Ahad, 3 Oktober 2010

49-Tips Mudah Repostioning Minda

Saya pasti anda semua pernah merasai saat-saat minda anda terbang melayang seperti hilang arah tuju.

Apakah perasaan itu?Ia adalah anda merasa sudah tidak punya apa-apa lagi dalam kehidupan.Hidup sudah tidak punya erti.Seperti mahu membunuh diri.Kawan saya Zharif menterjemahkan situasi ini dengan nama "Rasa Bangang!".

Antara contoh apabila berlaku kecelaruan fikiran adalah
1-Kehilangan atau kematian orang tersayang
2-Gagal dalam peperiksaan
3-Barang yang disayangi hilang / dicuri
4-Dirompak
5-Kebakaran
6-Kegagalan dalam pelaburan atau perniagaan
7-Kecurian duit berpuluh ribu ringgit
8-dan lain-lain lagi.

Semalam,saya begitu tertarik membaca buku motivasi Dare To Fail karangan Billy Lim.Buku ini saya telah baca tiga tahun lepas.Cuma semalam saya membacanya sekali lagi kerana sedang mencari idea untuk menulis buku.

Saya ingin berkongsi dengan anda satu tajuk dalam buku tersebut (Bab 8 : Kegagalan dalam Hubungan)Saya percaya ramai orang pernah terlibat dalam situasi ini.Sama ada putus cinta,putus tunang,putus ikatan perkahwinan dan sebagainya.Ceritanya tetap sama iaitu gagal dalam hubungan.

Saya juga pernah merasai saat itu.Kesannya cukup hebat kerana hubungan sebenarnya melibatkan emosi.Emosi yang tidak stabil akan memberi kesan lansung pada kualiti kerja.Saya hampir tidak bekerja selama lebih sepuluh hari.Begitu juga Billy Lim..selepas gagal selama 6 bulan dalam perniagaan,beliau gagal pula dalam percintaan.

Para pembaca sekalian,saya ingin berkongsi sedikit tentang kisah kewafatan Nabi Muhammad yang sepatutnya menjadi pengajaran yang begitu besar.

Selepas kewafatan Nabi Muhammad S.A.W. para sahabat mula berbelah bahagi.Ada yang percaya dan ada juga yang tidak percaya.Fikiran mereka bercelaru kerana berita yang diterima ini teramatlah berat untuk ditelan.Lalu berkata Umar R.A kepada semua

"Rasulullah belum wafat.Dia cuma tidak sedarkan diri seperti Nabi Musa,tatkala Allah menjelmakan diriNya di hadapan Nabi Musa.Rasulullah akan kembali,dan aku akan memancung kepala sesiapa yang mengatakan Rasulullah sudah wafat!"

Sedang Umar R.A terus berucap di hadapan khalayak ramai,lalu datanglah Abu Bakar R.A untuk mententeramkan keadaan.Saksikan ucapan Abu Bakar ini yang benar-benar memposisikan semula minda umat Islam ketika itu.

"Sesiapa yang menyembah Muhammad,Muhammad sudah mati.Sesiapa yang menyembah Allah,sesungguhnya Allah itu hidup dan tidak akan mati"

Kemudian Abu Bakar membacakan surah Ali Imran ayat 144 yang bermaksud :

Dan Muhammad itu hanyalah seorang Rasul yang sudah didahului dengan beberapa orang rasul yang mati ataupun terbunuh.Jika demikian,kalau ia pula mati ataupun terbunuh,patutkah kamu berbalik berpaling tadah menjadi kafir?Dan ingatlah,sesiapa yang berbalik menjadi kafir,maka ia tidak mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun,dan sebaliknya Allah akan memberi balasan pahala kepada orang yang bersyukur akan nikmat Islam yang tiada bandingannya.


Lalu jatuh terduduklah Umar R.A kerana baru tersedar dari 'mimpinya'.

Bayangkan keadaan para sahabat ketika itu.Mereka mengasihi Nabi lebih daripada keluarga mereka sendiri.Inilah ujian terhebat mereka.Anak perempuan Nabi yang kesedihan dikatakan menangis begitu kuat sehingga didengari di luar rumah.

Kesimpulannya mudah...

Ketika kita merasai saat kejatuhan atau kecelaruan itu,hanya sebutkan

"Semuanya datang dari pada Allah.Dialah yang Maha Memberi.Dia juga Maha Mengambil.Hanya Allah sahaja yang kekal abadi"

Kalau sudah menjadi kaya,ingat kaya itu tiada jaminan kekal.
Kalau sudah popular,popular itu tiada jaminan kekal.
Kalau sudah sihat,sihat itu tiada jaminan kekal.
Kalau sudah bertunang,ingat tunang itu tiada jaminan kekal.
Kalau sudah berkahwin,ingat kahwin itu tiada jaminan kekal.
Kalau sidia itu cantik,ingat cantik itu tiada jaminan kekal.
Kalau cintakan bunga,ingat bunga juga tiada jaminan kekal.

Semua tak kekal.

Hanya Allah yang kekal abadi.

P/s : Saya tidak bermaksud anda yang sudah mendirikan rumah tangga/bertunang untuk merasa sangsi dengan pasangan anda.Cuma mengajak kita semua sentiasa memposisikan minda dari awal lagi.Kalaupun tidak berpisah,ingatlah perpisahan yang BENAR tetap terjadi iaitu mati.

Tiada ulasan: