Selasa, 1 Julai 2008

Rakyat Berjiwa Pemimpin


Sejarah telah membuktikan rakyat sebenarnya menyintai pemimpin yang berjiwa rakyat.Sesiapa yang menjadi pemimpin dan menunjukkan lagak seperti rakyat akan terus disokong dan disayangi oleh rakyat.Buktinya rakyat Malaysia sering melaung-melaungkan slogan pemimpin berjiwa rakyat.Mereka menuntut pemimpin mereka sentiasa mendampingi rakyat.Mereka mahukan pemimpin yang boleh tidur sebantal,makan sedulang,sendawa kenyang seirama dan sebagainya.Mereka juga pastinya kecewa apabila pemimpin yang mereka harap-harapkan menghilang setelah memenangi pilihanraya.Isu ini seringkali timbul apabila menjelang pilihanraya.Ketika pilihanrayalah wajah pemimpin kesayangan turun padang memancing undi.Ketika itulah mangsa banjir ditolong,majlis gotong royong diadakan,anak kecil didokong calon bertanding dan bermacam-macam ragam dapat disaksikan.Maka saat itulah semua janji ditaburkan untuk memastikan kemenangan dapat dicapai.Persoalannya sampai bilakah rakyat mahu menuntut pemimpin sebegitu?Dan sampai bilakah rakyat hendak dipermainkan dengan taktik yang tidak adil seperti ini?
Rakyat Ditipu,Pemimpin Berjiwa Rakyat Sudah Tiada

Hakikatnya rakyat Malaysia seperti tidak sedar akan fenomena ini.Mudah sahaja terpedaya dengan pujuk rayu dan pancingan bakal “YB” yang menunjukkan sikap berjiwa rakyat.Sekarang ini bukanlah masanya untuk kita menuntut seorang pemimpin yang berjiwa rakyat.Apa yang lebih penting adalah usaha untuk menerapkan slogan baru iaitu “Rakyat Berjiwa Pemimpin”.Kita perlu mengejar dunia realiti.Mengharapkan seorang pemimpin berjiwa rakyat sekarang ini adalah dunia fantasi dan igauan sahaja.Mampukah pemimpin negara sekarang berjiwa seperti rakyat?Tahukah apa yang rasai oleh rakyat sekarang?Apakah yang rakyat makan?Lenakah tidur si petani dan nelayan?Majukah penjualan goreng pisang?
Abang saya yang baru sahaja membeli kereta (Myvi-nak sahut seruan kerajaan kononnya)hanya sebulan sahaja menggunakan kereta dan tanpa disangka-sangka harga minyak melambung tinggi.Bagaimana nasib hidup anak muda yang baru hendak memulakan dunia baru?Pemimpin mudahlah bercakap rakyat mesti berjimat cermat.Mereka minyak kereta ditanggung,rumah ditanggung,anak bini ditanggung.Kalau benarlah pemimpin mahu berjimat mengapa tidak dipotong semua sahaja elaun yang ada.Itu abang saya yang baru beli kereta,saya ni kereta pun tiada.Macam mana nak memikirkan untuk memiliki kereta?
Ubahlah mentaliti Masyarakat

Perkara utama untuk menjiwai kepimpinan adalah melakukan usaha-usaha yang berterusan untuk meningkatkan tahap pemikiran rakyat.Rakyat jangan mudah selesa dengan kedudukan yang dimiliki sekarang.Syarat makan,pakaian dan tempat tidur terjamin adalah keperluan masyarakat zaman pra-merdeka.Rakyat perlu diransang mentalitinya supaya memperjuangkan kesedaran.Keperluan zaman sekarang bukan sahaja rumah,pakaian dan makanan bahkan bertambah lagi.Kenderaan,telefon mudah alih,jaringan internet,kemudahan pendidikan dan sebagainya.Oleh itu kita memerlukan rakyat yang berjiwa pemimpin untuk menggerakkan kesedaran rakyat.Dr.Mahathir ketika menjadi ahli UMNO menunjukkan sikap rakyat berjiwa pemimpin apabila pada pilihan raya tahun 1959 beliau mencadangkan beberapa kriteria calon yang layak bertanding untuk pilihanraya walaupun beliau mendapat kritikan yang cukup hebat berkaitan cadangan itu.

Khairy Jamaluddin juga sebelum menjadi "YB" seperti membuktikan dirinya sebagai rakyat yang berjiwa pemimpin dengan kesungguhannya memperjuangkan maruah bola sepak negara melalui program reality MyTeam.Mereka semua telah membuktikan pada kita bahawasanya rakyat yang berjiwa pemimpin mampu menggerakkan kesedaran dan membentuk perubahan.

Rakyat Perlu Menjadi Kelompok Pemberi Arahan dan Membentuk Perancangan

Rakyat berjiwa pemimpin adalah satu konsep untuk membentuk golongan rakyat supaya memiliki daya kepimpinan.Semua manusia mempunyai daya kepimpinan seperti yang dijelaskan oleh hadis Nabi SAW “Kamu semua adalah pemimpin”.Permasalahannya adakah cahaya kepimpinan itu bersinar atau tidak?Rakyat tidak boleh dipandang sekadar golongan bawahan,kelompok penerima arahan,dan juga kumpulan pelaksana rancangan.Mentaliti ini perlulah dipecahkan.Rakyat mestilah dijana pemikirannya untuk keluar dari zon "seksa".Rakyat juga berhak untuk menjadi golongan pemberi arahan,dan kelompok membentuk perancangan.Oleh itu semangat inkuiri yang tinggi perlulah ditanam dalam diri rakyat.Rakyat seharusnya mempunyai kehendak untuk mengetahui setiap perkara yang terjadi.Kebiasaannya apabila berlaku sebarang masalah pemimpin akan menggesa orang bawahannya untuk menyediakan laporan lengkap.Tetapi sedarkah rakyat bahawa mereka juga berhak berbuat demikan dengan meminta laporan dari pemimpin.Mintalah penjelasan dengan lengkap.Sebarang keputusan kabinet perlulah diberi penjelasan dengan tepat dan relevan.

Kebolehan dan Keberanian Menyuarakan Pandangan

Antara sikap lain yang perlu ditekankan adalah kebolehan menyuarakan pandangan dengan bijak dan berani.Kita selalu mengharapkan pemimpin negara bijak menyuarakan pandangan.Sepatutnya kita juga perlu mengharapkan golongan rakyat yang mampu bersuara dengan bijak dan berani.Setiap pandangan yang bijak sepatutnya didasari dengan hujah yang kuat.Contohnya dalam isu menurunkan harga minyak.Pihak Barisan Alternatif (BA) bersungguh-sungguh mengatakan harga minyak boleh diturunkan.Kekayaan negara masih mampu untuk menanggung subsidi minyak.Manakala Barisan Nasional pula mengatakan negara akan bankrap sekiranya harga minyak diturunkan.Kedua-dua meraka hanya memberi pendapat tanpa mendatangkan bukti yang kuat.Bagi pihak BA sekiranya negara mampu menanggung subsidi minyak nyatakan dalam perangkaan.Berapakah keuntungan tahunan negara?Berapakah wang yang akan dibelanjakan semata-mata untuk subsidi minyak?Sampai bila kerajaan boleh menanggung subsidi?Apakah langkah-langkah yang wajar diambil bagi menampung keperluan itu?Bagi pihak BN pula nyatakan sebab-sebab mengapa negara boleh bankrap dengan menurunkan harga minyak?Adakah keuntungan yang diperolehi oleh PETRONAS setiap kali kenaikan harga minyak tidak mampu menanggung kos subsidi?Adakah negara sudah tiada hasil lain sekiranya harga minyak diturunkan?Semua itu melambangkan kebijakan pemimpin menyuarakan pandangan kerana sampai sekarang tiada satupun pemimpin dari BN ataupun BA memberikan penjelasan dengan bijak dan tepat.

Suka Mempengaruh Tetapi Sukar Dipengaruh

Jiwa kepimpinan yang seterusnya adalah sikap suka mempengaruhi tetapi sukar dipengaruhi.Pemimpin yang berwibawa akan mencipta pengaruh.Rakyat juga perlu bersikap demikian.Tuntutan rakyat perlu disuarakan dengan penuh berpengaruh sehingga pemimpin kita dengar dan terpengaruh untuk melaksanakan permintaan tersebut.Rakyat juga janganlah mudah terpengaruh dengan setiap bicara pemimpin.Kata-kata pemimpin kebiasaannya manis didengar.Kita perlu mengambil sikap tidak mudah terpengaruh dalam erti kata menerima pendapat pemimpin setelah dilakukan penelitian dan analisis.Rakyat perlulah bijak dalam menerima berita dan maklumat.Semua berita perlulah dikumpul sebanyak mungkin dari semua pihak.Kemudiannya rakyat sendirilah yang menilai baik buruk pandangan tersebut.Jangan biarkan pemimpin kita membayangi setiap keputusan yang kita buat.Sedarlah sebenarnya rakyat juga mampu berfikir seperti yang difikirkan oleh pemimpin kita bahkan kadang-kadang pemikiran rakyat sebenarnya lebih tajam dari pemimpin.

Sebagai penutupnya,marilah kita bersama meningkatkan kualiti kita sebagai seorang rakyat.Kita sebenarnya sedang membina negara sekiranya menjadi seorang rakyat berjiwa pemimpin.Kebiasaannya manusia mempersoalkan kualiti kepimpinan.Tetapi mengapakah tiada orang yang mempersoalkan kualiti kerakyatan.Sikap kita menunjukkan kita sedang meletakkan masa depan negara hanya ditangan pemimpin semata-mata.Kehancuran negara juga adalah tanggungjawab kita.Kita juga berhak membentuk acuan negara.Slogan rakyat berjiwa pemimpin perlulah diterapkan secara berperingkat dan berterusan untuk menjamin masa depan negara.Negara akan terus maju sekiranya kualiti kerakyatan mampu ditingkatkan.

Diubah suai dari artikel asal penulis didalam Majalah Assoff terbitan Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Mu'tah (PERMATA)

Tiada ulasan: