Rabu, 18 Mei 2011

55- Oh Guru...

Guru...
Selamat Hari Guru,
Kepada semua guru di Malaysia,
Guru, engkaulah yang mendidikku
Mengajarkan aku A, B, C,
Mengajarkan ku cara menyebut Alif, Ba, Ta,

Ketika daku sekolah rendah,
Pesananmu, Teguranmu, Ingatanmu...
Masih tersemat di dadaku

Setiap pagi kau kata,
Gosoklah baju setiap pagi,
Bila tak jumpa tong sampah, buangkan sampah dalam poket dulu,
Kasut mesti dikapurkan,
Tali kasut mesti diikat,
Duduk diam di dalam kelas,
Buku tulis jangan diconteng,
Penselbox besi jangan dijatuhkan ke lantai,
Keluar tandas tarik flash,
Baju mesti masuk dalam,
Pakai kasut jangan lupa pakai stoking,
Jangan gaduh dalam kelas,
Belajar rajin-rajin, kau besar nanti nak jadi apa?
Baca buku mesti ada intonasi,

Ketika daku sekolah menengah,
Pesananmu, Teguranmu, Ingatanmu...
Masih tersemat di dadaku

Setiap masa kau kata,
Pakai tai kenapa pendek?
Tak boleh bercinta semasa belajar,
Dah habis SPM kau nak sambung belajar mana?
Dalam kelas jangan tidur,
Pergi sekolah pakai tali pinggang,
Baju sekolah mesti ada lencana,
Jadi abang kena tunjuk contoh tauladan pada adik-adik,

Paling menarik,
Kau ajarkan ku erti usrah,
Di situlah aku mula menghafal Al-Quran,
Menyanyikan lagu nasyid perjuangan,
Mengerti tujuan hidup,

Oh guru,
Walaupun lama sudah tidak ku temu,
Namun nasihat dan ajaranmu,
Tetap terpahat keras di kalbu,
Terngiang-ngiang ibarat disebut bertalu-talu,
Ibarat semalam baru ketemu,
Duluku memberontak kerana merasa jemu,
Kerana nasihatmu sama macam dulu-dulu,
Tapi kini baru ku sedar semua itu,
Nasihatmu,
Mahu melihat diriku maju,
Kerna kau sentiasa ikhlas membantu,

Selamat Hari Guru!

Rabu, 4 Mei 2011

54-Apa itu Usrah Profesional?



Bayangkan anda sedang mengikuti rombongan ke satu tempat pelancongan terkemuka di Malaysia iaitu Pulau Langkawi. Ahli rombongan adalah seramai 200 orang dan terdiri dari pelbagai kaum. Bukan sahaja pelbagai kaum, bahkan pelbagai ragam. Lebih menarik lagi anda telah dilantik menjadi ketua rombongan. Sungguh memeningkan bukan!

Baiklah, cuba anda pilih satu mekanisme terbaik untuk anda mengurus rombongan tersebut.

1-Mungkin anda meletakkan sepenuh kepercayaan kepada mereka supaya menguruskan keselamatan diri sendiri sepanjang perjalanan.
2-Atau mungkin anda melantik seorang timbalan untuk menjadi pembantu anda.
3- Anda menjaga mereka semua dengan kemampuan anda sendiri.
4-Anda membahagikan mereka kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan akan diwakili oleh seorang ketua. Maka ketua akan bertanggungjawab terhadap keselamatan dan perkembangan ahli kumpulan masing-masing.

Berdasarkan empat idea di atas apakah agaknya pilihan anda?

Oh, saya yakin anda semua pasti akan memilih idea yang keempat. Sebabnya teknik ini cepat, mudah, praktikal, lagi berkesan. Anda tidak perlu bertungkus lumus mengikuti perkembangan semua ahli rombongan tetapi anda hanya perlu berhubung dengan ketua kumpulan sahaja.

Ya! Itulah dia Usrah!

Ada ketua, ada ahli kumpulan, dan ada sistem.

Sebenarnya, konsep usrah telah lama dipraktikkan oleh kita. Hanya perkara ini dilaksanakan tanpa kita sedari dan hanya untuk menyelesaikan perkara-perkara tertentu sahaja.

Contohnya diamalkan di sekolah untuk acara sukan. Pelajar-pelajar dibahagikan kepada beberapa rumah sukan dan mereka bersaing sesama rumah sukan untuk merebut gelaran juara. Begitu juga di univerisiti dan tempat kerja sama ada sektor awam ataupun swasta.

Paling ketara apabila program-program motivasi dijalankan pasti peserta akan dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil dan dikendalikan oleh fasilitator berpengalaman.

Semuanya untuk mudah, cepat dan berkesan. Bayangkan jika pertandingan sukan sekolah dilaksanakan secara terbuka. Oh, pening!

Baiklah, dengan konsep Usrah yang begitu mudah ini, mari kita praktikkan dalam kehidupan kita yang sebenar, bukan hanya dalam acara sukan, program motivasi dan seumpamanya sahaja, bagaimanakah pendapat anda?

Bukankah sekolah akan lebih mudah dikawal?
Dan bukankah universiti dan tempat kerja akan lebih tersusun dan terkawal?
Bukan itu sahaja, bukankah masyarakat kita akan lebih mudah terkawal?
Paling penting bukankah teknik usrah ini mampu membendung gejala masyarakat hari ini?

Kami optimis.
Usrah mampu membendung gejala sosial hari ini. Ia mampu menangani gejala ummat jika dilaksanakan bersungguh-sungguh. Ketua yang memimpin kumpulan kecil perlulah ada ilmu, kemahiran dan kepakaran. Sikap yang baik dan mampu diteladani.

Oleh sebab itu kami bersungguh-sungguh melaksanakan modul Usrah Profesional.

Profesional kerana ianya dilaksanakan secara holistik bermula dari membentuk kefahaman Naqib/Murabbi, kemudian mereka dilatih kemahiran mengendalikan kumpulan usrah, disemaikan dengan sikap-sikap positif sebagai Naqib/Murabbi, dan akhirnya diharapkan mereka ini menjadi contoh tauladan kepada ahli kumpulan mereka.

7 UP

Usrah Profesional adalah satu program yang menawarkan peningkatan individu pada 7 perkara yang kami namakan sebagai 7 UP. Iaitu :

Pemikiran : Intelek Yang Tajam
Penghayatan : Spritual Yang Mantap
Perasaan : Emosi Yang Stabil
Potensi : Fizikal Yang Kuat
Prestasi : Ibadah, Akademik, Sukan dan Kepimpinan Yang Terpuji
Pandangan Jauh : Masa Depan Yang Jelas
Personaliti : Imej & Pengurusan Diri Yang Cemerlang
Pasukan : Kemahiran Sosial Yang Tinggi