Selasa, 23 Julai 2013

72. Peristiwa Nuzul Al-quran Dan Kelebihan Al-quran



Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT kerana masih memberi peluang untuk kita terus bernafas. Terima kasih kepada saudara dan saudari kerana sudi mengunjungi blog tulisan saya ini.


Tahun 2013 ini, banyak juga amanah yang saya terima untuk berkongsi berkenaan peristiwa Nuzul Al-Quran. Jika tahun sebelum-sebelum ini saya cuma membaca kitab, danberkongsi dengan pendengar secara lansung sahaja, iaitu melalui ceramah sahaja, jadi tahun ini saya cuba mencari ruang untuk berkongsi sesuatu di dalam blog ini. Mudah-mudahan ada manfaat terutama buat diri saya ini, termasuk para pembaca sekalian.


Apa itu Nuzul Al-Quran?

Apabila menyebut sahaja Nuzul Al-Quran, terdetik dalam benak fikiran saya, apakah itu Nuzul Al-Quran? Apakah maksudnya?


Nuzul ertinya adalah turun. Manakala Al-Quran pula merupakan kitab Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad. Justeru, Nuzul Al-quran adalah satu peristiwa yang berkaitan penurunan Al-Quran daripada Allab kepada Nabi Muhammad.


Turun membawa erti datangnya sesuatu daripada atas ke bawah. Maka perkataan Nuzul itu sahaja sudah melambangkan ketinggian Kalamullah yakni Al-Quran.


Bilakah terjadi peristiwa tersebut?

Terdapat pelbagai pandangan ulama' berkenaan bilakah peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku. Mari kita dekati pandangan ini satu persatu.

Pandangan pertama : Ada ulama' yang mengatakan Al-Quran diturunkan pada malam 24 Ramadhan. Mereka bersandarkan kepada sebuah hadis riwayat Imam Ahmad

"...Allah turunkan Al-Quran pada 24 Ramadhan..."


Pandangan kedua : Ada juga ulama' yang mengatakan Al-Quran diturunkan pada 21 Ramadhan. Antaranya yang berpegang sedemikian adalah As-Sheikh Safiyy Ar-Rahman Al-Mubarakfuri di dalam kitabnya Rahiq Al-Makhtum.


Pandangan ketiga : Ini merupakan pandangan yang popular di kalangan masyarakat kita iaitu 17 Ramadhan. Walaupun ini adalah pandangan yang masyhur dikalangan kita, namunianya mendapat kritikan para ulama'.

Berdasarkan firman Allah SWT di dalam Surah Al-Qadar, ayat 1.

"Sesungguhnya kami telah turunkannya pada malam Al-Qadar"

Sedangkan jika diperhatikan kebanyakan hadis Nabi, malam Al-Qadar berlaku pada 10 malam terakhir.


Walaubagaimanapun, para ulama' sepakat bahawa Al-Quran telah diturunkan pada bulan Ramadhan. Cuma tarikhnya sahaja yang berbeza. Namun tarikh itu bukanlah pokok perbincangan, kerana membaca, memahami, menghayati, dan mempraktikkannya adalah lebih utama.


Oleh itu, di dalam perkongsian saya kepada para pendengar topik ini hanya disebut sebagai pengetahuan sahaja.


Bagaimakah Al-Quran diturunkan?


Al-quran diturunkan dengan dua peringkat. Pertama dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah secara sekali gus.


Keduanya Al-Quran diturunkan secara berperingkat-peringkat dari Baitul Izzah kepada Nabi Muhammad selama 23 tahun. Ia diturunkan bersesuaian mengikut peristiwa-peristiwa tertentu. Antara hikmahnya diturunkan berperingkat-peringkat adalah untuk mengelakkan kejutan budaya, memudahkan orang memahami Islam, dan memudahkan para sahabat menghafaz ayat Al-quran.


Apakah kelebihan membaca Al-Quran?


1. Mendapat syafaat di akhirat

Sabda Rasulullah SAW " Bacalah Al-Quran, kerana sesungguhnya pada hari kiamat Al-quran datang memberi syafaat kepada yang membacanya"

Riwayat Muslim


2. Ditinggikan darjat oleh Allah


Hadis Nabi SAW "Sesungguhnya Allah akan mengangkat darjat sesuatu kaum dengan Al-Kitab (Al-Quran), dan merendahkan kaum yang lain dengannya (Al-Quran)

Riwayat Bukhari dan Muslim


3. Mendapat kedudukan sebaik-baik manusia


Hadis Nabi SAW ada menyebut "Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar, dan mengajarkan Al-quran"

Riwayat Muslim


4. Bersama para Malaikat


Dari Aisyah RA berkata, bahawa Rasulullah bersabda "Orang yang membaca Al-Quran, dandia mahir maka nanti akan bersama-sama para malaikat yang mulia dan taat. Sedang orang yang membaca Al-Quran dan ia merasa susah di dalam membacanya tetapi ia selalu berusaha maka ia mendapat dua pahala"

Riwayat Bukhari dan Muslim


5. Diizinkan Iri Hati Kepada Pembacanya


"Tidak ada iri hati yang dibenarkan kecuali dalam dua perkara. Iaitu orang yang diberi kemampuan Al-Quran, kemudian dia membacanya dan mengamalkannya baik malam mahupun siang. Dan seorang yang dikurniakan harta oleh Allah, kemudian menafkahkannya baik malam mahupun siang"


Riwayat Bukhari dan Muslim


6. Dikurniakan pahala berlipat kali ganda

Dalam satu hadis, dari Ibnu Mas'ud berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda "Barangsiapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah, maka ia mendapat satu kebaikan. Setiap kebaikan itu nilainya bersamaan sepuluh kebaikan. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf, dan mim satu huruf"

Hadis Hasan Sahih. Riwayat At-Tarmizi


7. Diberikan ketenangan dan rahmat


"Dan tidak berkumpul sesuatu kaum di mana-mana rumah Allah untuk membaca dan mempelajari Al-Quran, melainkan diturunkan ketenangan, diliputi rahmat, dikerumuni malaikat, dan disebut-sebut Allah di depan malaikat yang berada di sisinya"

Riwayat Muslim


Penutup dan Kesimpulan


Bulan Ramadhan adalah bulan diturunkan Al-Quran. Itulah kesepakatan ulama' bersandarkan kepada firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah ayat 185.


"Bulan Ramadhan diturunkan di dalamnya Al-Quran,menjadi petunjuk kepada manusia..."

 Maka membaca Al-Quran di dalam bulan Ramadhan merupakan amalan yang sangat dituntut di dalam Islam.

Setiap malam di dalam bulan Ramadhan, Jibril akan turun ke bumi untuk bertadarus Al-Quran bersama Nabi Muhammad SAW.

Mudah-mudahan sedikit perkongsian ini memberi sedikit suntikan motivasi untuk kita meningkatkan amal di bulan Ramadhan ini.


Wassalam.


Nota : Perbincangan tarikh Nuzul Al-Quran dipetik melalui tulisan Dr.Maza melalui blognya Minda Tajdid.

Manakala Hadis kelebihan  membaca Al-Quran dipetik melalui kitab Riadusolihin susunan Imam Annawawi.






2 ulasan:

wantie berkata...

mohon berkongsi .

mohamad bin mohsin berkata...

Ya..silakan Cik Puan mengambil manfaatnya.

Admin-Mohamad