Khamis, 4 Julai 2013

69. Lima Petua Mengajar Anak Kecil Berpuasa

Hari ini saya berminat untuk berkongsi petua sempena nak masuk Ramadhan. Petua ini bukanlah petua saya, cuma ini hasil pembacaan, dan pemerhatian saya. Tambahan pula baru-baru ini saya sempat menonton rancangan Wanita Hari Ini TV3 ada membincangkan tajuk ini.

Berikut saya senaraikan lima petua. Mudah-mudahan petua ini boleh saya gunakan apabila anak saya sudah mula mencapai usia yang sepatutnya. Semoga bermanfaat untuk pembaca juga :


1. Mengajarnya Puasa Sedikit Demi Sedikit.

Mungkin bermula dengan berpuasa sehingga pukul 10 pagi sahaja. Esoknya meningkat pula ke jam 12 tengahari. Sehinggalah ke waktu maghrib. Tidak kisah berapa hari yang diperlukan untuk si kecil mencapai tahap puasa sempurna satu hari, yang penting bermula dari bawah.


2. Menyediakan Makanan Sahur Yang Berkhasiat

Sahur merupakan sunnah Nabi Muhammad. Sahur juga membezakan antara puasa muslim dengan puasa yahudi. Si kecil yang makan makanan berkhasiat pada waktu sahur akan bertahan lebih lama pada waktu siangnya. Ini akan memudahkan proses belajar puasa. Berbanding anak kecil yang tidak bersahur, mereka lebih mudah lapar.


3. Menyediakan Makanan Kegemarannya Sebagai Juadah Berbuka

Saya masih ingat lagi sewaktu kecil dahulu, abah saya akan membelikan saya tembikai susu sebelum berbuka puasa. Dahulu, saya sangat suka tembikai susu.

Sehingga pada suatu hari, abah terlupa membeli tembikai susu. Maka saya pun menangis-nangis dan mengugut untuk berbuka puasa. Ketika itu ada 30 minit sahaja lagi waktu berbuka, namun saya tetap berkeras mahu berbuka puasa jika tak dapat tembikai susu. Abah terpaksa mengalah, lalu terpaksa juga keluar ke pekan untuk memenuhi kehendak saya.


4. Memuji Dan Bangga Akan Kejayaannya

Anak kecil memang suka pujian. Pujian akan meningkatkan estim dirinya. Walaupun anak kecil kita berjaya puasa sehingga jam 12 tengahari, kita sebagai ibu bapa tetap terus memberikan pujian. Itu bukti sokongan kita pada setiap usahanya.


5. Memberikan Hadiah

Dahulu sewaktu kecil, kami adik beradik pernah mendapat hadiah jam tangan kerana berpuasa penuh. Seronok sangat. Sampai sekarang masih terasa keseronokan itu jika dikenang kembali. Ada ibu bapa menjanjikan wang tunai, hadiah, dan sebagainya. Terpulang kepada cara masing-masing.


Sekian...




 

Tiada ulasan: