Sabtu, 3 Ogos 2013

74. Sorotan Ramadhan, Perjalanan Mencari Kemenangan



Hari ini 4 Ogos 2013 bersamaan 25 Ramadhan 1434 Hijriah. Alhamdulillah masih ada kesempatan untuk berada dalam bulan Ramadhan.

Tahun ini pada pandangan saya, bulan Ramadhan diwarnai dengan pelbagai warna suka dan duka. Baik di peringkat global, mahupun di peringkat paling kecil iaitu saya sendiri.

Sebelum masuknya Ramadhan, Presiden Mesir Dr. Morsi telah pun digulingkan oleh tenteranya sendiri. Peristiwa ini pastinya memberi kesan kepada para pencinta gerakan dakwah.

Rampasan kuasa di Mesir telah memberi kesan buruk kepada saudara Muslim kita di Palestin, apabila kerajaan haram Mesir mengenakan sekatan, meruntuhkan terowong bantuan, dan melakukan pelbagai macam kezaliman. Bahkan mereka juga sanggup membunuh rakyat mereka sendiri. Sehingga artikel ini ditulis, sudah lebih 100 nyawa saudara Muslim kita melayang begitu sahaja yang dibantai oleh tentera Mesir.

Bagaimana Malaysia?

Alhamdulillah, ramai orang kata kita aman. Kita harus bersyukur. Kita boleh beribadah dengan tenang dan aman.

Namun mereka lupa, dalam bulan Ramadhan ini sahaja sudah lebih 5 kes bunuh berlaku menggunakan senjata api. Kejadian bunuh menggunakan tembakan boleh berlaku di mana-mana. Kedai kopi, kawasan parkir kereta, ketika kesesakan lalu lintas, dan sebutkan sahaja.

Saya merasa sungguh takut. Bagaimanakah masa depan negara ini 10 tahun akan datang?

Selain kisah di atas, Ramadhan ini juga berlakunya pilihan raya kecil DUN Kuala Besut. Pilihan raya kecil pertama ini di menangi oleh calon Barisan Nasional Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman. Biasanya sebelum-sebelum ini, saya pasti akan turun berkempen membantu parti pilihan saya. Namun tahun ini tiada peluang.

Walauapapun, tahniah bagi yang berjaya. Bagi yang kalah, teruskan berjuang dan istiqamah.

Saya kira paling menarik tahun ini kisah di Malaysia berkenaan dua kisah kontroversi. Pertama gambar Alvin dan Vivian mengucapkan selamat berbuka puasa sambil memakan babi. Kedua pula adalah video Maznah Mohd Yusof mengucapkan selamat hari raya bersama 3 ekor anjingnya.

Semua peristiwa ini memberi seribu makna kepada umat Islam sepatutnya.

Meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah.

Meningkatkan syukur kepada Allah.

Meningkatkan amal ibadah kepada Allah.

Meningkatkan kemahuan mencari ilmu.

Menambah kesabaran dalam menempuh ujian mendatang.

Tetap terus istiqamah walaupun ujian datang kiri kanan, depan dan belakang.



Peristiwa ini juga mengajar kita supaya mendahulukan akal.

Belajarlah mengawal emosi.

Menuruti nafsu hanya membawa kepada dunia yang buntu.

Membelakangkan Al-quran, akan terus menjerumus manusia ke lembah kebinasaan.


Firman Allah SWT

" Barangsiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah diterima daripadanya (agama itu), dan dia di akhirat termasuk di kalangan orang-orang yang rugi " Ali Imran : 85


Saya pula bagaimana?


Saya sendiri 2 minggu sakit terbaring di atas tilam sahaja. Saya terkena serangan gout yang sungguh kuat. Dua minggu sebelum Ramadhan saya hanya mampu terbaring. Tidak dapat bergerak kemana-mana.

Dalam pada itu, dua minggu saya berpuasa hanya di rumah sahaja. Saya boleh bergerak sedikit demi sedikit. Namun Allah masih tidak izinkan saya bergerak jauh.


Saya kira ini serangam gout paling kuat saya kena. Sudah hampir 1 bulan. Namun masih tidak sembuh.

Paling 'best' saat saya tidak boleh berjalan, anak saya sudah mula belajar berjalan. Bukan main rancak dia bangun, jalan, jatuh, jalan lagi. Semakin laju jalannya.

Subhanallah..

Sungguh besar nikmat Allah.

Walaupun kali ini kenikmatan melaksana ibadah sungguh terhad, saya tidak dapat banyak ke masjid, saya terpaksa ponteng puasa 3 hari kerana sakit, dan tidak dapat membantu abah menjadi Imam terawih.

Namun saya gembira.



Teruskanlah perjalanan mencari kemenangan.

Kemenangan manusia bila semakin menjadi hamba Allah.

Kemenangan khalifah, bila semakin banyak berbakti kepada yang lain.


Tiada ulasan: