Saya mahu berkongsi pengalaman berharga bersama dengan jurulatih terkenal Tuan Mohd Rizal Hassan. Program NLP anjuran Tamrin selama sehari bersama beliau benar-benar bermakna pada saya. Terdapat dua perkara hebat yang saya pelajari dari beliau selepas mengikuti programnya. Perkara tersebut telah banyak membantu saya dalam melaksanakan tugas harian.
Pertama:Sedar
Manusia yang hebat dan cemerlang, mesti sentiasa berada dalam keadaan SEDAR pada setiap perkara yang dilakukan. Maknanya,setiap tindakan,anda wajib tahu atas sebab anda melakukannya.
Contohnya, pernahkah anda berbual panjang dengan seseorang seperti berjumpa dengan kawan lama. Bayangkan anda berada pada situasi tersebut, pernahkah anda secara sedar mengawal posisi duduk,mimik muka,intonasi dan sebagainya..semuanya dalam suasana dirancang oleh anda sendiri. Atau anda membiarkannya terus pergi tanpa anda peduli apa yang anda lakukan sepanjang perbualan. Apatah lagi untuk menyedari setiap apa yang dilakukan rakan perbualan anda. Jika ditanya kembali apakah isi perbualan anda 5 minit yang lepas, adakah anda mampu mengulangnya dengan bersahaja?
Jika tidak, maknanya kita sering berada dalam keadaan tidak sedar. Itulah saya sebelum ini. Sukar memberi perhatian pada orang. Lebih mementingkan perkenalan jangka pendek. Tidak sedar siapa saya semasa berkata-kata.
Contoh kedua,pernahkah anda cakap begini,
“Minta maaf ya.Saya tidak sengaja.Saya tersalah cakap”
Rupa-rupanya semasa bercakap pun kita selalu tidak sedar.Betul tak? Akhirnya kita selalu beralasan dengan berkata terlepas cakap. Kerana itu prinsip SEDAR ini mengajar kita,tiada istilah tersalah cakap. Bukan tersalah cakap sahaja,malah terbuat,terpandang,dan terdengar juga tak boleh! Apatah lagi terlanjur.
Tiada sebab untuk kita berkata ter,ter dan ter. Sepatutnya semua berada dalam pengawalan dan pengawasan minda kita. Atau lebih mudah kita sebut sebagai sedar. Sebab itu pengawal keselamatan kita gelarkan sebagai Jaga. Seorang Jaga perlu sedar dan sentiasa jaga. Tiada rekod dalam dunia pun mencatatkan ada sebuah syarikat yang sanggup menggajikan seorang Jaga yang tidak sedar (hilang akal). Jika ada, syarikat tersebut yang tidak sedar!
Kedua:Pilih
Sebenarnya kejayaan dan kegagalan hidup adalah pilihan kita sendiri. Maksudnya, sekiranya kita mengalami kegagalan, sila lihat semula pilihan kita sebelum ini. Sebenarnya sebab utama kegagalan adalah berpunca daripada kesalahan kita membuat pilihan pada masa lampau!Salah pilih kerana tidak sedar.Itulah kesilapan besar kita.
Sebab itu Allah sebut dalam Al-Quran, Surah Ar Ra'd ayat 13
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum,melainkan kaum tersebut yang akan mengubah apa yang ada pada dirinya sendiri"
Tidak sedar, maka tersalah pilih, kemudian tiada rasa tanggungjawab. Tiada tanggungjawab, maka kerja dilakukan secara terpaksa dan sambil lewa. Kesannya pula pada prestasi. Maka, keputusan akhir adalah gagal!
Lihat contoh ini.
Seorang remaja tidak sedar siapa dirinya. Maka dia akan memilih untuk tidak belajar. Lalu rasa bertanggungjawab pada pelajaran akan hilang. Dia akan belajar kerana terpaksa bukannya kerelaan hati. Akhirnya? Anda jawab sendiri.
Bukankah saya sudah katakan kesannya begitu besar pada saya! Kini, setiap kali saya ingin melakukan sesuatu perkara, saya akan bertanya pada diri sendiri
"Mohamad,adakah kau sedar apa yang kau lakukan sekarang?"
Bukan itu sahaja,ketika memilih sesuatu saya pasti akan bertanya pada diri sendiri
"Mohamad,adakah kau sedar pilihan ini adalah yang terbaik?"
Saya kini berubah menjadi lebih berhati-hati dan berpandangan jauh. Kesan sedar terhadap kehidupan, maka saya akan membuat pilihan yang terbaik. Saya yakin kunci kejayaan pada masa akan datang terletak pada pilihan hari ini. Bagaimana membuat pilihan tepat bermula pada hari ini?
Jawapannya mudah, semua tokoh hebat bermula dengan satu perkataan iaitu keSEDARan.
Jika kita selalu ambil mudah dan tidak sedar apa yang berlaku dalam perkara-perkara kecil, apatah lagi dalam perkara-perkara besar.
Sebab itu prinsip kejayaan ada menyebut :
‘What you do in something,means what you do in everything’
Salam Hijrah dan Tahun Baru semua pembaca...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan