Ahad, 6 Julai 2008

Sejarah Perpecahan Dalam Islam - Siri Satu

Dunia Islam semakin hari semakin jauh dengan erti persaudaraan dan perpaduan.Umat Islam sudah mula melupakan saudara seagama masing-masing.Mereka cuma hidup dalam kelompok sendiri tanpa mempedulikan nasib umat Islam didunia luar.Keutamaan peribadi mendahului kepentingan agama.Mereka yang cuba mengembalikan kegemilangan Islam digelar pelampau.Percubaan meletakkan Islam ditempatnya yang asal juga dianggap kerja yang tidak berfaedah.Malah pejuang kebenaran dan keadilan dianggap pengkhianat dan pengancam keselamatan negara.

Inilah kesan yang dirasai oleh kita sekarang sejak bermulanya perpecahan dalam Islam.Sifat kejiranan meluntur.Bantu-membantu menjadi asing.Individualistik menjadi ikutan.Mungkin inilah pendahuluan yang boleh saya berikan sebelum kita masuk ke tajuk sebenar Sejarah Perpecahan dalam Islam.Artikel ini adalah ringkasan penulis daripada kelas pengajian di Universiti Mu'tah yang menggunakan buku bertajuk Al-Firaq Fi Tarikh Al Muslimin.

Allah Melarang Umat Islam Berpecah

Firman Allah SWT : Surah Al-An’am : Ayat 153 yang bermaksud :

“Dan sesungguhnya ini adalah jalanKu yang lurus,maka ikutilah jalan tersebut.Dan janganlah kamu mengikut jalan-jalan yang lain (agama/kepercayaan selain Islam,segala macam bid’ah dan jalan-jalan yang tidak benar) kerana jalan itulah yang akan memecah-belahkan kamu dari jalanNya.Itulah yang diperintahkan kepadamu agar kamu bertaqwa.”

Firman Allah SWT : Surah Al-An’am : Ayat 159 yang bermaksud :

“Sesungguhnya orang-orang yang memecah-belahkan agamanya,dan mereka tidaklah engkau bertanggungjawab ke atas mereka.Sesungguhnya urusan mereka terserah kepada Allah SWT.Kemudian Allah SWT akan memberitahukan kepada mereka apa yang telah mereka lakukan”

Firman Allah SWT : Surah Ali’Imran : Ayat 103 yang bermaksud :

“Dan berpegang teguhlah pada tali (agama) Allah,dan janganlah kamu bercerai-berai/berpecahbelah.”

Nabi Muhammad SAW Melarang Umatnya Berpecah-Belah

Menurut hadis riwayat Abdullah Ibnu Mas’ud :
Suatu hari Nabi Muhammad SAW telah melukiskan satu garisan pada kami seraya bersabda (Inilah jalan Allah).Kemudiannya Nabi SAW melukiskan pula beberapa garisan disebelah kanan dan kiri garisan tadi seraya bersabda pula (Inilah jalan-jalan yang terdapatnya syaitan yang sentiasa mengajak padanya)Setelah itu Nabi SAW terus membacakan ayat Al-Quran (Surah Al-An’am:153)

Hadis yang kedua daripada Muawiyah bin Abu Sufyan berkata :

Nabi SAW berada bersama-sama kami dan bersabda:(Ketahuilah sesungguhnya Ahli Kitab sebelum kamu telah bercerai kepada 72 pecahan.Sesungguhnya agama ini akan bercerai kepada 73 pecahan.72 pecahan daripadanya akan berada di neraka.Dan 1 pecahan sahaja akan berada didalam syurga.Mereka itu adalah jamaah.)

Ulama menggelarkan hadis ini sebagai Hadis Iftiraq (Perpecahan).Terdapat pelbagai perbahasan yang diperbincangkan berkaitan hadis ini iaitu hadis yang kedua sebentar tadi.

1)Apakah yang dimaksudkan dengan bilangan (72 pecahan) tersebut?

Ulama menyifatkan bilangan tersebut bukanlah bermaksud 73 yang sebenarnya.Sebabnya kita sendiri tidak mampu membilang jumlah pecahan yang berlaku dari zaman kewafatan Nabi SAW sehingga kini.Perpecahan berlaku bukan pada satu-satu zaman sahaja.Malahan setiap zaman berlaku perpecahan.Jika kita menghitung bilangan pecahan maka sukar untuk kita mendapatkan bilangan tersebut secara tepat.Boleh jadi pecahan tersebut terlebih dan juga terkurang.Oleh itu ulama menyifatkan bilangan tersebut adalah satu amaran keras dari Nabi SAW kepada umatnya.Perhatian serius perlu diberikan pada kejadian perpecahan tersebut bukannya bilangan pecahan yang berlaku.

2)Siapakah satu pecahan yang menuju ke syurga?Siapakah Jamaah tersebut?

Sebagai orang Islam yang sentiasa berharap,maka ulama tidak membenarkan kita menentukan siapakah Jamaah tersebut.Pecahan yang satu ini adalah satu kelompok yang tidak diketahui siapakah mereka,bilangannya,dimanakah asalnya dan tidak juga ditentukan Nabi SAW cirri-ciri mereka.Semua pecahan atau kumpulan berpotensi menjadi Jamaah.Cuma kita perlu sentiasa berdoa tergolong dalam kelompok yang satu ini.

3)Apakah maksud Nabi SAW (Semuanya -72 pecahan- ke neraka kecuali satu sahaja)

Menurut AsSyatibi kata-kata Nabi SAW ini adalah satu janji pembalasan di akhirat kelak dan bukannya satu gurauan atau keraguan.Mereka adalah orang yang berada dalam dosa besar (Ahli Kabair) kerana telah melakukan perpecahan.Apa yang lebih utama kita dilarang menentukan siapakah kelompok yang ke neraka.Kerana amaran Nabi SAW bersifat umum (ijmali) bukanya berbentuk khusus.

Adapun terdapat kelompok yang sudah jelas lari dari Rukun Islam dan Iman kita wajar menghukum mereka dengan gelaran kafir sebagai satu peringatan kepada masyarakat.Ada juga ulama’ yang melarang menghukum dengan gelaran kafir tetapi cukup dengan menggelar mereka sebagi Ahli Bid’ah,Ahli Ma’siah,atau Ahli Kabair…wassalam.bersambung.

Tiada ulasan: