Isnin, 13 September 2010

Cara Allah Mengajar Nikmat Hidup


Tanggal 1 September 2010 :

Hari ini genaplah 4 hari 5 malam aku hanya terbaring diatas tilam.Subhanallah memang memeritkan.Perasaan ini hanya Allah sahaja yang tahu.Aku menderita akibat kandungan asid urik yang terlalu banyak dalam darah.Hendak menyebut penyakit sendiri pun malu.Aku yakin pembaca pasti tahu sakit apakah yang aku maksudkan.

Aku menjadi manusia yang paling lemah.Aku merasa malu pada diri sendiri membiarkan keadaan terus sakit begini.

Mungkin inilah yang abah rasa selama ini bila didatangi gout.(kan dah tersebut)

Alhamdulillah pagi ini bermula agak ceria.Aku sudah mula boleh menapak tanpa tongkat.

“Owh alang dah boleh buang tongkat ye?”sapa emak di waktu sahur.Gembira mungkin melihat anaknya sudah boleh menapak.Baru menapak belum lagi berjalan!

“Tapi abah pula yang bertongkat.Abah lepas sihat beberapa hari mesti kena semula” sambung emak sambil mata menunjuk ke arah tongkat abah.

Asalnya aku yang guna tongkat itu.Tapi pagi itu ‘servis’ bertukar tangan.Abah memang begitu.Mungkin darahnya sudah terlalu banyak asid urik menyebabkan abah begitu mudah didatangi gout.

“Alang,malam ini ganti abah jadi imam terawih ya” suara abah perlahan meminta aku menjadi imam.Kali ini kedua-dua sendi lutut abah bengkak.Lansung tak boleh berjalan.

Selama empat malam aku terbaring,tugas imam terawih diganti oleh abah dan along.

“Baik bah,insyaallah”aku juga membalas perlahan.Aku tahu aku masih belum sembuh.Baru sahaja boleh menapak.Tetapi aku mesti tunaikan juga.Sudah empat malam aku tidak ke surau.Hanya terawih seorang diri diatas tilam.

Banyak Sungguh Pahala Aku Tertinggal

Sepanjang beberapa hari yang penuh penderitaan ini,aku cuba senaraikan semua program yang patut menjadi lubuk pahala buat aku dibulan Ramadhan ini.Malangnya semua program tersebut terpaksa dibiarkan begitu sahaja.Antaranya...

1- 28 Ogos : Menjadi Imam terawih di Surau Kg.Tengah Lenggeng.Aku hanya mampu menyampaikan tazkirah 10 minit sahaja.

2- 29 Ogos : Menyampaikan Kuliah Subuh di Surau Kg.Jiboi Baru.Aku sudah tidak boleh memandu dan berjalan.Alhamdulillah Us.Said sudi menyambung amanah ini.

3- 29 Ogos : Pukul 4 petang Program Mengedar Bubur Lambok di Kg.Bagan Pinang anjuran DACS Teluk Kemang

4- 29 Ogos : Majlis Berbuka Puasa Semua Pemuda Teluk Kemang di Pasti Kg.Sawah.

5- 31 Ogos : Program Grand Sharpen The Saw anjuran TAMRIN.Program yang dibarisi oleh panel yang begitu hebat dalam industri latihan.Panelnya adalah Tuan Zuhairi Nopiah,Tuan Rizal Hasan,dan Us.Hasrizal Abd Jamil.

6- 31 Ogos : Gotong Royong Jabatan Amal Malaysia membaiki rumah mangsa kebakaran.Mangsa adalah OKU dan hanya tinggal sehelai sepinggang.Aku hanya doakan sahaja untuknya...

7- 31 Ogos : Majlis Berbuka Puasa di Maahad Tahfiz At-Tohiriah Port Dickson

8- 01 September : Mesyuarat Lanjutan AFM selepas Bengkel Halatuju 2015.

9- 02 September : Ceramah Kecemerlangan Pelajar di Sekolah SK.Sega Hilir.Alhamdulillah ceramah ini juga Us.Said yang cover.

10- Menjadi imam terawih selama 4 malam di Surau Riadhul Falihin Kg.Pasir.Surau depan rumah aku sendiri.Alhamdulillah,abah dan along yang ganti.

11- 03 September : Ceramah Ramadhan Mubarak di Kem Batu Komentan Jalan Ipoh Kuala Lumpur.Alhamdulillah Us.Farid Hamlud sudi menyambung amanah.

12- 03 September : Usrah bersama Alumni Pelajar Jordan dan yang balik bercuti di Bangi.

13- 03 September : Majlis Ifthar Surau Riadhul Falihin.Aku tak berpuasa hari ini.Aku dinasihatkan untuk minum air 2 liter setiap hari.

14- 04 September : Program Simulasi Pendaftaran Pemilih Baru Anak Muda N.Sembilan di Dun Johol

15- 04 September : Majlis Ifthar Keluarga.Sekali lagi aku tak berpuasa hari ini.

16- 05 September : Usrah dan Majlis Ifthar Alumni SMKA Pedas.Sekali lagi aku tak berpuasa.

Selepas aku menyenaraikan semua ini dalam telefon bimbit,aku hanya mampu termenung.Subhanallah..banyak sungguh lubuk pahala yang aku tak kutip dalam bulan Ramadhan ini.

Aku merasa sungguh rugi.Allah hanya menarik nikmat kaki ku selama empat hari sahaja.Tetapi nilai pahalanya cukup besar disisi Allah jika aku mampu manfaatkannya.

Aku merasa begitu sedih.Aku hanya mampu mencari hikmah yang tersirat disebalik penderitaan ini.Pasti akan jumpa hikmah.Aku yakin!

Allah Mengajar Aku Nikmat Hidup!

“Sudah berapa lama alang kena gout ni”soal Pak Cik Abd.Aziz.Beliau merupakan setiausaha surau RiadhulFalihin.Aku baru sahaja selesai menjadi imam terawih.Imam yang duduk diatas kerusi.Penduduk Kg.Pasir memang tidak mahu menjadi imam selagi aku dan abah ada.

Malam itu aku gagahkan juga ke surau sebab abah pula yang tak boleh berjalan.Abah baru sahaja sihat tiga atau empat hari terus terkena gout semula.

“Sudah lama pak cik.Sudah empat hari empat malam”aku memberikan jawapan.

“Baguslah sakit tu kan?Kalau tak,tak merasa pulak nikmat hidup.Betul tak?”balas Pak Cik Abd.Aziz dengan selamba.

Aku tergamam memikirkan apakah maksud sebenar Pak Cik Abd.Aziz.Aku sedang sakit,dia dengan selamba kata bagus!Perasan aku menjadi sedikit geram.

“Iyalah...kalau sihat sahaja,tak merasalah nikmat kehidupan.Bila dah sakit,barulah tahu betapa nikmatnya hidup!”segera Pak Cik Abd.Aziz menjelaskan maksudnya apabila melihat aku terpinga-pinga dengan gurauan selambanya.

Ha...Ha...Ha...

Kami berdua ketawa.Aku ketawa kerana merasa sungguh seronok dengan ilmu itu tadi.Betul-betul menyerap masuk ke hati.

Hati aku sudah mula terbuka dengan ujian ini.Allah benar-benar menjanjikan hikmahnya.Sungguh tinggi nilai ilmu ini.Memahaminya memakan masa lebih empat hari lima malam.Sungguh berbaloi!

Aku berharap kebaikan dari ilmu ini lebih utama dari 16 program yang aku tertinggal itu.Amin.

Teringat aku satu Firman Allah SWT,tentang keadaan orang kafir apabila dicabut nyawanya : Surah mukminun ayat 99-100

(Demikianlah keadaan orang kafir itu),apabila datang kematian kepada salah seorang dari mereka,dia berkata "Ya Tuhanku,kembalikanlah aku (ke dunia).Agar aku dapat berbuat kebajikan yang telah aku tinggalkan" Sesekali tidak!Sesungguhnya itu adalah dalih yang diucapkannya sahaja.Dan dihadapan mereka ada barzakh (tempat/keadaan orang setelah mati sehingga dibangkitkan pada hari kiamat) sampai pada hari mereka dibangkitkan.

Itulah kita..Saat ditarik nikmat barulah mahu meminta belas dari Allah S.W.T.

Eloklah kita tersedar awal..

Janganlah sampai saat kematian menjemput,kita pula meminta hidup walaupun hanya sesaat semata-mata mahu melakukan ibadah.

Tiada ulasan: