Penulis, pendakwah, penceramah motivasi, dan fasilitator profesional, dalam bidang pembangunan diri/organisasi, usrah berkesan, kepimpinan berpengaruh, dakwah berhikmah, dan pembinaan pasukan
Ahad, 22 Ogos 2010
Rumah bukannya lagi tempat berehat
Gambar abah dan emak pada tahun 2008 di Port Dickson.Pada masa ni abah masih sihat
“Alang,alang...tolong abah sekejap.abah nak berak ni” abah memanggil-manggil aku.Sudah lebih tiga hari abah terbaring sahaja di atas katil.Abah dihinggapi dua penyakit yang agak kronik.Pertama adalah penyakit gout iaitu akibat ketinggian kandungan asid urik didalam badan.Kedua adalah ulser dalam usus.Akibat kekerapan mengambil ubat gout,akhirnya ubat tersebut menghakis dinding usus dan terjadilah ulser.Begitulah penjelasan doktor kepada emak dan aku bila kami mendapatkan penjelasan dari hospital.
Dahulu abah memang seorang yang sihat,ceria dan aktif.Abah selalu buat kelakar.Pernah satu hari semasa kecil-kecil dahulu,aku menjerit kerana terlihat ulat gonggok datang kepada aku.Dengan bersahaja abah mengambil ulat gonggok tersebut dan terus mencampak ke dalam mulutnya.
“Waa..abah makan ulat la”aku terkejut dan seolah-olah kagum.Biasalah budak kecil.Sebenarnya abah buang kebelakang.Bukan ke dalam mulut pun.Bila dah besar baru tau.
“Adus..abah ni.kenapa waktu ni pulak”hati kecil aku membentak.Aku baru sahaja nak berehat.Lalu aku pun datang dalam keadaan yang agak malas menyahut panggilan abah yang mahu membuang air besar.
“Abah nak berak macam mana ni?Mari alang angkatkan ke tandas”aku cuba menawarkan khidmat.Aku mesti selesaikan masalah ini sesegera mungkin.
“Abah mana boleh bangun.Alang carikanlah besen.Lepas tu bagi abah air sebaldi.Biar abah buang air besar dekat sini aje”cadang abah kerana mengerti dirinya memang tidak boleh bergerak.
Detikan Hati Untuk Berubah
Penyakit gout abah sudah semakin kritikal.Bila penyakit ini menyerang,habis semua sendi abah rasa sakit.Abah lansung tidak boleh bergerak.Bayangkan macam mana abah nak bergerak?Aku rasa semua orang tahu pergerakan kita mesti menggunakan sendi.Siku,lutut,pergelangan tangan,jari jemari,pergelangan kaki...semuanya sendi!.Mana boleh nak bergerak kalau sendi sakit.
Dikala itu aku teringat slot Us.Hasrizal didalam TV3.
“Yang paling baik antara kamu adalah yang paling baik pada ahli keluarga.Dan akulah orang yang paling baik pada keluarga”sebut Us.Hasrizal memulakan bicaranya dengan hadis Nabi Muhammad S.A.W tadi.
Jujur aku katakan aku telah mendengar hadis ini sejak dari sekolah menengah lagi.Aku lansung tak faham kehendak hadis ini.Maklumlah,zaman remaja hadis-hadis bukannya kita nak ambil perhatian sangat.Kalau faham pun,hanya faham maksud sahaja.Lansung tak membekas pada hati.Tak terkesan pada tindakan.
“...sebab itu satu ketika Mother Teresa pernah di tanya oleh seseorang apakah formula terbaik untuk melihat dunia ini kembali aman?Dengan jawapan yang ringkas Mother Teresa menjawab Go back to your home,and love your family” jelas Us.Hazrizal sebagai menutup sesi bual bicaranya pada slot tersebut.
Kefahaman Yang Berbekas
Berdetap jantungku mendengar kesimpulan tersebut.Bagaimana seorang yang bukan muslim (Mother Teresa) mampu memberi solusi yang begitu baik.Jawapan yang ringkas dan padat.Seiring dengan apa yang dikehendaki Nabi Muhammad.Kehendak Nabi,kita perlu menjadi yang terbaik pada ahli keluarga.Apakah yang terbaik itu?Menjadi orang yang penuh kasih sayang dan tanggungjawab pada ahli keluarga.Mudah atau tidak?Sudah tentu amat sukar untuk melakukannya sebab Nabi Muhammad adalah yang paling baik terhadap ahli keluarga walaupun Baginda adalah yang paling sibuk.Kali ini kefahamannya tidak kosong,tetapi begitu berbekas pada hati.Jika aku menyelesaikan sedikit masalah keluarga,aku sedang menyelesaikan masalah dunia!
“Abah ni besennya dan kayu tempat abah mencangkung.Perlahan-lahan turun katil.Jangan gelojoh sangat.Dah sudah nanti panggil alang semula.Nanti alang buangkan najisnya”pesanku kepada abah yang sudah mula mengensot turun dari katil untuk membuang air besar.
“Ya Allah,beratnya untuk menjadi yang terbaik pada ahli keluarga”hati aku sudah mula merasakan keperitan itu.Aku baru sahaja nak berbaring merehatkan badan.
Aku cuba merasionalkan diri.Mencari sebab kenapa aku mesti tolong abah.Teringat dahulu emak dan abahlah yang mencuci najis kita.Merekalah yang tidak bermalam kerana kita.Merekalah yang tidak cukup tidur kerana tangisan kita.Abahlah yang bekerja siang dan malam membesarkan kita.Mencari nafkah untuk melihat kita terus tersenyum.Waktu kecil abah dan emaklah yang akan bertanya hari ini dah buang air besar ke belum?Kenapa kita mesti membentak mereka pula?
Aku bersyukur Allah kurniakan ayah yang sedang sakit.Aku sedar disaat inilah kecerdasan emosi seorang anak sedang diuji.Saat ini kecerdasan intelektual anak lansung tiada nilainya.Apa gunanya menjadi anak yang pandai,sedang emosi tidak memahami abah sedang perlukan perhatian.
Aku bangga masih punya abah kerana aku punya ruang untuk mendapat pahala sebagai anak yang soleh.Pahala aku bukan hanya pada doa.Tapi pada setiap detik kerja yang aku lakukan.Setiap saat keikhlasan aku Allah sedang gantikannya dengan pahala.
Allah juga kurniakan aku seorang adik yang mengalami disleksia untuk menguji ketajaman akalku sebagai seorang abang.Adik sentiasa perlukan bimbingan dan dorongan.Apalah gunaku menjadi seorang trainer jika masalah didepan mata tidak dipedulikan.Tapi sibuk dengan menyelesaikan masalah orang lain.Mulai hari ini aku mesti bersungguh-sungguh memahami rumah bukanlah lagi tempat berehat.Tapi tempat menumpahkan kasih sayang dan melaksanakan tanggungjawab.
Kerana Lahir Untuk Hebat
Bukankah Allah sudah berpesan dalam surah Almulk ayat 2:
(Allah yang menciptakan kematian dan kehidupan untuk menilai siapakah diantara kamu yang paling hebat amalannya)
Menyayangi ibu bapa disaat mereka sihat adalah kerja yang paling mudah.Tetapi menyayangi mereka dikala sakit adalah kerja yang paling sukar.Itulah bukti anak yang hebat,mencintai ibu bapa tanpa syarat.Aku sedang berusaha menjadi anak yang hebat.Usahalah wahai semua yang bernama anak...
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan