekankan pada naqib-naqibah. Dalam usrah kita boleh melakukan apa sahaja! Sebab itu usrah bukan majlis ilmu semata-mata, namun harus dipastikan majlis tersebut mesti menambah ilmu ahli usrah. Mengapa? Sebab ilmulah yang mendorong perubahan manusia.

Oleh itu, apakah aktiviti menarik yang boleh dilakukan bersama ahli usrah?

  1. Majlis makan
  2. Sambutan hari lahir
  3. Beriadhah Petang
  4. Bermain futsal
  5. Berkayak
  6. Berbasikal 
  7. Puasa bersama-sama
  8. Memanah
  9. Mendaki gunung
  10. Menonton Wayang
  11. Menunggang Kuda
  12. Melancong
  13. Window Shopping
  14. Barbeque
  15. Berniaga bersama-sama
  16. Menghantar artikel ke majalah Solusi, Gen-Q, Anis, Q & A, dan sebagainya
  17. Membina laman web sendiri
  18. Progam motivasi amal di sekolah-sekolah
  19. Gotong royong masjid
  20. Berzanji
  21. Karaoke
  22. Berenang
  23. Melawat rumah kebajikan, anak yatim
  24. Liga Futsal antara kumpulan usrah
  25. Dan banyak lagi...

Isnin, 7 Januari 2013

64. Bagaimana Mengetahui Bayaran Konsultan 1 Hari




Salam tuan dan puan sekalian. Tajuk hari ini macam menarik sahajakan. Saya rasa ramai yang tertanya-tanya  bagaimana mahu mengetahui bayaran konsultan 1 hari?

Saya serba sedikit cuba membantu tuan dan puan di luar sana. Sejak kebelakangan ini, sungguh banyak konsultan tumbuh macam cendawan baru lepas hujan. Termasuklah saya sendiri. Maklumlah, kami orang baru, konsultan motivasi kami pun baru ditubuhkan pada 2008, iaitu empat tahun yang lalu. Ada orang melihat situasi ini dengan pandangan negatif. Tetapi saya melihat ini dengan pandangan positif. Ini tandanya masyarakat kita sudah semakin dekat dengan ilmu. Mereka mencintai majlis ilmu.

Ok, kembali kepada cerita kita, kami ini walaupun baru, tetapi kami telah mencari pelbagai maklumat bagaimana mahu meletakkan harga kepada pelanggan. Maka tajuk yang saya kongsikan dengan saudara adalah berkenaan kajian harga yang kami dapat buat selama empat tahun kebelakangan ini.

Harga konsultan tiada had

Pada mulanya saya ingin memberitahu, bahawa konsultan motivasi adalah khidmat profesional. Ianya adalah bidang perkhidmatan. Bukan menjual produk, namun menjual kepakaran. Oleh itu perlu difahami bahawa harganya tiada had. Namun terdapat beberapa kriteria yang boleh kita ambil kira sebagai panduan menjemput konsultan ke tempat sendiri.

Kesimpulannya, jika saudara ada kepakaran tertentu, terlibatlah dalam industri ini, kerana ia menawarkan pulangan yang lumayan bagi mereka yang bijak memperdagangkannya.

Harga konsultan boleh dirunding

Perkara kedua yang perlu difahami, bahawa harga konsultan bukan suatu yang mutlak. Ia boleh dirunding. Macam kita pergi pasar malam juga. Jika tak percaya cuba telefon mana-mana konsultan, dan terus minta murah atau diskaun.

Saya sebut di sini kerana terdapat segelintir pelanggan kami yang menolak kami bulat-bulat kerana harga. Perkara itu saya ketahui selepas mendapat khabar daripada sumber yang dipercayai. Saya mahu tekankan disini jangan terlalu risau, boleh jadi saudara akan mendapat PERCUMA.

Contohnya saya pernah memberikan khidmat percuma kepada satu pelanggan kerana keikhlasannya menjemput dan meraikan kepakaran kami.

Harga konsultan PSMB

Jika pakar atau jurulatih yang tuan puan ingin jemput itu telah mendapat pengiktirafan Pembangunan Sumber Manusia Berhad, atau Human Resource Developement Fund maka biasanya kadarnya adalah RM3500 sehari. Sehari itu dalam erti kata waktu pejabat iaitu 9 pagi hingga 5 petang.

Maka cuba pertimbangkan hal ini semasa menjemput seseorang. Adakah konsultan itu memiliki pengiktirafan tersebut?

Namun harus difahami, ianya hanya terpakai untuk syarikat yang berdaftar dengan PSMB sahaja.

Jika tuan/puan daripada sekolah, atau universiti, cubalah berunding harga kebajikan! Mesti dapat. Yakin sahaja. Mereka bukan tamakkan duit sekolah dan universiti pun. Mereka jika nak buat duit, mereka akan pergi ke badan-badan korporat yang banyak duit.

Saya sendiri pun mengamalkan  konsep sedemikian. Sekolah, universiti, jabatan kerajaan, dan swasta, kami menawarkan harga yang berlainan.

Harga Selebriti

Jika saudara terlihat seseorang individu di dalam televisyen, dan saudara mahu menjemputnya. Bagaimana pula harganya?

Pengalaman saya biasanya mereka ini kita membayar sekitar RM1500 sejam. Sejam ya!

Namun saudara jangan khuatir, saudara membayar pada kesan dan kualitinya. Jika tak, takkanlah dia masuk tv kan?

Contohnya, ada sebuah sekolah beritahu kepada saya, mereka pernah menjemput seorang selebriti dakwah. Namun mereka mengatakan tidak sia-sia berbelanja besar (RM 6000 untuk 3 jam), kerana berpuas hati.Sumber duit boleh dicari.

Harga Konsultan Belum Terkenal

Ada juga konsultan yang baru, macam saya. Belum terkenal pun. Berapa harganya? Ini kena tanya merekalah. Ada yang meletakkan RM 15 sehari untuk seorang. Ada RM 20 sehari untuk seorang. Ada juga yang meletakkan RM 30 sehari untuk seorang.

Saya bagaimana pula. Biasanya kami meletakkan harga untuk sekolah RM1500 sehari. Ini cas minimum yang rakan kongsi kami telah tetapkan. Jika universiti pula RM 2000 sehari. Jika jabatan kerajaan pula RM 2500 sehari. Jika badan korporat pula, kami meletakkan harga standard PSMB, kerana saya jurulatih bertauliah PSMB iaitu RM3500 sehari.

Walauapapun tahniah, kerana saudara berminat mengetahuinya.

Syarikat kami boleh dilayari Akademi Latihan Al-Fateh.

Nasihat saya, bertanyalah terus kepada mereka. Usah membuat sebarang spekulasi mereka ini mahal dan sebagainya. Saya yakin mereka yang mahal itu mempunyai pelbagai sebab untuk meletakkan harga sedemikian. Dan satu lagi, berbanggalah berbelanja untuk ilmu. Itu sahaja, terima kasih.

Sekian.








Khamis, 3 Januari 2013

63. Teknik Mengenal Minat

Adam Khoo, seorang jutawan muda dari Singapura menyebutkan terdapat 9 Tabiat Jutawan yang diamalkan oleh 700 lebih jutawan.

Ok, baiklah saudara yang dikasihi sekalian, pada kali saya hanya mahu berkongsi tentang satu sahaja tabiat daripada 9 tabiat tersebut. Saya menyebut hal ini bukanlah bermakna saya ini seorang jutawan. Cumanya saya ini suka nak jadi jutawan satu hari nanti. Siapa yang tak nak kan?

Maka, apakah tabiat itu?

MELAKUKAN SESUATU YANG DIMINATI!

Bill Gates merupakan seorang yang sungguh meminati bidang komputer. Sehingga kini, walaupun beliau telah menjadi jutawan, beliau masih bekerja 18 jam sehari.

Persoalannya bagaimana mahu mengenal minat kita?

Pada suatu hari saya berpeluang berjumpa dengan seorang tokoh perniagaan. Perempuan. Jutawan. Sudah tua. Sangat popular dalam facebook! Haha. Siapakah itu?

Beliau bernama Pn.Ainon Mohd. Merupakan orang nombor satu dalam syarikat penerbitan yang sungguh popular iaitu PTS Sdn. Bhd.

"Puan, bagaimana saya mahu mengenal minat saya?" tanya saya kepada beliau.

"Kamu periksa semula perpustakaan dalam rumah kamu, kenali apakah buku yang paling banyak dibaca? Jika tak jumpa juga, apakah ilmu yang kamu ada, mengatasi orang lain yang seusia atau lebih tua daripada kamu?" jawab beliau.

"Bagaimana saya nak tahu pengetahuan saya lebih sedikit berbanding orang lain?"

"Kamu lihat pada perkataan yang kamu gunakan. Orang yang lebih tahu dalam sesuatu bidang ilmu, biasanya perkataan yang digunakan lebih 'advane' berbanding orang lain. Itu tandanya dia mempunyai lebih pengetahuan" tambah beliau lagi.

Oleh itu, apakah langkah mudah yang boleh diambil untuk mengenal minat?

1. Periksa semula perpustakaan peribadi, dan senaraikan buku apa yang paling minat dan banyak dibaca.
2. Ingat semula perbualan kita, apakah perbuatan yang selalu kita gunakan, dan adakah perkataan itu lebih 'advance' berbanding orang lain.
3. Jika masih belum jumpa juga, kawan saya mencadangkan supaya pergi melawat kedai buku dan lihat semua buku. Apakah section yang kita sukai?

Ok, itu sahaja terima kasih!