Rabu, 26 Jun 2013

68. 5 Petua Sebelum Bercakap Di Khalayak

Pengalaman saya sendiri banyak mengajar bagaimana berkomunikasi dengan baik di hadapan khalayak ramai. Ramai peserta-peserta program kami selalu bertanya kaedah terbaik bercakap di hadapan khalayak.

"Che'Mat, saya ni selalu guguplah, ada petua tak nak hilang gugup?"

"Che'Mat, boleh kongsi tak idea-idea nak menjadikan pendengar memberi perhatian pada cakap kita"

"Che'Mat apa persiapan yang perlu kita buat sebelum bercakap di hadapan khalayak?"

Itu antara soalan-soalan yang biasa kami dengar sepanjang mengendalikan kursus-kursus kepimpinan dan nuqaba'.

Maka, di sini, saya ingin kongsikan 5 Disiplin yang perlu kita berikan perhatian sebelum menyampaikan apa-apa idea dan pengisian.



1. Mesti tahu siapakah golongan pendengar

Mengetahui golongan pendengar adalah perkara utama untuk berjaya bercakap di hadapan khalayak. Berlainan kumpulan pendengar, maka lainlah teknik dan isi penyampaian.

Sebab itu Nabi S.A.W menyuruh kita bercakap selaras dengan tahap akal pendengar. Ada beberapa jenis golongan pendengar iaitu :

1- Mengikut julat umur (kanak-kanak, remaja, dewasa, warga emas)
2- Mengikut geografi ( kampung, pinggir bandar, bandar)
3- Mengikut tahap pendidikan ( sekolah rendah, menengah, universiti, dan bekerjaya)
4- Mengikut jantina ( lelaki, perempuan, ibu tunggal, dsb)

Ingat, kejayaan kita mengenali kumpulan pendengar akan membantu kita dalam mengatur isi dan menyusun strategi penyampaian.



2. Apakah objektif pengisian

Semua sedia maklum, tiada matlamat ibarat bermain bola tanpa gol. Boleh juga diibaratkan mendaki gunung tanpa tahu di mana puncaknya. Begitulah dalam menyampaikan ucapan. Ucapan tanpa objektif ibarat meleter, menghamburkan perasaan dan pasti tidak memberi kesan.

Pengucapan yang baik harus ada objektif yang jelas. Pembicara akan menjadi lebih jujur, dan berdisiplin. Bercakap apa yang perlu. Idea menjadi kemas, tepat dan padat. Ucapan menjadi teratur dan tidak meleret. Pentingnya pada pendengar, mereka mampu merakam di dalam minda mereka dengan dengan baik. Isi penting boleh disusun. Mereka mudah mengingati. Merakam lebih banyak isi penting berbanding lawak jenaka sang penceramah.

Objektif pengisian boleh ditentukan melalui TAJUK ucapan. Ertinya, TAJUK sudah menunjukkan objektif ceramah. Pembicara harus sentiasa mengulangi isi penting sebelum berpindah kepada isi penting yang lain.

" Baiklah sebelum kita membicarakan rukun Islam ke-3, kita harus faham bahawa rukun Islam yang pertama adalah mengucap dua kalimah syahadah dan kedua adalah menunaikan solat"

Ini antara contoh ayat mengulang isi penting. Pendengar hanya akan merakam perkataan apakah yang selalu disebut oleh pembicara.



3. Berapa lama masa yang diperuntukkan

Masa yang diperuntukkan akan menentukan berapa panjang isi yang perlu dihurai. Membahagikan masa dengan baik adalah rahsia kejayaan menyampaikan ucapan.

Bahagikan masa kepada 3 bahagian utama. Pertama untuk pendahuluan, kedua untuk isi penting dan ketiga untuk penutup ataupun kesimpulan.



4. Mesti tahu dimanakah tempat dilansungkan program

Tempat program memang pelbagai. Boleh jadi dewan, padang, surau, masjid, balairaya, hotel, auditorium, dan sebagainya. Pengalaman saya pernah bercakap di semua tempat ini mengajar saya sentiasa kreatif dan bersedia.

Contohnya padang. Tempatnya lapang, luas, suara mudah terbang keluar sebelum masuk ke dalam halwa telinga pendengar.

Berbanding dewan, lebih kecil, tertutup, ada penghawa dingin, suara tidak mudah keluar kerana dewan lebih kedap.



5. Apakah alat bantu yang disediakan?

Alat bantu yang disediakan banyak memudahkan sesi pengucapan awam. Contohnya LCD Projektor, Whiteboard, Microphone, dan sebagainya.

Contohnya, saya pernah menyampaikan sebuah ceramah di sebuah sekolah. Program itu dibuat di tapak perhimpunan. Saya meminta pihak sekolah menyediakan LCD Projektor, dan layar skrin. Namun rupa-rupanya alat itu tidak banyak membantu, kerana program tersebut pada siang hari, dan layar lansung tidak mengeluarkan sebarang gambar.

Maka selepas itu, saya hanya meminta mereka menyediakan  whiteboard sahaja. Dan saya pula hanya berceramah menggunakan giant marker.

Ahad, 9 Jun 2013

67. Anak kecil & Akuisme

Pemerhatian saya kepada anak saya berusia 8 bulan. Anak saya seorang yang aktif, kuat bermain, dan paling menarik kuat menangis. Namun situasi ini amat menyeronokkan, kerana saya banyak mempelajari sesuatu. 

Terdapat satu sifat yang menarik untuk dikongsi. Anak saya memiliki sifat yang saya namakan sebagai Akuisme.

Apakah sifat itu?

Ia adalah kecenderungan untuk menyatakan semua barang adalah hak 'aku'. Kita tidak boleh merampasnya sesuka hati, kerana ia akan mengundang kemarahannya secara semula jadi.

Cara mengatasi :

-Meminta dengan lembut. Beritahu siapakah pemilik sebenar barang tersebut.

-Memberi ganti barang yang boleh digunakannya untuk bermain.

-Memujinya jika si manja memberikan kerjasama yang baik

-Tidak memarahinya atas semua tindakan dan sikapnya, kerana anak kecil sedang membesar dengan fitrahnya. Dia masih tiada kuasa memilih tindakan yang betul