Rabu, 7 Ogos 2013

75. Amalan-Amalan Sunat di Hari Raya Aidilfitri

Subhanallah...

Hari ini hari terakhir puasa bagi tahun ini. Sekejap sahaja rasa melaksanakan ibadah puasa sebulan. Tak macam kecil-kecil dahulu. Terasa lama sangat menunggu hari raya.

Namun, walaupun hari raya ini sungguh dinanti, janganlah dibiarkan raya ini mencacatkan amalan kita sepanjang ramadhan. Bak kata pepatah, akibat nila setitik, rosak susu sebelanga. Jangan kerana raya sehari, habis amalan sebulan.

Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab kita untuk memelihara kesucian ramadhan tersebut. Marilah bersama-sama memeliharanya. Justeru saya gunakan kesempatan ini untuk menyenaraikan seringkas mungkin amalan-amalan sunat sempena hari raya.

Tulisan ini adalah untuk tatapan saya sendiri sebenarnya. Saya ingin berpesan kepada diri sendiri supaya sentiasa mendekatkan  diri kepada Allah. Oleh itu saya senaraikan .... amalan Nabi Muhammad sempena kedatangan hari raya aidilfitri.

1. Memperbanyakkan takbir, tahmid, tahlil, dan membesarkan Allah. Bermula seawal maghrib 1 Syawal, sehingga imam selesai membacakan khutbah hari raya.

2. Mandi sunat hari raya.

3. Makan kurma atau apa sahaja sebelum keluar ke masjid.

4. Memakai pakaian terbaik

5. Mengajak seluruh ahli keluarga ke masjid untuk menunaikan solat sunat hari raya.

6. Mengucapkan selamat, dan kata-kata yang baik apabila bertemu orang lain. Sunnah mengatakan "Taqabalallahu minna wa min kum" dan dijawab dengan jawapan yang sama. Ertinya "Semoga Allah menerima amalan kami, dan amalan kamu'

7. Melalui jalan berbeza untuk pergi dan balik dari masjid. Supaya dengan cara itu kita lebih banyak menemui orang, dan saling doa mendoakan antara satu sama lain.



Di atas adalah amalan yang pernah dilakukan Nabi SAW sempena kedatangan Aidilfitri. Namun ada juga amalan-amalan yang dilakukan oleh kaum Melayu, yang boleh dianggap mendapat pahala sunat di sisi Allah. Syaratnya, kita lakukan bukan kerana HARI RAYA, namun dilakukan kerana Allah, dan disuruh oleh Rasulullah.



1. Bermaaf-maafan. Sememangnya Islam menuntut kita sentiasa menginsafi kesalahan, dan memaafkan kesilapan orang lain.

2. Menjamu makanan. Masyarakat kita kini menyediakan pelbagai juadah raya. Ada juga yang melakukan rumah terbuka. Buat mengikut kemampuan dan ikhlas. Bukan untuk meniru trend, dan menunjuk-nunjuk pada orang.

3. Memberi angpow. Beri dengan niat hadiah atau sedekah. Jangan diungkit dan marah, kalaupun terdapat anak kecil yang membuang sampul angpow depan kita sambil memasukkan duit raya dalam koceknya.

4. Ziarah kubur. Ingat bukan kerana raya. Kita digalakkan sentiasa mengingati mati. Bukan semata-mata mengenangkan simati. Lebih banyak ingat mati, lebih dekat dengan Allah. Hari raya kedua, ketiga, keempat atau bila-bila pun boleh pergi kubur.

5. Ziarah saudara mara dan sahabat handai. Menghubungkan silaturahim adalah sunnah Nabi. Bahkan Nabi pernah berpesan untuk mereka yang mahu murah rezekinya, maka sentiasa menghubungkan silaturahim.

6. Mengirim kad raya. Nabi pernah mengirimkan surat kepada raja negara lain. Surat Nabi mengajak mereka membesarkan Allah. Maka surat atau kad raya kita pun begitu. Kirim kad raya bukan untuk mereka ingat pada kita, tapi mengingat pada Pencipta. Jika mereka tak balas, jangan berkecil hati pula. Terima dengan hati terbuka.



Sementara itu, kita juga sentiasa diperingatkan oleh ustaz dan ustazah supaya memelihara tiga perkara berikut.


1. Jaga solat

2. Jaga batasan pergaulan. Bersalam pada perempuan yang sepatutnya. Berbual tanpa berlebih had.

3. Jaga batasan pakaian.


Dan akhirnya, saya suka berpesan kepada diri sendiri supaya melaksanakan dua perkara berikut


1. Berpuasa enam di dalam bulan Syawal

2. Menyegerakan ganti puasa yang telah tertinggal.


Sehingga di sini dulu..

Selamat menyambut hari Raya Aidil fitri.

Taqabalallahu minna wa minkum

1 ulasan:

insan terpilih berkata...

amalan yg org melayu buat tu nabi ada buat x time hari raya?