Isnin, 29 Julai 2013

73. Lailatul Qadar, Tanda Dan Kelebihannya



Alhamdulillah..kita sudah sampai ke 10 malam terakhir Ramadhan tahun ini.  Sudah pasti 10 malam terakhir ini menjadi buruan untuk hamba Allah yang soleh.

Biasanya sewaktu saya kecil-kecil dahulu, 10 malam terakhir ini digunakan untuk menghitung bilakah hari raya sambil bermain mercun dan meriam kebait. Pernah baju raya saya terkoyak kerana bermain mercun.

Biasalahkan..masa budak-budak dulu main mercun memang seronok. Bakar sumbu, kemudian baling kepada kawan.

Tapi itu dulu punya cerita. Jadi sekarang kita cerita perkara sekarang. Alhamdulillah tahun 2013 ini saya ada diamanahkan untuk menyampaikan pengisian berkenaan 10 malam terakhir, dan lailatul qadar.


10 Malam Terakhir, Lailatul Qadar, dan Nuzul Al-Quran


Tiga perkara ini tidak boleh dipisahkan. Apabila menceritakan 10 malam terakhir, pasti ianya ada kaitan dengan lailatul qadar. Apabila menceritakan lailatul qadar, pasti ianya adakaitan dengan nuzul Al-Quran. Jika sebelum ini saya ada berkongsi tentang Nuzul Al-Quran, maka kesempatan kali ini saya ingin berkongsi berkaitan lailatul qadar.

Mudah-mudahan ia dapat membantu saudara untuk mendapatkan sedikit input. Boleh juga digunakan sebagai modal untuk menyampaikan kuliah atau untuk kegunaan para naqib menyampaikan pengisian di dalam usrahnya.


Apa itu Lailatul Qadar?


Lailatul Qadar bermaksud malam Al-Qadar. Malam yang sungguh berkat yang dikurniakan Allah kepada ummat Muhammad S.A.W. Malam ini hanya diturunkan dalam bulan Ramadhan sahaja, iaitu sekali setahun.


Bilakah berlakunya Lailatul Qadar?


Secara spesifiknya tiada siapa pun mampu meramalkan bilakah tarikh jatuhnya lailatul qadar. Itulah rahsia Allah yang tersimpan sampai bila-bila. Hikmahnya adalah untuk mencari siapakah hambaNya yang benar-benar tekun beribadah.

Namun berdasarkan hadis Nabi SAW kita dapat menjangkakan bahawa lailatul qadar diturunkan pada 10 Ramadhan yang terakhir.

Dari Aisyah R.A katanya :

"Biasanya Rasulullah SAW berusaha bersungguh-sungguh memperbanyakkan amal pada sepuluh malam terakhir (dalam bulan Ramadhan) tidak seperti malam-malam yang lain"

Riwayat Muslim.


Dalam hadis yang kedua, yang diriwayatkan oleh Aisyah R.A juga. Bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda :

"Bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui lailatul qadar, pada malam-malam yang ganjil pada sepuluh malam yang terakhir dalam bulan Ramadhan"

Riwayat Al-Bukhari.


Apakah tanda-tanda berlakunya malam Lailatul Qadar?

Malam lailatul qadar berlaku, berdasarkan pengalaman orang-orang soleh, boleh berlaku dengan tanda-tanda berikut :

1. Melihat cahaya yang terang benderang hingga ke seluruh pelusuk bumi

2. Mendengar ucapan salam dari Malaikat

3. Melihat segala benda semuanya sujud

3. Ada juga mengatakan apabila doa permohonannya dimakbulkan.

Menurut Imam Annawawi malam lailatul qadar dapat disaksikan oleh orang-orang yang dikehendaki Allah. Bermakna tidak semua orang berpeluang menyaksikan keajaiban lailatul qadar.

Imam Attobari pula memilih pandangan yang menegaskan bahawa : Tidak semestinya menyaksikan atau mendengar tanda-tanda tertentu untuk menentukan malam lailatul qadar. Ianya bukan syarat utama.

Apa yang penting adalah terus berusaha, meningkatkan amal, dan sentiasa berdoa dikurniakan malam al-qadar.


Apakah kelebihan lailatul qadar?

1. Lailatul Qadar adalah malam diturunkan Al-quran

Ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah Al-Qadar ayat 1.

"Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran pada lailatul qadar"


2. Malamnya lebih baik daripada 1000 bulan

Ganjaran melaksanakan ibadah di malam Al-qadar dilipat gandakan menyamai melakukannya 1000 bulan, atau bersamaan 83 tahun. Ini bertepatan seperti yang disebutkan Allah SWT di dalam surah Al-Qadar ayat 3.

"Lailatul Qadar lebih baik dari seribu bulan"


3. Malaikat dan jibril turun

Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Al-Qadar ayat 4.

"Pada malam itu, malaikat dan Jibril turun dengan izin tuhan mereka membawa segala perkara yang ditaqdirkan berlaku pada tahun berikutnya"


4. Kesejahteraan sehingga ke pagi

Dalam surah Al-Qadar ayat 5, Allah menjelaskan kebaikan malam Al-Qadar berterusan sehingga ke pagi. Justeru pada malam tersebut sangat-sangat dimakbulkan sepanjang malam.

"Sejahteralah malam itu hingga terbit fajar" Al-Qadar ayat 5.


5. Diampunkan dosa oleh Allah

Dalam satu hadis Nabi SAW ada menyatakan, mereka yang menghidupkan malam Al-qadar akan diampun dosa oleh Allah SWT.

Dari Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW bersabda :

"...Barangsiapa membangunkan (melaksanakan pelbagai jenis ibadah) lailatul qadar, dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada Allah, nescaya ia akan diampunkan dosanya yang telah lalu"



Kesimpulan 


Kesimpulannya, malam Al-Qadar malam yang sungguh berkat. Sebab itu Allah menyebutnya di dalam Al-Quran, surah Ad-Dukhan, ayat 3.

" Sesungguhnya kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yanb berkat.."

Tarikh jatuhnya malam Al-Qadar adalah menjadi rahsia Allah. Walaupun pada zaman Nabi SAW pernah berlaku pada malam 21, 23 dan 27. Ini berdasarkan hadis yang sohih. Namun terus mencarinya tanpa mengira malam apa adalah lebih utama.

Melaksanakan amalan pada 10 malam terakhir adalah sangat-sangat dituntut, tanpa perlu menunggu, melihat, atau mendengar tanda.


Selamat menyambut 10 malam terakhir.

Selasa, 23 Julai 2013

72. Peristiwa Nuzul Al-quran Dan Kelebihan Al-quran



Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT kerana masih memberi peluang untuk kita terus bernafas. Terima kasih kepada saudara dan saudari kerana sudi mengunjungi blog tulisan saya ini.


Tahun 2013 ini, banyak juga amanah yang saya terima untuk berkongsi berkenaan peristiwa Nuzul Al-Quran. Jika tahun sebelum-sebelum ini saya cuma membaca kitab, danberkongsi dengan pendengar secara lansung sahaja, iaitu melalui ceramah sahaja, jadi tahun ini saya cuba mencari ruang untuk berkongsi sesuatu di dalam blog ini. Mudah-mudahan ada manfaat terutama buat diri saya ini, termasuk para pembaca sekalian.


Apa itu Nuzul Al-Quran?

Apabila menyebut sahaja Nuzul Al-Quran, terdetik dalam benak fikiran saya, apakah itu Nuzul Al-Quran? Apakah maksudnya?


Nuzul ertinya adalah turun. Manakala Al-Quran pula merupakan kitab Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad. Justeru, Nuzul Al-quran adalah satu peristiwa yang berkaitan penurunan Al-Quran daripada Allab kepada Nabi Muhammad.


Turun membawa erti datangnya sesuatu daripada atas ke bawah. Maka perkataan Nuzul itu sahaja sudah melambangkan ketinggian Kalamullah yakni Al-Quran.


Bilakah terjadi peristiwa tersebut?

Terdapat pelbagai pandangan ulama' berkenaan bilakah peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku. Mari kita dekati pandangan ini satu persatu.

Pandangan pertama : Ada ulama' yang mengatakan Al-Quran diturunkan pada malam 24 Ramadhan. Mereka bersandarkan kepada sebuah hadis riwayat Imam Ahmad

"...Allah turunkan Al-Quran pada 24 Ramadhan..."


Pandangan kedua : Ada juga ulama' yang mengatakan Al-Quran diturunkan pada 21 Ramadhan. Antaranya yang berpegang sedemikian adalah As-Sheikh Safiyy Ar-Rahman Al-Mubarakfuri di dalam kitabnya Rahiq Al-Makhtum.


Pandangan ketiga : Ini merupakan pandangan yang popular di kalangan masyarakat kita iaitu 17 Ramadhan. Walaupun ini adalah pandangan yang masyhur dikalangan kita, namunianya mendapat kritikan para ulama'.

Berdasarkan firman Allah SWT di dalam Surah Al-Qadar, ayat 1.

"Sesungguhnya kami telah turunkannya pada malam Al-Qadar"

Sedangkan jika diperhatikan kebanyakan hadis Nabi, malam Al-Qadar berlaku pada 10 malam terakhir.


Walaubagaimanapun, para ulama' sepakat bahawa Al-Quran telah diturunkan pada bulan Ramadhan. Cuma tarikhnya sahaja yang berbeza. Namun tarikh itu bukanlah pokok perbincangan, kerana membaca, memahami, menghayati, dan mempraktikkannya adalah lebih utama.


Oleh itu, di dalam perkongsian saya kepada para pendengar topik ini hanya disebut sebagai pengetahuan sahaja.


Bagaimakah Al-Quran diturunkan?


Al-quran diturunkan dengan dua peringkat. Pertama dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah secara sekali gus.


Keduanya Al-Quran diturunkan secara berperingkat-peringkat dari Baitul Izzah kepada Nabi Muhammad selama 23 tahun. Ia diturunkan bersesuaian mengikut peristiwa-peristiwa tertentu. Antara hikmahnya diturunkan berperingkat-peringkat adalah untuk mengelakkan kejutan budaya, memudahkan orang memahami Islam, dan memudahkan para sahabat menghafaz ayat Al-quran.


Apakah kelebihan membaca Al-Quran?


1. Mendapat syafaat di akhirat

Sabda Rasulullah SAW " Bacalah Al-Quran, kerana sesungguhnya pada hari kiamat Al-quran datang memberi syafaat kepada yang membacanya"

Riwayat Muslim


2. Ditinggikan darjat oleh Allah


Hadis Nabi SAW "Sesungguhnya Allah akan mengangkat darjat sesuatu kaum dengan Al-Kitab (Al-Quran), dan merendahkan kaum yang lain dengannya (Al-Quran)

Riwayat Bukhari dan Muslim


3. Mendapat kedudukan sebaik-baik manusia


Hadis Nabi SAW ada menyebut "Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar, dan mengajarkan Al-quran"

Riwayat Muslim


4. Bersama para Malaikat


Dari Aisyah RA berkata, bahawa Rasulullah bersabda "Orang yang membaca Al-Quran, dandia mahir maka nanti akan bersama-sama para malaikat yang mulia dan taat. Sedang orang yang membaca Al-Quran dan ia merasa susah di dalam membacanya tetapi ia selalu berusaha maka ia mendapat dua pahala"

Riwayat Bukhari dan Muslim


5. Diizinkan Iri Hati Kepada Pembacanya


"Tidak ada iri hati yang dibenarkan kecuali dalam dua perkara. Iaitu orang yang diberi kemampuan Al-Quran, kemudian dia membacanya dan mengamalkannya baik malam mahupun siang. Dan seorang yang dikurniakan harta oleh Allah, kemudian menafkahkannya baik malam mahupun siang"


Riwayat Bukhari dan Muslim


6. Dikurniakan pahala berlipat kali ganda

Dalam satu hadis, dari Ibnu Mas'ud berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda "Barangsiapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah, maka ia mendapat satu kebaikan. Setiap kebaikan itu nilainya bersamaan sepuluh kebaikan. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf, dan mim satu huruf"

Hadis Hasan Sahih. Riwayat At-Tarmizi


7. Diberikan ketenangan dan rahmat


"Dan tidak berkumpul sesuatu kaum di mana-mana rumah Allah untuk membaca dan mempelajari Al-Quran, melainkan diturunkan ketenangan, diliputi rahmat, dikerumuni malaikat, dan disebut-sebut Allah di depan malaikat yang berada di sisinya"

Riwayat Muslim


Penutup dan Kesimpulan


Bulan Ramadhan adalah bulan diturunkan Al-Quran. Itulah kesepakatan ulama' bersandarkan kepada firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah ayat 185.


"Bulan Ramadhan diturunkan di dalamnya Al-Quran,menjadi petunjuk kepada manusia..."

 Maka membaca Al-Quran di dalam bulan Ramadhan merupakan amalan yang sangat dituntut di dalam Islam.

Setiap malam di dalam bulan Ramadhan, Jibril akan turun ke bumi untuk bertadarus Al-Quran bersama Nabi Muhammad SAW.

Mudah-mudahan sedikit perkongsian ini memberi sedikit suntikan motivasi untuk kita meningkatkan amal di bulan Ramadhan ini.


Wassalam.


Nota : Perbincangan tarikh Nuzul Al-Quran dipetik melalui tulisan Dr.Maza melalui blognya Minda Tajdid.

Manakala Hadis kelebihan  membaca Al-Quran dipetik melalui kitab Riadusolihin susunan Imam Annawawi.






Khamis, 18 Julai 2013

71. Lapan Amalan Sunat Di Bulan Ramadhan

Assalamualaikum para pembaca sekalian. Sempena bulan ramadhan kali ini saya ada diamanahkan untuk menyampaikan tazkirah Ramadhan. Maka kesempatan ini saya gunakan untuk membaca beberapa kitab hadis.


Berdasarkan pembacaan tersebut, saya menyenaraikan lapan amalan sunat, yang boleh diamalkan oleh kita bersama. Ianya bukanlah semata-mata lapan, bahkan lebih banyak lagi. Cuma mungkin setakat ini sahaja yang mampu saya kumpulkan. Jika saudara ada tambahannya, ia sungguh dialu-alukan.


Pada kali ini saya tidak meletakkan sumber hadisnya, kerana ini cuma nota ringkas saya untuk persiapan menyampaikan tazkirah. Walaubagaimanapun, Insyallah semua amalan ini merupakan amalan nabi, dan bersumberkan kepada hadis-hadis yang sohih.


Apakah lapan amalan tersebut?


1. Melambatkan sahur

2. Menyegerakan Berbuka

3. Berbuka dengan tamar atau air kosong

4. Bersedeqah

5. Tadarus Al-quran

6. Solat Terawih

7. Iktikaf di masjid

8. Menghidupkan 10 akhir Ramadhan terutama malam ganjil




Isnin, 15 Julai 2013

70. Tujuh Kelebihan Bulan Ramadhan



Selamat berpuasa, dan menjalani ibadah dalam bulan Ramadhan ini. Insyallah hari ini saya akan berkongsi Tujuh Kelebihan Bulan Ramadhan seperti yang telah diterangkan oleh Al-Quran dan hadis Nabi Muhammad S.A.W.


1. Terbuka pintu-pintu syurga

Dari Abu Hurairah bahawasanya Rasulullah S.A.W pernah bersabda 

"Apabila datang Ramadhan, terbukalah pintu-pintu syurga" 

Hadis sohih riwayat Al-Bukhari.


2. Terbuka pintu-pintu rahmat

3. Tertutupnya pintu-pintu neraka

4. Syaitan-syaitan dibelenggu

Dari Abu Hurairah katanya, Rasulullah S.A.W pernah bersabda 

" Apabila datangnya Ramadhan, terbukalah pintu-pintu rahmat, dan tertutuplah pintu-pintu neraka, serta terbelenggulah syaitan-syaitan"

Hadis sahih riwayat Muslim.


5. Diampunkan dosa-dosa yang telah lalu

Hadis Nabi S.A.W ada menyatakan

"Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, dengan penuh keimanan, dan pengharapan, akan diampunkan Allah S.W.T dosa-dosanya yang telah lalu.

Imam Nawawi menyebut, dosa yang akan diampunkan Allah adalah dosa-dosa kecil yang pernah kita lakukan dahulu. Manakala dosa besar tetap tidak akan terampun selagi tidak melalukan taubat nasuha.

Jika tiada dosa kecil, maka puasanya itu akan meringankan bebanan dosa besarnya.

Jika tiada dosa besar, maka puasanya itu akan meninggikan darjatnya pada akhirat kelak.


6. Bulan Ramadhan diturunkan Al-Quran

Ianya seperti yang diterangkan Allah S.W.T di dalam Al-Quran, dalam Surah Al-Baqarah ayat 185

"Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran"


7. Terdapatnya Lailatulqadar

Pada malam yang istimewa ini, manusia yang melaksanakan ibadah akan diberikan ganjaran oleh Allah S.W.T dengan ganjaran yang sungguh banyak. Bahkan kebaikan malam tersebut mengatasi 1000 bulan ataupun bersamaan 83 tahun.

Kita diseru untuk meningkatkan amalan pada 10 akhir ramadhan, kerana boleh jadi lailatulqadar jatuh pada salah satu malam-malam tersebut. 

Ianya seperti yang disebut oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran di dalam Al-Qadar ayat 1-4.


Penutup

Mudah-mudahan sedikit perkongsian ini akan meningkatkan motivasi kita untuk beramal pada bulan Ramadhan. Insyallah.




Khamis, 4 Julai 2013

69. Lima Petua Mengajar Anak Kecil Berpuasa

Hari ini saya berminat untuk berkongsi petua sempena nak masuk Ramadhan. Petua ini bukanlah petua saya, cuma ini hasil pembacaan, dan pemerhatian saya. Tambahan pula baru-baru ini saya sempat menonton rancangan Wanita Hari Ini TV3 ada membincangkan tajuk ini.

Berikut saya senaraikan lima petua. Mudah-mudahan petua ini boleh saya gunakan apabila anak saya sudah mula mencapai usia yang sepatutnya. Semoga bermanfaat untuk pembaca juga :


1. Mengajarnya Puasa Sedikit Demi Sedikit.

Mungkin bermula dengan berpuasa sehingga pukul 10 pagi sahaja. Esoknya meningkat pula ke jam 12 tengahari. Sehinggalah ke waktu maghrib. Tidak kisah berapa hari yang diperlukan untuk si kecil mencapai tahap puasa sempurna satu hari, yang penting bermula dari bawah.


2. Menyediakan Makanan Sahur Yang Berkhasiat

Sahur merupakan sunnah Nabi Muhammad. Sahur juga membezakan antara puasa muslim dengan puasa yahudi. Si kecil yang makan makanan berkhasiat pada waktu sahur akan bertahan lebih lama pada waktu siangnya. Ini akan memudahkan proses belajar puasa. Berbanding anak kecil yang tidak bersahur, mereka lebih mudah lapar.


3. Menyediakan Makanan Kegemarannya Sebagai Juadah Berbuka

Saya masih ingat lagi sewaktu kecil dahulu, abah saya akan membelikan saya tembikai susu sebelum berbuka puasa. Dahulu, saya sangat suka tembikai susu.

Sehingga pada suatu hari, abah terlupa membeli tembikai susu. Maka saya pun menangis-nangis dan mengugut untuk berbuka puasa. Ketika itu ada 30 minit sahaja lagi waktu berbuka, namun saya tetap berkeras mahu berbuka puasa jika tak dapat tembikai susu. Abah terpaksa mengalah, lalu terpaksa juga keluar ke pekan untuk memenuhi kehendak saya.


4. Memuji Dan Bangga Akan Kejayaannya

Anak kecil memang suka pujian. Pujian akan meningkatkan estim dirinya. Walaupun anak kecil kita berjaya puasa sehingga jam 12 tengahari, kita sebagai ibu bapa tetap terus memberikan pujian. Itu bukti sokongan kita pada setiap usahanya.


5. Memberikan Hadiah

Dahulu sewaktu kecil, kami adik beradik pernah mendapat hadiah jam tangan kerana berpuasa penuh. Seronok sangat. Sampai sekarang masih terasa keseronokan itu jika dikenang kembali. Ada ibu bapa menjanjikan wang tunai, hadiah, dan sebagainya. Terpulang kepada cara masing-masing.


Sekian...