Penulis, pendakwah, penceramah motivasi, dan fasilitator profesional, dalam bidang pembangunan diri/organisasi, usrah berkesan, kepimpinan berpengaruh, dakwah berhikmah, dan pembinaan pasukan
Isnin, 29 Julai 2013
73. Lailatul Qadar, Tanda Dan Kelebihannya
Alhamdulillah..kita sudah sampai ke 10 malam terakhir Ramadhan tahun ini. Sudah pasti 10 malam terakhir ini menjadi buruan untuk hamba Allah yang soleh.
Biasanya sewaktu saya kecil-kecil dahulu, 10 malam terakhir ini digunakan untuk menghitung bilakah hari raya sambil bermain mercun dan meriam kebait. Pernah baju raya saya terkoyak kerana bermain mercun.
Biasalahkan..masa budak-budak dulu main mercun memang seronok. Bakar sumbu, kemudian baling kepada kawan.
Tapi itu dulu punya cerita. Jadi sekarang kita cerita perkara sekarang. Alhamdulillah tahun 2013 ini saya ada diamanahkan untuk menyampaikan pengisian berkenaan 10 malam terakhir, dan lailatul qadar.
10 Malam Terakhir, Lailatul Qadar, dan Nuzul Al-Quran
Tiga perkara ini tidak boleh dipisahkan. Apabila menceritakan 10 malam terakhir, pasti ianya ada kaitan dengan lailatul qadar. Apabila menceritakan lailatul qadar, pasti ianya adakaitan dengan nuzul Al-Quran. Jika sebelum ini saya ada berkongsi tentang Nuzul Al-Quran, maka kesempatan kali ini saya ingin berkongsi berkaitan lailatul qadar.
Mudah-mudahan ia dapat membantu saudara untuk mendapatkan sedikit input. Boleh juga digunakan sebagai modal untuk menyampaikan kuliah atau untuk kegunaan para naqib menyampaikan pengisian di dalam usrahnya.
Apa itu Lailatul Qadar?
Lailatul Qadar bermaksud malam Al-Qadar. Malam yang sungguh berkat yang dikurniakan Allah kepada ummat Muhammad S.A.W. Malam ini hanya diturunkan dalam bulan Ramadhan sahaja, iaitu sekali setahun.
Bilakah berlakunya Lailatul Qadar?
Secara spesifiknya tiada siapa pun mampu meramalkan bilakah tarikh jatuhnya lailatul qadar. Itulah rahsia Allah yang tersimpan sampai bila-bila. Hikmahnya adalah untuk mencari siapakah hambaNya yang benar-benar tekun beribadah.
Namun berdasarkan hadis Nabi SAW kita dapat menjangkakan bahawa lailatul qadar diturunkan pada 10 Ramadhan yang terakhir.
Dari Aisyah R.A katanya :
"Biasanya Rasulullah SAW berusaha bersungguh-sungguh memperbanyakkan amal pada sepuluh malam terakhir (dalam bulan Ramadhan) tidak seperti malam-malam yang lain"
Riwayat Muslim.
Dalam hadis yang kedua, yang diriwayatkan oleh Aisyah R.A juga. Bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda :
"Bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui lailatul qadar, pada malam-malam yang ganjil pada sepuluh malam yang terakhir dalam bulan Ramadhan"
Riwayat Al-Bukhari.
Apakah tanda-tanda berlakunya malam Lailatul Qadar?
Malam lailatul qadar berlaku, berdasarkan pengalaman orang-orang soleh, boleh berlaku dengan tanda-tanda berikut :
1. Melihat cahaya yang terang benderang hingga ke seluruh pelusuk bumi
2. Mendengar ucapan salam dari Malaikat
3. Melihat segala benda semuanya sujud
3. Ada juga mengatakan apabila doa permohonannya dimakbulkan.
Menurut Imam Annawawi malam lailatul qadar dapat disaksikan oleh orang-orang yang dikehendaki Allah. Bermakna tidak semua orang berpeluang menyaksikan keajaiban lailatul qadar.
Imam Attobari pula memilih pandangan yang menegaskan bahawa : Tidak semestinya menyaksikan atau mendengar tanda-tanda tertentu untuk menentukan malam lailatul qadar. Ianya bukan syarat utama.
Apa yang penting adalah terus berusaha, meningkatkan amal, dan sentiasa berdoa dikurniakan malam al-qadar.
Apakah kelebihan lailatul qadar?
1. Lailatul Qadar adalah malam diturunkan Al-quran
Ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah Al-Qadar ayat 1.
"Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran pada lailatul qadar"
2. Malamnya lebih baik daripada 1000 bulan
Ganjaran melaksanakan ibadah di malam Al-qadar dilipat gandakan menyamai melakukannya 1000 bulan, atau bersamaan 83 tahun. Ini bertepatan seperti yang disebutkan Allah SWT di dalam surah Al-Qadar ayat 3.
"Lailatul Qadar lebih baik dari seribu bulan"
3. Malaikat dan jibril turun
Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Al-Qadar ayat 4.
"Pada malam itu, malaikat dan Jibril turun dengan izin tuhan mereka membawa segala perkara yang ditaqdirkan berlaku pada tahun berikutnya"
4. Kesejahteraan sehingga ke pagi
Dalam surah Al-Qadar ayat 5, Allah menjelaskan kebaikan malam Al-Qadar berterusan sehingga ke pagi. Justeru pada malam tersebut sangat-sangat dimakbulkan sepanjang malam.
"Sejahteralah malam itu hingga terbit fajar" Al-Qadar ayat 5.
5. Diampunkan dosa oleh Allah
Dalam satu hadis Nabi SAW ada menyatakan, mereka yang menghidupkan malam Al-qadar akan diampun dosa oleh Allah SWT.
Dari Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW bersabda :
"...Barangsiapa membangunkan (melaksanakan pelbagai jenis ibadah) lailatul qadar, dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada Allah, nescaya ia akan diampunkan dosanya yang telah lalu"
Kesimpulan
Kesimpulannya, malam Al-Qadar malam yang sungguh berkat. Sebab itu Allah menyebutnya di dalam Al-Quran, surah Ad-Dukhan, ayat 3.
" Sesungguhnya kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yanb berkat.."
Tarikh jatuhnya malam Al-Qadar adalah menjadi rahsia Allah. Walaupun pada zaman Nabi SAW pernah berlaku pada malam 21, 23 dan 27. Ini berdasarkan hadis yang sohih. Namun terus mencarinya tanpa mengira malam apa adalah lebih utama.
Melaksanakan amalan pada 10 malam terakhir adalah sangat-sangat dituntut, tanpa perlu menunggu, melihat, atau mendengar tanda.
Selamat menyambut 10 malam terakhir.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan