Isnin, 7 Januari 2013

64. Bagaimana Mengetahui Bayaran Konsultan 1 Hari




Salam tuan dan puan sekalian. Tajuk hari ini macam menarik sahajakan. Saya rasa ramai yang tertanya-tanya  bagaimana mahu mengetahui bayaran konsultan 1 hari?

Saya serba sedikit cuba membantu tuan dan puan di luar sana. Sejak kebelakangan ini, sungguh banyak konsultan tumbuh macam cendawan baru lepas hujan. Termasuklah saya sendiri. Maklumlah, kami orang baru, konsultan motivasi kami pun baru ditubuhkan pada 2008, iaitu empat tahun yang lalu. Ada orang melihat situasi ini dengan pandangan negatif. Tetapi saya melihat ini dengan pandangan positif. Ini tandanya masyarakat kita sudah semakin dekat dengan ilmu. Mereka mencintai majlis ilmu.

Ok, kembali kepada cerita kita, kami ini walaupun baru, tetapi kami telah mencari pelbagai maklumat bagaimana mahu meletakkan harga kepada pelanggan. Maka tajuk yang saya kongsikan dengan saudara adalah berkenaan kajian harga yang kami dapat buat selama empat tahun kebelakangan ini.

Harga konsultan tiada had

Pada mulanya saya ingin memberitahu, bahawa konsultan motivasi adalah khidmat profesional. Ianya adalah bidang perkhidmatan. Bukan menjual produk, namun menjual kepakaran. Oleh itu perlu difahami bahawa harganya tiada had. Namun terdapat beberapa kriteria yang boleh kita ambil kira sebagai panduan menjemput konsultan ke tempat sendiri.

Kesimpulannya, jika saudara ada kepakaran tertentu, terlibatlah dalam industri ini, kerana ia menawarkan pulangan yang lumayan bagi mereka yang bijak memperdagangkannya.

Harga konsultan boleh dirunding

Perkara kedua yang perlu difahami, bahawa harga konsultan bukan suatu yang mutlak. Ia boleh dirunding. Macam kita pergi pasar malam juga. Jika tak percaya cuba telefon mana-mana konsultan, dan terus minta murah atau diskaun.

Saya sebut di sini kerana terdapat segelintir pelanggan kami yang menolak kami bulat-bulat kerana harga. Perkara itu saya ketahui selepas mendapat khabar daripada sumber yang dipercayai. Saya mahu tekankan disini jangan terlalu risau, boleh jadi saudara akan mendapat PERCUMA.

Contohnya saya pernah memberikan khidmat percuma kepada satu pelanggan kerana keikhlasannya menjemput dan meraikan kepakaran kami.

Harga konsultan PSMB

Jika pakar atau jurulatih yang tuan puan ingin jemput itu telah mendapat pengiktirafan Pembangunan Sumber Manusia Berhad, atau Human Resource Developement Fund maka biasanya kadarnya adalah RM3500 sehari. Sehari itu dalam erti kata waktu pejabat iaitu 9 pagi hingga 5 petang.

Maka cuba pertimbangkan hal ini semasa menjemput seseorang. Adakah konsultan itu memiliki pengiktirafan tersebut?

Namun harus difahami, ianya hanya terpakai untuk syarikat yang berdaftar dengan PSMB sahaja.

Jika tuan/puan daripada sekolah, atau universiti, cubalah berunding harga kebajikan! Mesti dapat. Yakin sahaja. Mereka bukan tamakkan duit sekolah dan universiti pun. Mereka jika nak buat duit, mereka akan pergi ke badan-badan korporat yang banyak duit.

Saya sendiri pun mengamalkan  konsep sedemikian. Sekolah, universiti, jabatan kerajaan, dan swasta, kami menawarkan harga yang berlainan.

Harga Selebriti

Jika saudara terlihat seseorang individu di dalam televisyen, dan saudara mahu menjemputnya. Bagaimana pula harganya?

Pengalaman saya biasanya mereka ini kita membayar sekitar RM1500 sejam. Sejam ya!

Namun saudara jangan khuatir, saudara membayar pada kesan dan kualitinya. Jika tak, takkanlah dia masuk tv kan?

Contohnya, ada sebuah sekolah beritahu kepada saya, mereka pernah menjemput seorang selebriti dakwah. Namun mereka mengatakan tidak sia-sia berbelanja besar (RM 6000 untuk 3 jam), kerana berpuas hati.Sumber duit boleh dicari.

Harga Konsultan Belum Terkenal

Ada juga konsultan yang baru, macam saya. Belum terkenal pun. Berapa harganya? Ini kena tanya merekalah. Ada yang meletakkan RM 15 sehari untuk seorang. Ada RM 20 sehari untuk seorang. Ada juga yang meletakkan RM 30 sehari untuk seorang.

Saya bagaimana pula. Biasanya kami meletakkan harga untuk sekolah RM1500 sehari. Ini cas minimum yang rakan kongsi kami telah tetapkan. Jika universiti pula RM 2000 sehari. Jika jabatan kerajaan pula RM 2500 sehari. Jika badan korporat pula, kami meletakkan harga standard PSMB, kerana saya jurulatih bertauliah PSMB iaitu RM3500 sehari.

Walauapapun tahniah, kerana saudara berminat mengetahuinya.

Syarikat kami boleh dilayari Akademi Latihan Al-Fateh.

Nasihat saya, bertanyalah terus kepada mereka. Usah membuat sebarang spekulasi mereka ini mahal dan sebagainya. Saya yakin mereka yang mahal itu mempunyai pelbagai sebab untuk meletakkan harga sedemikian. Dan satu lagi, berbanggalah berbelanja untuk ilmu. Itu sahaja, terima kasih.

Sekian.








Tiada ulasan: